LAMPU biru yang terdapat di atas kenderaan peronda sedikit menyilaukan mata Amira. Setelah kereta dihentikan di tepi jalan, dua orang anggota polis segera turun dan mendekati wanita yang hampir dinodai itu.
"Kenapa ni? apa yang dah jadi?" tanya salah seorang anggota polis kepada Amira.
"Orang tu.. dia.. serang saya.. tadi.. kawan dia cuba nak ambil kesempatan kat saya.." Amira menjawab dengan tercungap-cungap. Dia kelelahan setelah berlari kuat sebentar tadi. Malah dirinya kini juga sudah tidak berdaya apabila dipukul dengan kuat oleh lelaki yang mengejarnya.
"Lailahaillallah... macam mana dengan awak sekarang? awak okey ke?"
"Saya.. tak apa-apa.. nasib baik encik sempat lalu kat sini.." Amira cuba mengatur nafasnya agar percakapan dan pernafasannya lebih teratur. Beberapa kali nafas panjang di hela dan ditahannya seketika sebelum dihembus kembali. Telapak tangan kanannya diletakkan di dada. Amira cuba merasakan degupan jantungnya yang masih laju.
"Tapi.. apa awak buat kat sini malam-malam buta ni? kat mana rumah awak?" Anggota polis itu bertanya lagi. Dia ingin memulakan soal siasat terhadap Amira memandangkan terdapat keraguan pada wanita tersebut. Pertanyaan tersebut membuatkan Amira termenung seketika. Dia tidak pasti bagaimana untuk menjawab pertanyaan dari anggota polis itu. Tidak mungkin untuk dia mengatakan jika dia sudah lari dari rumah.
"Saya.. saya nak balik kampung.. tapi saya tak tahu macam mana.." Amira teragak-agak untuk menjawab. Wanita itu kemudian bangkit berdiri setelah nafasnya terasa mulai stabil dan kembali normal. Anggota polis yang melihat Amira sehelai sepinggang menjadi semakin ragu. Wajahnya terlihat bersih namun pakaian comot dan kotor.
"Nak balik kampung kat mana? boleh saya tengok IC?" Anggota polis yang curiga mula meminta kad pengenalan diri wanita itu. Amira pula terpinga-pinga. Dia tidak tahu bagaimana untuk menjawab pertanyaan tersebut.
"Aaa.. IC saya hilang.. beg saya kena rompak. IC duk dalam tu.. sebab tu sekarang saya susah nak balik kampung.. nak beli tiket bas pun takde duit." Amira terpaksa berbohong untuk menutup rasa curiga pegawai penguatkuasa berkenaan.
"Kena rompak? habis tu, awak tak buat report polis?" tanya anggota polis itu lagi. Amira hanya menggelengkan kepala. Di dalam hatinya, dia tidak putus beristighfar. Dia sangat menyesal kerana sudah berbohong. Namun dia merasakan dia harus berbohong ketika itu demi untuk tidak membongkarkan identitinya.
Amira yakin Rizal dan Tan Sri Hanafi pasti sudah membuat laporan polis dan telah mengupah beberapa orang penyiasat untuk mencari keberadaan dirinya. Jika dia berkata jujur kepada anggota polis tersebut, sudah pasti dirinya sebagai menantu Tan Sri Hanafi akan terbongkar. Lebih teruk, dia mungkin akan diheret dan dipaksa untuk kembali ke rumah keluarga suaminya itu.
"Habis tu, sekarang awak tinggal kat mana?" anggota polis itu menatap Amira.
"Takde kat mana-mana.. saya cuma nak cari cara untuk balik kampung je.." ujar Amira sambil tersengih.
"Jadi, awak tidur kat mana?"
"Tadi saya tidur kat lorong belakang bangunan tu.. itu yang orang tadi datang kacau saya.." Amira kembali menjawab dengan jujur.
"Lailahaillallah.. patut la pun.. awak tu orang perempuan.. jangan duk tidur sembarangan.. tidur merata.. tempat macam ni memang tak selamat.." Anggota polis itu menggelengkan kepala sambil memberikan nasihat.
"Tapi.. tadi saya dah cuba nak tidur kat surau.. tapi penjaga surau tu halau. tak bagi saya tidur kat sana.."
"Dah.. sekarang lebih baik awak ikut kami je.. kami bawa duk kat balai dulu.. awak rehat je kat sana.. kalau nak tidur pun, tidur je dulu kat sana.."
"Eh, encik nak masukkan saya dalam lokap ke?" Amira sedikit cuak.
"Eh, budak ni.. saya nak awak berehat kat balai polis je sebab lebih selamat.. awak tu perempuan.. bukan saya nak tangkap, masukkan awak dalam lokap. tapi kalau awak nak merasa masuk lokap, saya boleh bagi peluang.. nak ke?" seloroh anggota polis tersebut sambil dirinya tertawa kecil.
"Err.. tak nak.." Amira tersengih sambil menggelengkan kepala.
"Dah.. jom naik kereta.. kami bawa awak pergi tempat selamat sikit.. jangan duk tidur tempat macam ni, bahaya.." ujar anggota polis itu lagi. Mereka pun mula melangkah, bergerak menuju ke kereta peronda polis.
Baru sahaja Amira membuka pintu belakang kereta peronda tersebut, dia langsung mendengar salah seorang anggota polis berkenaan, yang menjadi pemandu kereta tersebut sedang menghubungi rakan mereka melalui walkie talkie.
"Cuba siasat, ada laporan orang hilang.. perempuan, melayu.. umur dalam dua puluhan.."
Mendengar ucapan anggota polis tersebut, Amira lantas menjadi cemas. Dia khawatir jika terdapat laporan daripada Rizal atau Tan Sri Hanafi mengenai kehilangan dirinya.
"Masuklah.." anggota polis di sebelahnya mempelawa Amira untuk masuk ke dalam kereta peronda. Amira hanya tersenyum sambil mengangguk. Dia hanya menunggu masa yang sesuai untuk bertindak. Walaupun pintu kereta sudah dibukanya, namun Amira masih berdiri kaku dan tidak masuk ke dalam kereta. Setelah anggota polis tersebut masuk ke dalam kereta terlebih dahulu, Amira segera melarikan diri dan meninggalkan pintu kereta di bahagian belakang terbuka. Dia tekad untuk tidak akan kembali ke rumah keluarga suaminya. Jika dia mengikuti polis tersebut, sudah pasti identitinya akan segera di ketahui dan dirinya akan dipaksa untuk kembali semula kepada keluarga suaminya.
"Eh, nak kemana pulak tu? heii!!" Jerit anggota polis setelah menyedari Amira melarikan diri.
"Macam mana? nak kejar ke?" tanya sahabatnya di sebelah.
"Hmm.. biar je la.. kejar pun buat letih kita je.. kita bukan dapat apa pun.. dah dia yang tak nak ikut, suka hati dia la.. kalau jadi apa-apa kat diri dia nanti, padan dengan muka.." anggota polis itu membalas kepada temannya. Dia hanya turun kembali dari kereta dan menutup pintu belakang yang ditinggalkan terbuka oleh Amira. Perasaannya penuh kesal terhadap wanita itu. Padahal sebagai anggota penguatkuasa, dia sudah berusaha untuk menyelamatkan perempuan tersebut. Namun perempuan itu sendiri yang menolak dan melarikan diri. Sebagai penjawat awam yang hanya menunggu masa untuk pencen, dia tidak mahu membebankan diri dan fikirannya dengan masalah sedemikian. Dia hanya mahukan ketenangan dan masa untuk bersama keluarganya.
Share this novel