LUTHFI INAS membelek gambar yang ada di dalam genggamannya. Senyuman lebar terukir di bibir lelaki itu.
Trisha Diani.
Manis sungguh senyuman gadis di dalam gambar itu. Senyuman yang suatu masa dahulu terlalu mahal untuk dilihat. Kini, dia bertemu kembali dengan musuh tradisinya. Bukan sahaja bertemu, malah dia akan hidup bersama dengan gadis itu selama-lamanya tidak lama lagi. Bibir bawah digigit lembut. Tak sabar rasanya mahu membina mahligai dengan musuh tradisi. Pasti menarik kehidupannya selepas ini.
Tok! Tok! Tok!
Serta merta Luthfi membawa mata ke arah pintu bilik. Saat daun pintu ditolak, wajah ibunda tercinta menjengah ke dalam dengan senyuman manis. Kaki wanita separuh abad itu melangkah ke arah anak lelakinya.
“Ibu dah tengok bakal isteri Luth. Berkenan sungguh ibu dengan dia. Pandai anak ibu pilih…” ujar Puan Kalsom.
Luthfi kulum senyum. Perasaaan teruja cuba disembunyikan. Dia pamer riak tenang. Tidak mahu tertangkap hati yang sedang berbunga riang. “So, cincin semua dah sarunglah tadi?” soal Luthfi masih lagi menyembunyikan senyumnya.
Hari ini merupakan hari pertunangan antara Luthfi dan Trisha. Tetapi, disebabkan Luthfi sibuk menguruskan kerjanya di pejabat sebagai pereka grafik, dia tidak dapat menghadirkan diri di majlis pertunangannya sendiri.
Tetapi, Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar seperti yang dirancang. Mereka berdua diperkenalkan oleh Tazim dan Thareeq yang merupakan kawan kepada Luthfi.
“Alhamdulillah. Cincin dah sarung, tinggal majlis sahaja yang belum ditetapkan tarikh. Nanti Luth bincang semula dengan Trisha ya,” pesan Puan Kalsom.
Sungguh dia sangat senang dengan Trisha yang baik, sopan santun dan cantik. Gadis itu juga, sangat menghormati orang tua. Dia bersyukur kerana Luthfi bertemu jodoh dengan wanita idamannya.
“Okay, ibu. Nanti Luth bincang semula dengan Trish.”
“Hantaran semua ada dekat bawah. Nanti Luth ambil bawa naik atas ya,” pesan Puan Kalsom sambil berjalan kembali menuju ke pintu.
“Baik, ibu,” balas Luthfi sambil mengangguk. Sekilas dia menoleh pada Puan Kalsom yang sudah pun hilang di balik pintu.
Luthfi mengelamun mengenangkan saat pertama kali Tazim dan Thareeq memperkenalkan dia kepada Trisha. Sangkanya gadis itu mengenali dirinya. Tetapi, sedikit pun Trisha Diani tidak dapat menangkap siapa Luthfi Inas yang berada di depannya waktu itu.
“Inas.” Luthfi ukir senyum janggal. Wajah tanpa riak Trisha buat dia gementar.
Thareeq dan Tazim pula saling berpandangan. Pelik kerana Luthfi memperkenalkan dirinya sebagai Inas, bukan Luthfi. Namun, mereka berdua hanya berdiam diri dan membiarkan sahaja Trisha dan Luthfi saling berkenalan.
“Trisha. Boleh panggil saya, Trish,” balas Trisha dengan tenang. Dia langsung tidak merasa apa-apa perasaan waktu ini. Segalanya dianggap sebagai pertemuan atas kehendak Dato’ Tamim dan dia akan berkahwin sekadar memenuhi permintaan ayahnya. Itu sahaja.
“So, aku tinggalkan adik aku dengan kau. Jaga baik-baik and hantar dia balik dengan selamat. Kalau apa-apa jadi pada dia, patah tulang kau aku kerjakan,” seloroh Tazim. Namun, Luthfi benar-benar mengambil serius akan amaran itu.
“Okay, bro. Adik kau selamat bawah jagaan aku,” yakin sahaja Luthfi menjawab.
“I trust you,” celah Thareeq dengan tenang. Mereka berdua bangun dari situ sambil bersalaman. Kemudian, Trisha dan Luthfi ditinggalkan agar mereka dapat berkenalan tanpa gangguan.
“So, kita nak cakap tentang apa?” soal Luthfi agak gugup. Namun, dia masih cuba berlagak tenang.
Trisha menatap mata hazel di depannya itu. Tanpa sedar, penampilan Luthfi buat Trisha tertarik. T-shirt berkolar berwarna navy blue yang dipakai sedang elok di tubuh lelaki itu. Kemudian, mata Trisha melorot pula pada jam tangan yang tersarung di tangan kanan Luthfi. Jam tangan biasa. Jadi, lelaki di depannya itu bukanlah anak orang ada-ada. Trisha mengangguk tanpa sedar.
“Awak…”
Sapaan Luthfi buat Trisha termangu seketika. Wajahnya serta merta membahang. Pasti rona mukanya sudah berubah tika ini. Malu tertangkap saat mengamati si jejaka. “Sorry,” ucap Trisha, malu. Wajah ditunduk ke meja makan.
“Sorry for what?” soal Luthfi tidak faham dengan ucapan maaf yang tiba-tiba meluncur daripada mulut gadis itu. Trisha kembali menatap wajah Luthfi. Dia ketawa kecil. Wajah polos Luthfi saat menyoal buat Trisha geli hati.
“Forget it,” Trisha melempar senyuman manis pada Luthfi sehingga lelaki itu terpana seketika. Mata mereka bertaut beberapa detik sebelum kedua-duanya tertawa saat melihat gelagat masing-masing.
Trisha selesa, begitu juga Luthfi. Kedua-dua mereka dapat menyesuaikan diri antara satu sama lain hanya dalam beberapa jam perkenalan. Luthfi menghela nafas lega apabila Trisha begitu mesra dan baik padanya.
Setelah beberapa minggu perkenalan, Trisha bersetuju untuk mengikat tali pertunangan. Lutfi hela nafas lega dan dia bersyukur kerana segalanya dipermudahkan.
Lamunan Luthfi terhenti. Dia kembali semula ke alam nyata dan matanya ditala pada gambar yang masih lagi di tangan. Bibir sekali lagi melorek senyum lebar.
Trisha Diani. Musuh tradisi waktu mereka sama-sama bersekolah di asrama. Duduk di dalam kelas yang berbeza. Tetapi, mereka sering bergaduh antara satu sama lain. Tak boleh berjumpa, macam anjing dengan kucing.
Tiba-tiba, terbit bimbang di hati Luthfi jika Trisha tahu siapakah dirinya yang sebenar, adakah Trisha tetap akan meneruskan semua ini? Masihkah gadis itu berdendam dengannya?
Penampilan Luthfi pada waktu sekarang sudah sangat jauh berbeza. Disebabkan itulah, Trisha langsung tidak dapat mengenal pasti siapa Luthfi Inas yang sebenarnya. Lagi pula, di sekolah Luthfi dikenali dengan nama Burn dan bukan Luthfi Inas.
Walau bagaimanapun peristiwa pada zaman remaja mereka, bukanlah penghalang untuk Luthfi jatuh cinta pada Trisha. Kalau ikutkan, sejak dari zaman persekolahan cintanya mula berputik pada gadis itu.
Banyak kenangan antara dia dan Trisha. Tetapi, bukanlah kenangan indah. Semua kenangan buruk. Jika diingatkan balik, Luthfi akan tergelak sendiri.
Tiada sehari pun di sekolah, dia dan Trisha tak bergaduh. Setiap hari ada sahaja isu yang akan Luthfi bangkitkan untuk mengganggu emosi gadis itu. Sekaligus buat gadis itu bercakap dengannya.
Trisha gadis yang sangat susah untuk tersenyum. Muka sentiasa ketat. Kalau pandang orang, muka macam nak bergaduh. Itulah apa yang Luthfi nampak daripada sudut pandangannya terhadap gadis itu.
Pernah sekali sahaja Luthfi nampak Trisha tersenyum. Itu pun masa gadis itu makan. Dan pertama kali itulah buat Luthfi terpana kerana senyuman Trisha yang mahal itu tersangatlah manis.
Sejak hal itu, Luthfi akan mencari kelibat Trisha di sekolah. Sekaligus mengusik gadis itu. Bukan dengan cara mengurat. Tetapi dengan cara menyakitkan hati si gadis. Jadi, setiap hari akan ada sahaja hal yang buat mereka bergaduh dan saling ejek mengejek.
Luthfi tersenyum lagi. Kalau ingatkan semula apa yang berlaku antara dia dan Trisha di sekolah dulu, pasti dia akan tersenyum. Walaupun hampir belasan tahun hal itu berlalu. Namun, nama Trisha masih kuat terpahat di hatinya.
Kebetulan Luthfi dan abang-abang Trisha berkawan baik. Dan kedua-dua lelaki itu tahu apa yang berlaku antara Luthfi dan Trisha. Namun, mereka berdua tetap menyokong Luthfi kerana mereka tahu perasan Luthfi terhadap adik mereka. Ya, Luthfi ikhlas dan jujur mencintai Trisha. Dan dia berharap, perkahwinan itu nanti, akan menjernihkan semula hubungan antara mereka. Sekaligus title musuh tradisi lenyap dalam kamus hidup mereka berdua.
Share this novel