Terk!
Terk!
Cahya melangkah dekat pada almari baju dua pintu berwarna hitam.
"Abang cari apa? Dari tadi Cahya tengok abang geledah almari baju ni, kenapa?" soal Cahya sambil berkerut memandang suaminya yang mahu bersiap keluar mencari rezeki sebentar sahaja lagi.
Tangan Riyad terhenti gerak. Terus menoleh pada sang isteri dengan satu harapan.
"Abang cari kemeja baby blue abang. Sayang ingat tak? Letak kat mana eh?"
"Baby blue?" Kotak memori Cahya mula rakus mengorek ingatan akan baju kemeja yang punya warna sebegitu.
Cahya berjalan ke suatu sudut almari berlaci yang separa rendah. Terus keluar sehelai kemeja berwarna biru lembut yang Riyad mahukan tadi. Jangan pernah ragulah ya dengan ingatan si isteri. Tiber!
"Yang ni?"
"Herm! Betul, yang ni lah abang cari. Sayang belum cari pun boleh jumpa, ek? Dahsyat!" Terdekih kecil Riyad diikuti tawa Cahya sesaat kemudian.
"Iyalah, kan baju ni dah lama abang tak pakai. Sayang tak letaklah dalam almari kita. Yang abang cari kemeja ni kenapa? Ada majlis apa-apa ke?" soal Cahya kehairanan. Apabila kemeja zaman muda Riyad itu mahu dipakai semula, saiznya pun dah tidak berapa ngam tidak ke buang tabiat namanya.
"Gosokkan, sayang. Saja abang nak pakai baju ni hari ni," pinta Riyad seraya melangkah mencapai tuala untuk mandi.
Tanpa berfikir lebih panjang, Cahya melorek senyum melangkah ke bilik laundry.
Sekembalinya Cahya ke bilik tidur, Riyad sudah pun selesai mandi. Sudah menjadi rutin Cahya tiap pagi untuk melihat
lelaki berkulit sawo matang itu bersiap dari birai katil.
Hidup Cahya boleh digambarkan sebagai cukup sempurna dari kaca mata seorang isteri. Punya suami yang baik dan penyayang. Punya keluarga mentua yang sentiasa mewarnai hari Cahya. Jalani hidup sebagai seorang suri rumah sepenuh masa sedikit pun tidak membebankan jiwa dan raga Cahya.
Cuma, ada satu lembaran yang belum tertinta.
Sehingga kini dirinya dan Riyad masih menanti... akan kehadiran cahaya mata dalam hidup mereka. Adakalanya, hampir 8 tahun melayari bahtera rumah tangga, Cahya dan Riyad seakan terlupa sejenak akan hasrat hati mereka yang satu itu.
"Abang pergi dulu, sayang."
Kata pamitan yang menerpa gegendang telinga Cahya telah mematikan lamunan. Terus Cahya mendekati suaminya itu dengan senyuman. Mata Riyad ditatap sambil membetulkan tali leher dan baju jaket seragam kolej yang tersarung pada tubuh si suami.
"Kenapa abang... wangi sangat ni? Abang terpakai sebotol perfume ke tadi?" seloroh Cahya. Gigih dia tahan sengih. Bau minyak wangi kegemaran Riyad yang agak kuat itu betul-betul bertebaran menusuk rongga hidung.
Riyad senyum lebar lantas peluk Cahya erat sehingga Cahya tenggelam dalam dakapan di dadanya.
"Peluh abang busuk sangat. Abang tambah perfume biar sayang tak bau peluh abang tu," bisik Riyad.
Cahya mencebik nipis.
"Busuk-busuk abang pun, Cahya tetap sayang tau!"
"Sayang banyak mana?" soal Riyad.
Laju Cahya dongakkan kepala.
"Banyaklah. Tak rendah daripada KLCC, tapi tinggi cukuplah sampai syurga."
Riyad dan Cahya terus ukir sengih tawa. Tangan Cahya, Riyad pimpin sehingga ke muka pintu bak pengantin baharu yang seakan tidak mahu berenggang.
"I love you, sayang."
"Love you too, abang."
Selesai salam, peluk cium sebagai tanda berpisah kejap Cahya lambaikan tangannya sehingga kereta Honda HR-V berwarna kelabu itu lesap dari pandangan. Cahya titipkan doa buat Riyad agar sentiasa dilindungi Allah sepanjang usaha lelaki itu mencari rezeki buat mereka seisi keluarga.
"Taniaaa! Jom, kita makan dulu!" jerit Riyana seraya menarik kerusi di meja makan.
Berlari-lari anak kecil berumur 6 tahun itu dari ruang tamu selepas pulang dari tadika.
"Tania nak main dulu..." rengek budak perempuan berambut kerinting paras bahu itu di sisi mamanya.
"Makan dulu, sayang. Nanti mak long teman Tania main, okey?" pujuk Cahya sambil membawa sepinggan lauk berupa sambal sardin.
"Okey!" Terus terpujuk Tania dengan kata-kata Cahya.
Empat figura di meja makan enam kerusi itu menikmati makan tengah hari mereka seperti hari-hari biasa. Namun, riak wajah ibu mentua Cahya tika ini terkandung sedikit kekecewaan.
"Mummy, kenapa tak makan?" tanya Cahya.
"Nak Cahya tambahkan lauk?"
"Eh, tak payah! Aku tak ada seleralah. Dah habis ke semua barang dapur kita sampai kau masak ni je?" Terherot sinis hujung bibir wanita separuh usia itu. Nasi putihnya hanya dikuis-kuis lemah sahaja sejak tadi.
Cahya pandang lauk di atas meja. Cuma ada sambal sardin, sepiring timun dan telur dadar sahaja. Kalau ikutkan perut yang tengah lapar, lauk begini sudah cukup nikmat dah. Mungkin, siap boleh bertambah nasinya.
"Aah, Cahya masak apa yang tinggal aje. Kejap lagi, baru Cahya nak keluar beli barang. Mummy cakap, mummy teringin nak makan apa? Esok, Cahya masakkan special untuk mummy ya?" Cahya lekas memujuk. Dia kenal benar sikap ibu mentuanya. Dingin sejak kali pertama mereka bersua sewaktu di zaman persekolahan lagi. Namun, sekadar melewati di tubir mulut sahaja.
"Tak kisahlah, beli lebih sikit. Duit si Yad bagi tu jangan kau nak bolot pulak. Banyak dia nak belanjakan untuk rumah ni," bebel Puan Syanti berupa satu peringatan yang tidak pernah Cahya lupa.
"Ya, mummy. Cahya akan beli semua makanan yang mummy suka, okey?" Cahya ukir senyum. Dia ikhlas melayani ragam Puan Syanti yang anginnya adakala tidak berapa stabil.
Rumah dua tingkat yang sederhana besar ini dihuni oleh enam orang. Selain Cahya, Riyad dan Puan Syanti, Riyana adik bongsu Riyad juga menetap di rumah ini sejak dua tahun yang lalu. Wanita itu janda anak satu. Entah kerja apa yang dibuat oleh Riyana itu kerana banyak pula masanya dia dekat rumah ini.
"Aunty Saidah, Cahya keluar beli barang sekejap ya. Mummy dengan Tania ada," pesan Cahya pada adik Puan Syanti yang sedang terbaring lumpuh satu badan akibat strok.
Usia wanita itu terlantar sakit genap lapan tahun bak usia perkahwinan Cahya dengan Riyad. Sejak itu juga Aunty Saidah tinggal bersama kerana adik Puan Syanti belum pernah berkahwin. Tidak punya keluarga lain lagi untuk tolong menjaga.
Cahya kerling sekilas katil Aunty Saidah sebelum langkahnya keluar dari pintu utama. Memang tugas Cahya menjaga mak cik Riyad itu memandangkan Cahya setiap masa berada di rumah. Tidak pernah jadi beban pun pada Cahya kerana sifatnya yang suka menolong.
Srettt!
Selesai brek tangan kereta Axia itu dinaikkan, Cahya melangkah masuk ke dalam pasar raya yang paling dekat di kawasan rumahnya ini. Kehidupan Cahya yang 'sibuk' di rumah membuatkan Cahya seronok cuci mata apabila ke sini. Terasa bernafas kejap akal jua jiwanya.
Sekelip mata, troli besi yang ditolak Cahya sudah penuh dengan pelbagai barang kering dan basah untuk dibuat stok.
"Cahyaaa!" laung seseorang.
Gema suara dari seorang wanita itu membuat tubuh Cahya berpaling mencari punca bunyi.
"Fikah! Siti!" tegur Cahya. Terkejut juga melihat dua orang kawan sekuliah zaman universitinya di sini.
"Weh! Lama tak jumpa kau, Cahya! Sihat? Lainlah kau sekarang," komen Fikah sambil pegang lengan Cahya.
"Alhamdulillah, sihat. Korang buat apa kat sini? Apa khabar?" balas Cahya dengan senyum lebar. Bukan selalu dia boleh terserempak dengan kawan-kawan begini.
"Herm, macam ni lah. Sibuk kerja. Banyak kau beli-beli ni. Anak kau dah berapa orang, Cahya?" Bola mata Siti melilau akan barang-barang Cahya yang berada di dalam troli.
"Belum ada rezeki lagi aku nak ada anak. Doakan ya..." jawab Cahya perlahan. Tidak lagi mudah tersentak apabila hal itu dibangkitkan oleh orang sekeliling.
Raut wajah Fikah dan Siti sedikit berubah. Tidak mahu Cahya tersinggung akan kata-kata mereka.
"Tak apalah, Cahya. Ni, Siti ni baru aje bercerai. Kahwin baru setahun dah cerai sebab laki dia curang dengan budak office kitorang. Untunglah kau Cahya, laki kau masih sayang dan jaga kau walaupun dah lama kau kahwin tahu," pujuk Fikah dengan menjaja pula cerita teman di sisi.
"Patut pun aku mintak cerai! Tak guna betul si Mai tu. Nak sangat laki aku yang pemalas tu? Haa, ambil. Tak hadaplah aku. Ingat aku tak laku ke lepas cerai? Nih, berderetlahhh!" Siti mula angin satu badan mengenangkan bekas suaminya.
Cahya terus tertawa kecil.
"Betul, tu! Jaga elok-elok laki kau, Cahya. Takut kena rembat dengan penyondol. Tapi, laki kau tak cari lain punyalah, kan?" Berkerut kening Fikah menanti jawapan pada soalan yang terlontar.
Belum sempat Cahya buka mulut, kelam-kabut dua sekawan itu minta diri mahu pergi. Masa rehat mereka bakal tamat sekejap lagi. Cahya membalas senyum dan melirik pemergian Fikah dan Siti. Tapi... entah kenapa hatinya terdetik suatu rasa.
Hati kecilnya mula terjentik untuk membanding-bandingkan kehidupan. Kawan-kawannya bekerja, Cahya tidak.
Saat kawan-kawannya beli pelbagai barangan baru, Cahya hanya tolak troli yang dipenuhi dengan barangan rumah. Saat kawan-kawannya melawa dan bersolek, Cahya hanya kenakan tudung sarung yang mana sempat dicapai aje. Nak tabur bedak pun tidak sempat inikan pula nak calit lipstik!
"Siti, kau percaya ke laki si Cahya tu setia? Diorang dah kahwin lama. Tak ada anak pulak. Ish, haram jadah aku nak percaya yang laki dia boleh setia," luah Fikah selepas beransur jauh dari Cahya.
"Jantan semuanya sama, Fikah. Tak berambus daripada hidup si Cahya tu tak bermaksud laki dia tak boleh makan luarlah." Selamba Siti menjawab. Dari segi sifat Cahya yang lemah-lembut dan baik hati itu, mana-mana lelaki pun mudah sahaja nak bodoh-bodohkan.
Fikah mengangguk-angguk tanda faham. Cuma, yang dia tidak faham adalah hal-hal dunia yang sekarang ini sudah terbalik semuanya!
Cahya tersenyum nipis sepanjang pemanduan pulangnya ke rumah. Entah kenapa fikirannya teracun dengan soalan Fikah tadi.
"Abang Yad... nak cari lain?" gumam Cahya seorang diri.
Tertawa kecil Cahya.
"Tak mungkin. Aku dah bahagiakan Riyad. Cukup bahagia. Sepanjang kitorang kahwin tak pernah ada masalah apa pun. Dia sentiasa sayang aku. Mana mungkin dia ada orang lain. Mengarut, kan?"
Boleh kata, masalah rumah tangga yang Cahya hadap hanyalah... zuriat. Namun, Riyad sering meredakan gundah hati sang isteri. Tatkala jiwa dan fikiran Cahya dibadai emosi akan hal yang satu itu, lekas sahaja Riyad datang memujuk. Dan, Cahya cukup bersyukur kerana Riyad seorang suami yang sangat memahami.
Klak!
"Eh, Riyad! Kau tak balik lagi?" tanya Aizat seusai menerpa masuk ke dalam bilik kerja mereka. Buku dan fail di tangan dilabuhkan ke atas meja. Terkejut melihat Riyad masih di dalam bilik pensyarah sedangkan waktu kerja mereka sudah pun tamat.
"Hm, belum. Jap lagi aku baliklah," jawab Riyad yang ralit dengan telefon bimbitnya. Bola matanya seakan tidak boleh diputar ke tempat lain selain daripada skrin yang sedang disirami cahaya itu.
Aizat kerling Riyad kerana keadaan rakan sekerjanya yang sunyi sepi. Terdekih kecil apabila melihat Riyad sedang tersengih-sengih tayang gigi bak orang tidak waras.
"Kau mesej siapa? Bukan main aku tengok. Coverlah sikit, Yad." Aizat mahu menyibuk.
Riyad berdiri. Telefon bimbit di tangan akhirnya disua masuk ke dalam seluar slack hitam. Tangannya mula mengemas barangan yang ada di atas meja.
"Too obvious?" Riyad ketawa kecil.
"Gila! Obviouslah! Dah macam budak-budak kolej ni bercinta gamaknya," komen Aizat sambil geleng kepala.
Lagi lebar sengih Riyad.
"Hari ni, hari special. Kau apa tahu. Aku balik dulu." Riyad sauk beg galasnya ke atas bahu.
"Nak sambung bercinta..." bisik Riyad di sisi telinga Aizat. Sengaja mahu usik pensyarah anak dua itu sebelum melangkah pulang.
Aizat mendecit halus. Pandang Riyad sampai jejak lelaki itu lenyap dari pandangan. Jauh di dalam lubuk hati Aizat, terbit rasa kagum juga bila Riyad masih utuh untuk mekar bercinta meski sudah bertahun-tahun ikatan perkahwinannya dengan Cahya itu termeterai.
Chik!
Jambangan bunga ros merah di atas kerusi sisi itu dibelek sekali lagi selepas Riyad masuk ke dalam perut kereta. Pulang dari tempat kerja dirinya terus menyinggah ke sebuah kedai bunga segar yang tidak jauh dari rumah. Terukir segaris senyum sambil akal Riyad ligat membayangkan wajah tuan empunya bunga.
"She's gonna like it," bisik Riyad seorang diri dengan rasa hati yang berbunga-bunga.
Adakala, cerita hati menggarap bahagia.
Adakala, rahsia hati pula merungkai sengsara...
Kau jangan macam-macamlah Riyad... Jemput follow dan komen ya gais!
Share this novel