GERAI minuman Choco Jaussy menjadi saksi di malam hari apabila Nur menagis di bahu Jun sejak setengah jam yang lalu. Dia masih tidak boleh menerima hakikat bahawa dirinya telah dilamar oleh seorang lelaki yang tidak pernah dia kenal seumur hidupnya.
"Nur, berhenti menangis tu. Semua customer datang beli air jeling kau tahu tak!"
"Kau diam Audi. Aku tengah susah hati ni."
"Nur, aku tahu kau susah hati. Dari terawih tadi kau bagitahu aku. Wei, kau jangan mengada boleh. Dah la hari ni aku suruh cuti niaga kau nak niaga juga. Sekarang ni kau nak buat drama dekat taman ni?"
"Bisinglah!"
"Siapa jea tak bising Nur. Jun, kau nasihat sikit Nur tu. Mengada gila. Orang lain pun kahwin juga tapi tak la macam dia. Dia ni nak kahwin ke nak cerai?"
"Kau diam la gila!"
Tuala di tangan sengaja dilempar ke arah Audi. Sakit pula hati bila perempuan ini memerlinya. Nur mengalihkan kepala dari bahu Junaidi setelah siap menangis teresak-esak tadi.
"Betul kata Audi tu Nur."
"Kenapa dia pilih aku? Kenapa aku tak pernah kenal dia?" omel Nur sambil mengusap air matanya yang masih tersisa di pipi.
Junaidi hanya memeluk tubuh sambil memandang rakannya.
"Jun, aku bercakap dengan kau. Kenapa pandang aku macam tu?"
"Mungkin dia terpesona dengan kebaikan dan kelembutan hati Nur Jasnita. Siapa tahu mungkin dia adalah jodoh yang sudah ditentukan untuk kau. Jodoh kiriman Tuhan tak pun jodoh jatuh dari langit," usik Junaidi selamber.
"Apa benda kau merepek Jun!" bentak Nur berang.
Walaupun hatinya masih berkecamuk namun dia merasa lega kerana ada kawan baik seperti Junaidi yang sentiasa ada bersamanya sekarang.
"Aku minta maaf Nur sebab lambat datang rumah."
"Jun, aku tak ada keluarga. Keluarga aku Mak Uda sorang tu jea la. Aku cuma hidup menumpang kasih dengan Mak Uda. Kau sendiri kata kau akan hantar rombongan meminang. Masa Mak Uda call aku fikir itu family kau. Mana aku tahu kau datang lambat."
Junaidi hanya diam memandang roti vanila di tangan Nur. Apa yang pasti rakannya tahu pasti kecewa dan perlukan kata-kata semangat buat masa sekarang.
"Jun, cuba bagi aku akal sikit. Aku nak buat apa sekarang?"
"Kenapa aku tak pernah tahu kau berkawan dengan lelaki lain? Dulu kau bagitahu aku kau tak suka lelaki dalam dunia ni selain aku. Hari tu tiba-tiba dah jadi wife orang lepas tu... tup top dah janda dan sekarang nak kawin dengan orang lain bukan aku."
Tangan Nur pantas menekup kepala menghilangkan rasa sakit hati dan kesal dengan kesilapan yang telah dia lakukan sendiri tanpa sedar.
"Jun, aku tak kenal dia. Sumpah! Aku call Mak Uda sekarang. Aku suruh dia batalkan lamaran tu dan terima lamaran mak kau."
Nur menyeluk poket seluar dalam keadaan tergesa-gesa. Roti masih digigit kemas dari jatuh sambil mendail nombor Mak Uda namun lelaki kening nipis di hadapannya merampas telefon dari tangannya.
"Kau dah gila! Mana Mak Uda nak letak muka dia nanti. Dah la satu kampung tak suka dengan perangai adik dia dulu."
Roti dimulut Nur lepaskan dan disumbat ke mulut Jun melepaskan geram.
"Habis tu kita sekarang macam mana? Jun, aku tak nak putuskan hubungan kita hanya kerana seorang lelaki yang aku tak kenal. Ini masa depan aku Jun," jawab Nur kasar dengan penuh emosi.
"Siapa kata kita putus hubungan. Aku akan sentiasa akan jadi kawan kau sampai mati Nur Jasnita. Terima lamaran tu. Mungkin itu dah jodoh kau. Kita mungkin ditakdirkan jadi kawan baik sampai mati agaknya," pujuk Junaidi.
Kecil besar sahaja Nur melihat lelaki lembut ini memujuknya. Satu tumbukan dia lepaskan ke perut Jun melepaskan geram.
"Aduh, sakitnya Nur. Kau ni, rosak ovari aku nanti."
"Senget kau Jun. Sejak bila kau ada ovari. Aku tengah geram ni tapi kau boleh buat macam tak ada benda berlaku. Junaidi, tolong la aku... aku tak kenal dia," omel Nur ke Junaidi sedang mengusap perut.
"Belajarlah kenal macam kau kenal aku. Lagi elok terima orang sayangkan kau daripada kau sayangkan dia," balas Junaidi sambil menekup kepala Nur.
"Aku tak nak!"
"Kau kena terima juga sebab tu dah jodoh kau!"
Boleh gila Nur bila dengar lamaran itu bukan datang daripada keluarga Junaidi. Sekarang Junaidi sendiri boleh paksa dia terima makhluk asing yang langsung dia tidak pernah jumpa dan kenal sepanjang hidupnya.
"Mungkin dia ada sekeliling kau. Kau yang tak perasan Nur. Siapa nama dia?" tanya Junaidi.
"Tak tahu. Alien kot. Sekeliling aku cuma ada kau Jun yang lain semua pelanggan aku dekat taman ni. Tak mungkin customer melamar aku? Bukan dia tahu rumah aku," balas Nur dengan yakin.
Sejujurnya lelaki lembut di hadapannya sahaja yang berjaya buka pintu hati untuk berkahwin lagi dan berumah tangga. Tiada lagi yang pernah cuit hatinya sejauh lelaki berkulit gebu ini. Dulu pun sebab terpaksa.
"Mungkin dulu dia tengok kau kasar tapi sekarang sejak kau kawan dengan Audi kau dah jadi perempuan yang cantik. Mana kita tahu."
Nur mengeluh. Apron di badan dibuka dan disangkut ke Junaidi.
"Jun, jangan buat aku hilang akal. Aku nak bermanja dengan kau. Aku nak kau yang sentiasa ambil berat dan beri perhatian dalam hidup aku macam dulu," rengek Nur dengan suara bergetar.
"Boleh jea. Siapa kata lepas kau kahwin kau tak boleh dapat semua tu daripada aku," balas Junaidi tenang.
"Jun, Nur sudah-sudah berbual tu. Tolong aku kejap. Abang ni nak beli air banyak," celah Audi.
Nur mencebik dan memijak kaki Jun sebelum berlari ke arah Audi.
"Ya, abang nak berapa?"
"Semua sekali."
"Semua? Biar betul?"
"Ya, saya nak sedekah."
Nur pantas menyepak kaki Audi sambil mengemam senyuman. "Alhamdulillah. Rezeki malam 1Ramadhan."
"Psst... balik awal la kita nampaknya," bisik Audi.
"Ya la beb. Jun, cepat tolong kami."
Jun meredupkan pandangannya ke arah pelanggan sedang berdiri di depan Audi. Sedetik kemudian matanya liar memandang sekeliling.
"Sah kerja dia."
*
Hari berganti hari dan pada masa sama hati Nur sekarang makin berdegup kencang. Dia tak tahu apa yang akan berlaku nanti. Perlu ke dirinya terima lamaran itu atau menolaknya dengan sekeras hati masa majlis nanti?
Junaidi duduk bertentangan dengannya sambil tersenyum sinis. Wajahnya lembut dan matanya penuh dengan keikhlasan makin buat hatinya rasa bersalah. Dia tahu Junaidi orang yang akan sentiasa bersamanya tidak kira susah dan senang.
"Nur, aku tak nak kau risau. Aku akan sentiasa ada dengan kau. Kita masih boleh berkawan walaupun ada orang ketiga masuk dalam hidup kita. Aku tahu ini bukan hal mudah untuk kau terima tapi mungkin ini jalan yang terbaik untuk kau."
Nur memandang Junaidi dengan mata berkaca. Tak sanggup rasanya kehilangan lelaki ini. Lelaki yang telah membuatkan hidupnya begitu bermakna. Junaidi satu-satunya kawan lelaki yang dia ada namun sekarang dia telah khianat hubungannya dengan dia.
"Jun, aku tak tahu. Aku rasa terkejut dengan lamaran itu. Aku tak nak rosakkan hubungan kita hanya kerana hal ini," rengek Nur dengan suara bergetar.
Junaidi mengangkat tangan dan membelai rambut Nur lembut. Sentuhan itu beralih ke pipi Nur.
Entah mengapa Nur rasa kehangatan dari sentuhan lembut Jun. Sengaja dirinya melekapkan pipi ke tapak tangan Jun. Tidak sampai seminit pipinya ditampar Jun.
"Nur, percayalah. Aku akan sentiasa ada dengan kau. Aku nasihatkan kau supaya kau hadapi segala-galanya dengan sabar. Ada masalah bagitahu aku. Biar aku sekolahkan suami kau sebab sakitkan hati kau. Aku yakin semuanya akan baik-baik. Aku akan pastikan kau tak kena buli macam dulu."
Nur mengangguk lambat. Dia tahu dirinya harus terima lamaran itu. Ini mungkin jalan yang terbaik baginya dan Junaidi juga akan sentiasa bersamanya dalam susah senang walaupun dia sudah bergelar isteri orang.
Cahaya matahari yang perlahan-lahan redup meredupkan hati Nur sedang gelisah. Dia rasa tenang bila menggenggam tangan Junaidi erat. Sedetik kemudian Junaidi membalas genggamannya dengan penuh kehangatan.
"Dah lewat. Kita gerak ya, nanti kita berbuka dalam kereta pula. Aku dah bayar buffet tu."
"Terima kasih Jun. Terima kasih sebab sentiasa faham perasaan aku."
Junaidi tersenyum nipis. Junaidi membawa Nur ke kereta.
"Jangan risau, semuanya baik-baik."
Nur terpaksa memulakan hidup baru selepas ini. Hidup sebagai isteri dengan lelaki asing.Benar kata Junaidi, dia terpaksa terima takdir yang telah ditetapkan untuknya
*
"Hari yang digerunkan akhirnya tiba juga. Tak pernah dibuat orang," omel Nur sendirian. Dia hanya menatap wajahnya di pantulan cermin dengan pandangan kosong. Wajah tanpa secalit solekan buatkan dirinya makin resah.
"Nur, dah masanya untuk awak make up."
Kehadiran Mak Ton tiba-tiba mematikan lamunan Nur. Senyuman Nur ukir ke Mak Ton di cermin sebelum menoleh ke arahnya.
"Mak Ton! Bukan ke Jun yang andamkan saya?" soal Nur dengan nada lemah. Dia memandang sekeliling bilik yang sudah siap dihias cantik tanpa bicara.
"Nur, Jun bagitahu mak yang dia tak boleh nak solek awak. Dia minta maaf sebab lupa nak bagitahu Nur."
"Kenapa tak boleh Mak Ton. Bukan ke hari tu dia beria nak andamkan saya?"
"Tarik nafas. Jangan garang sangat Nur. Ada sebab kenapa Jun tak make up awak. Dia sayangkan awak. Jun tak nak sebab nanti hilang seri pengantin. Jun suruh Mak Ton buat," jawab Mak Ton dengan nada tenang.
Nur membuat mimik muka kecewa bila mendengar bicara Mak Ton. Dia harapkan Junaidi di sisinya namun semuanya hampa.
"Mak Ton, Mak Ton rasa-rasa... apa yang buat lelaki ni pilih saya sebagai isteri ya Mak Ton? Saya dengan dia tak pernah jumpa pun sebelum ni," rintih Nur.
"Nur, mungkin dah jodoh Nur dengan dia," jawab Mak Ton spontan.
Mak Ton hanya tersenyum dan meneruskan kerjanya menconteng muka Nur.
"Mak Ton, saya ni tak layak ke jadi menantu Mak Ton?"
"Nur, kenapa cakap macam tu? Mak Ton lagi suka bila Nur kahwin dengan Jun tapi dah jodoh Nur dengan bakal suami Nur. Mak Ton nak cakap apa lagi. Nur jangan risau ya... nanti lepas kahwin Nur tetap jadi menantu Mak Ton."
Berdesing telinganya menangkap kata-kata Mak Ton. Wajah Mak Ton dtenung lama sebelum bersuara semula. Berus sedang bergerak di wajah dipegang kemas.
“Mak Ton, pandang Nur.”
“Ada apa Nur?”
"Mak Ton nak bagitahu yang Junaidi ke sebenarnya suami Nur?"
"Ke situ pula dia. Nur, kalau betul Junaidi tu suami Nur tak adanya Mak Ton dalam bilik ni. Budak ni kan... bagi sini berus tu. Tak siap muka tu nanti."
Mak Ton menconteng muka Nur yang dalam dilema. Setiap sentuhannya ke wajah Nur membuat perempuan muda ini mengelamun memikirkan masa depannya dengan bakal suami misteri agaknya.
"Kenapa Jun tak boleh make up saya ya? Apa yang Jun sembunyikan dari saya sebenarnya?"
Mak Ton menghentikan gerakan berusnya. Satu keluhan dilepaskan sebelum menunjal dahi Nur. Wajahnya yang tenang berubah menjadi tegang. Sedetik kemudian dia ketawa kecil.
"Dengar sini Cik Nur. Kadang-kadang... jodoh kita ni datang dengan cara yang penuh misteri. Sama seperti rezeki. Nur lupa ke? Cuba fikir guna akal yang sihat. Mungkin ada sesuatu yang lebih besar, lebih baik dan lebih kejutan yang Nur tak tahu akan berlaku. Tengok jea la nanti. Duduk diam-diam, tak siap muka tu nanti."
Makin berkerut dahi Nur memikirkan bicara Mak Ton.
"Maksud Mak Ton?"
"Junaidi mesti tak beritahu Nur hal ni sebab dia perlukan masa dan tak nak lukakan hati Nur. Jun kenal bakal suami Nur. Jun kena jaga hati bakal suami Nur juga."
Nur tergumam.
"Nur, jangan biarkan hari bahagia awak ni dengan muka sedih. Senyum sikit, jangan nak ketat sangat muka tu."
Sebelum sempat menjawab pintu dibuka orang.
"Mak Ton lagi 5minit rombongan pengantin lelaki sampai. Tadi mereka dah call Mak Uda bagitahu mereka baru gerak."
"Apa maksud Mak Ton tadi? Kenapa tiba-tiba aku rasa tak sedap hati? Apa yang dia dengar dari Mak Uda lelaki ni kenal aku tapi siapa?"
Share this novel