"Tengku Eidlan, bermalamlah dengan anak saya. Tengku boleh tengok sendiri yang dia calon isteri terbaik untuk Tengku."
Seorang wanita dengan berani menolak anak gadisnya ke arah Tengku Eidlan, sebaik sahaja lelaki itu melintasi mereka.
Suasana yang sebelum ini meriah dengan perbualan dan gelak tawa tiba-tiba menjadi senyap. Semua mata tertumpu kepada mereka bertiga, wanita itu, anak perempuannya yang menundukkan wajah dengan malu, dan tentu saja, Tengku Eidlan, lelaki yang menjadi tumpuan utama malam ini.
Eidlan berhenti sejenak, kepalanya sedikit condong sebelum bibirnya mengukir senyuman sinis. "Tak sangka pula anak kamu bekerja di kelab malam… Maaf, tapi saya tidak mencari isteri di sana."
Nada suaranya tenang, tetapi cukup tajam untuk membuat si ibu tergamam. Wajah wanita itu berubah merah, sama ada kerana malu atau marah, dia sendiri tidak pasti. Namun, sebelum sempat dia memberi sebarang reaksi, Eidlan sudah pun melangkah ke tepi dan meneruskan jalannya, mengabaikan mereka sepenuhnya.
Dia baru tiba tidak sampai tiga minit, dan ini sudah kali kedua dia dipaksa berdepan dengan situasi serupa. Sejak khabar angin tersebar bahawa dia sedang mencari isteri, malam-malamnya sering dihujani dengan cubaan ibu-ibu yang mahu menolak anak gadis mereka kepadanya, berharap salah seorang akan terpilih.
Dan dalang di sebalik semua ini? Tak lain tak bukan, raja yang licik dan gemar mempermainkan sahabatnya sendiri.
Sudah tentu para wanita begitu mudah percaya. Gelaran Tengku, kekayaan, dan kuasa yang dimilikinya menjadikan dia sasaran utama. Namun bagi Eidlan, semua itu hanyalah satu beban.
Sebagai pewaris tunggal keluarganya, dia memiliki tanah dan harta yang tidak terkira banyaknya. Kedudukannya setanding seorang raja, dan dengan hubungan rapatnya bersama raja sebenar, hampir tiada apa yang mustahil baginya.
Namun, di sebalik segala keistimewaan itu, dia dikenali sebagai lelaki yang licik dan berbahaya. Mereka yang bijak pasti akan berhati-hati sebelum cuba bermain dengannya. Tetapi seperti biasa, apabila wang dan kuasa menjadi taruhannya, orang ramai dengan mudah melupakan sejarah gelapnya.
"Tengku Eidlan dah sampai."
Bisikan halus bergema sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam majlis yang dianjurkan oleh seorang Dato’. Dalam sekelip mata, hampir semua tetamu mencuri pandang ke arahnya, tertarik dengan kehadirannya yang sentiasa menjadi perhatian.
Eidlan menarik nafas panjang, sudah dapat meneka bagaimana malam ini akan berakhir.
"Asyik-asyik benda yang sama," desisnya dalam hati. Walaupun langkahnya tetap tenang, keengganannya jelas tergambar di wajahnya.
Dia dapat merasakan tatapan penuh harapan dari para gadis yang baru sahaja tamat belajar menguruskan rumah tangga. Ibu bapa mereka pula tidak akan melepaskan peluang untuk memperkenalkan anak-anak gadis mereka, berharap salah seorang akan menarik perhatiannya.
Udara dalam majlis semakin menyesakkan. Suasana yang dipenuhi keinginan mereka untuk mendapat suami menjadikan ruang terasa lebih panas dan tidak selesa. Eidlan melonggarkan kolar bajunya sedikit, lalu melirik ke arah meja minuman di sudut ruangan.
Dia perlukan sesuatu yang sejuk, sekurang-kurangnya untuk menenangkan dirinya sebelum kesabarannya semakin berkurang.
Tengku Eidlan masih tertanya-tanya mengapa dia bersetuju untuk menghadiri majlis ini. Sejujurnya, dia tidak pernah peduli tentang Dato' Danial Ghaffar, lelaki yang kini berdiri di ambang kehancuran namun masih berlagak seolah-olah segala-galanya masih berada dalam genggamannya.
Rumah tangganya hampir musnah. Nama keluarganya semakin pudar. Dan sekarang? Dia mengadakan sebuah majlis yang cukup mewah, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
Apakah dia mahu mempercepatkan kehancurannya sendiri?
Eidlan melangkah masuk ke dalam dewan yang dihiasi dengan lampu kristal yang bergemerlapan, lantai marmar yang memantulkan cahaya, serta tetamu yang berpakaian serba mewah. Namun, di sebalik semua kemegahan ini, Eidlan melihat sesuatu yang lebih jelas, kebohongan yang terjalin dalam senyuman pura-pura dan perbualan kosong.
Dan akhirnya, muncullah lelaki yang menjadi punca kehadirannya di sini.
"Tengku Eidlan."
Dato' Danial menyapanya dengan nada yang dibuat-buat mesra.
Eidlan mengangkat pandangan, meneliti lelaki itu yang kini melangkah menghampirinya. Rambutnya disisir kemas ke belakang, dan dia mengenakan sut hitam dan putih yang sepadan dengan helaian rambutnya, hitam dengan tompokan putih di sana sini.
Eidlan tidak terlepas daripada menyedari bagaimana Dato' itu menyebut namanya, seolah-olah dia seorang gadis muda yang sedang membuat kemunculan pertamanya dalam sebuah majlis tari-menari.
"Dato'," balasnya ringkas, nada suaranya hambar.
"Terima kasih kerana sudi menghadiri majlis saya," ujar Dato' Danial, matanya sedikit bersinar.
Dia sendiri terkejut dengan kehadiran Tengku Eidlan. Sejujurnya, sejak awal majlis, dia hampir hilang kewarasan dengan segala soalan yang bertubi-tubi daripada tetamu, semuanya hanya bertanyakan tentang satu perkara:
"Benarkah Tengku Eidlan akan datang?"
Dato' Danial memastikan khabar tentang kehadiran Tengku Eidlan tersebar luas sebelum majlis bermula. Dia tahu, hanya dengan itu dia mampu menarik perhatian tetamu yang datang.
Namun, sebelum Dato' Danial sempat meneruskan bicaranya, suara Tengku Eidlan memotong, tajam dan langsung tidak terpengaruh dengan suasana mesra yang cuba dicipta.
"Tak perlu berbasa-basi, Dato'. Kau tahu sebab aku darang. Tak macam Raja, aku bukannya bodoh nak percaya kau betul-betul ada maklumat yang aku cari."
Wajah Dato' Danial sedikit berubah.
Tengku Eidlan tidak datang ke sini untuk bersosial. Dia sedang menyiasat kes kehilangan beberapa wanita muda, dan jika benar maklumat itu wujud, ia mungkin berada di rumah ini.
Dato' Danial mendakwa dia memiliki sesuatu yang penting untuk disampaikan, tetapi Tengku Eidlan tidak mudah diperdaya. Sejak awal lagi, dia sudah melihat muslihat lelaki itu.
Dato' Danial menelan liur sebelum memulakan bicara, cuba mengawal keadaan. "Mestilah, Tengku. Tapi takkanlah aku tak pelawa minuman dulu? Maaf cakap, tapi kau nampak macam berpeluh teruk."
Dia melirik ke sekeliling, tertanya-tanya sama ada perlu membuka lebih banyak tingkap untuk menyejukkan suasana.
Namun, sebelum dia sempat berkata lebih lanjut, Tengku Eidlan bertindak. Dalam sekelip mata, tangannya mencengkam leher Dato' Danial dengan kekuatan yang bertentangan dengan ekspresi tenangnya.
"Aku bukan datang untuk minum, bodoh."
Kata-kata itu meluncur keluar dengan nada perlahan dan mendatar, namun ancamannya jelas dan tidak dapat disangkal.
Seluruh dewan tiba-tiba sunyi.
Suara perbualan yang memenuhi ruang sebentar tadi terhenti. Semua mata kini tertumpu kepada mereka.
Namun, Tengku Eidlan tidak peduli.
"Aku tak suka buang masa. Kalau kau panggil aku datang sini semata-mata nak hiburkan tetamu kau. Aku akan pastikan kau hancur esok.”
Dato' Danial tergagap, cuba menarik nafas yang semakin tersekat.
Matanya membulat, wajahnya bertukar pucat apabila tubuhnya sedikit demi sedikit terangkat dari tanah. Cengkaman di lehernya terlalu kuat, menghalangnya daripada bernafas dengan sempurna.
Dia pernah mendengar khabar angin tentang betapa kejamnya Tengku Eidlan.
Tetapi dia tidak pernah menyangka khabar angin itu benar.
Dato' Danial cuba menelan liur, cuba meronta, cuba melakukan sesuatu, tetapi semuanya sia-sia. Jari-jari kuat yang menahannya tidak berganjak walau sedikit.
"A-Ampun...!"
Tengku Eidlan tidak menunjukkan sebarang reaksi.
Sebaliknya, genggamannya semakin mengetat.
"Ampun?" Nada suaranya penuh sindiran. "Bunyinya macam kau tak ada maklumat untuk aku je? Hmph. Lelaki tua dan lemah macam kau ni, senang je kalau aku nak patahkan leher kau."
Tengku Eidlan menghampiri, membisikkan sesuatu tepat di telinga Dato' Danial, suaranya dingin seperti maut yang menanti di sudut bilik.
“Kau rasa ini cukup buat tetamu kau terhibur?”
Nafas Dato' Danial tersekat-sekat, tubuhnya menggeletar apabila hembusan nafas dingin Tengku Eidlan menyentuh kulitnya. Rasa takut mencengkamnya erat, menusuk hingga ke tulang.
“A-Aku ada maklumat! Sumpah! A-ada kat tingkat atas.”
Share this novel