LAPANGAN terbang KLIA sedikit sibuk pagi itu. Pesawat dari Kota Kinabalu mendarat dengan lancar. Nadia melangkah keluar dengan hati yang berbelah bahagi. Sudah lama dia tidak menjejak kaki ke tanah yang menyimpan banyak kenangan… dan luka. Dia terpandangkan tempat dia dan Haris kali terakhir berjumpa.
Dulu dia melihat dengan mata yang berkaca kini… masih sama rupanya.
Dia menarik nafas dalam-dalam. “Kerja untuk 6 bulan je Nad. Lepas tu baliklah kau ke tempat asal kau,” bisiknya, cuba menyakinkan diri sendiri.
Hari pertama di pejabat cawangan Selangor agak memenatkan. Ramai staf baru, sistem belum stabil, dan Nadia perlu menyelia semua. Tapi lebih memenatkan ialah debaran yang sentiasa datang tanpa sebab setiap kali dia lihat langit Shah Alam dari tingkap.
Udara ini adakah sama dengan udara yang dihirup oleh Haris hari ini? Apa khabar sahabat baiknya itu dengan keluarganya? Berapa orang anak sudah Haris dan Sofeana miliki? Semua pertanyaan ini hanya berlegar di dalam fikirannya.
“Hi, Miss Nad. Thanks sebab sudi turun ke sini, kami sangat berbesar hati bila Miss Nad yang akan kendalikan branch di sini. Semuanya dari segi kumpulan pengurusan dah selesaikan cuma kemasukan pekerja di sini masih ada kekosongan seperti admin dan cleaner. Yang lain datangnya dari branch lain. Kalau ada apa-apa nak tanya pasal kawasan sini, saya berbesar hati untuk perkenalkan kepada Miss Nad,” kata ketua kumpulan di situ, Humairah.
Tersenyum Nadia dan dia hanya mengangguk. Langsung tidak memberitahu bahawa di sini adalah taman permainannya.
“Terima kasih. Saya okey je. Lagipun, saya hanya 6 bulan je kat sini. Tak pun 8 bulan. So, pejam celik je ni,” balas Nadia sambil tersenyum memandang Humaira di hadapannya.
Humairah hanya mengangguk faham memang dia tahu akan kebenaran ini melalui cawangan di Sabah tentang Nadia yang sememangnya berat hati untuk ditukarkan ke cawangan baru di Shah Alam.
KEDAI makan yang sarat dengan kenangan, nasi ayam di sini masih wujud dan Nadia tersenyum mengimbas waktu dia menjadi pelajar di mana ini adalah makanan kegemarannya bersama dengan Haris.
“Nad?”
Wajah di hadapannya ini mula menunjukkan wajah yang teruja. Terus saja dia dan Mira berpelukkan lama sambil ketawa bahagia. Rindu yang tidak terungkapkan, sudah terpisah 6 tahun.
“Mira…”
Mira menggeleng dan memandang Nadia dari atas ke bawah. “Mana gaya ranggi kau? Sekarang ke main ha menjadi wanita berkaliber dan korporat. Kena sampuk hantu Sabah ke macam mana?”
Jelingan tajam berserta gelengan dihulurkan kepada Mira. “Semua benda berubah.”
Mira menggeleng. “Nasi ayam ni masih tak berubah okey so bukan semua benda berubah.”
Nadia mengangguk dan bersetuju. Makan malam hari itu menjadi panjang, pelbagai cerita mereka kongsikan. Namun, dalam banyak-banyak nama. Nama Haris langsung tidak disebut dan diucapkan entah kenapa Mira seperti sudah tidak mengingati Haris. Hendak juga Nadia tahu tentang perkembangan lelaki itu.
MALAM itu, Haris termenung di luar balkoni rumahnya. Ara Damya sudah lena, dan ibunya sibuk melipat kain di ruang tamu. Matanya menatap langit malam dan terus membawanya pada masa yang lalu, di mana antara dia dan Sofea.
[Imbas Kembali - Enam Tahun Lalu]
Sofea duduk di dalam kereta, hujan turun perlahan. Waktu itu mereka baru pulang dari hospital, pemeriksaan trimester ketiga. Sofea meletakkan tangan atas perutnya dan menoleh ke arah Haris.
“Kalau saya pergi dulu… awak janji tak lupakan semua ni, kan?”
Haris diam. Tempoh mereka lalui sebagai mama papa yang menanti kelahiran anak berserta isterinya yang sedang melawan kanser adalah bukan mudah. Menjadi terpaling kuat adalah satu-satunya pilihan yang dia ada. “Saya takkan lupa awak, Sofea. Saya tak tahu macam mana nak terus hidup kalau awak tak ada.”
Sofea senyum pahit. “Jangan macam tu. Awak kena kuat. Demi anak kita. Terima kasih sebab jadi suami yang paling baik untuk saya. Tak sangka lelaki buaya macam ni pun boleh berubah setaat ini dengan isterinya.”
Tergelak kecil Haris.
Sofea tarik tangan Haris dan letakkan di perutnya. “Dia akan bawa banyak kenangan kita, Haris. Tapi… satu hari nanti awak akan jumpa orang yang boleh bantu awak senyum semula. Bantu awak kat dunia ni untuk bercinta semula.”
Haris geleng. “Tak ada siapa boleh gantikan awak.”
Sofea senyum. Mata berair. “Tak perlu ganti. Cuma… bantu awak untuk hidup semula.”
Haris tersentak daripada lamunan. Matanya panas. Hatinya berat. Dia bangun perlahan dan masuk ke bilik kerja. Di meja, masih ada gambar lama Sofea tersenyum sambil menjeling ke arah kamera. Dia capai gambar itu, lalu pejam mata.
“Sofea... saya betul-betul sunyi. Lepas awak pergi hidup ni dah tak macam dulu. Tiada langsung nota yang terselit dalam beg mahupun buku, makanan kegemaran saya yang awak masak pun dah lama saya tak makan. Punca saya jatuh cinta dengan awak semua tu…”
Entah kenapa Haris dilanda sunyi seperti ini. Soalan itu tinggal di udara malam. Tiada jawapan.
KEESOKAN paginya, Puan Rosini lihat anaknya termenung lagi. “Haris mimpi apa semalam?”
“Tak ada apa,” balas Haris perlahan.
Puan Rosini meletakkan secawan kopi di depannya. “Mak tahu Haris masih ingatkan Sofea. Tapi hidup kita ni Haris… tak boleh statik. Kita kena cari sesuatu untuk isi kekosongan tu. Hidup ni bukan untuk meratap je.”
Haris hanya senyum kecil. “Habis tu mak. Kenapa tak cari pengganti ayah?”
Jelingan Puan Rosini membuatkan Haris tergelak. “Ayah kamu tu pergi masa mak pun dah tua. Dah berdamai dengan takdir sebab memang nak fokus akhirat je. Haris ni masih muda ada anak kecil lagi. Janganlah nanti bila dah betul tak ada siapa baru nak cari.”
Bebelan Puan Rosini hanya didengari namun tidak dihadam. Jemarinya laju menaip apabila ada satu mesej masuk ke dalam WhatsAppnya.
- Mira semalam buat story kat IG.
- Dia dinner dengan Nad.
- Aku tengah tunggu Mira balas apa.
Bulat mata Haris membaca mesej daripada Munir. Terus saja Haris menaip mesej menanyakan di mana mereka bertemu.
Ting!
Balasan daripada Munir.
- Shah Alam.
- Lebih tepat Nasi Ayam Faveret
Jantung Haris bergetar hebat. Jadi, Nadia ada berdekatan sini? Nadia selalu akan datang tepat pada masanya bukan?
Share this novel