PARA pembantu rumah baru selesai menghidangkan makanan di meja makan untuk sarapan pagi. Tan Sri Hanafi bersama keluarganya sudah siap sedia di kerusi masing-masing pada meja makan untuk menjamu selera. Rizal yang baru pulang dari hospital semalam pula terlihat sugul, mendiamkan diri di meja makan. Sedikit makanan pun dia tidak ingin menjamahnya. Lelaki itu masih kemurungan setelah menyedari pemergian Amira yang meninggalkannya buat kali kedua.
Shahira melihat kelakuan abangnya itu. Sejak semalam Rizal masih belum mendapatkan sebarang makanan. Shahira semakin risau dengan keadaan abangnya itu.
"Abang.. makan la dulu.. sejak semalam abang tak makan apa-apa.. abang tu baru je sihat dari demam.. luka kat kepala tu pun masih tak elok lagi.. makan la sikit, buat alas perut.. nanti kita cari Kak Mira sama-sama.." Shahira terpaksa bersuara kerana tidak ingin melihat abangnya yang terus kegalauan. Dia risau jika kesihatan abangnya itu kembali terjejas dan sekali lagi jatuh sakit.
"Hmm.. entah ke mana la perginya budak Amira tu.." Puan Sri Rohayu pula bersuara selepas menelan sandwich telur yang disediakan oleh pembantu rumah.
Tatkala itu juga, Rizal mencapai cawan yang berisi kopi o di atas meja dan segera menghempasnya ke lantai. Tindakan lelaki itu telah mengejutkan semua orang yang berada di dalam rumah tersebut. Tan Sri Hanafi berhenti mengunyah bihun goreng di dalam mulutnya kerana terkejut dengan tindakan anak lelakinya itu.
Sesaat kemudian, Rizal langsung bangkit berdiri dan meninggalkan meja makan. Lelaki yang sedang berserabut fikirannya itu melangkah menuju ke ruang tamu dan menghempaskan punggungnya di sofa dengan keras. Telefon bimbitnya di capai dan Rizal melihat ke arah skrin telefonnya itu. Telefon pintar itu kemudian dicampakkannya ke aras meja kecil yang berada di hadapannya. Kaki sebelah kirinya diangkat dan diletakkan di atas sofa, seraya tangannya ditongkatkan pada lutut sambil belakang badannya disandarkan pada lengan sofa.
Di meja makan, Tan Sri Hanafi mengalihkan pandangannya kepada pembantu rumahnya.
"Mah, tolong bersihkan lantai tu.. hati-hati sikit.. kaca cawan tu bertaburan atas lantai.." Tan Sri Hanafi meminta pembantu rumahnya untuk membersihkan lantai yang dipenuhi genangan air kopi dan kaca dari cawan yang pecah. Sementara itu, Puan Sri Rohayu pula mengeluh kecil.
"Ke mana la dia lari, si budak Amira tu.. dengan diri duk mengandung tu, bukannya nak balik rumah.. sampai Riz pun jadi tak betul, duk mengamuk je siang malam.." ucap Puan Sri Rohayu.
Mendengar kata-kata isterinya, Tan Sri Hanafi membuntangkan matanya. Dia menatap tepat ke arah isterinya itu.
"Awak sedar tak apa yang awak cakap ni? Pasal awak la si Amira tu lari.. Awak dah pukul dia, kutuk dia, hina dia macam-macam.. macam mana budak tu tak takut.. mujur dia tak mati je awak kerjakan.. awak ingat dia nak balik, tengok muka awak lagi? Dia pun tak nak diri dia kena pukul lagi.. semua ni jadi, awak la puncanya.." marah Tan Sri Hanafi.
Mendengar ucapan suaminya, Puan Sri Rohayu menundukkan pandangan. Dia sedar akan kesalahannya terhadap Amira. Dia juga tahu, Rizal tidak akan mampu berpisah dengan isterinya itu. Mahu atau tidak, dia terpaksa menerima Amira demi kebahagiaan anak lelaki tunggalnya itu.
"Tapi, saya dah sedar kesalahan saya.. saya minta maaf.. saya janji takkan marah dah kat dia.. saya pun nak dia balik semula kat rumah ni.." Puan Sri Rohayu meluahkan pendiriannya. Dia turut kesal dengan perbuatannya yang lalu.
"Tak guna awak bagitau kat saya.. sepatutnya awak tu yang kena pergi cari Amira.. minta maaf kat dia.. baru betul.. baru la dia ada hati nak balik semula kat sini.." Ujar Tan Sri Hanafi. Puan Sri Rohayu pula terdiam. Tidak berani membantah kata-kata suaminya. Dia tahu akan kesalahannya. Bahkan dia sendiri kesal dengan dirinya yang hampir membunuh cucunya sendiri yang berada di dalam kandungan Amira. Dia kini rela menerima makian dan kemarahan ahli keluarganya, bahkan pada fikiran wanita itu, dia mungkin tidak akan memaafkan dirinya sendiri jika cucunya di dalam kandungan Amira keguguran.
DI ruang tamu, Rizal masih termenung sendirian. Fikirannya berserabut. Entah di mana lagi dia harus mencari Amira. Fikirnya, isterinya itu benar-benar ingin meninggalkan dirinya dan hal tersebut telah membuatkan Rizal kemurungan. Telefon bimbitnya di atas meja berkali-kali berdering, namun langsung tidak diendahkan oleh Rizal. Dia yang telah hanyut di dalam lamunan langsung tidak mempedulikan keadaan sekeliling.
Ketika itu, Shahira yang sudah selesai bersarapan mula menuju ke ruang tamu dan mendekati Rizal. Gadis itu kembali mengeluh apabila melihat abangnya yang tidak mempedulikan panggilan masuk ke telefonnya itu.
"Abang, kenapa tak jawab call tu? dari tadi Ira dengar, dah berapa kali panggilan tu masuk.." tegur Shahira. Namun Rizal langsung tidak bereaksi. Shahira mendekati meja di hadapan Rizal dan melihat paparan skrin telefon bimbit abangnya itu.
"Abang, Ibu call.. kenapa abang tak jawab?" Shahira bertanya lagi setelah menyedari nama yang terpapar pada layar telefon bimbit Rizal.
Mendengar panggilan daripada Ibu mentuanya yang disampaikan oleh Shahira, Rizal segera mencapai telefonnya dan menjawab panggilan tersebut.
"Assalamualaikum.. Rizal.. dah berapa kali ibu call, kenapa tak jawab?" Kedengaran suara Shiela disebalik panggilan.
"Waalaikumussalam bu.. ada apa Ibu call Riz ni?" Rizal membalas tanpa menjawab pertanyaan ibu mentuanya.
"Dengarnya Riz sakit dan masuk wad.. macam mana keadaan Riz sekarang?"
"Riz dah balik rumah semalam.. eh, dari mana ibu tahu?" Rizal mula pelik.
"Hmm.. ni yang ibu nak bagitau.. Mira ada kat rumah ni.. dia yang bagitau Riz masuk wad.."
"Hah, Mira ada kat sana?" Secara tiba-tiba Rizal menjadi teruja. Dirinya seperti ditiup satu semangat yang membuatkan hatinya girang. Shahira yang mendengar ucapan abangnya itu turut terkejut.
"Ya.. Mira dah cerita kat ibu apa yang berlaku.. sekarang ni dia asyik duk menangis je siang malam.. Riz datang la sini.. tolong pujuk dia.. dia sendiri tak nak berpisah dengan Riz.. tapi dia terlalu takut dengan Mama Riz.. tolong.. ibu tahu, Riz pun sayangkan Mira.. jangan biar dia duk menangis lama-lama.." Shiela menyampaikan apa yang seharusnya dia katakan. Wanita itu tidak ingin rumah tangga anaknya terus bermasalah dan mereka suami isteri terpisah tanpa kerelaan masing-masing.
"Baiklah bu.. sekarang jugak Riz bertolak.." Rizal sangat gembira dengan penjelasan daripada ibu mentuanya itu. Dia sudah tidak sabar untuk bertemu kembali dengan isterinya yang tercinta. Fikir Rizal, kali ini dia tidak akan memberi peluang lagi untuk Amira melarikan diri daripadanya.
HALIMAH yang berada di kebun sayur di depan rumahnya tertanya-tanya apabila melihat sebuah kereta Toyota Vellvire memasuki pekarangan rumahnya. Kenderaan tersebut kemudian berhenti di depan rumahnya. Beberapa orang terlihat keluar dari perut kereta. Mereka adalah Rizal dan Tan Sri Hanafi sekeluarga. Halimah yang penasaran, mendekati keluarga tersebut. Melihat kedatangan nenek isterinya, Rizal segera bersalaman dan mencium tangan wanita tua itu.
Pada masa yang sama, Shiela pula muncul dari muka pintu dan berdiri di beranda bagi melihat gerangan tetamu yang mendatagi teratak buruk yang didiaminya. Wanita itu tersenyum setelah menyedari kedatangan Rizal dan keluarganya di sana. Rizal dengan langkah dan laju segera menaiki anak tangga dan bersalam dengan ibu mentuanya itu.
"Amira kat mana?" Tanya Rizal tanpa bertangguh. Dia sedar isterinya itu tiada di rumah memandangkan kereta Proton Saga miliknya tiada di halaman rumah. Dia yakin isterinya itu sudah keluar dan tidak berada di sana.
"Dia pergi restoran.. rindu katanya.. padahal dia sengaja nak sibukkan diri.. ibu pun tak nak larang.. itu lebih baik dari dia duk menangis je siang malam.." jawab Shiela.
"Kalau macam tu, Riz pergi ke restoran dulu la.." Rizal segera berpaling punggung dan kembali menuruni anak tangga.
"Eh, tak nak naik atas rumah dulu ke.. jemput la keluarga Riz tu masuk rumah dulu.." Shiela sedikit menguatkan suaranya setelah melihat menantunya yang kelam-kabut. Dia tahu dirinya tidak akan dapat menghentikan Rizal. Lelaki itu mungkin sudah terlalu rindu untuk bertemu dengan isterinya.
"Nanti la.. Riz nak jumpa Mira dulu.. nanti Riz balik semula.." balas Rizal tanpa berpaling ke arah ibu mentuanya. Melihat Rizal yang tergopoh-gapah masuk semula ke kenderaannya, Shiela hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala. Wanita itu turut memerhatikan setiap susuk anggota keluarga menantunya itu. Tan Sri Hanafi pula tersenyum dan meminta maaf kepada Shiela dan Halimah kerana terburu-buru untuk pergi kerana menuruti kehendak Rizal yang ingin segera menuju ke restoran bagi menemui Amira.
DI restoran, Amira sedang termenung di meja kaunter. Fikirannya sarat memikirkan mengenai suaminya. Sedang wanita itu mengelamun, tiba-tiba dia dikejutkan dengan kemunculan Rizal di depan restoran. Lelaki itu berlari menuju ke arah Amira dan segera memeluk isterinya itu tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Pelanggan yang berada di dalam restoran tersebut langsung tidak dihiraukannya. Amira pula terpegun kaku. Seolah tidak mempercayai apa yang sedang dilihat olehnya. Dia masih tidak percaya Rizal telah muncul di sana dan memeluk dirinya.
"Sayang.. tolong jangan tinggalkan abang lagi.. abang perlukan sayang disisi abang.." Rizal meluahkan perasaannya tanpa berselindung. Air mata Amira mula bergenang. Dia kesal kerana telah membuatkan suaminya itu berkelakuan seperti orang tidak waras kerana terlalu merindukannya.
"Abang.. lepaskan dulu sayang.. jangan la duk peluk macam ni.. malu la kat orang.. ramai orang kat sini.." Amira meronta agar pelukan Rizal dilepaskan.
"Tak nak.. abang tak nak lepaskan.. nanti sayang lari lagi tinggalkan abang.." Rizal merenggek seperti anak kecil. Amira tersenyum. Air matanya mula tumpah dan tak dapat dibendung lagi oleh takungan matanya.
"Sayang tak lari kemana.. sayang janji.. tolong lepaskan dulu.. malu la orang tengok.."
"Abang tak peduli apa kata orang.. abang cuma nak sayang selalu ada bersama abang.."
"Ya lah.. sayang akan sentiasa ada bersama abang.. dah, lepaskan dulu.." Amira masih memujuk suaminya. Rizal kemudian melepaskan pelukannya dan memegang kedua belah bahu isterinya itu. Mata mereka mula bertatapan antara satu sama lain.
"Tolong.. jangan lagi tinggalkan abang.. kalau ada masalah, kita bincang sama-sama.. kita selesaikan sama-sama.. tapi jangan buat abang macam ni.. abang dah macam orang gila duk cari sayang merata tempat.." ujar Rizal. Amira menganggukkan kepala perlahan sambil merapatkan bibirnya. Air matanya yang mengalir di pipi segera diseka oleh Rizal.
"Sayang tahu tak, abang sangat rindukan sayang.." Rizal meluahkan perasaan.
"Sayang pun rindukan abang.." Amira lantas membenamkan mukanya di dada Rizal. Dia tidak dapat mengawal dirinya daripada memeluk pinggang suaminya itu. Beberapa detik, suasana menjadi hening bagi mereka berdua. Hingar bingar di dalam restoran seolah tidak kedengaran di telinga mereka. Amira kemudian menarik kembali wajahnya dari pangkuan Rizal.
"Tapi sayang tak nak lagi kembali ke rumah Papa.." Amira pula menyampaikan keinginannya. Rizal terdiam. Tidak terburu-buru untuk menjawab hasrat isterinya itu.
Ketika itu, Amira langsung tidak sedar kehadiran Tan Sri Hanafi dan keluarganya yang berada di belakang Rizal. Mendengar permintaan Amira itu, Tan Sri Hanafi segera bersuara.
"Kenapa tak nak jumpa Papa? Mira tak suka kat Papa ke?"
Amira tersentak. Dia tidak menduga jika bapa mentuanya itu berada di sana. Setelah Rizal mengalihkan badannya, barulah Amira melihat susuk Tan Sri Hanafi, Puan Sri Rohayu dan Shahira. Wanita itu segera tergamam. Dia mula kesal kerana kata-katanya tadi telah menyinggung perasaan bapa mentuanya yang baik hati itu.
"Bukan.. bukan macam tu.. Papa, Mira minta maaf.. bukan Mira tak suka kat Papa.. Mira sayang Papa.." Amira menyedari kekhilafannya dan segera meminta maaf.
"Tapi Mira tak suka kat Mama kan?" Puan Sri Rohayu pula bersuara. Kali ini Amira terdiam. wanita itu segera merendahkan pandangannya, tidak berani bertentangan mata dengan ibu mentuanya.
"Mira.. Mama minta maaf.. Mama tahu Mama jahat.. Mama dah sakiti Mira.. tapi Mama dah menyesal.. Mama tahu Mira dan Riz tak dapat dipisahkan.. Mama taknak dah pisahkan Mira dan Riz.. Mama nak Riz dan Mira hidup bahagia.. hanya Mira je yang dapat bahagiakan Riz.. kebahagiaan Riz adalah kebahagiaan Mama.. asal Riz bahagia, Mama tak kisah dia nak bersama siapa.. Tolonglah, Mira balik semula ke rumah tu, hidup bersama kami.." Puan Sri Rohayu merayu. Namun Amira masih tidak bereaksi.
Tanpa disangka, Puan Sri Rohayu akhirnya memegang kaki Amira dan meletakkan kepalanya pada kaki menantunya itu.
"Tolong, maafkan Mama.. Mama takkan tenang kalau Mira tak nak maafkan Mama."
"Mama! Apa yang Mama buat ni? Bangunlah.. Ya, Mira dah maafkan Mama.. Mama jangan buat macam ni." Amira segera menarik ibu mentuanya untuk berdiri. Sebagai menantu, dia tidak ingin ibu mentuanya bertindak jauh sebegitu untuk memohon kepadanya. Kini Amira pula yang merasa bersalah. Setelah kembali berdiri, Puan Sri Rohayu segera memeluk Amira dengan linangan air mata. Amira kini bersyukur. Dia dapat merasakan keikhlasan ibu mentuanya itu untuk berdamai dengannya.
Share this novel