RAYQAL sedang menunggu Rania di depan pintu pagar rumah wanita itu. Memang awal-awal pagi lagi dia sudah terpacak di situ. Dengan langsung tidak mencuci wajah. Dengan rambut pula sedikit kusut.
Dalam 10 minit menunggu, kedengaran pintu rumah dibuka. Rayqal sudah bercekak pinggang memandang Rania.
Rania yang pada ketika ini mahu melangkah keluar, sedikit terkejut melihat Rayqal sudah berdiri di pagar rumahnya. Wajahnya pula kelihatan baru terjaga daripada tidur.
“Ha, kau nak apa pagi-pagi buta datang rumah aku ni?” soal Rania kasar, sambil mengunci pintu rumahnya. Kasut terus disarungkan ke kaki.
“Memang kaukan yang call polis, suruh datang ke rumah aku malam tadi?”
“Yup. Memang aku yang call. Dah kau buat bising, takkan aku nak buat bodoh pula? Orang nak tidur pun tak senang.”
“Siapa suruh kau sewa dekat sini?”
“Helo? Kau owner rumah ni ke? Yang kau soal aku macam tu?”
Rayqal terdiam. Dia merenung wajah Rania lama. Entah kenapa, rasa rindu mula bertandang. Tipulah kalau tak ada rasa rindu langsung.
Rania memandang Rayqal pelik. Dah kenapa dia ni diam pula? Tadi bukan main lagi nak marah aku.
Malas lagi mahu menunggu Rania terus menuju ke motosikalnya.
“Baliklah! Aku nak pergi kerja ni. Tu ha, air liur basi kau kat tepi bibir kau tu, cucilah sikit. Ni tak, pagi-pagi terus terpacak depan pagar rumah aku.” Rania menjeling.
Rayqal tersedar daripada lamunan. Merah padam wajahnya menahan malu. Dia terus sahaja berlari masuk ke dalam rumah tanpa berkata apa-apa kepada Rania.
“Pagi-pagi sibuk aje datang sini,” omel Rania.
Enjin motosikal terus dihidupkan. Setelah itu, Rania memulas minyak, bagi memanaskan enjin motosikalnya. Enjin motosikal mengaum dengan kuat.
“Bisinglah woi!” jerit Rayqal dari dalam rumah.
Rania mencebik. “Kau memekak malam tadi tak apa pula!” laung Rania dengan kuat.
Setelah mengunci pagar rumahnya, Rania terus menunggang motosikalnya menuju ke tempat kerja. Banyak benda lagi dia mahu fikirkan, daripada dia memikirkan Rayqal. Bertekak pun tiada guna.
“PUAN, jadi ke kita nak pergi makan dekat restoran yang saya cakap tu?” soal Zafran. Mereka berdua sedang berjalan menuju ke bilik mensyuarat, sambil diikuti Hadi dari arah belakang.
“Jadi, lepas habis kerja pukul 5 petang ni, kita pergi. Macam-macam menu ada, kan?”
“Ha'ah puan. Nanti puan try la makan masakan dia. Macam-macam jenis tau?”
“Ha baiklah. Saya pun nak rasa juga. Sedap sangat ke makanan dia. Kalau sedap, bolehlah pergi lagi,” balas Rania sambil tersenyum.
“Eh, mesti sedap punya. Saya memang tak tipu. Betul tak Hadi?”
Hadi tersengih. “Betul puan. Makanan dekat restoran tu memang sedap-sedap. Saya pun kadang-kadang makan dekat situ dengan tunang saya.”
“Wah, dah ada tunang ya awak Hadi?”
Hadi mengangguk sambil tersenyum.
“Ni Zaf, mesti dah berpunya juga ya?” Rania tersenyum.
“Err sa...” Zafran, tidak sempat menjawab apabila seorang pegawai wanita terus menegur Rania. Dia hanya terdiam sambil memandang Hadi.
“Kau nak beritahu ke status kau?”
“Beritahulah, takkan nak berahsia pula?”
“Eh, buat apa lagi tu? Jom masuk,” ajak Rania.
Mereka bertiga terus melangkah masuk ke dalam bilik mensyuarat.
Hampir 20 minit berbincang, ASP Mazlan mula bangun dari kerusi.
“Saya ada terima maklumat dari DCC (District command Center), terdapat satu kegiatan perjudian, di permis jalan Presint 40. Dan saya mahu awak Inspektor Rania, arahkan anggota ke lokasi utk membuat risikan. Dan sekiranya maklumat tepat, jalankan operasi serbuan dan tindakan lanjut,” arah ASP Mazlan.
“Baik tuan, saya akan hantar anggota ke lokasi untuk buat risikan dan akan mengesahkan maklumat tersebut.”
“Ada pertanyaan lagi?” soal ASP Mazlan.
“Tiada tuan!” semua yang berada di dalam bilik mensyuarat tersebut, menjawab serentak.
“Okey, mensyuarat kita selesai. Boleh bersurai. Apa-apa nanti, sila maklumkan kepada saya.” ASP Mazlan bangun dari kerusi dan berlalu keluar dari bilik mensyuarat tersebut.
“Koperal Zafran, saya nak awak dan anggota yang lain, pergi ke jalan Presint 40, seperti yang dimaklumkan oleh ASP Mazlan tadi.”
“Baik puan, saya pergi sekarang. Apa-apa nanti saya maklumkan kepada puan.”
Rania menganggukkan kepalanya.
SETELAH disiasat, Rania dan anggota yang lain bergegas ke jalan Presint 40.
“Koperal Zafran, awak pergi ke sebelah sana. Saya dan Koperal Hadi pula, di sebelah sini,” arah Rania.
“Baik puan.” Zafran dan beberapa anggota yang lain, mula berjalan secara senyap menuju ke arah, yang diarahkan Rania tadi.
Lebih kurang ada dua puluh individu di dalam premis berkenaan. Rania mula mengarahkan anggota yang lain untuk bersedia, sambil tangan kanan memberi arahan. Masing-masing mengangguk.
“Jangan bergerak!” jerit Rania.
Suspek mula terkejut dengan kehadiran pihak polis pada saat ini. Ada yang cuba melarikan diri, tetapi sempat ditangkap oleh beberapa anggota yang lain.
Tiba-tiba, ada seorang suspek berbadan kurus cuba untuk melarikan diri ke arah satu tingkap yang tidak tertutup. Suspek tersebut terus sahaja memanjat tingkap, lalu melompat keluar dari premis itu.
Mata Rania sempat menangkap susuk suspek yang sudah pun melompat keluar melalui tingkap di hadapannya. Tanpa menunggu lagi, Rania terus sahaja mengejar suspek, melalui tingkap itu.
Suspek berlari dengan sungguh laju saat ini. Akan tetapi, Rania pantas sahaja mengejar. Sememangnya Rania merupakan seorang atlit lumba lari di sekolah. Dan baginya, itu adalah perkara kecil sahaja.
Kolar baju suspek tersebut terus direntap kuat dari arah belakang , lalu suspek itu jatuh terduduk di atas tanah. Mereka berdua mula bergelut antara satu sama lain. Berulang kali suspek cuba menendang Rania. Tetapi dengan pantas Rania membalas serangan.
Tidak berhenti di situ, suspek terus sahaja mengeluarkan pisau lipat dari kocek seluarnya. Dia mahu menoreh wajah Rania dengan menggunakan pisau lipatnya itu.
Belum sempat pisau lipat hinggap pada wajah Rania, Rania terlebih dahulu menahan dengan menggunakan tapak tangan kirinya.
Zap!
Darah mula menitik ke atas tanah sedikit demi sedikit. Kerana tidak mahu suspek melarikan diri, Rania dengan pantas, melayangkan satu tumbukan padu pada wajah suspek.
Buk!
Suspek terus jatuh terlentang ke belakang, akibat tumbukan yang dilayangkan Rania tadi.
“Puan!” laung Zafran yang tidak jauh dari mereka berdua. Zafran laju sahaja berlari menuju ke arah suspek, lalu tangan suspek dipulas ke belakang. Tidak sempat suspek mahu melarikan diri.
“Aduh-aduh sakit,” ucap suspek sambil menahan sakit.
“Tahan dia,” arah Rania.
Tanpa menunggu, Zafran terus menggari kedua-dua tangan suspek.
“Eh, kenapa ni?” Hadi muncul di situ. Dia benar-benar terkejut melihat keadaan tapak tangan Rania yang berdarah.
Dahi Rania berkerut menahan sakit. Sapu tangan dari kocek seluar jeans yang dipakainya dikeluarkan.
“Hadi, tolong bawa suspek ,” arah Zafran pula. Dia benar-benar risau melihat keadaan Rania.
Hadi mengangguk, lalu membawa suspek ke Black Maria (lori polis).
Zafran melihat tangan Rania yang ditutupi dengan sapu tangan milik wanita itu.
“Puan, mari kita pergi ke kereta. Dalam kereta ada peti kecemasan. Luka tu kena cuci. Takut terkena kuman pula,” ajak Zafran.
Rania sekadar mengangguk kecil, lalu dia mengekori Zafran hingga ke kereta. Tiba sahaja di kereta, Zafran terus menarik sapu tangan yang menutupi tapak tangan Rania. Nasib baiklah luka tidak begitu dalam.
“Puan, saya nak cuci luka puan. Puan kena tahan sikit.”
“Tak apa, saya dah biasa. Awak buat aje,” jawab Rania.
Setelah dicuci dengan air bersih, Zafran terus sahaja meletakkan iodin di tapak tangan Rania. Dia lihat, wajah wanita itu sedang menahan sakit. Tetapi Rania tetap mahu dia meneruskan sahaja.
“Okey dah siap. Tak ketat sangatkan bandage tu?”
“Tak, dah okey ni. Terima kasih Zaf,” ucap Rania.
“Sama-sama. Tapi bahaya betul tadi. Kenapa puan pergi kejar suspek?”
“Zaf, kalau saya tak kejar, terlepaslah dia. Lagipun ini kerja saya. Kerja ini yang saya pilih, jadi saya kena buat. Takkan saya nak berdiri tengok aje? Sambil goyang kaki?”
“Hmm... saya bukan apa, risau saya tadi. Sepatutnya saya yang kejar. Bukannya puan. Tengok-tengok berdesup laju, puan kejar suspek tadi. Terkejut saya. Ni mesti masa sekolah atlit lumba lari, kan?”
Rania tersenyum sambil mengangguk. “So, jadikan petang ni, kita pergi makan?” soal Rania.
“Eh, tapi puan boleh ke? Dengan tapak tangan luka tu?”
“Alah, tapak tangan aje luka. Apa masalahnya?”
“Okeylah, kalau puan dah cakap macam tu. Saya on aje.” Zafran tersenyum.
“KAN saya dah cakap, saya tak suka perempuan cantik kerja dekat sini?” Rayqal bercekak pinggang.
Matanya merenung beberapa pelayan restoran perempuan yang diambil Chef Safuan semalam. Sejak dia kecewa dengan Rania, sehingga sekarang dia kurang percaya dengan perempuan. Baginya perempuan cantik ini, hanya berpura-pura baik dan suka mempergunakan lelaki sahaja. Disebabkan itulah dia langsung tidak berpunya sehingga sekarang.
Chef Safuan menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Habis tu macam mana? Nak buang ke?” soalnya.
“Buang apanya? Dah ambil, kan? Sudahlah, saya nak pergi ambil barang yang saya beli tadi.”
“Eh, kejap chef. Semalam syarikat courier servis dari Skynet, ada booking untuk makan malam dekat restoran kita ni. Dan dia orang request, kita masak masakan ala kampung.”
“Bila dia nak tu?”
“Hari Sabtu depan.”
“Oh, jadi chef cakap apa?”
“Saya setuju aje.”
“Ha, yalah. Lagipun malam tu memang tak ada customer lain yang booking, kan?”
“Ha'ah tak ada. Tu yang saya setuju. Kalau tak, jenuh tu nak masak banyak-banyak.”
“Itu pun nasib baik, tukang masak kita ni ramai,” kata Rayqal pula.
Chef Safuan mengangguk sambil ketawa kecil. “Betul juga.”
Pada ketika ini, Rania dan Zafran sudah tiba di restoran yang dikatakan Zafran semalam.
“The R&R?” soal Rania. Matanya merenung papan tanda restoran tersebut.
“Ya puan. Kenapa?” jawab Zafran.
“Rehat dan rawat ke?” Rania hampir ketawa.
Zafran merenung Rania. “Entah, saya pun tak tahu. Saya makan aje. Yang penting sedap. Eh, jomlah puan, kita masuk ke dalam,” ajak Zafran.
Rania dan Zafran berjalan beriringan menuju ke pintu masuk restoran.
Kebetulan pula, Rayqal sedang mengambil bahan masakan yang dibelinya tadi. Matanya terus tertancap ke arah susuk Rania, bersama dengan seorang lelaki, sambil berjalan masuk ke restorannya.
Apa minah gila ni buat dekat restoran aku? Dan siapa pula lelaki tu? Boyfriend dia ke? Rayqal terus sahaja berjalan masuk mengikut pintu belakang.
Zafran dan Rania terus mendapatkan tempat duduk yang berdekatan dengan cermin kaca. Buku menu yang ada di atas meja, mula diselak, lalu diteliti satu persatu, jenis-jenis makanan yang ada disediakan di restoran ini.
“Puan nak makan apa?”
“Saya ingat nak makan nasi. Tapi lauk, saya tak tahu nak pilih yang mana satu. Saya memang lapar nasi sekarang ni.”
“Kalau macam tu, saya suggest puan ambil asam pedas. Asam pedas dia sedap tau?”
“Oh iya ke? Kalau macam tu, saya ambil asam pedas pari.”
“Okey, air pula?”
“Hmm jus tembikailah kalau macam tu.”
Zafran mengangguk. Dia terus sahaja memanggil pelayan untuk mengambil pesanan mereka.
“Ya encik? Nak order apa?” Seorang pekerja baru yang bernama Wina, mula menghampiri mereka berdua.
“Bagi set asam pedas pari satu, dan satu set burrito. Dan juga, dua jus tembikai.”
“Okey. Ada apa-apa lagi?”
“Tak ada. Itu sahaja. Terima kasih.”
Pelayan restoran tersebut terus sahaja berlalu pergi.
“Awak tak makan nasi ke?” soal Rania.
“Saya kalau dah petang, memang tak makan nasi,” jawab Zafran.
“Oh... no wonder la badan awak nampak maintain,” puji Rania.
Zafran tersipu malu. “Tak adalah puan. Dalam polis ni, memang kena jaga badan. Nanti BMI tak cantik pula.”
“Betul jugakan?”
Wina terus menuju ke kaunter pesanan. Belum sempat dia mahu menghulurkan pesanan, tiba-tiba sahaja Rayqal menjegulkan wajahnya di situ.
“Dia orang order apa?” soal Rayqal kepadanya.
Jantung Wina terus berdegup dengan kencang, saat melihat wajah Rayqal. Begitu lama dia tidak melihat wajah yang pernah menjadi pujaan hatinya dahulu. Wina tidak berkutik sedikit pun. Dia hanya menatap sahaja wajah lelaki itu.
“Helo? Dia orang berdua tu order apa? Dah kenapa tak jawab?” Rayqal mula berasa pelik. Sudah kenapa pekerja barunya tidak bercakap?
“Saya tanya ni, dia orang tu order apa?” soal Rayqal sedikit keras.
“Ha, apa dia chef?”
“Saya tanya, dia orang order apa? Dah kenapa awak diam?” ulang Rayqal.
“Sekejap ya. Err.... saya dah lupa,” jawab Wina.
“Ha? Lupa? Awak datang sini, nak bekerja ke, atau sekadar nak main-main?”
Chef Safuan terus muncul di situ.
“Er chef. Kenapa ni?”
“Saya tanya dia, customer yang dua orang hujung tu order apa. Boleh-boleh pula dia lupa.”
“Tak apa chef. Biar saya handle. Saya pergi tanya customer tu balik. Apa yang dia orang order.”
“Tak payah. Suruh dia ni pergi balik tanya. Dan untuk customer tu, biar saya yang masak.”
Chef Safuan menganggukkan kepalanya.
“Wina, awak pergi sana tanya balik. Nanti awak datang ke sini semula, dan beritahu kepada Chef Rayqal.”
“Baik, chef.” Wina menggigit bibir. Bagaimanalah dia boleh terlupa. Sudahlah dia langsung tidak menulis pesanan di atas kertas tadi. Wina terus menuju ke arah dua orang pelanggan tadi.
“Err... maaf. Encik dan puan tadi order apa ya?”
Rania merenung wajah pelayan restoran itu. Mungkin wanita ini terlupa.. “Oh, saya order set asam pedas pari, dan dia ni pula set burrito. Dan juga, dua jus tembikai.”
“Ha, okey-okey. Maafkan saya ya.” Wina menunduk meminta maaf.
“It's okay,” jawab Rania.
Wina terus menuju ke arah Rayqal semula. “Chef, dua orang pelanggan tadi, order set asam pedas pari, dengan set burrito.”
“Burrito tu untuk perempuan tu ke?”
“Tak, untuk lelaki itu. Set asam pedas untuk perempuan tu.”
“Okey,” jawab Rayqal pendek. Dia terus menuju masuk ke dapur semula.
Kuali mula dipanaskan. Rayqal mula menumis bahan-bahan untuk memasak. Cili kering yang sudah dikisar, dimasukkan sebanyak dua senduk besar. Setelah itu, satu keping ikan pari dimasukkan ke dalam kuali. Entah kenapa, dia terasa mahu mengenakan Rania. Segenggam garam dimasukkan pula ke dalam kuah asam pedas tersebut. Dia mula tersengih sendiri.
“Padan muka kau Rania. Makanlah kau masin-masin dengan pedas ni,” ucapnya perlahan.
Chef Safuan yang kebetulan di belakang Rayqal, telah mendengar apa yang dikatakan lelaki itu.
“Chef, chef buat apa dekat makanan tu?”
“Ha! Mana ada saya buat apa,” tipu Rayqal.
“Tapi tadi saya ada dengar...”
“Mana adalah. Awak mimpi ni.” Rayqal tidak mempedulikan Chef Safuan. Yang penting dia perlu menyiapkan pesanan yang diminta Rania tadi.
Usai menyiapkan asam pedas, kini Rayqal menyiapkan burrito pula. Roti tortilla diambil. Lalu isi ayam yang sememangnya sudah dimasak, diletakkan di atas roti tersebut.
Rayqal tidak mahu mengenakan lelaki yang bersama dengan Rania saat ini. Dan dia hanya mahu mengenakan Rania sahaja.
Disebabkan, Rayqal sudah dua kali terkena dengan pihak polis, jadi inilah masanya untuk dia membalas dendam terhadap Rania dengan cara sebegini.
Setelah siap memasak, Rayqal terus mengarahkan Wina, untuk menghantar makanan tersebut ke meja Rania. Setelah itu, dia terus sahaja menyorok di tepi kaunter pesanan.
Wina menatang dulang yang berisi dengan makanan yang dipesan tadi. “Jemput makan encik... puan.” Makanan diletakkan di hadapan mereka berdua.
“Terima kasih,” ucap mereka berdua serentak.
Manakala Rayqal pula tersengih, sambil memerhatikan mereka berdua.
“Makanlah puan. Sedap nampaknya tu,” kata Zafran.
“Baiklah. Nampak pun macam sedap ni.”
Setelah membaca doa, Rania terus menghirup sedikit kuah asam pedas tersebut. Dahinya mula berkerut-kerut. Setelah itu, kuah yang berada di dalam mulutnya terus diluahkan semula ke dalam pinggan.
“Pedas-pedas.” Rania mengibas-ngibas lidahnya yang mula kelihatan merah.
Zafran benar-benar terkejut. Dengan pantas dia menghulurkan air jus tembikai kepada Rania. Rania pantas menggapai gelas tersebut dari tangan Zafran, lalu air jus tembikai, disedut dengan rakus.
“Awak cakap ni sedap? Tak sedap langsung. Dengan pedas, dengan masinnya,” ujar Rania.
“Tak sedap? Tapi saya makan selama ni tak pernah mengecewakan. Ni burrito sedap ni,” tunjuk Zafran.
“Ha... cuba awak rasa kuah asam pedas ni.”
Zafran mengambil sudu di dalam mangkuk tersebut, lalu dihirup kuah asam pedas yang dipesan Rania tadi. Terbatuk-batuk Zafran ketika ini, kerana terlalu pedas dan masin.
“Ha, saya dah cakap, kan?”
“Ha'ah la Puan. Kenapa tak sedap?”
“Waiter! Waiter!” panggil Rania.
Kelam kabut Wina berlari ke arahnya.
“Ya ada apa puan?” soal Wina.
“Siapa tukang masak asam pedas ni? Tak boleh makan langsung. Dengan pedasnya. Dengan masinnya lagi. Masinnya bukan main-main tau? Macam orang tengah nak balas dendam awak tahu tak? Panggil awak punya tukang masak sekarang,” arah Rania.
Rayqal yang dari tadi memandang dari jauh mula menelan liur. Ah sudah. Habis aku!
Share this novel