“Kakak, Mama bangga sangat bila kamu tahu apa yang kamu perlukan selama ni,” luah Farhana perlahan, suaranya bergetar. Matanya tak lepas dari wajah anak perempuan yang selama ini menjadi tulang belakang keluarga mereka.
“Dulu, masa kita susah… tak ada siapa pun hulur tangan, Kakak. Semua buat-buat tak nampak. Mama ingat lagi… waktu tu nak beli nasi pun kira sen.” Air mata bergenang di kelopak matanya.
“Mama selalu doa. Doa siang malam supaya Allah bagi kita peluang baru. Tapi Mama tak pernah simpan walau setitik pun marah dalam hati bila Kakak cakap nak kerja rumah orang. Mama tahu, itu semua kerana Kakak fikir tentang kita.”
Medina menunduk, sebak mula merayap ke dadanya. Kata-kata Mama, setiap satu menikam jiwanya dalam-dalam.
Dia tahu, dalam kuatnya Mama berdiri… ada luka lama yang tak pernah sembuh.
“Selama ni Mama sedih, sampai ke hari ni pun rasa tu tak hilang, Kakak. Isk…” Farhana menyeka sudut matanya.
“Kamu selalu nampak kuat, Kakak. Kuat bekerja demi keluarga. Tapi kamu manusia, sayang. Kamu ada letih kamu… ada sedih kamu. Mama tahu tu.”
Medina Atalia segera mendekat, memeluk Mama erat. Wajahnya disembamkan ke bahu yang pernah menjadi tempat dia menangis sewaktu kecil.
“Mama… Mama jangan sedih macam ni. Kakak buat semua ni bukan sebab Kakak hebat.“
“Tapi sebab doa Mama yang buat Kakak kuat sampai hari ni.”
“Kalau bukan kerana doa Mama dan Ayah, Kakak sendiri tak tahu apa jadi dengan hidup Kakak dulu. Kakak…“
”Kakak dah tak mampu teruskan dunia modelling tu. Dunia tu kejam, Mama. Kakak… Kakak penat sangat,” suara Medina perlahan, patah-patah.
Dia menyeka air mata di pipi ibunya perlahan, penuh kasih.
“Kakak berhenti jadi model sebab Kakak rasa hilang diri sendiri. Kakak pilih kerja sebagai pembantu rumah pun, Kakak bersyukur sangat.“
”Sekurang-kurangnya, Kakak boleh balik dengan hati yang tenang.”
Farhana menggeleng perlahan, air matanya gugur lagi.
“Tapi kamu belum layak tanggung semua ni, Kakak. Mama… Mama rasa bersalah sebab Mama yang sepatutnya pikul semua ni. Tapi Mama gagal.“
”Mama tak pernah bertanggungjawab penuh terhadap keluarga kita.”
Medina menarik nafas dalam-dalam.
“Astaghfirullahalazim, Mama… jangan cakap macam tu lagi. Kita ni keluarga. Kita semua ada bahagian masing-masing. Kakak tak nak Mama salahkan diri sendiri.”
“Kakak cuma tak nak susahkan Mama dan Ayah. Kakak nak kita semua… bahagia.”
Farhana memegang pipi anaknya, menyeka air mata di bawah bibirnya. Sentuhannya lembut seperti waktu dia membedung Medina semasa kecil.
“Yelah, Kakak… Kalau kamu nak guna telefon rumah tu, silakan ya. Mana tahu kamu nak telefon sesiapa.”
Medina mengangguk perlahan, senyum nipis terbit di bibir. Tapi senyuman itu hanya untuk menutup kekeliruannya sendiri.
“Erm… Takpelah Mama. Kakak rasa nak masuk tidur. Esok kerja lagi.” Medina memalingkan wajah, bersedia untuk melangkah ke bilik kecil di hujung lorong.
Dia masih belum ingat nombor telefon Mikael Lutfi. Langsung tak sempat nak hafal. Kalau dia pulang tanpa memberi tahu, entah apa akan jadi.
Tapi untuk malam ini, dia tak kisah.
Biar masa berhenti sekejap.
Biar malam ini jadi milik seorang anak dan seorang ibu yang saling meminjam kekuatan.
Share this novel