HARI yang ditunggu oleh Rizal akhirnya tiba. Hari ini merupakan hari ulang tahun kelahiran Amira. Rizal sudah pun berencana untuk tidak berniaga dan siap sedia berjanji dengan Amira untuk makan bersama di sebuah restoran. Walaupun mereka sudah sering kali makan bersama, namun kali ini sangat berbeza. Rizal sudah tidak sabar untuk menemui Amira.
Rizal berdiri di hadapan cermin dalam kamar tidurnya. Dia baru siap berpakaian selepas mandi dan membersihkan diri. Rizal memerhatikan penampilannya. T-shirt berjenama Prada yang dikenakan pada tubuhnya terlihat ringkas dan kemas, dipadankan dengan seluar jeans biru Momotaro keluaran Kojima. Walaupun hidup dalam kedaifan, namun harga pakaian yang dikenakan pada tubuh badannya sekarang mencecah sehingga ribuan ringgit.
Lelaki itu menyikat rapi rambutnya. Dia kemudian mendekatkan wajahnya pada cermin. Raut wajahnya ditilik cermat. Ketika mandi tadi, dia baru sahaja bercukur, membersihkan wajahnya daripada misai dan janggut. Lelaki itu kemudian meletakkan telapak tangannya menghampiri mulut, hampir menekup mulutnya itu. Beberapa hembusan nafas dilepaskan dan Rizal mencuba untuk menghidu bau nafas dari mulutnya sendiri. Lelaki itu tersenyum sendiri setelah berpuas hati dengan bau nafasnya.
Tidak cukup sekadar itu, Rizal mencapai pula botol minyak wangi dan menyemburkan wangin tersebut ke seluruh badannya. Aroma wangian berjenama dunhill itu semerbak mengisi ruang bilik. Belum berpuas hati, Rizal mengambil pula minyak wangi berjenama Diptyque dan sekali lagi menyembur ke arah badannya. Aroma dari dua jenis wangian yang diadukkan itu mula menimbulkan bau yang lebih memikat.
Selesai menyiapkan diri, Rizal mula memakai jam tangan Tag Heuer pada pergelangan tangan kirinya. Bekas cincin yang dibelinya semalam ditatap. Lelaki itu membuka bekas tersebut untuk melihat sekali lagi cincin yang bakal dia berikan kepada Amira nanti. Rizal mulai tersenyum dan kembali menutup bekas cincin tersebut. Bekas itu kemudian dimasukkan ke dalam tas tangan. Rizal tidak ingin menggunakan beg galas kerana penggunaan beg itu akan terlihat kurang sesuai dengan penampilannya yang kemas.
Setelah segala persiapannya selesai, Rizal mula melangkah keluar dari kamarnya sambil bersiul-siul. Sebelum keluar dari rumah, lelaki itu menyarungkan kasut kulit clarks sebagai alas di kakinya. Kini penampilannya lengkap dengan sempurna. Rizal yakin, dirinya akan tampil sebagai lelaki paling kacak pada malam itu di hadapan Amira.
Melangkah keluar dari rumah, lelaki itu memasukkan tas tangannya ke dalam raga motosikalnya.
"Cis, dah pakai habis smart, kacak bergaya.. tapi naik motor lembugini.. hilang macho aku.." Rizal menempelak dirinya sendiri. Namun dia tetap menunggang kenderaanya itu dan segera menghidupkan enjin.
"Motor buruk pun jadilah.. asalkan dapat sampai.." Rizal ketawa sambil memasukkan gear dan meluncurkan motosikalnya itu.
Dengan perasaan girang dan senang hati, Rizal menunggang motosikalnya, membelah angin malam. Sebentar lagi, dia harus tiba di restoran dengan selamat untuk menyambut hari ulang tahun kelahiran Amira bersama gadis tersebut.
Tiba di hadapan restoran yang dijanjikan kepada Amira, Rizal memberhentikan motosikalnya. Di sebelah pula, terdapat sebuah kereta Honda Civic yang sedang parkir di situ. Seorang lelaki keluar dari perut kereta tersebut dan langsung melihat ke arah Rizal yang baru mematikan enjin motosikalnya. Setelah Rizal turun dari motosikalnya, lelaki yang berada di sebelahnya tiba-tiba menyapa.
"Wei brader.. pakai dah smart.. nampak bergaya.. tapi naik motor kapcai.. malu la brader.. setidaknya, pakai la honda macam ni.. baru ada class.." Lelaki itu menepuk keretanya. Sengaja ingin berlagak kepada Rizal.
Melihat kesombongan lelaki yang cuba merendahkannya itu, Rizal hanya tersenyum sinis.
"Kau tak tengok ke, kau tak tahu? EX5 ni pun honda jugak brader.. sama-sama honda.. bezanya kau tayar empat.. aku tayar dua.." Rizal membalas.
Mendengar ucapan Rizal, lelaki tersebut ketawa keras sambil menggelengkan kepala.
"Pakai motor cabuk, ada hati nak samakan dengan kereta aku.. nampak je bergaya.. tapi kalau pakai motor buruk macam tu, sekali tengok pun orang dah tahu, kat badan kau tu semua barang tiruan.. beli kat pasar malam.." Lelaki itu masih tertawa, cuba merendahkan Rizal.
Di saat itu juga, Amira muncul dan berjalan ke arah Rizal. Rizal dengan senyuman sinis sekali lagi membalas kepada lelaki yang sedang mentertawakannya.
"Pakai kereta pun, kalau takde awek, tak guna bro..."
Amira yang tiba di samping Rizal pula segera menyapa lelaki tersebut.
"Wah, segak awak hari ni.." Amira memuji penampilan Rizal.
"Hehehe.. biasa je.. jom, kita masuk sekarang." Rizal membalas dan mengajak Amira untuk segera menuju ke dalam restoran. Setelah mereka mula berjalan beriringan, Rizal menjeling ke arah lelaki yang mentertawakannya seraya mengangkat kening dan tersenyum sinis. Lelaki yang ketawa tadi kini terdiam. Mulutnya melopong apabila melihat Rizal sedang bersama seorang gadis yang cantik.
Tiba di dalam restoran, Rizal segera menarik kerusi dan mempersilakan Amira untuk duduk disitu.
"Wah, layanan istimewa nampaknya hari ni.." Amira teruja. Gadis itu segera menempatkan punggungnya dikerusi, manakala Rizal pula beralih dan duduk di kerusi yang bertentangan.
"Hari ni kan hari istimewa awak.. saya akan layan awak macam puteri raja."
"Amboi.. melebih-lebih. Sampai jadi puteri raja." Amira gembira mendengar ucapan lelaki di depannya itu.
"Tak jadi puteri raja betul pun, setidaknya awak akan jadi tuan puteri untuk saya hari ni." Rizal memberi sanjungan.
Amira menjuihkan bibir sambil tersenyum. Fikirnya, Rizal sengaja melebih-lebih memberi sanjungan kepadanya namun dia tetap gembira tatkala mendengar ucapan tersebut.
Setelah pekerja restoran tiba di meja, mereka langsung membuat pesanan. Kemudian Rizal kembali mentapa Amira yang duduk berhadapan dengannya. Wajah gadis itu terlihat sedikit berbeza berbanding kebiasaannya. Amira kini mengenakan sedikit solekan nipis pada wajahnya. Kulitnya terlihat lebih cerah dan bibirnya juga kelihatan basah. Rizal semakin asyik. Dia tidak pernah melihat Amira mengenakan sebarang solekan selama ini. Pada pandangan Rizal, Amira mungkin hanya mengoleskan sedikit bedak dan memakai gincu namun yang tidak terang warnanya. Kecantikannya semakin terselah dan nampak alami.
Kemudian Rizal baru terperasan, Amira kini sedang mengenakan tudung yang dia berikan pada minggu lalu. Rizal tersenyum kecil. Dia sangat gembira apabila melihat Amira memakai tudung pemberiannya. Terasa hadiahnya itu sangat dihargai oleh gadis berkenaan.
"Kenapa awak asyik duk tengok saya je ni?" Amira mula perasan Rizal yang sedang menatapnya.
"Awak nampak cantik hari ni.." Rizal dengan jujur meluahkan rasa yang sedang bermain di fikirannya.
Amira sedikit terkejut. Namun dalam diam, gadis itu sangat gembira dengan pujian yang diberikan. Ini kali pertama dia mendengar Rizal memujinya sedemikian.
"Jadi selama ni saya tak nampak cantik la?" Amira sengaja ingin mengusik. Padahal hatinya sudah berbunga-bunga setelah menerima pujian.
"Emm.. entah.. selama ni saya tak perasan." Rizal melepaskan tawa.
"Ish, jahat." Amira berpura-pura merajuk.
"Kalau nak saya cakap jujur, awak memang selalu nampak cantik.. dan awak adalah wanita paling cantik yang saya pernah tengok." Rizal memberikan pujian yang melambung. Namun kata-kata itu adalah benar-benar ikhlas yang muncul di dalam hatinya. Rizal sedar, kecantikan itu adalah sesuatu yang subjektif. Awal perkenalan mereka dulu, Rizal merasakan kecantikan Amira itu hanyalah sekadar biasa-biasa bahkan tidak setanding pun dengan mantan kekasihnya, Juana. Namun dimatanya kini, kecantikan perempuan itu tiada tandingannya. Rizal juga tidak mengerti kenapa pandangannya terhadap kecantikan Amira mampu berubah.
"Ishhh.. jangan la melampau sangat.. ada pulak paling cantik.. menipu je.." Amira tertunduk malu setelah menerima pujian. Baginya, pujian Rizal itu amat melampau. Namun disudut kecil hatinya, Amira sangat gembira. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia sangat gembira menerima pujian daripada Rizal. Padahal selama ini, sudah ramai lelaki yang pernah memujinya dan cuba ingin mendekati dirinya. Namun semuanya ditolak oleh Amira. Bagi gadis itu, dia senang untuk berkawan dengan sesiapa sahaja. Namun dia akan membataskan hubungannya dengan mana-mana lelaki sekadar menjadi kawan sahaja. Tidak lebih dari itu.
Amira sendiri sedar, mungkin sudah ramai lelaki yang kecewa kerana ditolak olehnya. Dia sendiri tidak berniat untuk mengecewakan sesiapa namun dia hanya sekadar membataskan hubungan buat dirinya sendiri sahaja. Bagi Amira, dia akan menolak semua lelaki yang meminta dirinya menjadi kekasih mereka. Dia sama sekali tidak ingin bercinta melainkan dengan lelaki yang akan menjadi suaminya suatu hari nanti.
Namun keadaan kini berbeza sama sekali. Amira sendiri tidak dapat mengawal dirinya daripada termakan puji-pujian daripada Rizal. Padahal dia sendiri hanya menganggap Rizal hanyalah sebatas seorang kawan sahaja. Namun entah kenapa, dia sangat selesa dan suka tatkala bersama lelaki itu. Baginya, Rizal adalah seorang lelaki yang istimewa. Berbeza daripada lelaki lain yang pernah dikenalinya. Malah paling membingungkan Amira sendiri, dia juga turut bersetuju untuk keluar makan bersama Rizal kali ini seraya menyambut ulang tahun kelahirannya. Padahal selama ini dia sama sekali tidak pernah keluar berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahramnya.
Kini Rizal dan Amira saling berdiam diri dan bergilir-gilir mencuri pandang ke arah satu sama lain. Tiba-tiba rasa malu mula menyelinap di antara keduanya. Mungkin keadaan sebegitu terjadi kerana terasa kekok bagi Amira. Gadis itu tidak pernah merasai pengalaman berdua-duaan sebegitu walaupun hakikatnya mereka sedang berada di dalam restoran yang dipenuhi ramai orang. Namun Rizal yang dahulunya sudah terbiasa bermain-main dengan perempuan pun turut menjadi segan. Entah kenapa lelaki yang terkenal sebagai kaki perempuan suatu ketika dahulu kini menjadi malu, tidak berkutik di depan Amira.
Keadaan sepi terus berlangsung diantara keduanya. Sehinggalah pesanan makanan mereka pun tiba, mereka berdua langsung menjamu selera tanpa banyak bicara. Selama sedang makan, mereka hanya berbalas kata dengan ucapan yang singkat. Tiada lagi kata-kata manis dan pujian yang berdegar-degar dan berjela-jela.
Selesai menghabiskan makanan, Rizal menyandarkan badannya ke kerusi. Dia kembali menatap ke arah Amira yang masih belum menghabiskan makanannya. Gadis itu masih mengunyah hirisan daging di dalam mulutnya perlahan-lahan.
"Sopan betul awak makan.." Rizal kembali bersuara.
"Ish, awak ni.. dah la usik saya.. bagi la saya habiskan makanan ni dulu." Amira semakin merasa malu dan segan apabila ditegur sebegitu.
"Okey.. tak.. saya tak usik dah.. awak habiskan steak tu dulu.." Rizal mengangkat kedua belah tangannya separas bahu seraya mempamerkan senyum.
"Awak berbeza betul la hari ni.. apa dah jadi? awak salah makan ubat ke?" Amira membalas lalu menyuap hirisan daging terakhir ke mulutnya.
"Awak pun berbeza.. makin cantik hari ni.." Rizal masih memberikan pujian.
"Ish, dia ni.. cucuk kang!" Amira mengacukan garfu dan pisau di tangannya, seolah-olah ingin mencucuk mata Rizal. Namun mulutnya masih lagi mengunyah sambil mengulumkan senyum.
"Aduh, sampai hatinya kau.. mencucuk mata beta.. sampai jadi buta.. macam kasim selamat.." Rizal menutup kedua belah matanya dengan tangan sambil mengucapkan dialog yang pernah disebutkan oleh M. Zain sebagai Labu di dalam filem Labu Labi. Amira pula mula melepaskan tawa.
"Dah.. dah.. tak payah nak jadi Labu Labi kat sini.. nanti tak pasal-pasal penyakit buta awak tu berjangkit kat saya.." Amira cuba menahan tawa.
Rizal yang melihat Amira sudah selesai makan kemudian tersenyum. Perlahan-lahan lelaki itu membuka tas tangannya dan mengambil bekas cincin di dalamnya. Bekas cincin tersebut lalu dibuka dan diletakkan di atas meja, seraya dihulurkan kepada Amira.
"Happy Bithday Amira.."
Amira tergamam. Dia tidak menyangka Rizal akan menghadiahkan sebentuk cincin emas kepadanya.
"Eh, kenapa awak bagi cincin ni? Membazir je duk beli cincin emas.. saya tak nak la." Amira berat hati untuk menerima. Dia tidak ingin Rizal menghabiskan wang yang banyak sebegitu untuk dirinya.
"Saya dah beli pun.. takkan awak taknak terima? Ini pemberian ikhlas dari saya.. kalau awak taknak, saya buang je la." Rizal ingin merajuk.
"Eh, jangan. Kenapa nak buang pulak." Amira lekas mencapai bekas yang mengandungi cincin itu. Dia khawatir jika Rizal menganggap dia tidak menghargai pemberian tersebut.
Tiba-tiba Rizal pula seakan dirasuk oleh kecantikan Amira. Lelaki itu perlahan-lahan bangkit dan mendekati Amira. Dia masih tidak mampu menahan diri daripada tabiat lamanya terhadap perempuan. Rizal mula mendekatkan bibirnya pada wajah Amira. Namun melihat perlakuan tersebut, Amira segera mengelak lantas menampar pipi Rizal. Rizal tersentak lalu menjatuhkan pandangannya ke lantai. Dia benar-benar malu dengan kelakuannya sebentar tadi. Amira pula lantas bangkit berdiri dari kerusi.
"Apa yang awak nak buat ni? kita bukan mahram! Jangan buat sesuatu yang melepasi batas.." Amira mendengus kencang. Gadis itu segera mencapai tas tangannya di atas meja. Bekas cincin yang diterimanya daripada Rizal lantas dimasukkan ke dalam tas tangannya.
"Terima kasih sebab sudi belanja saya makan.. terima kasih jugak untuk hadiah awak.." Dengan wajah yang tegang, Amira lekas berpaling badan. Namun perempuan itu sempat melanjutkan ucapannya.
"Kalau awak betul-betul sukakan saya, jadikan saya halal dulu untuk awak." Amira segera membuka langkah dan meninggalkan Rizal yang kaku ditempatnya. Walaupun geram dengan perbuatan Rizal, namun Amira pada masa yang sama menyimpan rasa gembira. Dia tahu Rizal juga tertarik pada dirinya.
Share this novel
Alahai...Rizal ni gejoloh sgtlah..Amira bukannya perempuan murahan... Agak²nya Rizal tunaikan x permintaan Amira tu ye?