DCS 2 ~ GADAI

Romance Series 18396

Klak!

"Sayang," sapa Riyad seusai masuk ke dalam bilik. Dia mendekati Cahya yang sedang bersila di birai katil.

"Abang, dah balik? Lambat abang balik hari ni." Terhenti tingkah Cahya daripada terus melipat pakaian yang sudah tersusun di atas katil.

Riyad sekadar senyum nipis.

Cahya turun dari katil untuk mencapai jaket dan beg kerja dari tangan Riyad. Selepas selesai letak barang-barang Riyad, dia kembali semula depan Riyad.

"Abang dah makan? Cahya boleh turun panaskan lauk."

"Tak apa, sayang. Abang dah makan. Abang nak mandi lepas tu nak rehat-rehat je. Penatlah hari ni." Riyad elus kedua lengan Cahya agar isterinya itu tidak perlu bersusah payah.

"Hm, okey. Abang pergilah mandi dulu."

Riyad mengangguk lalu melangkah pergi. Cahya pula lekas menghabiskan kerja lipatannya agar tempat tidur mereka kembali tersusun.

Beberapa minit kemudian, Riyad selesai menukar pakaian. Bola matanya tidak henti memandang Cahya yang berulang alik menyimpan pakaian ke dalam almari.

Sebelum langkah Cahya berakhir, Riyad rangkul pinggang Cahya daripada belakang. Tanpa sebarang kata, Riyad cium rambut Cahya juga tidak lepas pada leher jinjang isterinya. Menggarap sengih lebar di tubir bibir Cahya.

"Abang..." rengek Cahya sebagai tanda agar Riyad menghentikan perilakunya sejenak. Kedua tangannya masih penuh dengan pakaian yang mahu disimpan.

Terk!

Baju di tangan Cahya sudah disimpan ke dalam almari. Namun, Riyad masih kekal melekat bagai tidak boleh berpisah.

Cahya pusingkan tubuh sambil menahan tawa. Tingkah Riyad yang sepi membisu begini, Cahya tahu lelaki itu menginginkan sesuatu tetapi mulutnya sahaja yang berat nak cakap.

"Kenapa ni? Abang nak apa?"

Meletus tawa kecil Riyad. Isterinya lebih tahu. Terus dia pimpin tangan Cahya untuk duduk di atas katil.

"Sayang..." Riyad buka bicaranya dengan penuh kelembutan.

"Hm, kenapa?"

"Abang... ada masalah sikitlah. Ini, abang tanya je tau. Kalau sayang tak dapat nak tolong tak apa abang faham."

"Masalah apa pulak ni? Ceritalah."

"Boleh tak... Err... Boleh tak... abang nak gadai barang kemas sayang?" soal Riyad berbelah bahagi. Takut Cahya terus menolak mentah-mentah permintaannya itu.

Raut wajah Cahya sedikit berubah. Agak tersentak dengan permintaan tiba-tiba suaminya itu. Namun, ditapis riaknya agar Riyad tidak perasan.

"Abang tak cukup duitlah. Bulan ni kena servis kereta, bayar itu, bayar ini. Abang ingat nak gadai barang kemas yang sayang ada tu. Tapi, abang bukan jual. Ikutkan, tak ada niat langsung abang nak gadai macam ni sebab semua barang kemas tu kan hak sayang. Abang janji... memang janji sangat kalau sayang izinkan abang gadai, abang akan tebus semula semua barang kemas tu secepat mungkin," terang Riyad bersungguh-sungguh. Siap naikkan tangan kanannya ke paras baru untuk lafaz sumpah.

Cahya tertawa kecil.

"Ingatkan apalah sangat masalah abang tu. Pasal ni je? Okey, abang gadailah. Sayang izinkan. Sayang pun bukan pakai semua tu bila kat rumah. Kalau bukan sayang, siapa lagi nak tolong abang kan? Jadi, abang ambillah. Sekurangnya dapat tolong abang apa yang patut." Cahya usap tangan Riyad. Masalah suaminya itu sudah pun selesai. Sebagai isteri, pasti dia mahu cuba sedaya mungkin untuk jadi yang penolong yang terbaik.

"Betul ni? Sayang bagi abang gadai?" Meleret Riyad senyum.

"Hm..." jawab Cahya.

Terbayang terus gelang emas pasir dia, gelang emas pulut dakap dia, rantai leher pintal dengan loket bunga yang paling dia sayang dan beberapa bentuk cincin permata yang cantik-cantik semuanya. Demi Riyad, tiada secalit ragu Cahya hulurkan semuanya meski ada yang dibeli dengan titik peluhnya sendiri sewaktu sebelum berkahwin dahulu.

Chup!

Satu kucupan hangat singgah di ubun-ubun Cahya. Laju Riyad peluk Cahya seeratnya.

"Terima kasih, sayang. Abang sayang dan cintakan Cahya sorang dalam hati abang sampai bila-bila."

"Janji?"

"Hm, abang janji."

Cahya leraikan pelukan.

"Tapi, cincin kahwin Cahya tak boleh tau. Cincin tu bermakna sangat bagi Cahya." Tiba-tiba Cahya kerling akan cincin pernikahannya dengan Riyad  yang berada di atas meja solek. Jarang-jarang dia pakai sebab banyak buat kerja rumah tapi cukup bermakna untuk ditatap tiap hari.

"Mestilah, sayang. Abang pun tak mungkin sanggup nak gadai cincin sayang yang itu. Kalau gadai jugak memang abang tak sayang betullah kat Cahya Surfiqah ni!" Riyad cuit sekali hidung Cahya dengan sengih.

Cahya mendekih kecil. Dia peluk kembali tubuh Riyad. Lelaki yang dia kenal sejak zaman sekolah lagi. Lelaki yang memahami dan selalu ada saat dia membesar sebatang kara di rumah anak yatim. Cinta dan sayangnya pada Riyad tidak ada tolok bandingnya malah seluruh hidupnya mahu sahaja diabadikan hanya buat lelaki itu.

"Aunty, Cahya nak buang sampah kejap ya. Nanti Cahya mandikan aunty wangi-wangi," ujar Cahya di sisi katil Aunty Saidah. Meski Aunty Saidah tidak boleh bertutur, Cahya adalah orang yang paling rajin untuk berborak dengan wanita itu.

Sampah satu plastik besar berwarna hitam itu Cahya angkat dari dapur lalu dibawa ke depan. Mahu letak ia ke dalam tong sampah depan rumah. Baru sahaja tangan Cahya mahu menolak pagar kecil, tingkahnya terhenti kerana kehadiran kereta Riyad. Hairan kerana masih awal untuk Riyad pulang dari kerja.

"Abang! Kenapa balik ni?" sapa Cahya sejurus Riyad turun dari keretanya yang hanya diparkir di luar rumah.

"Sayang. Abang ada tertinggal baranglah. Abang naik atas jap eh!" Kelam-kabut Riyad berlari anak masuk ke dalam rumah.

Lebih mengejutkan degup jantung Cahya adalah... orang yang sedang berada di dalam kereta Riyad. Tergamam dan terkejut kerana susuk tubuh wanita yang dia kenali itu boleh terpacak depan wajah.

"Kak Cahya!"

"E.. El?"

Terkedip-kedip Cahya pandang Heliza yang sudah keluar dari perut kereta. Tidak percaya akan penampilan Heliza yang tampak lain daripada sebelum ini. Wanita yang berusia 21 tahun itu kelihatan begitu cantik dengan rambut panjang keperangan yang beralun. Bertubuh langsing bak kerengga juga tercalit solekan nipis yang menyerlahkan keanggunan gadis kacukan cina itu.

"Ya, El lah ni! Rindunya kat akak!" Heliza peluk Cahya dengan ramah.

Baru sahaja Cahya nak buka mulut untuk bertanya, Heliza sudah menyua kata terlebih dahulu.

"El dengan kawan-kawan tumpang Abang Yad. Kereta kawan El rosaklah masa nak pergi kolej tadi. Nasib baik ada Abang Yad." Heliza tuding jari pada kawan-kawannya yang berada dalam kereta Riyad.

Cahya lempar senyum pada kawan-kawan Heliza seraya palingkan wajahnya semula pada Heliza.

"Ya Allah, El! Tak sangka akak boleh jumpa El kat sini. El belajar dekat kolej Abang Yad ke?"

Sungguh, Cahya senang hati jumpa Heliza. Sudah bertahun dia tinggalkan Rumah Jagaan Anak Yatim Raudah dan kini siapa sangka gadis belasan tahun dahulu itu sudah tampak matang dan jelita.

Heliza Loy, anak bongsu kepada pengasas rumah anak yatim yang diduduki Cahya sejak lahir. Ibu dan ayah Heliza sudah dianggap bagai keluarga kandung Cahya. Dia menyayangi kedua orang tua itu tidak tumpah bak orang tua kandung sendiri.

"Aah, satu kolej dengan Abang Yad. Oh, El dan kawan-kawan ada jual ni. Nah, akak ambillah sample je ni. Kalau berminat nak beli beritahu El tau. El jual, El pun pakai. Walaupun duduk kat rumah je, kenalah nampak cantik akak..." bisik Heliza dengan sengih. Dia hulur sekotak produk skincare berwarna merah jambu yang dia jual pada Cahya dari dalam beg totenya.

"Oh, okey El." Sekelip mata kotak kecil itu bertukar tangan.

"Sayang, abang pergi dulu. Malam ni mungkin lambat sikit abang balik. Ada preparation kat exam hall," kata Riyad yang menerpa tiba-tiba.

"Abang!" Cahya tarik lengan Riyad kerana lelaki itu mahu pergi begitu sahaja.

"Take care," ujar Cahya dua patah. Mahu sahaja lidah ini menyimpul kata dengan lebih panjang namun yang tertiti keluar cuma itu sahaja kerana tampak Riyad mahu cepat.

"Hm," gumam Riyad.

"Jom, El. Cepat!" arah Riyad yang sudah menonong ke kereta.

"Bye, akak! Nanti kita borak lagi." Heliza melambai Cahya diikuti dua orang kawan sekelasnya yang berada di tempat duduk belakang. Turut sama cantik dan sama mudanya.

Berat hati Cahya balas tiap lambaian itu. Kereta Riyad sudah menghilang dari pandangan pun Cahya masih berdiri teguh di depan pagar. Termangu lihat penampilan diri sendiri. Yang pegang sampah, yang hanya berpakaian separa lusuh. Juga... yang sudah lama tidak bergaul dengan orang luar.

Shhhh...

Cahya habiskan bilasan pinggannya yang terakhir. Maka, kerja rumahnya untuk hari ini telah pun tamat sebelum bersambung semula pada subuh esok.

"Cahya! Tolong aku gosokkan baju ni. Aku nak pakai esok," pinta Puan Syanti seraya menghulur sehelai jubah moden.

"Oh, boleh mummy. Jap." Cahya lap tangan sebelum mencapai baju Puan Syanti.

"Mummy nak keluar ke esok? Amboi, merelipnya baju mummy." Butiran permata yang menghiasi kain hitam itu menarik perhatian Cahya.

"Aah, nak keluar dengan someone special. Kau tak payah sibuklah. Dah siap gosok nanti bawak naik atas," arah Puan Syanti sebelum berlalu pergi.

Cahya mengangguk. Kakinya dilangkah pula ke bilik laundry. Terbit segaris nipis senyuman pada bibir Cahya. Memikirkan siapakah gerangan yang ibu mentuanya mahu jumpa esok hari itu. Barangkali, dah jumpa pengganti arwah ayah mentuanya mungkin?

Klak!

Badan Cahya terasa lenguh yang teramat. Mahu rehat dan tidur secepatnya. Namun, sejurus menguak pintu bilik tidur bola matanya tertancap pada Riyad yang sudah melunjurkan kaki di atas katil. Leka dengan hal-hal di dalam telefon bimbitnya.

Cahya duduk depan meja solek. Dia pandang wajah sendiri. Dapat disimpulkan kulit wajahnya kini kusam, kering malah sudah menunjukkan garis-garis kedutan. Umur 32 tahun bukanlah satu fasa umur yang terlalu tua. Dek kekangan waktu dan sibuk yang tiada henti, Cahya seakan terlupa untuk membelai dirinya sendiri.

Kotak merah jambu pemberian Heliza siang tadi dicapai. Dibaca tiap tulisan yang tertera. Pelembap wajah rupanya. Cahya buka kotak lalu keluarkan botolnya. Isinya, Cahya bau. Krim gel putih susu itu wangi dengan bau citrus yang ala kadar.

Bola matanya ditala pula pada Riyad. Hatinya tidak ampuh untuk menahan rasa yang dah bersarang dalam hati sejak siang tadi.

"Kenapa abang... tak pernah cakap dengan sayang pun yang El belajar kat kolej abang?" tanya Cahya sambil melangkah dekat. Hairan kerana Riyad sejak dahulu memang mengenali Heliza pun. Takkan langsung tidak terfikir nak cerita?

"Hm? El? Tak pernah, ek? Err, abang lupa kot. Baru sem ni abang mengajar dia. Kenapa?" Riyad soal balik.

"Tak adalah. Sayang tak sangka sangat boleh jumpa El tu. Terkejutlah sebab dia naik kereta abang." Cahya masukkan kaki dalam selimut dan mula bercerita.

"Oh, abang lalu nampak kereta diorang rosak depan simpang sana. Abang tumpangkanlah ke kolej. El dengan housemate dia tu semua duduk lorong belakang ni je."

"Seriuslah?!" Terbuntang mata Cahya tidak percaya. Punyalah duduk satu taman namun tidak pernah langsung mengetahui.

Riyad tertawa kecil.

"Serius, sayang. Dahlah, tak ada apalah." Riyad genggam tangan kanan Cahya agar tidak memikirkan hal yang bukan-bukan.

"Yalah. Kecil betul dunia ni. Tapi, El nampak lain kan, abang? Sayang rasa janggal pulak nampak dia free hair. Bukan main dia warnakan rambut. Tak nampak macam inai pun. Masa kecil dulu, El tu kan siap pakai tudung labuh. Ibu dengan ayah tak marah ke El macam tu? Abang rasa?" soal Cahya bertubi-tubi.

Betul, Cahya terkejut sungguh lihat penampilan Heliza begitu. Encik Syukri dan Puan Zainab tidak mungkin merelakan perbuatan Heliza yang semberono tayang aurat itu kerana keduanya merupakan orang yang baik-baik lagi alim.

"Sayang, jangan sibuk hal orang. Zaman dah berubah. Kadang, manusia juga hati turut boleh berubah. Biarlah, El tu," jawab Riyad. Dia malas mahu ambil tahu akan hidup orang lain.

"Abang pun... akan berubah?" Sayu Cahya hulur soalan yang mencengkam sanubarinya. Jujur, Riyad boleh sahaja berubah  kerana masalah mereka yang satu itu. Namun, sehingga hari ini Riyad masih kekal setia di sisi. Membuat cinta dan sayang Cahya Surfiqah pada Riyad Asyraf seakan tidak boleh pudar dimamah waktu.

Riyad menolehkan tubuh agar dia dapat pandang Cahya tepat depan wajah. Sebelah tangannya mengelus lembut tapak tangan Cahya. Sebelah tangannya lagi menyisir rambut Cahya ke belakang bahu.

"Tidak mungkin cinta abang pada sayang akan berubah. Sampai bila-bila abang sayang dan cintakan Cahya. Sayang tak percaya, hm?" Riyad tagih kepercayaan.

"Tapi... sayang... kita kan... huh..." Bicara Cahya tersekat-sekat. Kenyataan dirinya yang belum boleh mengandung, juga kenyataan yang Riyad kekal sayang itu senantiasa menghantui hidup Cahya.

"Sebab tu abang taknak cakap pasal ni. Nanti jadi macam ni lah. Sayang akan emosi. Tak cukup ke abang kat sisi sayang? Tak cukup ke kasih sayang yang abang bagi?" Riyad tarik tubuh Cahya ke melekap dadanya. Tidak mahu isterinya itu terus dibuai emosi.

"Lebih dari cukup, abang. Cahya akan sayangkan abang dan cintakan abang sampai akhir hayat. Jangan pernah tinggalkan sayang, abang. Sayang tak ada sesiapa lagi dalam dunia ni. Sayang ada abang je..." rintih Cahya dalam pelukan. Dia benamkan wajah rapat ke tengah dada Riyad. Entah kenapa hatinya mudah tenggelam ke dalam lembah duka apabila hal begini terbangkit.

"Mestilah. Abang takkan pernah tinggalkan sayang. I love you so much," ucap Riyad penuh makna. Sayangnya pada Cahya juga tidak mungkin dikikis waktu. Saat susah, Cahya ada. Saat senang, pastinya mahu Cahya juga ada.

Tamakkah jika aku mahu melayari semua bahagia ini tanpa sekilas ragu?

Share this novel

Erna Md Nordin
2024-11-28 10:47:40 

done...next plz..x boleh tebak lagi hero ni setia atau x...hihihi..sis msih berteka- teki..


NovelPlus Premium

The best ads free experience