Bab 11

Romance Series 10414

Ajana jengah ke luar rumah, dia nampak Afka sedang mencuci kereta. Bibirnya melengkung senyum. Afka ni memang tak boleh duduk diam agaknya. Ada saja kerja yang ingin dibuat.

Shawl jersey dicapai lalu diletakkan atas kepala. Langkah dibawa ke luar rumah. “Cuci kereta ke?” tegurnya.

Afka angkat wajah. “Haa, tuan puteri dah bangun? Bolehlah tolong saya cuci kereta.”

Ajana mencebikkan bibirnya. “Saya baru je bangun tidur awak dah suruh saya buat kerja.”

“Anggap je lah ni macam senaman pagi. Cepatlah, tolong saya.”

Senaman pagi? Ajana ketap bibir.

“Awak cuci sebelah sana.” Afka hulurkan span pada Ajana.

Lambat-lambat Ajana sambut juga huluran Afka. “Lepas ni basuh kereta saya pula.”

“Ya. Lepas ni kita basuh kereta awak pula.”

Ajana mula menggosok bahagian kiri kereta Afka. Sementara Afka menggosok bahagian kanan kereta. Tiba-tiba timbul idea nakalnya mahu mengusik Ajana. Tanpa amaran, dia menghalakan hos air ke arah Ajana.
“Afka!” jerit Ajana terkejut sambil cuba melindungi wajahnya dengan tangan. Air sudah membasahi baju dan tudungnya.

“Awak buat apa ni?!” soal Ajana geram.

Afka ketawa melihat reaksi isterinya itu. “Basuh kereta ni tak cukup kalau kereta je bersih. Tukang basuh pun kena segar sekali. Awak pun belum mandi lagi kan.”

Ajana berdecit geram. “Awak tunggu!” Dia segera mencapai baldi berisi air sabun dan tanpa ragu-ragu menyimbah air itu ke arah Afka.

“Ajana!” Habis basah kuyup Afka dibuatnya.

Ajana ketawa puas melihat Afka sudah basah kuyup. “Padan muka!”

“Oh, awak main kasar eh,” katanya sambil menyembur lebih banyak air ke arah Ajana. Mereka saling membalas. membuatkan suasana pagi itu dipenuhi gelak tawa dan suara protes kecil dari Ajana.

“Afka, cukuplah! Saya dah basah kuyup ni,” ujar Ajana sambil cuba melarikan diri ke belakang kereta.

Entah di mana silapnya, dia hampir tergelincir ketika cuba melarikan diri daripada Afka. Tetapi Afka pantas menyambut tubuhnya. Pinggang Ajana dipegang erat.

“Awak okey?” soalnya risau.
Ajana memandangnya dengan jantung yang berdebar. Kedudukan mereka terlalu dekat, wajah Afka hanya beberapa inci dari wajahnya. “Saya... saya okey.”

Afka tersenyum kecil. “Hati-hati.”

Ajana hanya mengangguk, tidak mampu berkata apa-apa. Afka membantunya berdiri dengan stabil sebelum menyentuh pipinya perlahan, menyapu sedikit sabun yang melekat di tangannya.

“Afka!” Mencerlung mata Ajana memandangnya.

Afka hanya ketawa. Cepat-cepat dia larikan diri sebelum Ajana balas dendam padanya semula. Tak pasal-pasal pagi ni dua-dua basah kuyup.

***
Orked share teaser dulu je kat sini ya. Nak baca sambungan boleh follow/add orked dekat ig dan fb.

ig - orkedungu_14
fb - Orked Ungu
***

SEPERTI yang dijanjikan, malam itu Afka membawa Ajana ke sebuah restoran.

“Kenapa kita makan dekat sini? Makan dekat kedai biasa pun dah okey,” soal Ajana.

Afka senyum. “Saya ada sesuatu nak tunjukkan dekat awak.”

Pelayan di restoran itu membawa mereka ke sebuah bilik yang ditempah khas oleh Afka. Setibanya di bilik itu, Ajana terkedu melihat dinding bilik itu dipenuhi dengan gambar-gambarnya.

Gambar Ajana ketika awal-awal memulakan perniagaan, sesi photoshoot pertamanya. Ada juga gambar ketika Ajana di booth tempoh hari.

Mata Ajana berkaca melihat gambar-gambar kenangan itu. “Afka…” Ajana terharu. Tak sangka Afka sediakan semua ini untuknya. Patutlah beria-ia lelaki itu mengajak dia makan di restoran malam ini.

“Saya nak awak ingat semula macam mana awak mula dulu.”

“Tapi Afka, semua ni macam dah tak bermakna lagi bagi saya.” Sebak kedengaran suara Ajana. Dia sayangkan perniagaannya. Tapi lepas kejadian itu, Ajana jadi putus harapan. Dia tak rasa dia mampu untuk bangun lagi.

“Saya tahu awak rasa nak menyerah sekarang. Tapi kalau awak rasa macam tu, ingatlah balik waktu awak mula naik dulu. Waktu awak berjuang tanpa peduli apa orang cakap. Awak tak boleh biar diorang menang.”

Kata-kata Afka mengetuk hati Ajana. Betul kata Afka. Selepas apa yang dia usahakan selama ini, takkan dia nak menyerah begitu saja?

“Diorang mungkin boleh tiru design tudung awak tapi diorang tak boleh tiru semangat dan usaha awak untuk Ajana Scarf,” tambah Afka lagi.

Ajana mengangguk kecil. “Terima kasih Afka.” Lelaki itu banyak memberi semangat kepadanya.

“Senyum sikit.”

Perlahan-lahan bibir Ajana mengukir senyum.

“Haa macam tu lah.” Afka lega. Akhirnya dia dapat lihat senyuman Ajana kembali. Dia berjanji selagi dia ada, dia tak akan biarkan sesiapa menyakiti Ajana. Untuk Ajana, dia sanggup lakukan apa saja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience