BAB 2

Thriller Series 2474

"NAIKLAH bang Seman. Lama dah Teratai tunggu, " sahut Teratai tersenyum manis depan pintu. Seman yang baru turun dari motor vespa tersengih-sengih kegatalan. Maklumlah bini tiada di rumah sejak-sejak Tuan D.O Stephen balik Amerika sekejap.

"Dah memang takde pelanggan lain ke, Teratai? Abang tak ganggu ke?" tanya Seman lebih kepada berpura-pura saja.

"Semua dah balik dah bang Seman, oi...naik sajalah," jawab Teratai anggun berkebaya renda kuning kunyit berkain batik ketat mempelawa suami orang itu untuk naik.

"Abang ni bukan apa, dua-tiga hari ni asyik lenguh-lenguh pula, "jawab Seman tanpa memberitahu hal sebenar. Dia bukan sekadar nak urutan buang angin tapi batin sekali.

" Hah...eloklah sangatlah tu bang Seman. Alang-alang Teratai tak berapa nak sibuk ni, " sahut Teratai setelah lelaki berbaju melayu dan pelikat itu naik ke atas rumah.

"Abang duduk dulu. Biar Teratai ke dapur bancuh air. Sebelum proses mengurut kenalah minum air akar-akar kayu dahulu."

"Molek juga," sahut Seman setelah duduk atas kerusi rotan yang cuma ada sebuah itu, saat yang sama hidungnya terhidu satu bau asing cuma segan nak bertanya saja.

Seman memang tahu, rumah pusaka dukun jelita itu tak banyak perabot.

"Duduk dulu, ya. Kalau nak baca akhbar semalam, ada tu hah..." Sempat lagi Teratai berkata sambil memuncungkan bibir merahnya ke meja rotan. Ada lipatan akhbar bertulisan jawi.

"Yelah Teratai sayang oi..."

"Hah? Apa dia?" tanya Teratai langsung tak jadi buka langkah. Dia berpaling semula ke belakang.

"Takde apa. Bila masanya abang bercakap, " dalih lelaki lewat lima puluhan itu menyengih sambil angkat akhbar dari permukaan meja.

"Yelah. Teratai ke dapur dulu. Langkah kanan abang ada kuih seri muka..." ujar Teratai lalu melangkah ke dapur dengan lenggok perlahan. Kain batiknya berayun mengikut setiap langkah. Bunyi gelang perak di pergelangan tangannya berdenting halus, seakan berbisik sesuatu yang sukar ditafsir.

'Makin lama makin berseri-seri abang tengok. Badan pun...hmm...' Hati geram Seman berujar nakal sama nakal dengan tujahan matanya ke lenggok punggung.

'Kenapalah sehingga sekarang kau tak kahwin-kahwin? Abang ajak nikah tak hendak. Kalau tak, kan tak perlu mengurut orang lagi. Urut saja abang ni...' tambah orang tua miang itu lagi. Tak padan dengan isteri dekat rumah dan anak berderetnya.

"Hai lah Teratai. Tak rasa sunyi ke sayang abang ni?" soalnya lalu laju berpaling belakang bila tiba-tiba tengkuk terasa geli terkena senereh benda halus macam rambut. Tapi tak ada apa-apa pun.

Di dapur, asap nipis berkepul dari periuk tanah yang sedang merenih rebusan akar seruntun, halia hutan dan sedikit daun senduduk. Bau herba yang hangit-manis itu memenuhi ruang.

Teratai membuka tudung saji, menambah secubit serbuk rahsia dari botol kaca kecil. Warnanya coklat gelap pekat seperti darah yang sudah kering. Bibirnya tersenyum nipis.

“Kalau betul-betul nak hilang lenguh, biar air ni ‘masuk’ dulu... baru terasa mujarabnya,” bisiknya perlahan pada diri sendiri.

Di ruang depan, Seman sempat menjeling ke arah sudut rumah yang penuh dengan gantungan tangkal, limau purut kering dan botol berisi minyak kuning keemasan. Entah kenapa, bulu romanya sedikit menegak. Tapi nafsu dan rasa ingin tahu mengatasi segala rasa curiga.

Tak lama kemudian, Teratai muncul semula. Tangan menatang dulang tembaga berisi cawan tanah liat yang mengepulkan wap. Senyumnya masih sama, tapi matanya redup.

“Minum dulu bang Seman... biar darah tu mengalir elok,” katanya lembut sambil menyuakan cawan itu.

Seman menyambutnya. Sempat lagi ibu jarinya belai-belai kekura wanita anggun tapi misteri itu. Teratai tersenyum simpul.

"Minumlah. Ni, ada kuih seri muka. Teratai yang buat. Abang Seman rasalah..." pelawa Teratai dan duduk di kerusi kayu hadapan Seman.

"Teratai tak minum sekali?"

Soalan itu mendapat senyuman bersama gelengan sebagai jawapan. Barulah Seman meneguk perlahan. Pahit tapi hangatnya meresap sampai ke dada.

"Kenapa bang?" tanya Teratai tatkala terperasan muka berkerut-kerut itu.

"Pahit..."

"Air akar kayu, bang. Memanglah rasa pahit sikit. Tahanlah kalau nak sihat, " ujar Teratai mendalam maknanya.

Teratai bangun. Berjalan arah belakang. Seman ketika itu, masih ralit mengunyah kuih seri muka.

Setelah tiba belakang kerusi rotan. Jemari tangan dukun jelita itu sudah mula mengusap perlahan di bahu Seman.

“Macam ni, bang... kalau lenguhnya dalam, urut biasa tak cukup. Teratai kena guna cara lama,” katanya dengan suara serak menggoda.

"Teratai nak urut macam mana pun abang rela. Abang memang tahu angin dah banyak masuk badan. Sana-sini sengal-sengal. Mana tahu boleh dapat 'urutan' lain pula,"sahut Seman juga mengandungi makna.

"Bangunlah bang Seman... abang pun dan minum. Mari ikut Teratai ke bilik belakang. Kat sini tak elok sangat.”

“Langkah kanan, bang. Hati-hati ya... jangan pandang belakang. Kalau pandang, nanti rawatan tak menjadi, "pesan Teratai ke tepi cuping Seman.

“Ha, sinilah. Bilik ni warna kuning sebab untuk naikkan seri tubuh. Warna ni serasi dengan darah abang, "terang Teratai menarik tangan suami Saodah itu agar menurutinya.

“Duduk sini atas tilam tu memang sengaja ditaburkan dengan daun pandan."

"Tenang... pejam mata ya, bang... tarik nafas perlahan.”Setelah mereka duduk, Teratai berbisik lagi.

“Macam tu... biar nafas masuk dari hidung, keluar ikut mulut. Lepas tu, biar Teratai urut bagi keluar angin yang tersumbat.”

“Jangan lawan ya, bang. Kalau terasa sejuk di belakang tengkuk, biar saja. Itu angin lama naik keluar,"terang Teratai membaringkan tubuh terkena pukau itu. Baju dah terbuka pun tidak dia sedar.

Teratai mengambil botol minyak pertama. Mulut terkumat-kamit lalu menghembuskannya ke dalam muncung botol. Dituangkan atas telapak tangan berukuran seposen.

“Ni Teratai tekan dulu bahu kiri abang. Perlahan... sampai sendinya terbuka,"ujar suara mendayu Teratai menyapu minyak dan mulai mengurut.

“Sekarang belikat kanan... ha, dengar bunyi tu? Itu tanda urat abang dah mula longgar. Urat kalau keras, darah pun lambat jalan.”

“Tenang saja bang. Teratai sapu minyak ni dulu, minyak dari bunga cempaka dan lengkuas tua. Bau dia kuat sikit tapi ini yang tarik keluar bisa.”

“ Kalau terasa panas, itu ubat mula bekerja. Jangan buka mata ya.”

“Sekarang Teratai gosok dari tengkuk turun ke belakang pinggang... arah kanan... kemudian pusing lawan jam. Angin mesti keluar ikut tapak kaki.”

“Ha... ada rasa denyut? Itu tandanya urat bang Seman hidup balik. Nanti badan rasa ringan.”

“Biar Teratai tekan kuat sikit lagi.”

"Aduh, kuat sangat tu..."

“Shhh... diam saja. Teratai tengah baca penawar. Jangan fikir apa-apa. Kalau ada yang berbisik dalam kepala abang, biar. Itu cuma sisa angin," bisik Teratai sambil beri isyarat pada khadamnya agar tak menganggu kerja dia.

Ibu jari kaki Seman yang berdarah menerima hembusan Teratai. Darah perlahan-lahan berhenti.

“Sekarang dah hampir siap, bang. Tapi jangan buka mata dulu... belum masa. Bila Teratai kata boleh, baru pandang depan.”

“Ha... tenanglah. Biar darah jalan elok-elok dulu. Angin dah keluar. Teratai rasa dalam kain tu pun perlu diurut."

"Bang mahu tak?" Yang ini Teratai langsung berbisik. Seman mengangguk kerana dia benar-benar selesa.

Share this novel

Aisyah Esya
2025-10-28 00:02:44 

teruskan, kami follow

Normaniza
2025-10-27 22:40:31 

Teruskan author.. tak nak jadi mcm novel lama… cerita tergantung

Nora S
2025-10-27 20:36:23 

terus kan author.


NovelPlus Premium

The best ads free experience