Bab 2

Romance Series 1791

KELOPAK matanya bergetar. Rasa pedih, melekat kuat. Kulitnya juga terasa kering, dingin. Tapi dia tahu dia di bawah selimut.

Aku, di mana…?

Farrah membuka mata dengan payah. Kepala berdenyut pening. Dia keliru untuk beberapa saat pertama.

Bilik yang asing. Katil yang asing. Selimut, bantal, semuanya asing.

Tapi satu yang sama, rasa selamat. Walaupun asing…

“Aku, kat mana…”

Bingung. Tapi matanya menangkap beberapa helaian lukisan yang tertampal di dinding.

Spontan, bibir lemah Farrah menguntum senyum. Senyum yang, entah. Dia tidak pasti bila kali terakhir dia tersenyum begini.

“Itu, lukisan aku…”

FARRAH menarik nafas perlahan.

Ada aroma yang tertangkap di panca inderanya.

Hangat. Pahit. Lembut. Seperti kopi yang baru dituang, dan belum sempat diteguk.

Dan dalam ruang sunyi itu, dia dengar sesuatu berdengung perlahan. Bunyi pendingin hawa konsisten, statik. Hal-hal kecil yang menenangkan jiwa kecamuknya.

Dia pejam mata sekejap, cuba ikatkan semula memori.

Langkah basah. Hujan. Guruh. Jalan sunyi.

Bahu sasa seorang lelaki.

Dan kemudian, gelap.

Farrah buka mata semula. Pandang siling. Putih, bersih. Tidak bercorak. Tapi dia tahu, ini bukan siling bilik dia.

Farrah bangkit perlahan. Selimut berlipat ke tepi. Tangan menyentuh lapik tilam. Lembut, lebih empuk daripada katilnya sendiri.

Seketika, Farrah tidak tahu mahu ketawa atau menangis. Dia tahu tempat ini. Tapi dia tak pernah sampai ke sini secara sedar.

“Ini… rumah doktor?” bisiknya sendiri. Hampir tidak percaya.

Tapi hati dia… rasa selamat.

Kakinya melangkah perlahan keluar dari bilik. Lantai sejuk. Senyap. Tapi ada cahaya. Ada aroma kopi yang makin kuat menusuk deria.

Dan bila dia berdiri di ambang ruang tamu, Farrah terdiam.

Di situ, di atas sofa kelabu, ada selimut yang dilipat separuh. Satu bantal yang sedikit kemek. Dan cawan kaca masih ada sisa air kosong di dalamnya.

Farrah menggenggam hujung bajunya sendiri. Dia tidur dalam bilik lelaki tu.

Dan Dr. Hareez tidur di luar.

RASA bersalah menyelinap masuk ke dalam dadanya. Rasa berat. Rasa yang macam lumpur dingin menyelaput seluruh dada dan menjalar ke pangkal tengkuk.

Aku dah menyusahkan dia… fikirnya.

Langkah kaki kedengaran. Perlahan. Tapi cukup berat untuk dikenali sebagai lelaki dewasa.

Farrah memalingkan wajah.

Dan di situ, dia lihatnya.

Dr. Hareez Nadhrin Volkov.

Jejaka berdarah campuran Rusia. 38 tahun. Vibes bapak-bapak, tapi tak kurang ‘hot’nya.

Rambutnya sedikit berantakan, basah di hujung seperti baru dicuci. Wajahnya polos tanpa kaca mata. T-shirt kelabu melekap pada tubuh tinggi sasa yang masih diselubungi kehangatan pagi.

Kulitnya pucat kemerahan, sejenis kemerahan yang jarang dilihat pada lelaki tempatan. Matanya pula warna yang sedikit cerah, seperti kelabu bercampur hijau. Bila direnung lama-lama, boleh lupa diri.

Farrah telan liur. Dia berdiri tegak. Kaku.

Tapi lelaki itu hanya menatapnya sekilas. Dan senyum.

“Selamat pagi, Cik Farrah,” suaranya serak, rendah, dan beralun seperti hela nafas yang sudah terbiasa menenangkan orang lain.

Gentle. Tepat. Russian-born calm.

“Awak dah okay?” tanyanya lagi, mengangkat cawan kopi dalam tangan. “Saya buat kopi. Nak secawan?”

Farrah hanya menggeleng kecil. Matanya tunduk. Suara dia akhirnya terluah…

“Saya… saya minta maaf. Saya dah susahkan doktor.”

Hareez diam beberapa saat. Kemudian dia letak cawan ke meja.

Langkahnya mendekat, tapi tidak terlalu hampir. Sekadar cukup untuk dia membongkok sedikit dan menatap wajah Farrah dari paras mata.

“Awak tak susahkan saya, Farrah,” katanya perlahan. “Awak… cuma perlukan tempat yang selamat. Itu bukan beban.”

Farrah menggigit bibir. Matanya panas, tapi dia tahan.

Farrah tidak tahu mahu duduk atau berdiri.

Tapi Dr. Hareez sudah pun berjalan ke dapur kecil di hujung ruang tamu, selesa dan tenang seolah-olah kehadiran gadis dalam biliknya itu perkara biasa.

Dia buka peti sejuk. Ambil dua telur, sedikit mentega, dan roti. Kemudian dia sandar pinggang pada kabinet sambil memecahkan telur satu per satu ke dalam mangkuk.

“Awak lapar?” soalnya sambil menjeling sedikit.

Farrah geleng perlahan.

“Awak tetap kena makan sesuatu. Awak pengsan malam tadi, Cik Farrah,” katanya tenang. “Badannya kecil sangat, kalau tak makan, memang senang tumbang.”

Nada suaranya tidak marah, tidak sindir. Tapi Farrah rasa macam mahu menyorok dalam dinding.

Dr. Hareez ambil sudip kayu, mula pukul telur dalam mangkuk kaca. Suara sudip berlaga mangkuk, bunyi mentega cair atas pan—semuanya seperti irama pagi yang peliknya menenangkan.

“Saya minta maaf,” Farrah akhirnya bersuara lagi.

Hareez tidak berpaling, tapi suara dia kedengaran lebih perlahan, lebih lembut, “Awak dah minta maaf tadi. Sekarang tugas saya untuk pastikan awak okay.”

Dia tuang telur ke atas pan, dan bunyi mendesis mengisi dapur. Satu tangan masih pegang sudip, satu lagi buka toaster.

“Saya cuba call ayah awak semalam. Tiga kali. Tapi nombor tak aktif,” katanya sambil mengacau telur.

Farrah menelan air liur.

“Saya ketuk pintu rumah awak, lama juga. Tak ada siapa jawab. Gelap. Tak berani tinggal awak macam tu je dalam kereta. Awak pun masa tu dah lena. Separuh pengsan rasanya…”

Dia berhenti sekejap, seolah menyusun ayat. Kemudian sambung.

“Jadi saya ambil keputusan sendiri. Saya bawa awak ke sini. Tak boleh tinggalkan awak dekat kampus malam-malam. Sejuk. Lencun. Awak memang niat nak jatuh sakit ke?” Dia senyum sedikit, sengaja menggoda.

Farrah senyum kecil, malu. Tapi matanya tetap tunduk.

Hareez keluarkan pinggan, letakkan roti bakar dan telur di atas meja bulat kecil dua tempat duduk.

“Tak ada dapur fancy. Tapi boleh alas perut.”

Dia tarik kerusi, beri isyarat lembut. “Duduk. Makan sikit.”

Farrah akur, perlahan-lahan melangkah dan duduk.

Lelaki itu pula menghidangkan air—bukan kopi, tapi susu suam dalam mug putih.

“Saya tak buat kopi untuk awak. Awak jenis yang susah tidur kalau ambil kafein malam. Jadi… susu saja.”

Farrah pandang dia. “Macam mana doktor tahu saya—”

“Saya dengar awak cakap dalam satu sesi tu. ‘Saya selalu susah tidur bila minum kopi petang’—lebih kurang macam tu.”

Farrah terdiam.

Dan dia sedar. Hareez bukan saja dengar. Dia ingat.

Farrah baru hendak menyuap sudu terakhir bila Hareez tiba-tiba bangkit dari kerusi. Tangannya pantas capai jam di pergelangan reka bentuk kulit hitam, klasik, seperti empunya diri.

“Alamak…” dia bersuara rendah, hampir mengeluh sendiri.

“Kenapa, doktor?” Farrah angkat muka.

“Saya ada kelas pagi ni. Kuliah jam sembilan. Zayn dah ingatkan semalam… saya pula terlupa nak set alarm.” Dia tersenyum, sedikit menepuk dahi.

“Zayn?” Farrah ulang.

“Dr. Zayn. Kawan saya. Sama-sama ajar subjek klinikal.” Dia berjalan ke bilik, suaranya masih kedengaran dari dalam, “Dia kalau bab ‘on time’, macam ketua pelajar. Saya je selalu buat gaya ‘Russian time’…” Dia ketawa sendiri sambil menukar baju.

Farrah tersenyum. Ada sesuatu tentang cara Hareez mengurus masa yang... manusiawi. Tidak terlalu sempurna. Tidak dibuat-buat.

Beberapa minit kemudian, dia keluar dengan kemeja putih bersih, terletak rapi di tubuh tinggi dan sasa. Tali leher hitam digantung longgar di leher. Wajahnya segar tapi tergesa.

Farrah menunduk sedikit. Entah kenapa, setiap kali lelaki itu berpakaian formal, dadanya terasa lain. Macam… sempit, tapi selamat.

Hareez menghampiri pintu, kemudian menoleh.

“Cik Farrah,” suaranya lembut, tapi berisi.

Farrah bangun dari meja, menanti penuh tertib.

“Saya akan hantar awak balik sebelum saya ke kuliah, jangan risau.”

Farrah hanya angguk perlahan.

“Tapi…” Hareez tunduk sedikit, membuka beg kulitnya dan ambil sesuatu kunci kereta.

“Awak tak perlu masuk kelas saya hari ni. Rehat.” Dia pandang tepat ke arah mata Farrah. “Awak perlukan masa. Saya akan maklumkan pada pihak pentadbiran kalau perlu.”

Farrah terkesima sejenak.

Tak ada siapa pernah cakap begitu. Tak ada siapa pernah beri masa untuk dia pulih, melainkan kerana jadual, bukan kerana prihatin.

“Terima kasih, doktor…” suaranya lirih, hampir berbisik.

Hareez senyum, menoleh sedikit, tapi kemudian berhenti sejenak seperti mahu ingatkan sesuatu.

“Oh ya,” dia bersuara lagi, nada kali ini lebih berat, lebih perlahan. “Cik Farrah. Tentang malam tadi…”

Farrah angkat wajah, resah mula timbul.

“Saya maksudkan, pasal saya bawa awak balik sini. Awak jangan… beritahu sesiapa, ya?”

Kening Farrah terangkat sedikit, ingin bertanya kenapa. Tapi Hareez teruskan.

“Bukan apalah… Saya ni pensyarah, awak pelajar. Dan... awak pesakit saya juga. Tak naklah kalau... orang mula fikir yang bukan-bukan. Bukan semua orang tahu cerita sebenar, kan?”

Suaranya masih tenang, tapi jelas. Ada beban tanggungjawab yang dia pikul, dan dia tidak mahu nama Farrah terpalit hanya kerana dia memilih untuk buat apa yang dia rasa betul.

Farrah pandang dia, lama. Dan kemudian, senyum.

Ikhlas.

“Saya faham, doktor.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience