Bab 3

Family Series 4688

- Bagaimana seorang mak tergamak berkata begitu kepada seorang anak yang sangat baik dan patuh? -

SUDAH 8 bulan lebih usia perkahwinan Syawal dan Liya, namun Syawal sering tertunggu-tunggu akan berita gembira yang dinanti. Perlahan dia pergi ke meja solek dan membuka salah satu laci. Alangkah terkejutnya dia, dia terlihat ada beberapa papan ubat perancang kehamilan.

“Sayang…” Terus berhenti ayat Liya bila Syawal memegang ubat perancang kehamilan. Laju saja dia terus memeluk Syawal dari belakang.

“Kenapa tak bincang dengan saya, Liya?”

Liya terdiam lama. Dia mahu menyusun ayat.

Keluhan Syawal membuatkan Liya takut. Suaminya bukan seorang yang pemarah. Malah, lembut sangat hatinya.

“Saya tak bersedia lagi. Saya tak nak anak kita dibesarkan dekat sini dengan suasana macam ni. Saya nak awak faham saya,” kata Liya dengan lirih. Siapa saja yang tak nak ada anak, namun bila melihat keadaan dia dan Syawal yang habis dibuli di rumah ini. Tentu saja mempunyai anak perlu ditangguhkan.

“Saya minta maaf sebab awak terpaksa harungi kesusahan ini dengan saya. Tahan sikit lagi okey. Lepas setahun kita tengok macam mana.”

Liya yang masih memeluk Syawal dari belakang hanya mengangguk.

“Terima kasih sebab selalu utamakan saya. Saya akan sentiasa dengan awak dan akan doakan yang baik untuk kita berdua,” kata Liya dengan suara yang sebak.

“Liya!” Jeritan dari luar membuatkan kedua-duanya tersentak. Laju saja Syawal terus keluar dari bilik.

“Kenapa mak?”

“Bini kau sambung tidur ke?” tanya Puan Kamsiah dengan nada sinis.

Syawal menggeleng dan Liya keluar dari bilik. Bengang saja Liya dengan Puan Kamsiah ini. Kalau ikutkan hatinya mahu saja dia menjawab.

“Tak kerja ke Syawal?” tanya Puan Kamsiah.

“Nak pergilah ni. Tadi ambil kunci motor.” Syawal tunjuk kunci motosikal ke arah Puan Kamsiah.

“Saya pergi dulu sayang. Apa-apa call saya tau. I love you.” Syawal mencium dahi Liya dan salam Puan Kamsiah.

Berlalu saja Syawal. Terus saja Puan Kamsiah bersuara. “Tadi kat meja makan Liya tak ada. So, Syahrul call bagitahu yang bulan puasa ni, sebulan keluarga Syahrul akan duduk di sini. Kesian dengan Jes, sebab nak kena handle semua benda. Kalau dorang kat sini, ringan sikit beban dorang.”

Ternganga mulut Liya. Ini namanya bencana. Terus saja jantungnya berdegup laju menandakan dia tidak suka dan tahu apa akan jadi nanti.

“Liya tolong kemaskan bilik Syahrul kat atas tu. Toilet pun jangan lupa cuci sebab Syazana ada cakap tadi dia mintak tolong.” Lembut saja pertuturan Puan Kamsiah kepada Liya.

Terus saja Puan Kamsiah berlalu pergi dan Liya sudah penat sebelum membuat kerja lagi. Tentu saja dia akan dibuli dengan lebih teruk.

“KAM, kau memang tak nak guna maid ke? Laki aku boleh tolong kau cari maid yang bagus,” kata Puan Ayu iaitu sahabat baik Puan Kamsiah merangkap jiran.

Tergelak Puan Kamsiah sambil gelengkan kepala. “Tak perlu kut. Sebab wife si Syawal boleh buat semua tu.”

Puan Ayu terkejut. “Sorang? Dengan rumah besar macam ni?”

Anggukkan Puan Kamsiah terlihat bangga. “Dia bukan buat apa pun. Kerja pun tak. Suri rumah. Free je masa dia. Rumah ni bukan ada budak kecik. Tak ada apalah.”

“Isy, isy. Untung kau dapat menantu macam tu. Aku fikir Syawal tu datang kadang-kadang je dengan wife dia. Sebab jarang nampak. Dorang stay sini ke?”

“Ya.” Angguk Puan Kamsiah.

“Lagipun, biarlah Syawal tu berbakti sikit dengan aku. Aku ni mak dia. 9 bulan aku mengandungkan dia, makan, pakai, belajar dia semua aku tanggung. Takkan dah kahwin terus lepas tanggungjawab dia. Aku memang tak biasa tak ada Syawal,” kata Puan Kamsiah.

Puan Ayu hanya mengangguk walaupun dia tidak bersetuju. Kasihan sungguh menantu Puan Kamsiah, kata Puan Ayu dalam hati.

LAMA Liya memandang ubat di tangannya. Kasihan dia pada Syawal yang sememangnya mahukan zuriat. Suaminya sangatlah baik sehingga senang dibuli. Liya punya perancangan, sikit lagi saja rancangannya akan berjaya.

Mak mertuanya terlalu pandang enteng terhadapnya. Telefon pintar di tangan dipandang sambil tersenyum. Sudah empat bulan lebih dia menjadi dropshipper. Sememangnya sangat lumayan pulangannya jika rajin.

“Aku tengah pasang bom jangka je ni mak. Tolonglah jangan diuji Liya yang sedang menjadi penyabar ni.”

TERSENYUM Liya melihat baki akaun banknya. Setakat ini rancangannya berjaya untuk mengumpul duit. Syawal banyak membantunya untuk mencari pelanggan. Liya menjadi dropship dengan menjual pelbagai jenis barangan daripada segala jenis tudung, kasut, makanan, dan produk kecantikan.

Liya juga menyimpan sedikit duit daripada pemberian suaminya untuk menjadi simpanan mereka bersama.

Pintu bilik dibuka dari luar membuatkan Liya terkejut dan terlihat wajah kegembiraan Syawal. “Sayang!” panggil Syawal.

“Terkejut saya sayang,” kata Liya sambil menyapu dada.

Syawal terus memeluk Liya dengan erat. Liya seperti termangu-mangu akan kelakuan suaminya yang sangat gembira.

“Kenapa ni? Jackpot ke apa?” tanya Liya.

Syawal pandang mata Liya dan tersenyum gembira. “Alhamdulillah sayang. Berkat doa dan kesabaran awak, kita dapat rezeki lebih.”

Liya senyum.

“Saya dapat naik pangkat dan company dah buat adjustment untuk gaji saya. Naik banyak sayang. Dapat bonus lagi. Alhamdulillah nak masuk bulan Ramadan lagi ni. Terima kasih sayang,” kata Syawal dengan nada bersyukur. Dia tahu isterinya sangat terseksa di rumah ini.

Bukan dia mahu menyeksa isterinya, namun dia sakit hati setiap kali emaknya selalu mengungkit tentang perbelanjaan yang emak dia keluarkan semasa dia belajar. Namun, dia pendam. Manakan tidak itukan emak.

Pelukan bertambah erat. “Alhamdulillah sayang. Alhamdulillah.”

Mereka berdua duduk di birai katil. Liya seperti terfikirkan sesuatu dan membuka pintu bilik sambil menjenguk ke luar memastikan tiada siapa di luar bilik.

“Kenapa?” tanya Syawal.

Liya duduk di sebelah Syawal sambil menggeleng. “Sayang, saya nak mintak sesuatu dengan awak.”

Syawal mengangguk.

“Boleh tak awak rahsiakan pasal kenaikkan gaji awak ni daripada emak. Awak bagi je duit bulanan macam biasa dekat mak. Tapi jangan bagitahu, boleh?” kata Liya menyusun ayat bagi tidak mengecilkan hati suaminya.

Lama Syawal mendiamkan diri. “Tak salah ke sayang? Maksud saya dari sisi agama?”

Liya tersenyum dan memegang kedua-dua belah pipi suaminya. Ya, suaminya anak yang taat. Anak yang baik dan sangat patuh arahan orang tuanya. Dia tidak akan menafikan hak-hak orang tuanya tapi dia akan tunjuk mana yang betul.

“Apa yang sayang bagi kat mak tu pun dah banyak. Bukan kita tak mahu keluar dari rumah ni, tapi mak yang tak bagi. Apa yang sayang bagi sekarang ni pun dah bagus sangat. Saya bersyukur sangat kahwin dengan awak, anak yang soleh kepada orang tuanya. Tapi, kena bertempat ya sayang. Sayang dah ada saya, kita dah kena bina hidup kita sendiri,” jelas Liya.

Syawal mengangguk tanda faham.

“Kita kekal macam biasa dengan perbelanjaan kita. Bayar apa patut, cuma kita akan menyimpan lebih buat masa depan kita. Saya sendiri pun dah buat tabung untuk kita,” tambah Liya lagi sambil tersenyum memandang suaminya yang setia dengannya.

“Oh, saya masa dapat tahu gaji naik saya dah niat nak belikan awak hadiah. Tapi awak tahulah saya tak pandai beli hadiah. Nanti awak bagitahu awak nak apa. Dan, saya dah niat nak naikkan duit nafkah kat awak,” kata Syawal sambil erat genggam tangan Liya.

Menitis air mata Liya dengan niat suaminya. Ya, dia bertahan di rumah ini hanya kerana suaminya. Dia kuat hanya kerana suaminya.

Tok! Tok! Tok!

Pintu bilik diketuk. Syawal membuka pintu dan jelas wajah Syazana di hadapan pintu.

“Alihkan motor abang. Kejap lagi Abang Syahrul sekeluarga sampai takut tak muat pulak kereta dia nak masuk kat garaj,” arah Syazana dan berlalu pergi.

“Okey,” balas Syawal dan terus saja mengambil kunci motosikalnya.

Menyirap je Liya dengan Syazana punya perangai. Tetapi, Syazana patah balik semula dan memandang Liya. “Akak nanti tolong check balik kat bilik Abang Syahrul, takut ada benda yang tak cukup macam bantal ke apa tau.” Terus saja dia berlalu pergi.

“Biadab…” Perlahan perkataan itu keluar dari mulut Liya.

“KENAPA mak?” tanya Syawal dengan lembut. Puan Kamsiah memanggilnya untuk berjumpa dengannya di ruang luar rumah berdekatan taman mini mereka. Puan Kamsiah meminta Syawal duduk berhadapan dengannya.

“Ada apa-apa ke Syawal sorokkan daripada mak?” tanya Puan Kamsiah dengan nada lembut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience