Bab 3 - Tagih Simpati

Romance Series 20801

MARYAM dan Irdina berjalan masuk ke dalam wad yang didiami oleh Ishak. Dada Maryam berasa sebak melihat keadaan suaminya yang terlantar sakit di atas katil.

“Ya Allah abang..” suara Maryam bergetar waktu itu.

Irdina turut berasa sebak melihat keadaan ayahnya yang masih tidak sedarkan diri. Timbul rasa menyesal yang teramat sangat waktu itu, kerana dia telah memaksa ayahnya membeli barang-barang persekolahannya yang baru.

“Mak, ayah akan sedar ke? Ayah tak apa-apakan mak?” soal Irdina.

“Insya-Allah, ayah tak apa-apa. Kita doa ayah cepat sembuh ya?”

“Dina menyesal mak. Dina menyesal sangat suruh ayah pergi beli barang sekolah Dina. Kalau ayah tak pergi beli, mesti ayah balik awal kan mak? Ayah pun tak kan accident macam ni.” Irdina mula menangis.

Maryam memeluk erat tubuh badan anak perempuannya. Dia menggosok belakang badan Irdina bagi menenangkan perasaan anaknya itu.

Dua hari kemudian..

ISHAK terjaga dari tidur. Dia memandang keadaan sekelilingnya. Baru dia teringat dia telah mengalami kemalangan jalan raya pada tempoh hari. Matanya terus tertancap ke arah isteri dan anaknya yang sedang lena tidur di kerusi.

“Yam..Yam..” panggil Ishak perlahan.

Maryam dan Irdina terjaga dari tidur. Mereka berdua terus meluru ke arahnya.

“Abang, dah sedar?”

Ishak mengangguk sedikit. Terus sahaja dia memandang ke arah Irdina yang kelihatan muram wajahnya.

“Ayah minta maaf Dina, ayah tak sempat nak bawa balik barang sekolah yang ayah beli malam tu. Mesti dah rosak kan, barang-barang tu?”

“Tak, ayah tak perlu minta maaf. Dina yang patut minta maaf, sebab paksa ayah beli semua barang sekolah Dina. Dina bersalah ayah. Ni semua salah Dina. Sampai kaki ayah kena potong dua-dua belah. Maafkan Dina.” Irdina meraung.

“Ha? Kamu..kamu cakap apa Dina. Kaki ayah dua-dua kena potong?”

“Abang, abang nak minum. Yam ambilkan ya?” Maryam cuba menenangkan suaminya.

“Kaki abang kena potong? Cakaplah Yam, kaki abang kena potong ke?” Ishak meraba-raba kakinya. Patutlah dia merasakan dirinya terasa ringan. Dada Ishak berasa sebak waktu itu.

Maryam cuba memujuk suaminya. Tubuh suaminya dipeluk erat.

“Abang dah cacat Yam. Abang dah cacat. Dua-dua kaki abang dah tak ada. Macam mana abang nak pergi kerja Yam? Macam mana?”

Irdina turut menangis. Dia merasakan dirinya adalah punca semua ini. Jika dia tidak memaksa ayahnya, mungkin ayahnya sudah pulang awal ke rumah.

Tidak lama itu muncul Solihin di muka pintu.

“Ishak,” panggil Solihin.

Ishak memandang Solihin dengan pandangan yang sayu. “Solihin aku dah cacat. Aku lelaki tak berguna. Macam mana lepas ni aku nak pergi kerja? Bos mesti dah tak nak ambil aku bekerja.”

Solihin menghampiri Ishak rakan baiknya. “Sebab tu aku datang ni. Bos suruh aku beritahu kau. Kau dah tak diperlukan lagi kerja dekat tapak bangunan tu.”

Ishak sememangnya sudah dapat mengagak, walaupun Solihin tidak memberitahu kepadanya. Siapa yang mahu mengambilnya bekerja? Lebih-lebih lagi dengan keadaan dirinya yang kudung kedua-dua belah kaki.

 

HARI berganti hari, minggu berganti minggu, sedar tak sedar, sudah dua bulan lebih Ishak kemalangan. Ishak juga sudah dibenarkan pulang ke rumah. Maryam sekarang ini, terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga. 

Sekarang ini Maryam hanya bekerja di kedai runcit dengan gaji sebanyak RM800 sebulan. Itupun tidak mencukupi, kerana dia juga perlu membiayai ubat-ubatan suaminya sebanyak RM400 sebulan. Disebabkan itu juga Maryam terpaksa bekerja lebih masa dengan mengambil upah mencuci pinggan mangkuk di kedai makan, dengan bayaran RM50 untuk 5 jam bekerja.

Maryam akan tiba di rumah dalam pukul 12.30 malam. Nasib baiklah ada Irdina membantu untuk masak makan malam mereka bertiga. Itupun mereka bertiga terpaksa juga mengikat perut. 

Irdina tidur di atas lantai setelah siap membuat kerja sekolahnya. Terasa kepalanya diusap lembut.

“Dina bangun,” panggil Maryam lembut.

Irdina terjaga dari tidur dan melihat maknya sedang tersenyum lemah. Nampak wajah maknya yang kepenatan waktu itu.

“Lambat mak balik hari ni?”

“Tadi ramai sangat pelanggan dekat kedai makan. Orang tak cukup. Bos mak suruh mak buat kerja lebih masa. Ayah buat apa? Tidur ke?”

“Ha'ah, ayah dah tidur. Makan pun tak nak.”

“Tak apa la. Ni mak ada bawa balik nasi dengan lauk dari kedai makan tadi. Ada tomyam campur dengan ayam goreng kunyit. Alhamdulillah rezeki kita. Bos mak suruh bawa balik, sebab mak bantu tadi.”

“Sedapnya bau. Lama tak makan sedap-sedap macam ni. Asyik makan nasi dengan ikan masin je,” rungut Irdina.

“Dina, bersyukurlah. Ada juga kita makan dengan tempat tinggal. Orang lain ada lagi susah dari kita. Ada yang tak ada tempat tinggal.”

“Mak cakap pasal tempat tinggal, tadi Pak cik Zakir datang. Dia minta duit sewa rumah. Dina cakap, tunggu mak balik. Pak cik Zakir kata, kalau minggu ni tak bayar, dia nak halau kita dari sini.”

Maryam tidak terkejut. Dia tahu, sudah dua bulan dia tidak membayar sewa rumah. Wang pula banyak habis dekat ubat-ubatan suaminya sahaja.

“Hmm, tak apa la. Nanti mak fikir macam mana. Mungkin esok mak akan cuba kerja lebih masa dekat restoran nanti. Pergi kejut ayah, mak siapkan makan dulu.”

Irdina mengangguk lalu berjalan menuju ke bilik yang didiami ayahnya. Rupanya ayahnya sedang berbaring dengan matanya merenung siling.

“Ayah dah bangun? Mak dah balik. Kita makan ya.”

“Ayah ni dah menyusahkan mak kamu. Ayah langsung tak berguna. Ayah langsung tak berguna!” jerit Ishak tiba-tiba.

“Ayah jangan cakap macam tu ayah. Kalau hendak diikutkan, ni semua salah Dina. Dina yang bersalah. Dina yang paksa ayah beli barang sekolah Dina. Semua salah Dina.” Irdina mula menangis teresak-esak waktu itu. Tidak lama itu muncul Maryam di muka pintu, kerana mendengar tangisan dua beranak tadi.

“Abang sudahlah. Ini semua dah Qada & Qadar dari Allah. Janganlah diingatkan lagi,” pujuk Maryam.

“Abang ni tak berguna. Abang dah susahkan Yam. Tak ada guna abang hidup lagi. Baik abang mati je kalau dah macam ni. Tak perlu lagi Yam jaga orang cacat ni.”

Maryam mula menangis. Dia memeluk tubuh badan suaminya dengan erat. “Jangan cakap macam tu abang. Jangan cakap macam tu. Abang tak susahkan Yam pun.”

Ishak hanya sekadar memakukan dirinya. Baginya, dia sudah menyusahkan anak dan isterinya.

 

 

PAGI-PAGI lagi, sudah kelihatan tuan rumah iaitu Zakir di muka pintu.

“Aku datang pagi-pagi ni, sebab nak kutip duit sewa.  Dah dua bulan kamu tak bayar.”

“Err maaf Encik Zakir, saya masih kekurangan RM300 lagi. Boleh bagi saya masa tak? Hujung bulan ni saya gaji.” Maryam betul-betul berharap, yang tuan rumahnya dapat bertolak ansur.

“Masa? Berapa banyak masa lagi nak bagi?”

“Tapi saya memang kekurangan wang ni Encik Zakir.”

“Itu aku tak nak tahu.”

Maryam terdiam sejenak. “Hmm, takpelah macam ni, saya akan cuba dapatkan wang dalam minggu ni juga, walaupun saya sebenarnya banyak nak guna duit untuk beli ubatan Abang Ishak,” jelas Maryam.

“Aku ni bukanlah kejam sangat. Tapi aku dah bagi kamu masa dua bulan dah. Aku ni pun nak guna duit juga. Tak kan nak bagi kamu duduk free pula?”

“Ye saya tahu Encik Zakir. Tapi saya memang tak cukup duit. Encik Zakir pun tahu kan, dengan keadaan suami saya tu macam mana?”

“Itu aku tak nak tahu. Kalau boleh aku nak duit tu dalam minggu ni juga. Kalau tak ada, kamu boleh pindah, cari rumah lain. Ramai lagi yang nak sewa dekat sini. Kira bersyukur la, aku bagi sewa RM250 sebulan. Dekat KL ni mana nak dapat sewa macam tu? Susah juga, kalau dah terlalu baik sangat dengan orang ni. Kita pula dipijaknya. Ahad ni aku datang balik.” Zakir terus berlalu dari situ meninggalkan Maryam yang terpinga-pinga.

Maryam menghelakan nafas perlahan.

Mana aku nak cari duit RM300 dalam masa empat hari ni. Hari ni, dah hari khamis. Gumam Maryam.

 

 

LAMA Irdina termenung. Dia memikirkan wang sewa rumah. Jika maknya bekerja lebih masa pun, tak mungkin maknya akan dapat wang sebanyak RM300 pada masa itu juga. Mungkin makan masa dalam sebulan juga.

Sudahlah Pak cik Zakir mahu wang sewa rumah pada minggu ini juga. Lebih-lebih lagi pula, hari ini adalah hari jumaat. Mana sempat maknya akan dapat RM300 dalam masa tiga hari? Semalam pun, maknya balik awal. Kata mak, kedai makan tak ramai orang semalam. Jadi mak tak dapat nak buat kerja lebih masa.

“Jauh awak termenung. Awak ada masalah ke?” tegur Ilyana. Mereka berdua sedang duduk di bawah pokok padang sekolah.

Irdina memandang Ilyana sekilas, lalu mengeluh sedikit.

“Saya tak tahu nak cakap macam mana dengan awak.”

“Cerita je la. Mana tahu, saya boleh tolong ke?”

“Tak. Tak mungkin awak boleh tolong saya. Tak apa, nanti tahulah saya apa nak buat.”

“La, apa masalahnya? Cerita je la dengan saya. Insya-Allah, kalau boleh saya tolong, saya akan tolong.”

Irdina menghelakan nafasnya. Dia memandang Ilyana dengan pandangan yang sayu. Matanya pula seakan berkaca.

“Janganlah menangis. Cerita la dengan saya,” pujuk Ilyana.

“Awak tahu kan, ayah saya sekarang ni dah tak boleh kerja akibat kemalangan dulu kan? Sekarang ni, mak saya yang kerja. Pagi semalam, tuan rumah datang nak kutip duit sewa rumah. Tapi mak saya tak cukup lagi RM300. Ahad ni, tuan rumah nak duit sewa. Kalau tak ada, dia suruh kami keluar dari rumah tu. Sekarang ni saya tak tahu, mak saya sempat ke tidak, dalam masa tiga hari ni nak dapatkan RM300 tu. Saya susah hati. Lebih-lebih lagi dengan keadaan ayah saya yang tak boleh nak bergerak,” jelas Irdina panjang lebar.

Ilyana tersenyum. Tiba-tiba dia mengeluarkan dompet dari kocek poket baju sekolahnya. Tiga keping not RM100 dikeluarkan, lalu wang tersebut dihulurkan kepada Irdina.

“Ambil ni, awak bagi dekat mak awak. Tak cukup lagi RM300 kan?”

Irdina terkejut. “Eh apa ni? Tak payahlah Ana. Saya cerita dekat awak tadi bukan nak tagih simpati ke apa.”

“Ambil je la. Saya ikhlas bagi ni. Lagipun saya faham dengan keadaan awak sekarang ni. Ambillah.”

“Tapi saya tak nak.” Irdina cuba menolak. Lagipun dia tahu, Ilham tidak henti-henti memberi amaran kepadanya supaya jangan rapat dengan adiknya Ilyana. Tetapi Ilyana juga selalu berpesan kepadanya, supaya tidak mengendahkan kata-kata Ilham.

“Ambillah. Saya ikhlas bagi ni. Kalau awak tak ambil, awak dengan keluarga awak kena halau. Awak nak duduk dekat mana nanti kalau dah kena halau? Sudah, jangan tolak lagi. Ni saya memang ikhlas bagi awak.”

Lama Irdina merenung wang di tangan Ilyana. Serba salah dibuatnya waktu itu. Lagipun dia tidak mahu keluarganya dihalau. Lebih baik dia mengambil wang tersebut dari Ilyana.

“Terima kasih Ana. Awak jangan risau, saya akan cuba dapatkan wang secepat yang mungkin untuk bayar awak balik.” Irdina menyambut huluran wang dari tangan Ilyana.

Pap!

Tangan Irdina ditepis oleh seseorang. Habis terjatuh tiga keping not RM100 di atas tanah. Irdina dan Ilyana tergamam waktu itu.

Ilham pada waktu itu merenung mereka berdua dengan renungan yang tajam. Nampak kelihatan dia begitu marah.

“Oh, ini kerja kau kan? Aku dah cakap kan, jangan rapat dengan adik aku. Kenapa kau ni degil sangat ha?”

“Alang apa ni!” Ilyana mengutip wang yang terjatuh tadi di atas tanah.

“Eh Ana, Ana ni langsung tak fikir ke? Ni apa ni? Duit apa ni ha!” Ilham merampas wang dari tangan Ilyana.

“Kau ugut adik aku? Ni duit apa? Dah tunjuk sikap sebenar dah sekarang ni? Tak gunalah, perempuan miskin macam kau ni! Berani kau buat cerita kesian, supaya adik aku bagi kau duit ni? Ana bagi dompet Ana pada alang sekarang!”

“Alang nak buat apa ha?” Waktu itu, Ilham meraba poket baju sekolah Ilyana untuk mengambil dompet adiknya.

“Alang janganlah! Alang ni dah kenapa!” marah Ilyana.

Dompet terus dirampas dari tangan adiknya. “Dompet ni alang pegang. Lepas ni jangan gatal bawa duit banyak-banyak pergi sekolah. Papa bagi duit saku dekat Ana, bukan untuk bagi duit dekat perempuan miskin ni!”

Irdina hanya tunduk diam membisu. Sungguh dia berasa malu waktu itu. Lebih-lebih lagi ada beberapa pelajar yang sedang menyaksikan adegan mereka bertiga di situ.

“Kau ingat eh perempuan, jangan sesekali meminta-minta. Nak duit, pergi cari sendiri. Jangan nak jadi macam peminta sedekah. Aku dah masak dengan perempuan macam kau ni. Tahu nak meminta je.” Ilham terus berlalu dari situ meninggalkan Irdina dan Ilyana.

Air mata Irdina merembes laju. Sungguh dia berasa hina waktu itu. Beberapa pelajar yang ada di situ mula berbisik antara satu sama lain.

“Dina, maafkan abang saya. Dia tak sengaja nak cakap macam tu. Saya akan cuba pergi ambil balik duit saya dekat dia. Awak tunggu sini ya,” pujuk Ilyana.

Irdina terus sahaja berlari menuju ke tandas. Cukuplah. Dia tidak mahu lagi dirinya dihina. Bukan pelajar kelasnya sahaja yang mengatakan dia miskin, malah orang lain yang bukan sekelas dengannya juga mengatakan dia perempuan miskin. Yang paling dia tidak boleh terima, dia bukan peminta sedekah!

Share this novel

Shariff Eizat
2024-11-19 13:05:55 

Geram betul Ilham ni


NovelPlus Premium

The best ads free experience