Bab 1

Romance Series 34113

TUBUHNYA masih tidak berganjak dari tempatnya berdiri walau hujan lebat membasahi bumi. Air mata dan air hujan bersatu tika hatinya berdoa agar seisi penghuni rumah berlembut hati. Suaranya masih menjerit meminta simpati walau badannya mula menggigil kesejukan.

“Abang…Buka la…Iris nak jumpa abah sekali je.”

Naira Iris masih tidak putus asa. Mengalir air mata darah sekali pun belum tentu dia akan dapat simpati dari penghuni dalam rumah. Oleh itu Naira Iris perlu bertekad untuk pertahankan hak dia sebagai anak. Dia takkan pergi selagi wajah Encik Nazli tidak menjadi tatapannya. 

Sudah sebulan Encik Nazli terlantar sakit. Sekali pun Naira Iris tidak dibenarkan untuk bertemu dengan ayah kandungnya itu atas arahan Naem Imran. Abangnya itu menggunakan kuasa anak lelaki sebagai penjaga bapa mereka untuk halang Naira Iris.

“Iris…balik la dulu…Hujan lebat ni. Nanti mak su pujuk Naem lagi bagi Iris jumpa abah ya…”

Puan Amna sudah risau melihat keadaan anak buahnya ini. Sudah lencun dibasahi hujan tapi Naira Iris tetap degil. Mahu terus menjadi penghuni di luar rumah mereka. Puan Amna risau Naira Iris pula akan jatuh sakit.

Beza dengan Naira Iris yang langsung tidak termakan dengan kata-kata pujukan adik kandung bapanya itu. Lagi tajam matanya memandang Puan Amna ibarat meletakkan semua kesalahan yang berlaku di atas bahu mak cik saudaranya.

Dalam hati Naira Iris sudah menyumpah. Benci melihat kepura-puraan wanita yang berada di hadapannya ini. Hanya pagar rumah yang tinggi memisahkan Naira Iris dan Puan Amna tika ini.

Puan Amna tahu ketika ini dia tidak mampu memujuk Naira Iris. Anak saudara yang dikasihi dari sejak kecil sudah membenci dirinya. Kalau dulu Naira Iris sering termakan pujukannya tapi kini hanya kebencian yang menyala dalam anak mata anak saudaranya itu. Dia terpaksa buat pilihan. Antara maruah anak sendiri atau kebahagian anak saudaranya.

Kini Puan Amna sudah dapat bayaran dari pilihannya. Apa yang dia boleh lakukan adalah membantu Naira Iris mengikut kemampuannya.

“Mak su tahu Iris bencikan mak su…tapi mak su janji…mak su akan tolong Iris… Mak su minta Iris tolong percayakan mak su sekali ni je…”

Puan Amna pula merayu pada Naira Iris. Dia sangat berharap Naira Iris memberi peluang padanya. Memang dia sudah khianat gadis ini. Cukuplah sekali itu saja hingga dia rasa menyesal tak sudah.

“Huh! Percaya? Dari dulu Iris dah letakkan kepercayaan tanpa mak su minta tapi apa mak su buat? Mak su tetap buta mata dan hati semata-mata mahu pertahankan anak mak su sendiri.”

Naira Iris takkan termakan kata-kata Puan Amna. Cukuplah dulu dia mengagungkan wanita itu. Rupanya kasih sayang Puan Amna terhadapnya boleh luntur juga. Naira Iris takkan lupa bagaimana Puan Amna menyayangi dirinya dari kecil sehingga Naira Iris tidak rasa kekurangan kasih sayang seorang ibu walau dia sendiri tidak pernah mengenali ibu kandungnya.

Ibu kandungnya, Puan Intan telah meninggal dunia ketika melahirkannya untuk melihat dunia ini. Sejak kecil Puan Amna yang mengasuh Naira Iris dan abangnya kerana Puan Amna juga tinggal bersama mereka di rumah Encik Nazli setelah kematian suaminya.

Jadi Naira Iris tidak berasa kurang kasih sayang sampai dia terlupa yang Puan Amna itu bukanlah ibu kandungnya kerana menerima layanan baik dan kasih sayang dari mak saudara sendiri. Itu yang buat Naira Iris begitu kecewa apabila hakikat sebuah kebenaran telah menampar realiti hidupnya.

Mak saudara tetap mak saudara. Anak yang dikandung tetap dipilih walau anak saudara dikasihi.

Puan Amna tetap pilih Amanda!

“Mak su punca semua ni!” Naira Iris menjerit agar kesakitan dalam hatinya mampu dilampiaskan pada Puan Amna.

Puan Amna tunduk menahan sedihnya. Telinganya sudah lali mendengar Naira Iris mengungkit kesalahannya.

“Mak su masuk! Jangan layan perempuan sial ni,” jerkah Naem yang muncul dengan wajah bengisnya.

Sedari tadi Naem sudah dengar pekikan adiknya di luar rumah tapi memang dia mahu biarkan adiknya itu seperti selalu. Langsung Naem tak peduli melihat keadaan Naira Iris yang kebasahan. Lagi dia maki hamun adiknya adalah.

“Kau berambus sekarang! Aku tak nak dengar kau menyalak lagi depan rumah ni. Kau tu dah la pembawa sial!”

Naira Iris langsung tak terkesan dengan kata-kata makian Naem kerana telinganya sudah lali mendengar maki hamum Naem kebelakangan ini.

“Abang! Buka pagar ni! Iris nak jumpa abah! Abang tak ada hak larang Iris jumpa abah! Iris anak abah juga!”

Naira Iris menggoncang pintu pagar rumah dengan sekuat kudratnya. Ikutkan gilanya, Naira Iris akan panjat pagar rumah mereka asalkan dia dapat masuk. Bukan Naira Iris tidak pernah lakukannya sebelum ini. Cuma malam ini hujan membatalkan niatnya itu.

“Anak? Abah tak ada anak macam kau? Patutnya abah pilih ummi bukan kau!”

Naem teringat dulu dia kehilangan ibu kandungnya kerana Puan Intan bertekad mahu melahirkan adiknya walau berisko tinggi sehingga meragut nyawanya. Sekarang pula, Encik Nazli terlantar sakit kerana adiknya juga. Sebagai anak yang pernah rasa kehilangan, tak mungkin Naem tidak berdendam dengan Naira Iris.

“Kau juga yang nak berambus dari rumah ni kan…So kau pergi la berambus. Buat apa kau masih nak pedulikan lagi orang-orang dalam rumah ni.”

Naem memandang sinis adiknya.

Ya. Memang Naira Iris mahu keluar dari rumah ini tapi tak bermakna dia mahu membuang tali persaudaraan dengan seluruh isi rumah ini. Dia cuma benci segelintir bukan keseluruhan dari mereka.

Siapa sangka Encik Nazli mengalami kemalangan pada malam Naira Iris ingin keluar dari rumah ini. Jadi Naem buat tuduhan semuanya berpunca adiknya kerana Encik Nazli memang tergesa-gesa pulang untuk menahan Naira Iris keluar dari rumah mereka.

“Aku cuma pedulikan abah! Bukan korang!” Lantang suara Naira Iris tanpa gentar. Kali ini dia bertekad untuk bertemu dengan Encik Nazli. Lantaklah apa nak jadi! Naira Iris tak peduli jika malam ini dia perlu bergaduh besar dengan Naem.

Selama ini Naira Iris bersabar setiap kali kedatangannya dihalau oleh Naem seperti kucing kurap. Tapi kali ini tidak. Dia ada hak untuk bertemu dengan abahnya selagi darah yang mengalir dalam badan mereka sama.

Naem yang bengang dengan Naira Iris yang seperti tidak mahu mengalah itu terus membuka pintu pagar yang dikunci dan menolak pagar dengan kasar.

Hampir saja pagar tersebut terkena badan Naira Iris jika dia tidak melangkah ke belakang dengan cepat. Abangnya itu memang mahu badannya berlaga dengan pintu pagar besi yang keras itu.

“Aku takkan bagi kau jumpa abah! Kau sedar diri kau tu pembawa sial!”

Naem tunjal dahi Naira Iris berkali-kali dengan raut bengisnya. Ibarat adiknya itu terlalu hina pada matanya. 

“Ummi mati sebab lahir kan kau. Sekarang abah pula terbaring atas katil lumpuh sebab kau… kau rasa kalau aku bagi kau jumpa abah juga…entah-entah malam ni juga abah mati sebab kau… sebab kau tu pembawa sial dalam keluarga ni.”

Kata-kata Naem seperti orang yang cetek akal fikiran. Menyalah seseorang kerana tidak boleh terima takdir yang berlaku. Naem seperti orang tidak beriman.

Jika Naira Iris tidak bertekad, sudah tentu kata-kata abangnya itu ibarat pisau belati yang menikam badannya berkali-kali. Sungguh Naem benci padanya sampai tergamak menyalahkan Naira Iris dan tidak reda dengan ketentuan takdir. Sedangkan Naem tak pernah nak percaya apa yang Naira Iris cuba jelaskan. Bagi Naem, itu semua alasan Naira untuk menutup kesalahannya.

Hal yang menimpa Encik Nazli mungkin Naira Iris akur jika dipersalahkan kerana dia sendiri tahu abahnya itu memang akan halang niatnya untuk keluar dari rumah jadi tak mustahil kemalangan yang menimpa Encik Nazli disebabkan dirinya tapi ibu kandung mereka?

Hmmm… Naira Iris sendiri tidak dapat mengenali apatah lagi merasakan kasih sayang ibu kandung mereka jadi adil ke mahu menyalahkan dirinya juga? Dia orang yang paling sedih jika mengenang ibu kandung mereka kerana satu kenangan pun tidak pernah tercipta antara Naira Iris dan ibu kandungnya.

“Pembawa sial ni tetap anak abah. Kita tetap darah sedaging. Jadi Iris ada hak untuk jumpa abah!” Kuat suara Naira Iris tidak mahu mengalah.

“Hak kau dah hilang bila kau nak berambus sangat dari rumah ni.”

Naem menolak badan Naira Iris dengan kuat tanpa peduli tubuh kecil adiknya itu terjatuh duduk di atas permukaan tanah yang basah.

“Sudah la Naem…sudah…”

Naem langsung tidak peduli rintihan Puan Amna dari pagar.

“Mulai sekarang kau jangan muncul kat rumah ni lagi. Aku tak nak tengok muka kau. Faham!!!” tengking Naem dengan mata yang menyala api kemarahan.

Hujan yang mengalir lebat ini tidak dapat menyejukkan hati Naem dari memadam api kebenciannya.

Naira Iris masih berani bertentang mata dengan abangnya. Tidak tahu mana datang keberaniannya walau sudah dimaki, ditolak serta diherdik berkali-kali. Sedangkan selama ini Naira Iris bukanlah jenis melawan orangnya.

“Iris takkan biarkan abang rampas hak Iris. Abang akan tetap tengok muka Iris. Hanya abah saja yang boleh halau dan salahkan Iris.”

“Macam mana abah nak halau kau kalau dia pun dah tak boleh cakap hah!”

Naira Iris diam. Memang Encik Nazli sudah tidak boleh bercakap dengan betul akibat terkena serangan strok selepas pembedahan jadi Naem yang mula tunjuk kuasanya.

“Tangan kau ni…”

Naem rentap tangan Naira Iris dengan kasar. Terasa sakit pergelengan tangan Naira Iris apabila dicengkam kuat.

“Tangan kau ni yang buat diri kau jadi bongkak kan. Tangan yang kau bangga sangat ni.”

Mendidih darah Naem apabila mengenangkan kerjaya adiknya yang sedang berada di puncak ketika ini. Disebabkan itu Naem berasa Naira Iris sudah berani melawan kata-katanya. Kerana sudah berjaya, Naira Iris mula sombong sehingga tidak mahu tinggal serumah lagi jika berlaku sedikit masalah dalam keluarga mereka.

“Kalau aku hancur kan tangan kau ni, apa kau rasa?” Naem tersenyum sinis.

Naira Iris mula rasa takut melihat tangannya yang masih berada dalam cengkaman Naem. Puas Naira Iris meronta-ronta untuk membebaskan tangannya yang sudah gaya seperti tebusan.

Naem ketawa sinis. Seronok melihat ketakutkan Naira Iris. Jika tadi adiknya itu sikit tidak gentar pada wajahnya malah sekarang muka Naira Iris sudah berubah cuak memikirkan apa yang akan dilakukan olehnya.

“Jangan nak jadi gila! Lepas kan tangan Iris!”

Bertambah seronok Naem mengetawakan Naira Iris.

“Tolong la lepas kan tangan Iris.” Sudah tidak berdaya Naira Iris mahu menggunakan kudratnya yang terlampau sedikit berbanding tenaga lelaki Naem. Walaupun dia masih mahu pertahankan haknya tapi Naira Iris perlu bersikap rasional supaya tangannya tidak menjadi mangsa dendam Naem.

“Oh…tadi bukan main kau macam nak telan aku eh. Konon nak pertahankan hak kau…Sekarang? Langsung kau tak merayu nak minta jumpa abah lagi eh bila tangan kau berada dalam genggaman aku.” Suara Naem seperti mengejek-ejek rayuan Naira Iris.

Puan Amna dari jauh memandang dengan penuh risau kerana tiada lagi dengar suara anak-anak saudaranya saling menjerit antara satu sama lain. Hanya rontaan Naira Iris yang menjadi tatapannya.

“Nampak sangat kau lebih sayang kan tangan kau kan…” Makin kuat cengkaman Naem.

Naira menahan sakit. Bukan ke semua orang akan sayang anggota badan mereka kerana ini adalah rezeki yang diberikan sejak lahir. Siapa yang tak bersyukur lahir cukup sifat? Ada mata yang dapat melihat keindahan alam yang dicipta. Ada mulut dan telinga yang boleh mendengar dan bercakap perkara-perkara baik. Banyak lagi sebagai manusia yang boleh mensyukuri nikmat yang Allah berikan melalui setiap anggota badan yang berfungsi.

Tambah pula Naira Iris diberikan tangan yang berbakat jadi kenapa pula dia tidak berusaha untuk menghalang niat Naem yang tidak baik itu. Dengan kedua-dua tangan inilah yang buat dia berjaya sebagai pembuat kek professional.

“Tangan yang buat kau rasa bongkak dan takbur ni patut aku jahanamkan. Supaya kau dapat rasa macam mana abah rasa sakit sekarang.”

Naira Iris sudah cuak apabila sebelah tangan Naem mencapai sebatang kayu yang berhampiran dengan mereka.

Naem memang sudah gila. Dia tak kisah apa akan berlaku selepas ini asalkan dia dapat memusnahkan apa yang Naira Iris sayangkan.

“Abang jangan berani nak apa-apa kan Iris…Iris report abang nanti…” ugut Naira Iris.

Langsung Naem tidak takut dengan ugutan Naira Iris. Dirinya tidak kisah jika disumbat dalam penjara kerana Naira Iris akan menanggung akibatnya lagi teruk.

“Naem…Naem…” jerit Puan Amna sambil berlari menghalang Naem yang sudah mengangkat tinggi kayu yang berada di tangannya.

Naira Iris kumpulkan semua kudratnya untuk melepaskan diri.  Tangan kirinya sudah menolak badan Naem yang tidak bergerak itu. Badannya cuba berdiri sehingga mereka bergelut antara satu sama lain.

“Naem…lepas kan adik tu Naem…Iris tak salah… Mak su yang salah…” Puan Amna memukul belakang badan Naem berkali-kali merayu supaya lepaskan Naira Iris.

Kalau kawasan rumah mereka berdekatan dengan jiran sudah tentu mereka menjadi tontonan drama sebabak keluarga. Rumah teres dua tingkat Encik Nazli agak terpisah dari kawasan rumah jiran yang lain jadi tiada sesiapa juga boleh bantu meleraikan pergelutan mereka.

“Mak su tak payah nak back up budak derhaka ni. Biar Naem ajar dia cukup-cukup.” Marah Naem sudah berada di puncaknya. Hari ini juga dia akan beri pengajaran pada satu-satu adik kandungnya ini.

Naira Iris mula dapat cara untuk melepaskan diri. Dalam keadaan Naem yang sedang leka bersoal jawab dengan Puan Amna, Naira Iris sekali lagi kumpulkan tenaganya. Harap inilah tenaga terakhir yang boleh menyelamatkan dirinya.

Naira Iris angkat kakinya. Lalu menendang kuat celah kangkang abangnya itu sehingga tangannya terlepas dari genggaman abangnya tapi malang juga nasib Naira Iris kerana tidak dapat mengimbangi badannya gara-gara tanah yang licin dengan hujan yang membasahi jadi Naira Iris tergelincir dan terjatuh ke atas tanah sekali lagi.

Kali ini mungkin Naira Iris perlu reda dengan nasib tangannya yang jatuh terhentak kuat.

Share this novel

Ayylee Joseph
2024-07-10 06:36:05 

tengah syok2 baca novel..tetiba iklan..


NovelPlus Premium

The best ads free experience