GERAI burger akhirnya berjaya dibina oleh Rizal. Amira yang menyokong keputusan Rizal untuk berniaga secara kecil-kecilan itu telah meminta adiknya, Anas untuk membantu Rizal mendirikan gerai dan membina meja daripada kayu. Rizal sangat bersyukur kerana di bantu oleh Anas yang masih bersekolah itu. Dia sungguh bernasib baik kerana mengenali remaja itu dan sudi membantunya memandangkan Rizal bukanlah mahir dalam pertukangan.
Rizal turut belajar bagaimana cara untuk memasak dan menghasilkan burger daripada adik lelaki Amira itu. Lebih mengembirakannya, Anas turut sudi berkongsi resepi rahsia untuk menghasilkan burger yang lebih sedap. Adik lelaki Amira itu langsung tidak kedekut ilmu dan baik hati persis kakaknya.
Rizal akhirnya memulakan perniagaannya sendiri walaupun gerainya dalam keadaan daif dan serba kekurangan. Hari pertama Rizal memulakan perniagaan, sambutan sedikit hambar. Namun masuk hari kedua dan seterusnya, permintaan terhadap burgernya semakin meningkat. Rizal semakin bersemangat untuk meneruskan perniagaan walaupun agak memenatkan. Dia perlu bekerja dari pagi sampai petang sebagai seorang pekerja kebersihan. Pulang dari kerja, dia harus segera bersiap sedia untuk memulakan perniagaan burger pula.
Semakin hari, sambutan terhadap burgernya kian meningkat. Rizal menggunakan keuntungan yang dia dapatkan setiap hari untuk meningkatkan modal pusingan pada hari seterusnya dengan menambah bekalan daging dan roti agar sentiasa mencukupi untuk memenuhi pesanan pelanggan.
Lima hari berlalu, perniagaan burger Rizal semakin stabil. Hampir pukul 12 malam, dia mula mengemas gerai jualannya. Begitulah rutin yang dijalani oleh Rizal setiap hari. Setelah menutup gerainya, lelaki itu segera kembali ke rumahnya dan mengira hasil keuntungan yang dia perolehi.
"Hmm.. tolak modal untuk esok, dapat la untung 50 ringgit.. mulai sekarang, tak perlu dah tambah modal.. Untung ni aku dah boleh simpan dan guna untuk makan minum setiap hari.." Rizal berbicara sendirian selepas mengira pendapatan daripada hasil jualannya. Tanpa dia sedari, dirinya kini sudah mulai terbiasa dengan kehidupan yang lebih sederhana. Rizal tidak lagi memilih untuk makan di restoran mewah. Dia sudah mula terbiasa untuk membeli makanan dari warung di tepi jalan bagi berjimat cermat.
Rizal yang keletihan langsung berbaring selepas selesai mengira wang yang dia perolehi. Dia mula berangan-angan untuk memajukan perniagaannya sendiri suatu hari nanti.
"Kalau aku buka 10 cawangan jual burger ni dan upah orang, katakan satu gerai aku ambil 10 ringgit je satu hari, sehari dah dapat 100 ringgit.. kalau 20 cawangan, dah dapat 200 ringgit.. kalau untung tu semua aku kumpul, tak diusik, tak lama aku boleh buka kedai macam Mekdi. Hmm, tak pun buat je gerai fancy sikit.. Cipta brand sendiri.. Menu macam mekdi tapi harga lebih murah.. Kalau tengok sosio-ekonomi orang kat sini pun, kalau jual makanan mahal, susah nak dapat sambutan.. Jual murah sikit pun takpe, asalkan dapat jual dalam kuantiti yang banyak.. itu lebih baik." Rizal terus berangan-angan. Walaupun sekadar angan-angan, namun visinya jelas. Rizal sebenarnya berpandangan jauh dalam urusan perniagaan. Mungkin kerana dirinya adalah pelajar lulusan di dalam jurusan perniagaan ataupun kerana mewarisi kemampuan dan pemikiran bapanya dalam berniaga.
Sedang dirinya berangan-angan, Rizal yang keletihan akhirnya terlelap. Dia langsung tertidur dipembaringannya.
ESOKNYA, Rizal yang tidak bekerja di hari minggu telah mengambil keputusan untuk keluar lebih awal ke Pekan. Dia berencana untuk meronda sambil memantau suasana sekitar sebelum membeli barangan burger untuk perniagaannya pada hari tersebut. Melepasi waktu tengah hari, dia yang kelaparan mula mencari warung untuk mendapatkan makanan.
Tiada lagi istilah warung itu kotor dan menjijikkan bagi Rizal. Demi berjimat cermat, itulah sebaiknya yang harus dia lakukan. Malah dia juga sedar jika masakan di warung jalanan itu setara bahkan lebih sedap jika dibandingkan dengan restoran mewah yang sering dia kunjungi selama ini. Masuk sahaja ke dalam warung, Rizal langsung melihat Amira yang sedang makan bersama Anas.
"Mira, Anas.. dari mana ni?" Rizal segera menyapa dua beradik yang sedang makan di dalam warung tersebut.
"Eh, Rizal.. kami datang ke pekan nak beli barang dapur sikit.. sebelum beli, isi perut la dulu.." Amira membalas. Anas juga tersenyum sambil mengangguk kecil kepada Rizal.
"Oh, saya pun datang pekan nak cari barang untuk burger.. singgah sini pun sebab nak makan." Rizal turut memberi penjelasan.
"Duduklah, makan sama-sama." Amira mempelawa. Rizal segera melabuhkan punggungnya di kerusi, bersebelahan dengan Anas. Lelaki itu kemudian membuat pesanan makanan dan minuman kepada pekerja di warung tersebut.
Mereka seterusnya berbual-bual sambil menikmati juadah tengah hari. Rizal banyak menceritakan mengenai perkembangan perniagaannya dan tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada Anas yang sudah banyak membantunya. Amira pula kagum dengan semangat yang dimiliki oleh Rizal. Lelaki itu bijak mengembangkan perniagaannya dalam masa yang singkat dan menguruskan sumber kewangannya yang terhad sebaik mungkin.
Sedang mereka berbicara, tiba-tiba Amira batuk dan menekup mulut dan hidungnya. Gadis itu terganggu oleh asap rokok yang berkepul-kepul di dalam warung. Sebelah tangan gadis itu lagi mengibas-ngibas untuk mengalihkan asap rokok yang datang dari arah belakangnya. Di belakang Amira, kelihatan seorang lelaki sedang menghembuskan asap rokok. Lelaki yang baru selesai makan itu langsung tidak menghiraukan keadaan sekelilingnya dan tanpa rasa bersalah, terus menyedut dan menghembus asap dari pembakaran tembakau itu melalui mulutnya.
Melihatkan keadaan itu, Rizal segera bangkit berdiri dari kerusi dan menghampiri lelaki yang berada di meja belakang Amira.
"Bro, kau tak tengok ke, tanda larangan merokok kat depan tu? Kalau nak hisap rokok pun, pergi la jauh sikit, jangan duk hisap dalam kedai ni.. dalam ni ada macam-macam orang.. ada orang tua, perempuan mengandung, budak kecik.. diorang tu sensitif dengan asap rokok.." Rizal langsung menegur lelaki yang sedang merokok itu. Melihat ke arah Rizal, lelaki tersebut terus berdiri dan menatap tepat ke wajah Rizal.
"Kau apa hal? aku nak hisap rokok kat mana pun, suka hati aku la.. aku beli rokok ni pun, pakai duit aku.. bukan duit kau.." Lelaki itu mengherdik.
"Aku cakap elok-elok kan? kau nak hisap rokok, itu kau punya pasal.. tapi jangan sampai mengganggu orang lain.. lagipun kat sini kawasan larangan merokok.. kalau kau nak hisap rokok, pergi kat luar, jangan ganggu orang lain.. aku tak kisah pun kau beli rokok tu pakai duit bapak kau sekali pun, tapi jangan menyusahkan orang, ganggu orang lain dengan asap rokok kau tu." Rizal membalas dengan kata-kata yang lebih keras memandangkan lelaki di hadapannya itu sangat kurang ajar.
"Kurang ajar kau!" Lelaki itu mula naik angin dan mencekak baju Rizal.
Namun tanpa disangka, Rizal lantas melayangkan satu tamparan keras ke muka lelaki terbabit. Tangannya yang masih terlekat sisa nasi dan kuah yang dimakannya tadi masih tidak dibersihkan. Hal tersebut menyebabkan wajah lelaki itu turut terpalit dan kotor dengan sisa kuah.
"Rizal!" Melihat adegan tersebut, Amira terperanjat dan turut berdiri. Dia benar-benar tidak menyangka Rizal akan bertindak memukul lelaki di belakangnya itu.
"Blah la bodoh! Kau hisap rokok dalam warung ni, memang takde otak! menyusahkan orang!" Beberapa suara daripada pengunjung warung kedengaran, mengutuk lelaki perokok. Lelaki itu mula merasa malu. Dia juga tidak berani membalas tindakan Rizal kepadanya. Setelah mendapat kecaman daripada ramai orang, lelaki itu tertunduk malu sambil berjalan keluar meninggalkan warung.
"Riz.. kenapa awak tampar dia? Kan salah perbuatan duk pukul orang.. kalau dia buat report polis macam mana?" Amira khawatir. Rizal pula hanya tersenyum.
"Orang buat salah macam tu, mana berani nak buat report polis.. dia yang mulakan dulu.. dah la duk hisap rokok dalam warung ni. Orang tegur elok-elok, dia pulak bercakap kurang ajar.. memang patut kena ajar la.." Rizal cuba menenangkan Amira. Dia tahu Amira risau jika hal pergaduhan tersebut menjadi lebih teruk jika dilaporkan kepada pihak polis kerana dirinya yang mula menyerang terlebih dahulu. Namun sebagai lelaki yang sudah terbiasa menindas orang dengan kekuasaannya selama ini, Rizal langsung tidak gentar. Padahal dirinya dahulu sering memukul orang yang lebih rendah kedudukan mereka. Pekerja-pekerja kelas bawah sering dianggap hina dan layak dipukul. Malah sebelum ini, tiada seorang pun daripada mangsanya pernah berani melaporkan perbuatannya kepada pihak berkuasa. Kedudukannya sebagai anak jutawan korporat yang disegani menyebabkan orang lain ketakutan.
"Lain kali jangan duk guna kekerasan.. jangan duk bergaduh kalau bukan untuk pertahankan diri." Amira memberikan nasihat. Dia tidak suka sahabatnya itu terlibat dalam keganasan dan bertindak keras kepada orang lain.
"Saya ajar orang yang buat salah pun tak boleh ke?"
"Yalah.. yalah.. dah, cukup setakat ni je.. tak payah dah nak cari gaduh. Orang tu pun dah pergi.." Amira tidak ingin memanjangkan isu. Gadis itu kemudian menatap Rizal.
"Hmm, bagus jugak awak ni.. saya tak pernah tengok awak hisap rokok.. awak memang tak merokok kan?" Amira tiba-tiba bertanya.
"Ah, saya mana pernah hisap rokok.. saya hisap cerut je.." Rizal menjawab dengan jujur. Bagi orang berkelas tinggi sepertinya, Rizal memang memandang rendah kepada orang yang menghisap rokok. Bagi Rizal dan golongan atasan sepertinya, mereka hanya menghisap cerut yang berkualiti tinggi dan mahal harganya. Menghisap cerut sudah menjadi lambang identiti kepada golongan sepertinya ketika mereka bertemu sesama mereka untuk menunjukkan kekayaan.
Namun, mendengar jawapan Rizal, Amira hanya tertawa. Gadis itu menyangka Rizal sedang berjenaka. Mana mungkin seorang pekerja kebersihan yang hidupnya melarat mampu untuk mendapatkan cerut.
Keluar dari warung, azan zohor mula berkumandang. Suara muadzin yang lantang bergema dari corong pembesar suara masjid tertangkap di indera penderangan sekalian makhluk yang berdekatan. Tidak terkecuali juga Rizal, Amira dan Anas yang baru selesai makan. Melihatkan Amira dan Anas yang diam sambil terkumat kamit menjawab seruan azan itu, Rizal turut mendiamkan diri. Panggilan azan yang mendayu-dayu itu seakan menjentik hati Rizal. Selesai azan dilaungkan dari muadzin, Amira lantas memandang ke arah Rizal dan Anas.
"Dah masuk waktu solat ni, lebih baik kita pergi solat dulu kat masjid tu.. dah selesai solat baru kita pergi cari barang.." Amira memberi saran. Anas dan Rizal mengangguk. Namun Rizal sebenarnya teragak-agak untuk menuju ke masjid. Dia sudah lama sekali tidak menunaikan solat yang sepatutnya menjadi kewajipan sebagai seorang muslim. Seingat Rizal, kali terakhir dia menunaikan solat adalah ketika dia masih di bangku sekolah. Itu pun dia terpaksa solat kerana mengikuti jadual yang sudah ditetapkan di asrama. Rizal dahulu bersekolah di sekolah berasrama penuh kerana menurut kemahuan bapanya. Walaupun dia bersekolah swasta pada awalnya, namun kerana Rizal begitu cemerlang di bidang akademik, dia ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di sekolah berasrama penuh. Tan Sri Hanafi yang ingin anaknya itu hidup berdikari memaksa Rizal untuk menerima tawaran tersebut.
Di sana, Rizal terpaksa mengikuti jadual yang telah ditetapkan dan bersolat di awal waktu secara berjemaah. Namun setelah melanjutkan pengajiannya ke luar negara, Rizal mula meninggalkan solat dan sama sekali tidak pernah menunaikan kefardhuan tersebut. Hidupnya yang terlalu bebas ketika berada di negara barat telah membuatkan Rizal semakin liar dan suka berfoya-foya sehingga lupa kepada agama. Bahkan ketika bulan puasa pun, Rizal sering kali meninggalkan ibadat tersebut dan hanya berpura-pura berpuasa di depan ibubapanya.
Kini dia tidak mampu untuk menolak ajakan Amira dan Anas. Mahu atau tidak, dia terpaksa mengikuti mereka menuju ke masjid. Tiba di pekarangan masjid, Amira mula berpisah dan menuju ke arah ruang solat wanita. Rizal dan Anas pula menuju ke arah pintu masuk ke ruang solat lelaki. Ketika mengambil wudhuk, Rizal masih ragu-ragu. Dia seakan kekok untuk membasuh anggota badannya yang perlu dibersihkan.
Menginjakkan kaki ke ruang solat, hati Rizal menjadi sayu. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia merasakan demikian. Ketika iqamat dibacakan, hati Rizal gementaran. Dia takut untuk menghadap Illahi. Dia tahu dirinya selama ini penuh dengan dosa. Hidupnya sentiasa bergelumang maksiat. Rizal bahkan merasa dia tidak layak untuk berada di rumah Allah itu. Dirinya terlalu kotor untuk tunduk kepada Tuhan. Ketika ini, Rizal mula menitiskan air mata. Dia benar-benar menyesal dengan segala perbuatan dosanya selama ini.
Disaat para jemaah sudah mula membentuk saf untuk solat, Rizal masih berdiam diri ditempatnya sambil tertunduk dan menangis. Anas yang menyedari keadaan Rizal yang masih tidak bergerak untuk menuju ke saf segera mendekati lelaki tersebut.
"Bang Riz, jom la solat.. orang dah iqamat tu.." Anas menyentuh lembut bahu Rizal. Sentuhan daripada Anas itu menyedarkan Rizal dari lamunannya. Dengan senyuman hambar kepada Anas, Rizal mula bergerak bersama remaja tersebut untuk turut serta di dalam saf para jemaah.
'Ya Allah, ampunilah segala dosaku.. berikanlah aku hidayah dan pertolonganMu.. bawalah aku ke jalan yang benar, jalan yang diredhai oleh Mu.' Rizal mengungkapkan doa di dalam hatinya sebelum dia memasang niat dan mengangkat takbir untuk memulakan solat.
"Allahuakhbar!"
Share this novel