BAB 4:
PETANG itu, hujan turun renyai-renyai, menyirami jendela kaca kondo mereka dengan irama lembut. Kota kelihatan kabur di luar, diselubungi kabus dan kelam cuaca. Inara duduk di kerusi berlapik baldu, membaca akhbar sambil menyuap potongan epal ke mulut.
Rayyan di meja kerja, pura-pura sibuk dengan komputer riba.
Dia nampak tenang. Tetapi fikirannya jauh daripada segala emel dan laporan. Sejak pagi, dia telah menyusun strategi. Merancang satu eksperimen kecil untuk melihat siapa sebenarnya perempuan yang duduk sepuluh kaki daripadanya.
“Inara,” katanya tanpa angkat muka.
“Hm?”
“Boleh tolong tengok fail dekat meja kecil tu? Aku lupa mana letak salinan draf ucapan aku.”
Inara bangkit, berjalan ke meja sisi berhampiran. Di situ, satu fail kulit berwarna merah terletak di atas timbunan dokumen. Tapi bukan itu yang Rayyan cari. Fail merah itu umpan.
Inara mengambil fail itu tanpa curiga, membuka perlahan. Di dalamnya, hanya helaian kosong dan satu keratan artikel lama tentang sebuah skandal politik.Skandal itu tiada kaitan dengan Rayyan. Tetapi ia berkait dengan seseorang yang pernah bekerja dengannya.
Rayyan memerhati sambil menunggu.
Inara membalik halaman pertama, kemudian kedua. Tidak lama. Kemudian dia menutup fail itu dan kembali ke kerusinya.
“Takde draf ucapan dalam ni. Mungkin dalam beg kerja kau,” katanya tenang.
Rayyan tersenyum kecil. "Agaknyalah."
Tetapi dalam hati, dia mencatat. Dia perasan Inara membaca hingga halaman kedua, walaupun tajuknya langsung tidak berkait dengan permintaan tadi. Perkara kecil. Tetapi cukup untuk menunjukkan rasa ingin tahu Inara yang terlalu spesifik.
LEWAT malam, selepas makan malam sunyi yang dipenuhi dengan bunyi garpu dan sudu sahaja, Rayyan keluar ke balkoni. Kali ini, dia bukan bersendirian.
Inara menyusul, membawa dua cawan kopi panas. Dia hulurkan satu pada Rayyan. Lelaki itu menerimanya tanpa berkata apa-apa.
"You look like you're lost in thought today,” kata Inara, mata memandang ke arah jalan basah di bawah.
"Just connecting a few dots no one else sees."
“Care to share?” Inara cuba nasib.
Rayyan menoleh perlahan. Mata mereka bertembung. Inara salah tingkah. Ada sesuatu dalam tatapan itu. Bukan marah, tetapi Rayyan seperti sedang membacanya. Ya, membaca air muka dan reaksinya.
“Sorry. I went too far.” Inara mengalihkan pandangannya terlebih dahulu.
“Kenapa kau rasa macam tu?” tanya Rayyan tenang. Kopi disesap perlahan. Pandangan kembali ke arah kota yang masih sibuk di bawah.
Inara hanya senyum kecil. “Politik bukan dunia yang mudah percaya orang lain. So aku faham kalau kau berahsia.”
Rayyan toleh lagi. Kali ini dia memandang Inara lama. Ada sesuatu tentang cara Inara berkata-kata. Bukan sekadar bijak, tetapi strategik. Seolah-olah dia tahu apa yang dia mahu dengar, dan memilih setiap patah kata dengan tujuan tertentu.
“Aku tak pernah betul-betul percaya sesiapa pun dalam politik,” jawab Rayyan akhirnya. “Tapi kita bukan bercakap pasal politik sekarang, kan?”
Inara mengangkat bahu. “Tak tahu. Kadang-kadang aku rasa semuanya pasal politik, walaupun kita tengah minum kopi.”
Rayyan tersenyum nipis. “Maybe you’re right.”
MALAM itu, apabila Inara sudah lena, Rayyan duduk kembali di meja kerja. Cahaya lampu meja menyinari helaian nota kecil yang dilipat dua dalam saku jaketnya.
-Someone on your team is two-faced.-
Dia sudah siasat dua pembantunya. Tidak menemui apa-apa yang luar biasa. Seorang lagi juruanalisis masih di luar negara. Satu-satunya orang yang belum dikenali sepenuhnya ialah perempuan di bilik sebelah.
Rayyan membuka laptop. Jarinya menaip satu nama; Dhia Inara Amzar.
Tiada media sosial. Tiada jejak awam. Gambar majlis kahwin pun baru disiarkan media minggu lepas.
Dia buka dokumen yang dihantar oleh pasukan vetting sebelum berkahwin. Semuanya bersih. Terlalu bersih.
Dia skrol ke bahagian latar akademik. Universiti tempatan. Jurusan undang-undang. Graduasi dengan kepujian. Tiada anomali.
Tetapi tiada juga jejak digital sepanjang tempoh belajar. Tiada gambar konvokesyen.
Dia klik kanan pada gambar ID pelajar yang dikepilkan dalam fail. Metadata menunjukkan gambar itu dicipta tiga tahun selepas tarikh sepatutnya.
Rayyan berkerut. Minda jahatnya mula membuat andaian kemungkinan maklumat itu palsu.
Dia menutup laptop perlahan dengan tanda tanya yang masih belum terjawab. Dia tidak mahu terlalu awal membuat kesimpulan. Tiada bukti kukuh, walaupun naluri politiknya jarang salah.
Dan malam itu, Rayyan merasakan sesuatu yang benar-benar berbahaya sedang tidur bersebelahan biliknya.
Share this novel