SETELAH saling meluahkan perasaan mengenai hala tuju hubungan mereka, Amira dan Rizal mula ingin bergerak menuju ke arah motosikal mereka. Amira perlu pulang membawa barangan dapur yang dibelinya ke rumah dan menyediakan makanan tengah hari. Sambil berjalan beriringan, Rizal sempat berbicara kepada gadis di sampingnya.
"Nak saya jumpa dan bagitau ibu awak hari ni ke?" Tanya Rizal, terkidum-kidum.
"Hmm.. suka hati awak la.. lagi cepat lagi bagus." Amira tersenyum.
Mereka beriringan berjalan melintasi jalan raya untuk menuju ke arah motosikal yang diparkir di seberang jalan. Namun, secara tiba-tiba sebuah kereta Honda Civic berwarna putih menderu laju, menuju ke arah pasangan tersebut. Rizal dan Amira yang menyedari kenderaan yang sedang meluncur laju di atas jalan raya itu segera mempercepatkan langkah mereka. Namun kereta yang bergerak itu seolah sengaja mengejar mereka.
Menyedari mereka sudah tidak sempat untuk mengelakkan diri, Rizal dengan pantas menolak Amira agar gadis itu terselamat dari dilanggar. Amira yang di dorong, tercampak ke bahu jalan dan terjelepok ke bumi. Barang-barang yang dibelinya tadi bertaburan di atas jalan.
DUMM!
Rizal akhirnya dilanggar oleh kereta yang seperti sengaja mengincarnya. Lelaki itu melambung dan tercampak beberapa meter sebelum terhempas ke jalan raya dan bergolek beberapa kali.
"Rizal!!" Amira menjerit sekuat hati apabila melihat Rizal dilanggar, tepat di depan matanya.
Kereta yang melanggar Rizal itu pula segera memecut, melarikan diri. Pemandunya, Ikmal tersenyum puas.
"Mampus kau! Puas hati aku kali ni.." Ikmal ketawa terbahak-bahak. Akhirnya, dendam terhadap Rizal terlunas. Dia sangat membenci dan sakit hati kepada lelaki tersebut. Bekas pekerja kebersihan yang jijik itulah yang telah mengganggu rencananya untuk menodai Amira. Malah lelaki itu turut memukulnya berkali-kali bahkan kerana lelaki itu jugalah, dia dipecat daripada syarikatnya bekerja. Ikmal tidak rela jika dirinya kehilangan pekerjaan disebabkan oleh seorang pekerja rendahan seperti Rizal.
Sebentar tadi, dia secara tidak sengaja melalui jalan tersebut. Dia yang sangat membenci Rizal akhirnya terlihat lelaki yang dibencinya itu sedang melintas jalan bersama Amira. Ikmal tidak ingin melepaskan peluang. Dia harus membalas dendamnya yang terbuku di dalam hati sejak beberapa hari yang lalu. Kesempatan tersebut di ambil dan Ikmal langsung membuat keputusan untuk melanggar lelaki yang dibencinya itu.
Sementara itu, Amira bingkas berdiri dari rebahnya dan berlari menuju ke arah Rizal.
"Rizal!..Riz!.. Tolong!!.. tolong!!.." Amira panik dan menjerit meminta pertolongan daripada orang ramai yang berada disekitar kawasan tersebut. Air mata gadis itu mula mencurah-curah berlinangan setelah melihat keadaan Rizal yang berlumuran darah. Lelaki itu sudah tidak sedarkan diri malah darahnya pula mula memenuhi jalan raya.
"Riz.. jangan tinggalkan saya.. Tolong!.. Tolong!.. Sesiapa, tolong call ambulans!.." Amira semakin cemas. Dia ketakutan setelah melihat keadaan Rizal. Malah darah lelaki itu banyak mengalir dari bahagian kepalanya. Amira risau jika Rizal kehilangan nyawanya. Padahal baru beberapa minit tadi mereka sudah mengikat janji, untuk berumah tangga dan hidup bersama.
Orang ramai mula mengerumuni tubuh Rizal yang sudah terkulai di atas jalan raya. Jasad yang sudah tidak sedarkan diri dan nyawa-nyawa ikan itu diangkat dan diusung oleh orang ramai untuk dialihkan ke tepi jalan. Amira pula tetap setia berada di samping Rizal yang terluka parah. Gadis itu masih menangis tersedu sedan.
"Riz.. tolonglah, jangan tinggalkan saya.. awak dah janji, nak kahwin dengan saya.." Amira seakan merayu dalam tangisannya. Dia benar-benar khawatir jika lelaki tersebut kehilangan nyawa.
Tidak lama kemudian, ambulans pun tiba. Rizal segera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan kecemasan. Amira turut ikut bersama untuk menemani Rizal ke hospital. Dia harus mengetahui keadaan Rizal dan menjaga lelaki tersebut. Amira sebenarnya bersyukur dan ingin berterima kasih kepada Rizal. Jika bukan kerana lelaki itu menolak dan mendorong dirinya ke bahu jalan, mungkin Amira pun akan turut berada di dalam keadaan yang sama dengan Rizal sekarang. Amira tidak mampu untuk membayangkan jika mereka berdua sama-sama dilanggar oleh kereta tersebut.
Di hospital, Amira yang cemas tetap bersabar untuk menunggu dan mengetahui keadaan Rizal. Menempatkan dirinya di bangku pada luar bilik operasi, Amira tidak putus-putus berdoa agar Rizal dapat diselamatkan. Setelah beberapa ketika, seorang jururawat keluar dari bilik rawatan. Amira segera mendekat dan bertanya.
"Macam mana keadaan orang kat dalam?"
"Mangsa langgar lari tu? keadaan dia masih tak stabil dan kehilangan banyak darah.. cik tolong bersabar.. kami akan buat yang terbaik untuk selamatkan dia.. nanti kami akan maklumkan semula kat cik.. cik ni, ada hubungan apa ye dengan pesakit?"
"Saya.. saya tunang dia." Amira tidak tahu untuk menyatakan hubungannya dengan Rizal. Untuk mengatakan mereka sekadar berkawan, namun tadi mereka sudah mengikat janji untuk berkahwin. Untuk dikatakan sebagai isteri, namun mereka masih tidak berkahwin. Jadi, menggelarkan dirinya sebagai tunangan Rizal adalah jawapan yang paling sesuai difikirkan oleh Amira.
"Cik bersabar ye.. nanti kami akan maklumkan semula keadaan pesakit." Ujar jururawat terbabit sebelum bergegas membuka langkah kaki, meninggalkan Amira.
Amira kembali terduduk di kerusi menunggu. Hatinya semakin berdebar. Doa agar Rizal terselamat tidak terputus dilafazkan di dalam hati kecilnya. Hampir dua jam Amira menunggu, akhirnya pintu bilik rawatan terbuka. Seorang doktor lelaki melangkah keluar. Amira tergesa-gesa mendapatkan doktor tersebut.
"Doktor, macam mana dengan tunang saya?" Amira kelam-kabut bertanya.
"Ah, awak tunang pesakit? Ahli keluarga dia yang lain ada tak?" Doktor lelaki itu bertanya kembali.
"Ahli keluarga dia tiada kat sini.. Mereka tinggal jauh.. Hanya saya seorang je yang berhubungan dengan dia kat sini.." Amira segera menjawab. Doktor itu pula mengangguk kecil.
"Hmm.. Kalau macam tu, saya akan bagitau cik dulu la.. Sekarang keadaan pesakit dah selamat.. walaupun belum stabil sepenuhnya dan masih tak sedarkan diri, setidaknya dia dah keluar dari bahaya.. nanti kami akan pindahkan dia masuk ke wad." Doktor lelaki itu memberi penjelasan. Amira mula menghela nafas lega.
Tidak lama kemudian, Rizal yang masih koma dan terbaring di atas katil dibawa menuju ke ruang wad bagi pemantauan dan rawatan lanjut. Amira turut mengikuti untuk menjaga dan melihat keadaan Rizal seterusnya. Rasa kasihannya kepada Rizal bertalu-talu mengusik sanubari. Lelaki itu bersendirian tanpa kehadiran ahli keluarga. Amira sendiri tidak mengenali dan tidak tahu bagaimana untuk menghubungi ahli keluarga lelaki berkenaan. Satu-satunya orang yang berhubungan dengan Rizal di sana hanyalah Amira. Jadi Amira merasakan, sudah menjadi tanggung jawabnya untuk menjaga lelaki tersebut. Malah, fikir Amira, Rizal menjadi sebegitu adalah demi menyelamatkan dirinya. Jika Rizal bersendirian, sudah pasti lelaki itu mampu untuk mengelak kereta yang meluncur ke arahnya. Namun lelaki itu memilih untuk menolak Amira agar terselamat dan hanya dia sendiri yang menanggung akibat daripada perlanggaran tersebut. Memikirkan kejadian tersebut, Amira semakin merasa terhutang budi dan bertanggung jawab untuk menjaga Rizal di hospital.
Di wad, Amira duduk di kerusi, di samping katil yang menempatkan Rizal. Wajah lelaki itu ditatap dengan penuh kasih. Amira sudah tidak mampu untuk menafikan jika dia sudah menyayangi Rizal. Dia ingin bersama lelaki tersebut dan sama sekali tidak mahu kehilangannya.
"Rizal.. cepatlah sedar.. buka mata awak.. bila awak dah sihat nanti, kita kahwin.." Amira berbicara perlahan, seakan berbisik kepada Rizal yang tidak sedarkan diri. Dia terpaksa bersuara perlahan agar tidak mengganggu pesakit lain yang turut berada di dalam wad.
"Saya dah terima lamaran awak.. saya dah jadi tunang awak.. awak.. awak jangan tinggalkan saya.. awak mesti kahwin dengan saya.." Amira terus berbicara, meluahkan rasa yang terpendam di lubuk hatinya.
Setelah lama menunggu, Rizal masih tidak sedarkan diri. Amira yang kepenatan dan juga kelaparan terpaksa meninggalkan terlebih dahulu Rizal buat sementara waktu. Dia harus pulang untuk membersihkan diri, makan dan merehatkan diri buat seketika.
USAI solat asar, Amira yang sudah mendapatkan rehat seketika di rumahnya, kembali ke hospital untuk menjaga Rizal. Walaupun sudah berehat, namun badan dan fikiran perempuan itu masih lemah. Langkah kakinya terasa longlai malah fikirannya juga sentiasa memikirkan keadaan Rizal. Tiba di wad yang menempatkan Rizal, Amira langsung menuju ke arah katil lelaki tersebut.
"Riz.. cepat la sembuh.. buka la mata awak.." Amira segera berbicara kepada Rizal yang dilihatnya masih terbaring kaku di atas katil.
Tanpa disangka, kelopak mata Rizal mulai bergerak. Lelaki itu perlahan-lahan membuka matanya. Melihatkan Rizal yang sudah mencelikkan mata, Amira tersenyum gembira.
"Riz.. awak dah sedar akhirnya.."
Air mata mula bergenang di takungan mata Amira lalu terus melimpah keluar dari bendungannya. Pipi gadis itu mulai basah dengan deraian air mata.
"Awak buat saya risau.." Amira terus menangis sambil tersenyum. Dia hampir sahaja memeluk badan Rizal, namun masih berjaya menahan keinginannya itu. Rizal pula melihat ke arah Amira dengan pandangan yang kosong.
"Kau... siapa kau?" Rizal mula bersuara dengan perlahan dan serak. Lelaki itu mengerutkan dahinya sambil memandang ke arah Amira.
Amira terkaku. Dia benar-benar terpempan dengan ucapan Rizal.
"Riz.. awak.. awak tak kenal saya?" Darah Amira dirasakan berderau. Garis senyuman pada bibirnya mulai sirna. Gadis itu kebingungan. Adakah Rizal benar-benar lupa akan dirinya, atau lelaki itu sengaja berpura-pura tidak mengenalinya? Amira ketakutan. Pelbagai andaian mula bermain dibenaknya.
"Siapa kau? Aku.. aku kat mana ni?" Rizal bertanya lagi.
"Rizal!!.. jangan bergurau lagi.. takkan awak dah lupakan saya?" Amira sedikit menguatkan suara. Dia seakan tidak percaya dengan kata-kata yang terucap pada mulut Rizal setelah melihatnya. Kini Rizal pula yang terkebil-kebil apabila melihat Amira yang semakin beremosi.
"Lupa? Tapi aku memang tak kenal kau.. kau.. ah.. aku.. aku.. siapa aku?" Rizal semakin bingung sambil memegang kepalanya. Dahi lelaki itu berkerut seribu kerana cuba memerah otak untuk mengingati sesuatu. Melihatkan reaksi Rizal, Amira bergementaran seluruh tubuh. Jiwanya mula bergoncang hebat, seakan dipalu bertalu-talu.
"Siapa aku?!! Tolong bagitau.. siapa aku?!!" Rizal menjerit seakan histeria. Amira yang tadinya gembira tatkala melihat Rizal mulai sedar, kini berdiri kaku seraya menangis tersedu-sedan. Dia tidak percaya dengan apa yang telah berlaku terhadap lelaki di depannya itu.
Mendengar keributan daripada Rizal, jururawat dan doktor segera menuju ke arah lelaki tersebut. Rizal berjaya ditenangkan dengan satu suntikan. Lelaki yang baru sedar itu benar-benar mengganggu suasana di dalam wad hospital apabila menjerit dan menggelupur seperti orang gila.
Setelah itu, Rizal telah diperiksa dengan lebih teliti dan pengimbasan otak turut dilakukan. Setelah selesai melakukan pemeriksaan dengan teliti, doktor segera menemui Amira yang merupakan penjaga dan orang yang bertanggung jawab ke atas Rizal.
"Macam mana dengan keadaan dia doktor?" Amira yang cemas dan penuh debaran bertanya mengenai hasil pemeriksaan terhadap Rizal.
"Emm.. pesakit mengalami hentakan kuat kat kepala.. menyebabkan otak dia ada mengalami gegaran.. dari pemerhatian, saya rasa dia sekarang mengalami amnesia. Kemungkinan, dia dah kehilangan ingatan.."
"Ya Allah..." Amira yang terkejut dengan spontan menekup mulutnya. Mata gadis itu terbeliak luas. Kini, kolam matanya kembali bergenang.
"Saya sendiri tak pasti, amnesia dia itu akan berkekalan atau hanya bersifat sementara.. nanti kami perlu buat rawatan susulan.. buat masa sekarang, berdoalah agar dia cepat sembuh dan ingatan dia tak terganggu lama.."
Amira pula terbungkam diam. Perkhabaran daripada doktor sebentar tadi menjadi satu pukulan buat Amira sehingga gadis itu tidak mampu berkata-kata. Dia semakin bingung. Entah bagaimana dia harus melanjutkan hubungannya dengan Rizal. Dia tidak tahu bagaimana ingin membantu dan menguruskan lelaki tersebut di masa akan datang. Malah lebih membingungkan Amira, entah bagaimana untuk dia menghubungi keluarga Rizal bagi memaklumkan keadaan lelaki tersebut. Keluarga Rizal harus tahu keadaan terkini lelaki itu.
Share this novel
kuang ajar tul Ikmal ni...alahai dh hilang ingatan pulak si Rizal ni..