30 Mengapa Dia?

Family Series 57531

“Rhett… sakit…”

Lengan putih mulus yang mulai kelihatan kemerahan dan bengkak itu Rhett tarik perlahan-lahan lalu dia perhati sebentar.

“Tangan kau dah melecur. Kita kena ke hospital.”

Tangisan halus mulai kedengaran dari bibir gadis itu. Sakit bercampur takut. Rhett memandang simpati.

“It’s okay, kalau dirawat cepat pasti takkan tinggalkan parut.” Pujuk Rhett, seolah faham apa yang ditakuti oleh gadis itu.

“R… Rhett…”

Sayup-sayup di sebalik keriuhan manusia-manusia yang sedang mengerumuni mereka berdua, suara lemah memanggil namanya menangkap pendengaran. Suara yang terlalu biasa didengar. Rhett mengerut dahi.

“Tunggu apa lagi? Cepatlah bawa Zara ke hospital, sekarang Rhett!” Ibu Zara muncul di depan mereka lalu mengarah seperti seorang bos dan Rhett adalah kulinya. Siap bercekak pinggang di depan Rhett.

“It’s okay mummy, saya boleh pergi sendiri. Rhett kena layan tetamu-tetamu penting yang hadir.” Zara cuba menolak cadangan ibunya bila lihat Rhett memandang sekeliling, seolah mencari seseorang.

“Macam mana kau nak memandu dengan keadaan kau sekarang? Mummy tak kira, Rhett kena bawa kau ke hospital, sekarang! Rhett! Kau dengar tak ni?!”

Rhett tercengang bila dengar suara ibu Zara membentaknya. Terpinga dia pandang wajah kelat wanita pertengahan usia itu.

“Tolong saya…” Suara lemah itu kembali menyapa pendengaran, mengganggu konsentrasi Rhett. Dia kembali memandang sekeliling. Tiba-tiba tubuhnya ditolak oleh ibu Zara.

“Pergi sekarang! Zara tengah kesakitan tu!”

Rhett mengeluh perlahan. Melihat wajah Zara penuh keriput menahan sakit, Rhett mengalah lalu mengajak Zara pergi.

“Maaf kerana telah merosakkan majlis malam ni.”

Zara bersuara ketika mereka dalam perjalanan menuju ke hospital terdekat.

“Bukan salah kau pun, tak perlu nak minta maaf, Zara.”

“Tapi saya dah susahkan kau, saya rasa tak sedap hati pula. Pasti tok tercari-cari kau nanti dalam majlis tu.”

Rhett sedikit tersentak bila dengar kata-kata Zara. Tok? Tok datang ke majlis entah apa-apa tu? Tak mungkin! Tok paling tak suka menghadiri majlis korporat. Terlalu skema katanya!

“Tok takkan datang.” Dengan yakin, Rhett menyangkal.

“Ada, Rhett. Dia berbual dengan mummy tadi. Saya nampak.”

Mata Rhett terkuak luas. Dia kerling Zara di sebelah.

“Serius? Tok datang dengan siapa?” Ketika mengaju soalan, otak Rhett ligat berfikir. Tak mungkin dengan Deila. Ya, pasti tok ajak Deila tapi tak mungkinlah Deila mahu muncul di majlis macam tu. Deila tu orang kampung, majlis macam ni tak serasi dengan jiwa gadis itu.

“Saya tak pasti pula tok dengan siapa tadi sebab ada beberapa orang berbual dengan tok.” Zara jawab dengan tenang. Dia memang tidak beri perhatian pun siapa di sebelah Tok.

Rhett tidak menjawab. Kelajuan kereta ditingkatkan. Dia mahu cepat-cepat sampai ke hospital. Selepas Zara keluar dari bilik doktor dengan separuh lengan berbalut, Rhett terus menawar diri untuk menghantar Zara pulang.

“Saya dah okay ni. Apa kata kita balik ke majlis tu? Saya risau tok dan papa kau tercari-cari kau nanti.” Zara beralasan. Laju Rhett geleng.

“Saya tak nak balik ke situ. Saya letih, nak balik rumah dan tidur. Tak perlu risau, papa dan tok akan handle tetamu-tetamu penting tu nanti.” Tegas Rhett. Zara terdiam.

Seperti yang dikata, Rhett terus menghantar Zara balik selepas keluar dari hospital. Kemudian, Rhett bergegas memandu balik ke rumah agam. Ketika kereta memasuki perkarangan rumah, Rhett melepaskan nafas lega apabila melihat ruang parking kereta papa kosong. Bererti kedua orang tuanya masih berada di majlis tersebut. Rhett melebarkan sengihan bila lihat petak limousin tok juga kelihatan kosong.

Selepas memarkir kereta dan mematikan enjin, Rhett bergegas keluar lalu berlari anak masuk ke perut rumah. Laju langkah diorak menuju ke bilik tok. Tengah otak dikerah untuk menyusun aksara terpaling romantis di muka bumi, telefon bimbit berlagu. Rhett mendengus. Buntang mata melihat nama yang tertera di skrin telefon. Rhett termangu sejenak sebelum skrin digeser dengan tenang.

“Rhett Raffendy! Kau di mana sekarang?”

Rhett mendengus dalam hati mendengar suara kasar yang menerjah corong telinganya.

“Aunty, saya dah hantar…”

“Teganya kau biarkan bakal isteri kau seorang diri di rumah dalam keadaan cedera macam tu?”

Rhett menarik nafas sedalamnya, cuba kawal rasa marah yang mulai bertandang. Dia tidak pernah memberi persetujuan tentang perkahwinan yang masih mahu diteruskan oleh kedua belah keluarga.

“Zara okay je, tangan yang melecur tu dah dirawat.” Rhett jawab dengan rasa sebal.

“Dia tengah kesakitan. Dia perlukan kau untuk beri sokongan. Aunty masih berada di dewan, kau temankanlah dulu Zara di rumah. Aunty risaukan dia sorang-sorang di rumah tu.”

“Tak bolehlah macam tu aunty, saya dan Zara tiada ikatan. Zara tu dah besar, boleh jaga diri. Lagi pun, cuma lengannya je cedera.”

“Tu pasallah aunty risau. Kalau Zara perlukan apa-apa, siapa nak bantu?”

Rhett terkedu. Dah ke mana bibik-bibik keluarga Zara?

“Semua pembantu rumah aunty cutikan hari ni sebab tiada orang di rumah. Aunty jangkakan majlis tu lewat selesai. Siapa sangka Zara cedera dan kau hantar balik awal.” Sambung ibu Zara, seolah dia dapat baca pula fikiran Rhett ketika itu.

Cis! Sekarang dia pula disalahkan? Rhett bergumam dalam hati lalu meraup wajah.

“Kau tolonglah jaga Zara sementara aunty masih sibuk. Tadi dia mengadu tak sedap badan, nak demam katanya. Aunty risau, Rhett. Tolong ya, tak salah pun kau temankan dia. Korang kan dah nak kahwin. Dah, kau pergi sekarang.”

“Aunty!”

Rhett mahu menolak. Malangnya, panggilan dah ditamatkan. Dengan rasa geram, nombor Zara didail. Rhett merengus. Telefon bimbit Zara dimatikan. Rhett menyimpan telefon bimbit dalam kocek lalu meneruskan langkah menuju ke bilik tok.

“Del… kau dah tidur ke?” Rhett mengetuk pintu bilik sambil bersuara. Sunyi! Pintu bilik diketuk lagi. Lebih kuat dari tadi.

“Del?!” Rhett memanggil dengan suara naik seoktaf. Masih sunyi.

“Tuan muda?”

Baru mahu memulas tombol pintu, satu suara menyergah di belakang. Rhett kelam kabut melepaskan tombol pintu lalu memusing badan.

“Tuan muda cari tok ke? Dia tak ada, tuan. Barusan tadi tok telefon beritahu yang dia berada di hospital.”

Pulak! Rhett garu kepala yang tak gatal. Tadi Zara kata tok ada di majlis korporat tu. Ah, pasti Zara salah lihat.

“Tok ke hospital seorang ke?”

“Tok keluar dengan Del sore tadi.”

Cis! Rhett menyumpah dalam hati. Dia sepatutnya tidak menaruh harapan tinggi untuk bebas berdua-duaan dengan Deila tanpa diganggu oleh tok tadi. Kecewa! Sakit hati mendengar penerangan pembantu rumahnya itu.

Rhett hampir mahu tendang pintu bilik tok kerana rasa marahnya. Tanpa pamitan, Rhett bergegas menuruni anak tangga. Telefon bimbit dikeluarkan. Nombor Zara didail sekali lagi. Masih tidak aktif. Rhett mulai risau. Dia keluar mendapatkan keretanya.

Ketika memandu keluar dari perkarangan rumah, Telefon bimbit berbunyi.

“Rhett! Tok nak…”

Semakin terbakar dada bila dengar suara tok di hujung talian.

“Not now tok, I am busy!” Pantas Rhett cantas kata-kata tok.

“Kau busy apanya hah? Tok nak beritahu…”

“Saya busy tok, nak jumpa Zara. Dia cedera!” Sengaja Rhett kuatkan suara ketika memangkas kata-kata tok kerana dia tahu tok pasti tidak akan banyak soal kalau ianya berkaitan dengan gadis itu. Mereka semua sungguh-sungguh mahu kahwinkan dia dengan Zara.

“Zara cedera? Kenapa boleh cedera? Kerja mak lampir tu jugak ke? Jahat sangat sampai anak sendiri pun mahu kenakan?”

Rhett kerut kening dengar kata-kata tok. Dia tak faham. Tapi dia tak ada mood mahu berbual dengan tok. Orang tua itu dah banyak rosakkan rancangannya. Dia tidak mampu berbuat apa-apa selain mengalah dan bersabar.

“Dahlah tok, saya tengah memandu ni.” Seusai berkata, Rhett menamatkan panggilan.

Tok Teh terpinga memandang skrin telefon bimbitnya yang dah bertukar jadi gelap itu. Budak bertuah! Berani sungguh cucunya mematikan panggilan?!

“Del…” Suara tok mengendur ketika memanggil Deila yang sedang tidur mengiring, membelakanginya. Bahu Deila diusap lembut.

“Rhett sibuk. Biar tok je jaga kau malam ni ya? Janganlah kau risau, tok masih kuat. Apalah setakat satu malam kan? Tak buat tok mati pun.”

Deila tidak menjawab. Mata dipejam rapat. Pura-pura terlihat seperti sedang tidur lena. Hakikatnya batin menangis, meraung pedih! Air mata hangat mengalir menuruni pipi.

Dia isteri yang sah! Mengapa harus dia yang tersisih? Semuanya jelas kini! Apa pun yang terjadi, jika ianya melibatkan dia dan Zara Adelia… Rhett tetap akan dahulukan Zara berbanding dia.

Siapa Zara Adelia di hati Rhett? Mengapa dia?

Saat itu Deila terasa diri benar-benar kerdil. Kesakitan bahagian tubuh yang tercedera kini tidak sesakit luka batinnya.

Deila menangis tanpa suara.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience