LANGIT malam terlihat indah dengan gugusan bintang yang bergemerlapan, mengitari bulan yang terang bercahaya menjadi lampu alam. Suasana yang tenang dan mendamaikan itu sungguh menggamit kerinduan, bukan sahaja kepada si pungguk, malah kepada orang yang sedang berkasih sayang. Di kediaman Tan Sri Hanafi, Puan Sri Rohayu sedang duduk di kerusi pada beranda rumah agam tersebut. Mata wanita itu terpaku pada rembulan yang sedang terawang-awangan.
Seketika kemudian, orang gajian di rumah tersebut, Mak Mah mendatangi Puan Sri Rohayu sambil menatang sebuah dulang yang berisi dua cawan air teh. Minuman yang baru diseduh itu masih panas dan mengeluarkan wap air berupa asap. Dua cawan yang penuh berisi air itu diletakkan di atas meja di hadapan Puan Sri Rohayu dengan penuh hati-hati oleh Mak Mah.
"Baru siap tehnya Puan Sri.. silakanlah minum." Mak Mah bersuara, menyampaikan pesanan minuman yang diminta oleh majikannya itu tadi.
"Terima kasih Mak Mah.." Puan Sri Rohayu membalas sambil tersenyum kepada orang gajiannya yang sudah lama berkhidmat itu. Mak Mah hanya mengangguk kecil seraya mengundurkan langkah kakinya ke belakang beberapa tapak sebelum berpaling punggung dan berlalu dari situ.
Puan Sri Rohayu kembali termenung menatap bulan. Tidak lama kemudian Tan Sri Hanafi muncul dari belakangnya dan menempatkan punggungnya dikerusi sebelah isterinya itu.
"Apa yang awak duk menungkan tu? Jauh betuk mengelamun.." Tan Sri Hanafi menegur isterinya.
"Emmm.. entahlah bang.. saya sebenarnya rindukan Riz.. entah macam mana la keadaan dia sekarang. Cukup ke makan, pakai dia.." Puan Sri Rohayu meluahkan perasaan yang bermain dihatinya.
"Ish, awak ni.. Riz tu dah besar panjang. Pandai la dia uruskan diri dia sendiri."
"Saya bukan apa bang.. Riz tu mana pernah hidup sendirian.."
"Laa.. dia kat UK bertahun-tahun tu apa? Bukan dia hidup sendiri ke? Ni setakat duk kat Pahang tu je.. apa yang awak nak risaunya?"
"Itu lain.. itukan masa dia belajar.. abang pun tak pernah miss bagi duit kat dia.. sekarang ni abang biar dia sorang-sorang kat perantauan tu, dengan hidup susah, duit pun tak cukup.. Riz mana pernah merasa hidup susah macam tu. Nak goreng telur pun tak pandai, apa lagi nak memasak macam-macam nak buat makan. Abang bagi dua ribu je.. padahal abang sendiri pun tahu, duit sebanyak tu, cukup dia buat belanja sehari dua je." Puan Sri Rohayu cuba mengingatkan suaminya agar lelaki tersebut lebih berfikiran secara logik.
"Itulah awak.. Sebab awak terlalu manjakan sangat si Riz tu la yang dia jadi lemah macam tu.. tak pandai nak berdikari. Awak pun tahu, saya buat macam ni bukan nak aniaya anak kita tu.. tapi saya nak dia belajar berdikari, belajar uruskan kewangan, belajar rasa macam mana hidup susah.. barulah nanti dia tak sombong, berjalan terlalu mendongak ke langit.. Biar dia rasa dan tahu apa perasaan orang miskin. Nanti barulah dia mengerti macam mana nak uruskan orang lain.. Kalau dia tak faham macam mana perasaan orang di bawah, macam mana dia nak jadi pemimpin yang baik suatu hari nanti? Dengan sikap dia yang sekarang, dia suka pandang rendah kat orang lain.. hina orang miskin.. kalau macam ni perangai seorang pemimpin, suatu masa mesti dia akan gagal, jatuh ke bawah dan dibenci orang. Orang yang tiada empati tak layak jadi pemimpin." Tan Sri Hanafi bernada tegas dalam menyampaikan pendapatnya.
"Saya faham maksud abang tu.. tapi abang tak rasa cara abang ni keras sangat ke? dah macam menzalimi anak sendiri." Puan Sri Rohayu tak ingin mengalah.
"Riz tu bukan macam rebung dah.. dia bukan budak kecik.. sekarang dia dah jadi macam buluh.. dah besar, matang, keras! dah tak boleh dilentur perlahan-lahan.. sekarang ni, nak taknak, kalau nak lenturkan buluh tu, kita kena panaskan.. baru dia boleh lentur dan tak patah. Itu je caranya.. cara saya mungkin agak panas dan menyakitkan. Tapi percayalah, ini je caranya untuk bentuk keperibadian Riz menjadi lebih baik. Saya nak dia pandai menghargai perasaan orang lain.. barulah dia layak jadi pemimpin, ambil alih perniagaan saya nanti. Saya taknak nanti para pekerja duk kata dia bos yang zalim, tak faham keadaan para pekerja di bawah." Tan Sri Hanafi memberi penjelasan.
Puan Sri Rohayu terdiam. Dia sudah tidak mampu untuk menyangkal. Kata-kata suaminya itu ada benarnya.
"Dah, dah.. awak tak payah nak fikir sangat. Nanti esok saya minta ketua pengarah kat sana bagi 500 kat Riz.. Saya suruh dia cakap itu bonus untuk Riz. Saya taknak Riz tahu saya bagi duit lagi kat dia.. nanti makin manja pulak kalau dia tahu kita masih duk jaga dia." Tan Sri Hanafi bersuara lagi setelah melihat wajah isterinya yang muram. Lelaki itu sangat mengerti apa yang sedang bermain difikiran isterinya itu.
Puan Sri Rohayu langsung berubah wajahnya dan mula tersenyum. Wanita itu kemudian menghirup air teh panas yang terhidang di atas meja. Matanya kembali menatap bulan di langit.
JAUH dari sana, Rizal memandu motosikalnya, meredah kegelapan malam. Matanya sempat mengerling ke arah bulan yang sedang bersinar indah. Namun keindahan bulan itu masih tidak mampu untuk menghapuskan kegalauan di dalam hatinya. Hatinya benar-benar sakit sejak dari pagi tadi. Dia dihina oleh kekasihnya dan sahabatnya sendiri. Malah lebih menyakitkan hati apabila mengetahui kekasihnya itu mempunyai hubungan sulit bersama sahabatnya sendiri.
Daripada kejadian tersebut, Rizal dapat mengagak jika Juana sama sekali tidak akan memberinya meminjam wang sebagaimana yang dijanjikan sebelumnya. Fikiran Rizal bertambah buntu. Entah dari mana dia harus mendapatkan wang untuk meneruskan hidupnya.
Malam itu, dia tidak tahu harus berbuat apa. Untuk melupakan kesakitan yang dia sedang alami, dia hanya ingin meronda, menikmati suasana malam. Namun dia sendiri tiada arah tujuan. Dia hanya memandu motosikalnya sesuka hati, memasuki simpang jalan mengikut naluri. Tiba di suatu kawasan perumahan, Rizal terpandang kepada gerai yang menjual burger di tepi jalan.
Lelaki itu segera menghentikan kenderaannya, tepat di hadapan gerai burger tersebut. Sejak tadi dia berkeliaran dan masih tidak makan malam. Setelah terhidu aroma dari daging burger yang sedang dimasak, Rizal mulai tertarik. Perutnya yang kelaparan juga sudah tidak sabar untuk meminta diisikan.
'Hmm, makan burger je la malam ni.. jimat sikit dari makan nasi.' Rizal membuat kira-kira dimindanya untuk berjimat cermat. Dia sudah tiada pilihan selain menguruskan kewangannya dengan sebaik mungkin.
Walaupun sedar jumlah wang yang dimilikinya kini tidak mencukupi untuk dia mendapatkan makanan selama tiga minggu mendatang, namun setidaknya dia harus meminimumkan penggunaan wangnya agar dia dapat bertahan selama mungkin.
"Nak burger bang? berapa biji?" Sapa peniaga lelaki yang terlihat masih muda setelah melihat Rizal turun dari motosikalnya.
"Emm, burger daging la satu." Rizal segera membuat pesanan.
"Biasa ke special?" Tanya peniaga itu lagi.
"Biasa je.." Jawab Rizal setelah melihat senarai harga menu di gerai tersebut. Dia harus menguatkan tekadnya untuk berjimat-cermat.
'Special pun, setakat tambah telur sebiji.. makan yang takde telur je la..' Rizal bergumam di dalam hati. Matanya asyik melihat anak muda yang sedang memasak daging burger itu. Seketika kemudian, seorang gadis menghampiri gerai tersebut dan langsung memandang ke arah Rizal.
"Eh, Rizal.. dari mana ni? sampai sini awak cari burger?" Amira menyapa setelah mengenal pasti susuk Rizal yang berada di situ.
"Eh, Mira? awak buat apa kat sini? nak beli burger jugak ke? Saya saja je ronda-ronda kat kawasan ni.. tiba-tiba perut rasa lapar pulak bila terhidu bau burger ni." Rizal segera membalas.
"Apa pulak nak beli burger.. ni, sini rumah saya.. Yang jual burger ni adik saya.." Amira menunjukkan ke arah rumah yang berada dibelakangnya. Gerai burger tersebut pula berada betul-betul di hadapan pagar rumah tersebut.
"Eh, ini rumah awak? Laa.. tak tahu pulak saya.." Rizal sedikit terlopong.
"Ini adik saya Anas.. dia sekarang masih belajar lagi.. baru nak ambil STPM tahun ni.. tapi waktu malam, dia jual burger depan rumah, nak belajar cari duit poket sendiri katanya.." Amira memperkenalkan adik lelakinya kepada Rizal.
Rizal terpegun. Dia benar-benar kagum dengan semangat adik lelaki Amira itu. Di usia muda sebegitu, remaja tersebut sudah belajar berdikari dan mencari wang sendiri. Berbanding dirinya yang sudah berusia hujung 20an, Rizal pula masih mengharapkan wang daripada keluarganya. Dia mula merasa malu terhadap anak muda dihadapannya itu.
"Awak tinggal kat kawasan ni jugak ke?" Amira bertanya. Rizal agak terpinga-pinga seketika.
"Eh, emm.. aaa.. rasanya saya duk jauh sikit dari sini.. takde la jauh sangat.. ada la dalam tujuh ke lapan kilometer macam tu.."
"Ish, jauhnya awak meronda.."
"Saja, ambil angin malam sambil tengok suasana sekitar.. Err, mak ayah ada kat rumah?" Rizal tiba-tiba mengubah topik perbualan. Dia sebenarnya tidak tahu harus berbicara mengenai apa dan agak kekok untuk berbual lama.
"Mak ada kat dalam rumah tu.. ayah saya dah takde.. hampir dua tahun dah meninggal.." Amira menjawab.
"Oh, maafkan saya.. saya tak tahu pulak.."
"Eh, takpe.."
"Jadi Mira tinggal bertiga je la kat rumah ni?"
"Ah, bertiga je la kami.." Amira membalas. Rizal pula mengangguk kecil. Dia kemudian berkalih pandangan ke arah Anas yang sedang menyusun sayur-sayuran dan meletakkan sos cili pada burger yang sedang dihasilkan. Setelah burger yang siap dibalut dengan kertas pembalut, Anas langsung memasukkan burger tersebut ke dalam plastik dan dihulurkan kepada Rizal.
"Berapa?" Rizal masih bertanya walaupun senarai harga menu sudah pun terpampang di depan matanya.
"Eh, takpe..takpe.. awak tak payah bayar.. kali ni biar saya belanja awak." Amira menghalang Rizal daripada membayar harga burger yang dipesannya.
"Eh, jangan macam tu.. semalam awak dah belanja saya.. pagi tadi pun awak dah bagi saya makan.. sekarang pun takkan la nak belanja saya lagi.. segan la saya macam ni.." Rizal menyuarakan perasaan. Walaupun dia sedang kekurangan wang, namun dia juga mempunyai rasa malu apabila makannya sentiasa diuruskan oleh wanita terbabit.
"Yang semalam tu lain.. kali ini lain.. dah, tak payah bayar." Amira berkeras.
"Ish, awak ni biar betul.." Rizal masih serba salah. Maruahnya sebagai seorang lelaki terasa semakin tercalar apabila dirinya sentiasa dibelanja oleh seorang perempuan. Walaupun dia tahu Amira mungkin ikhlas ingin membantunya dan dia juga sepatutnya bersyukur kerana dapat lebih menjimatkan wangnya, namun harga dirinya terasa begitu rendah apabila terlalu bergantung kepada seorang perempuan.
"Betul la ni.. kali ni saya belanja awak.. lain kali baru awak bayar." Amira tetap mengulangi ayat yang sama. Rizal menghela nafas panjang. Dia tidak tahu apakah dirinya harus mengeluh, atau dia sepatutnya bersyukur.
"Kalau macam tu, terima kasih ya.. malu pulak saya.. saya janji, lain kali saya pulak yang belanja awak."Rizal tidak ingin terus merasa terhutang budi kepada gadis tersebut. Amira pula hanya mengangguk sambil tersenyum mendengarkan ucapan Rizal.
"Okeylah..saya pergi dulu." Rizal segera menuju ke arah motosikalnya sambil membimbit bungkusan plastik yang mengandungi burger.
"Hati-hati.. jumpa lagi esok." Amira membalas.
"Ah, dah kenal rumah ni, senang la saya nak datang lain kali.." Rizal tersengih ketika berpaling ke arah Amira setelah menghidupkan enjin motosikalnya.
"Datanglah.. beli burger lagi.. jangan datang bawak rombongan meminang pulak." Amira berseloroh. Rizal pula ketawa apabila mendengar kata-kata gurauan gadis tersebut. Lelaki itu kemudian memecut motosikalnya. Dalam hanya beberapa saat, kelibat Rizal mulai hilang ditelan kegelapan malam. Setelah Rizal hilang daripada pandangan matanya, Amira berkalih pandang pula ke arah adiknya.
"Aiishh, baik betul akak dengan dia.. siap belanja makan sejak dari semalam lagi.. ada apa-apa ke?" Anas mula mengusik kakaknya.
"Hah? ada apa pulak? dia kawan akak kat tempat kerja la.."
"Ye ke kawan je? nampak mesra je.. bukan boyfriend akak ke?" Anas masih ingin mengusik.
"Astagfirullah alaazim.. budak ni! tak baik cakap macam tu.. jangan buat fitnah okey.. akak dengan dia cuma kawan je.. kami kerja kat syarikat yang sama.. semalam akak jumpa dia kat pekan tu.. dia kelaparan, takde duit.. dah la dia tu orang merantau.. dia pun baru je kerja, sama macam akak.. duit dah takde.. kat sini dia tinggal sorang-sorang.. habis tu, dia nak makan macam mana? nak tak nak, akak kena la tolong dia.. ringankan beban dia.. kita ada sikit kemampuan, gunakanlah lebihan rezeki yang kita ada untuk bantu orang lain yang lebih susah.. Harta yang ada, cukuplah buat makan pakai kita.. kalau ada lebih, bukan ke lebih baik kita bersedekah daripada kita duk peram?. Allah benci orang yang kedekut.. apatah lagi, semua yang kita ada ni, Allah bagi pinjam je.. semuanya milik Allah. Lagipun, berbagi-bagi rezeki dan bersedekah tu sangat dituntut dalam agama dan satu perbuatan yang mulia." Amira memberikan pesanan kepada adiknya.
Share this novel
Alahai...Riz lyn hati smpai menjelajah ke rumah Amira...minta²laa Riz berubah dan insaf...