BAB 1

Romance Series 2839

Tiga tahun sebelumnya…

ANGIN musim luruh bertiup lembut di sekitar Kota New York. Dedaunan kering berguguran jatuh menghiasi jalanan. Suhu pada ketika ini dalam lingkungan 13-22 darjah Celsius. Suasana di sekelilingnya nyaman. Tidak terik. Juga tidak terlalu dingin. Kota dengan populasi penduduk seramai 8.25 juta orang itu merupakan antara bandaraya tersibuk di dunia.

Terletak dalam radius kawasan metropolitan berdekatan Manhattan, terdapat sebuah taman urban yang digelar sebagai Central Park. Merupakan sebuah taman hijau yang digazetkan sebagai taman konservasi di tengah Kota New York. Taman ini juga antara destinasi popular dan terkenal bagi para pelancong serta wajib dikunjungi apabila menjejakkan kaki ke bumi New York. Pada musim luruh seperti ini, taman tersebut dilitupi dengan warna merah, jingga dan kuning serta kelihatan cukup indah dan menakjubkan jika dilihat dari udara.

Dan berada di lorong pedestrian dalam Central Park ketika itu adalah seorang lelaki tampan berwajah Asia yang sedang sibuk merakamkan foto pemandangan indah musim luruh menggunakan kamera DSLR miliknya. Satu-persatu momen di sekitarnya diabadikan di dalam kamera tersebut untuk dijadikan kenangan.

Itu antara kegemaran waktu lapang lelaki seperti Azriel Elhan. Pemuda berusia 25 tahun yang merantau dari Malaysia itu telah berada di Kota New York sejak tiga tahun lalu bagi menghabiskan sesi pengajiannya di salah sebuah universiti terkemuka di sini.

Gelagat Azriel dalam gaya persis jurugambar profesional menarik perhatian beberapa orang kanak-kanak yang turut berada di taman berkenaan. Masing-masing berminat ingin tahu bagaimana Azriel merakamkan foto. Mereka tanpa segan silu datang bertanya.

Azriel yang memang mudah mesra dan suka berada di kalangan kanak-kanak dengan senang hati melayan permintaan mereka. Malah, dia juga mengambil peluang merakamkan wajah anak-anak kecil berbagai bangsa itu melalui kameranya.

“Okay, everyone. Smile and say cheese~”

“Cheeseeee~!!!”

Suara riang dan ceria lima orang kanak-kanak itu kedengaran bersama berbagai aksi dan gaya lincah masing-masing.

Azriel hanya tersenyum melihat gelagat masing-masing. Kumpulan kanak-kanak itu kemudian dihampiri ibu bapa mereka yang mengucapkan terima kasih kepada Azriel. Sempat juga mereka berikan nombor telefon masing-masing meminta dikirimkan foto yang dirakamkan tadi.

Selesai di situ, Azriel kemudian meminta diri dan berlalu untuk merakamkan suasana taman itu di sudut yang lain pula.

Ketika Azriel sedang leka memberi fokus untuk merakamkan momen seekor burung yang berada di salah satu dahan pokok, secara tiba-tiba bahunya dilanggar dengan kasar dan kuat dari belakang oleh seseorang. Mujurlah dia tidak jatuh tersembam ke tanah.

Apabila diperhatikan, rupa-rupanya yang melanggarnya tadi adalah seorang lelaki bangsa asing yang berlari dengan kelam-kabut menuju ke satu arah. Sempat jugalah mulut Azriel bergumam memaki hamun lelaki itu kerana geram.

Bagaimana pun, ketika Azriel ingin menyambung semula merakam foto, kelihatan di dalam lensa kamera yang dipegangnya kelibat seorang gadis tinggi lampai sedang berlari laju seperti mengejar sesuatu.

“Helppp!! He snatch my purse! Somebody please help me!!!”

Jeritan gadis itu membuatkan rata-rata pengunjung menoleh untuk melihat. Termasuk Azriel yang memandang gelagat gadis itu dengan reaksi terpinga-pinga. Baru dia tahu gadis itu rupa-rupanya mengejar lelaki asing tadi yang telah mencuri begnya.

Namun, kasihannya kerana tiada sesiapa pun pergi membantu gadis berkenaan. Dan mungkin kerana bersimpati, spontan sahaja kaki Azriel terdorong untuk berlari mengejar dan membantu gadis tadi.

“Hey!” Azriel melaung memanggil gadis itu.

Ivy yang sedang berlari menoleh seketika ke arah Azriel. Sedikit keliru melihat kelibat lelaki muda yang tidak dikenali sedang berlari di sampingnya.

“That guy steal your purse??” Azriel bertanya.

“Yes-yess! Please help me!!” Ivy menjawab dalam nafas yang tercungap-cungap.

“Let's catch him!”

Lantas Azriel hulurkan tangan kirinya ke arah gadis itu. Tanpa sebarang prasangka Ivy menyambut huluran tangan Azriel. Mereka berdua kemudian saling berpautan tangan dan berlari bersama-sama mengejar lelaki pencuri tadi.

TIBA di satu kawasan yang sedikit tersorok dan jauh dari laluan orang ramai, kelihatan seorang lelaki dalam pakaian seperti gelandangan sedang sibuk menyelongkar beg tangan berjenama LV yang baru diragut tadi. Dia mencari-cari sesuatu yang berharga di dalam tas kecil itu.

Dari sebalik batu-batuan yang berada di sudut taman, Azriel dan Ivy sedang bersembunyi sambil mengintip pergerakan si lelaki ‘pencopet’ itu dari jauh.

“…I need my purse back. Please help me…” Dalam suara bisikan Ivy memohon dengan mimik wajah yang resah serta tidak keruan.

Azriel mengetap bibir sambil cuba mencari jalan bagaimana ingin membantu gadis itu mendapatkan semula begnya. Nak pergi buat laporan polis mungkin akan mengambil masa yang lama. Silap-silap nanti barang yang dicuri itu tidak akan dapat semula.

Lalu Azriel meminta agar Ivy tetap berdiri senyap di kedudukan sekarang sementara dia pergi untuk merampas kembali tas kecil milik gadis itu.

“Just wait here okay. Don’t make any noise,” bisik Azriel memberi arahan.

Ivy mengangguk faham sambil memerhati langkah Azriel yang menapak menghampiri lelaki pencuri tadi. Dalam hatinya berdoa agar tindakan Azriel akan berjaya.

Dengan berhati-hati bercampur debaran di dada, Azriel melangkah perlahan-lahan menghampiri lelaki itu. Risau juga memandangkan tubuh lelaki itu lebih tinggi dan tegap berbanding dirinya.

Dalam sesaat kemudian dengan sigap Azriel mencekak leher lelaki itu dari belakang menggunakan lengannya.

“Arkhh!”

Lelaki pencuri itu meronta-ronta ingin melepaskan diri. Sebaliknya Azriel menguatkan cekakan pada batang tengkuk lelaki itu.

“Give me that purse! Give it to me!!”

Namun, lelaki itu berdegil dan tidak mahu mengalah. Dia berjaya melepaskan pautan di tengkuknya daripada tangan Azriel. Mereka saling berlawan dan bergelutan. Tidak mudah rupanya untuk Azriel menumbangkan lelaki itu.

Ivy yang melihat dari jauh mulai panik. Tak tahu nak buat apa. Dalam keadaan terdesak begitu otaknya tiba-tiba terfikir untuk melakukan sesuatu. Dikeluarkan telefon pintar dari poket jeans lalu dibuka satu bunyi kuat yang kedengaran seperti siren polis.

“Police! Over here! That thief is here!!!” Ivy menjerit berpura-pura seperti pihak polis sudah tiba di kawasan itu.

Si pencuri tadi yang gelabah dan panik terus mencampakkan tas kecil di tangannya lalu berlari laju meninggalkan kawasan tersebut. Tidak mahu ditangkap pihak berkuasa.

Azriel dan Ivy menarik nafas lega. Mujurlah. Taktik mereka sedikit sebanyak berjaya menakutkan pencuri itu.

Sebaik sahaja kelibat si pencopet itu hilang dari pandangan, Azriel dengan segera mengambil tas kecil milik Ivy yang jatuh ke tanah lalu dikembalikan semula kepada gadis itu.

“Here’s your purse.”

Ivy menyambut tas kecil miliknya dengan perasaan yang cukup gembira. Malah, amat bersyukur apabila diperiksa semua barangan dan dokumen penting miliknya termasuk pasport masih berada di situ.

“Thank you. Thank you so much! I really appreciate your help!” ucap Ivy berulang kali begitu menghargai pertolongan Azriel.

“No big deal. Should we log a police report?” Azriel bertanya jika Ivy ingin membuat laporan polis.

Ivy menggeleng. Semua barangan miliknya masih ada dan tidak hilang apa-apa. Lagipun, malas pula dia nak panjangkan cerita sementelah dia berada di bumi asing. Karang kalau ahli keluarganya dapat tahu tentu lebih kecoh nanti.

“Emm no need. By the way, how much should I pay you?”

Dengan polos Ivy bertanya kepada Azriel. Bersedia untuk membayar berapa pun yang diminta lelaki itu kerana telah sudi membantunya tadi.

Sebaliknya Azriel dengan pantas menolak sambil menggeleng. Dia ikhlas membantu dan tidak perlukan apa-apa bayaran.

“No-no. It’s okay.”

Melihat Azriel yang tidak mahukan sebarang upah membuatkan Ivy serba salah. Tak patut pula kalau dia pergi begitu sahaja tanpa membalas kebaikan lelaki ini yang sanggup berlawan dengan pencuri tadi.

“Then, should I buy you a drink? Please,” ujar Ivy bersungguh-sungguh. Sebagai penghargaan kepada lelaki itu.

Azriel berat hati pada mulanya. Namun, kemudian mengangguk bersetuju. Apa salahnya dah ada orang nak belanja.

Lalu mereka berdua berjalan beriringan bersama menuju semula ke pintu masuk di taman konservasi berkenaan.

DUA gelas minuman panas diambil Ivy dari kiosk yang menjual berdekatan jalan masuk ke Central Park selepas membuat bayaran. Satu cawan diberikan kepada Azriel manakala satu lagi untuk dirinya.

Mereka sama-sama melabuhkan punggung di sebuah bangku sebelum menikmati minuman panas di tangan masing-masing sambil menghayati suasana santai dan nyaman di taman tersebut.

“Thank you Ms…err…”

Ucapan Azriel terhenti apabila menyedari yang dia belum mengetahui nama gadis itu.

“Ivy Clarissa. Just call me Ivy,” jawab Ivy dalam senyuman.

“Thank you for a drink, Ivy,” ucap Azriel.

“No. I’m the one who should thank you. You help me a lot Mr…err…”

Kata-kata Ivy terhenti. Sama seperti Azriel tadi, dia senyap seketika apabila menyedari yang dia tidak mengetahui nama pemuda di sebelahnya.

“Azriel Elhan. Just call me Azriel.”

Serentak itu mimik muka Ivy berubah. Ada kerutan terpamer di keningnya. Dia memandang ke arah Azriel. Menelek wajah lelaki itu agak lama.

“Azriel. Are you Malaysian?” Ivy bertanya inginkan kepastian.

Lantas Azriel mengangguk dalam bersahaja. “Yes. I’m Malaysian.”

“Lah, you orang Malaysia rupanya. Kenapa you tak cakap dari tadi??”

Serta-merta bahasa pertuturan Ivy terus bertukar. Mimik mukanya tergambar perasaan teruja. Melihat wajah tampan Azriel dengan hidung mancung terletak serta raut wajah seakan lelaki Itali, baru dia tahu rupa-rupanya lelaki ini datang dari negara yang sama.

Manakala Azriel ikut sama tersentak. Terkejut saat mendengar slang KL dituturkan gadis di sebelahnya.

“Err you…Malaysian juga ke??” Azriel menyoal ingin tahu.

“Of course lah! I orang Malaysia. Oh my God. I tak sangka nak jumpa orang Malaysia juga di sini. How lucky I am today. By the way, seronok sangat berjumpa dengan you, Azriel!” ucap Ivy dalam nada yang cukup ceria.

Azriel turut mempamerkan mimik muka yang teruja serta gembira. Tak sangka pula gadis cantik jelita seakan berdarah campuran ini adalah warganegara Malaysia. Dan sebetulnya dia yang amat bertuah dapat berkenalan dengan gadis peramah ini.

“Seronok berjumpa dengan you juga, Ivy. So, you asal dari negeri mana?" Azriel mengambil peluang bertanya.

“I orang KL. Rumah family I dekat Damansara Heights. You pula orang mana Azriel?” Ivy berminat ingin tahu.

“I dari Kuala Selangor,” jawab Azriel pendek.

“Kuala Selangor? Wah. Rumah you mesti dekat kawasan sawah padi kan?”

“Ha’ah. I dibesarkan di kampung. Di kelilingi sawah padi. You pernah pergi Kuala Selangor ke?”

“Erm tak pernah. Tapi, I teringin nak pergi. Nanti you bawalah I melawat kampung you tau.” Pinta Ivy dengan selamba.

“Err boleh," jawab Azriel serba salah.

"So, you buat apa di NYC? You melancong ke sini juga ke?” Ivy menukar topik perbualan mereka.

“Tak. I belajar di sini. Dah tiga tahun. This is my final year.” Azriel memaklumkan.

“Ohh really? You student rupanya.” Ivy mempamerkan perasaan kagum. Jarang-jarang dia dapat bertemu dengan pelajar Malaysia di luar negara.

“And you pula? Student di sini juga?” Azriel menyoal semula.

“Nope. I actually travel ke sini. Baru aje sampai di NYC semalam. I datang sini dengan my bestfriend. Tapi, dia sibuk dating with her boyfriend. Then, tinggallah I seorang diri jalan-jalan kat sini. I tak tahu nak pergi mana. Boring. Nak shopping sorang-sorang tak best pula. Tengah I ber’selfie’ tiba-tiba kena ragut dengan lelaki jahat tadi. What a bad day. Urgh! Oh, tapi I’m so happy dapat kenal dengan you. I thought that tak ada orang Malaysia datang sini. Tapi, bila dapat kenal dengan you I seronok sangat~”

Bla. Bla. Bla. Terkebil-kebil mata Azriel mendengar celoteh gadis itu. Perkataan yang keluar tanpa henti dari mulutnya sudah seperti bertih jagung.

Bagaimana pun wajah manis Ivy yang sesekali tertawa bersama senyuman hingga menampakkan lesung pipit di kedua belah pipinya bagai memukau pandangan Azriel. Dia seakan terpaku melihat keindahan yang tersaji di depan mata.

Sejujurnya walau sudah lama berada di bumi New York, namun hati Azriel tidak pernah tertawan kepada mana-mana wanita di sini. Tiada yang menarik perhatiannya. Tetapi, saat ini entah mengapa perasaannya berlainan.

“Azriel, air you tumpah!”

Suara kuat Ivy mengejutkan Azriel dari lamunan. Serta-merta dia melihat ke arah gelas kertas berisi kopi panas tadi yang sudah senget dan airnya tumpah ke tanah.

"Opss!"

Alamak! Ralit sangat menikmati wajah manis gadis di hadapannya sehingga tidak sedar minuman yang dipegang tertumpah. Malu pula. Haish.

“I’m sorry…” ucap Azriel serba salah.

Sebaliknya ucapan Azriel disambut tawa kecil Ivy.

“Comellah you ni Azriel.”

“Huh, comel??”

Azriel mengerutkan dahi. Pertama kali ada gadis memujinya ‘comel’. Duh. Merah padam mukanya. Ivy pula masih tertawa melihat gelagat Azriel.

“By the way Azriel, if you don’t mind boleh tak you bawa I jalan-jalan di bandar ni? Since you cakap you dah lama tinggal di sini. Tentu you tahu banyak tempat menarik di NYC.”

“Oh, boleh. Why not. Jom I bawa you jalan-jalan di sini. I jadi ‘tour guide’ untuk you hari ni.”

Dengan senang hati Azriel bersetuju dengan cadangan Ivy. Atau sebetulnya ingin mengawal perubahan pada riak wajahnya dengan pujian Ivy tadi.

“Berapa you caj untuk jadi my personal tour guide? Harap tak mahal sangatlah tau.” Ivy berseloroh.

“Well, disebabkan kita satu negara, I takkan kenakan sebarang caj. It’s free.”

“Really? Wow. That’s good! Kalau macam tu jom kita pergi sekarang!”

Spontan Ivy bangun lalu menarik tangan Azriel. Mendorong lelaki itu ikut sama bangun dan menuruti langkahnya yang sudah tidak sabar-sabar.

Saat Ivy dengan selamba menyilang tangan ke lengannya sambil memeluk dengan erat persis mereka pasangan kekasih yang berjalan bersama, tona wajah Azriel sekali lagi bertukar.

Panas dan berbahang. Padahal mereka sedang berada di dalam musim luruh di tengah Kota New York. Urh, apakah sejenis perasaan ini?

Share this novel

DHIA AMIRA.
2025-07-24 02:04:44 

oic... ok ... kat nyc ptmuan


NovelPlus Premium

The best ads free experience