Prolog

Detective Completed 54058

Turun naik dada Dara. Dia sedang melepaskan segala-galanya. Penceritaannya penuh dengan emosi. Hatinya cukup panas. Dia tidak bodoh! Dia hanya termakan hasutan binatang bertanduk itu. Binatang itulah yang membuatkan dia jadi papa kedana dalam masa yang teramat singkat.

"Dah habis?!"

Berdesing telinga Dara. Apa dia sedang disindir?

"Tak akan habis selagi saya tak dapat balik duit saya!"

Itu yang Dara mahukan. Dia mahu jadi kaya semula. Itu semua hasil titik peluh dia selama ini. Siang malam dia bekerja, Apa lagi dikala pandemik ini, dia pula mengeluarkan wang tuanya sebelum sempat dia merasa tua. Belum sempat dia merasmikan wang tersebut, dia sudah kehilangan.

Dalam sekelip mata, lima angka dalam akaunnya lebur! Selebur hatinya. Dia mahu si pelaku ditangkap secepat yang mungkin.

"Puan..."

"Cik!" Pangkah Dara laju. Dia masih dara. Muka dia pun bukan seperti mak-mak.

"Muka Cik memanglah cantik. Tapi dekat pintu masuk tu sudah terang-terang tertulis sila pakai pelitup muka. Apa cik sengaja nak tunjukkan kecantikan pada semua petugas di sini dengan melanggar arahan?"

Berderau muka Dara. Spontan tangan dia meraba-raba ke dua-dua belah pipinya yang kosong. Tiada pelitup muka yang sering menjadi peneman. Hilang wajah garang dia sebentar tadi.

"Saya tak sengaja! Tadi saya nak cepat." Suara Dara berubah kalut. Sumpah! Dia tergesa-gesa sehingga terlupa untuk memakai pelitup muka.

"Saya hanya bertindak telus. Saya tahu Cik Dara sudah tiada wang. Tapi, salah tetap salah. Saya tak nak di cop mata keranjang dan berat sebelah kerana telah jatuh cinta . Jadi, tolong terima surat cinta daripada saya."

Tidak berkedip mata Dara saat menerima sehelai kertas saman. Angka yang tertulis di atas kertas tersebut membuatkan sepasang mata Dara membesar. Mulutnya terkumat kamit, tetapi suara dia tersekat.

"Saya mana ada seribu! Dalam akaun saya hanya tinggal lima belas ringgit dua puluh lima sen saja!" Merah-merah muka Dara.

Dia datang ke Balai Polis untuk membuat laporan. Bukannya terima surat saman. Mana budi bicara lelaki ini? Kalau dah tahu dia tidak memakai pelitup muka, bukankah dia sepatutnya menegur terlebih dahulu? Bukannya  saman membuta tuli begini.

"Itu masalah Cik Dara. Dalam keadaan sekarang, Cik Dara kena peka. Bukan Cik sahaja punya masalah. Ramai lagi yang mengalami masalah yang sama."

Dara hampir ketawa. Sekarang dia diperdengarkan pula masalah lain. Sedangkan masalah dia pun belum ada jalan penyelesaian lagi.

"Tapi Cik tak perlu risau, petugas di pintu masuk pun menerima nasib yang sama sebab lepaskan Cik Dara masuk. Sepatutnya, Cik Dara tidak dibenarkan masuk jika tidak mengikut SOP yang ditetapkan. Tapi itulah, kecantikkan Cik Dara itu meraja. Tiada sesiapa yang berani menegur."

Hampir luruh rahang Dara.

Dia pula yang dipersalahkan. Dia pula yang dikata mendabik dada dengan kecantikkannya. Pokok pangkalnya, semua salah dia!

"Ini laporan Cik Dara. Jadi, tolong bayar dua ringgit."

Setakat dua ringgit apa lah sangat! Sekarang juga aku boleh campak depan muka dia. Biar padan dengan mulut puakanya. Getus hati Dara. Apalah malangnya nasib dia menerima nasib sebegini. Sudahlah ditipu, berjumpa pula dengan puak puaka.

Seminit mencari, peluh renik mula tumbuh. Habis semua isi beg totenya diselongkar. Kelibat wang kertas berwarna biru tiba-tiba jadi halimunan. Rambut diselit belakang telinga. Sekali lagi dia melakukan hal yang sama. Masih juga tidak jumpa. Kali ini Dara menumpahkan semua isi beg di atas meja.

Tidak terkata lelaki itu dengan tindakan selamba Dara. Tetapi dia tidak pula menegur. Hanya membiarkan saja orang di depannya mencari-cari dengan muka pucat tidak berdarah.

Dara tidak tahu di mana dia hendak sorokkan muka. Bukan dia tak nampak pandangan dua anggota di kiri dan kanan lelaki itu. Masing-masing tersenyum walaupun wajah mereka ditutup dengan pelitup muka. Namun bahu mereka bergegar teruk!

Dara memandang pada dada lelaki itu. Dia meneguk tiga kali. Air liurnya terasa berpasir.

"Maaf Encik Hilman." Sebut Dara dengan cara terhormat.

Lelaki itu hanya terus menaip. Sedikit pun dia tidak menoleh apatah lagi menyahut.

"Macam ni..." Serba salah Dara ingin bersuara.

"Kami hanya menerima tunai." Tanpa jiwa suara Hilman.

Terbantut niat Dara  ingin menggunakan transaksi maybank2u. Baru dia teringat. Duitnya sudah habis digunakan untuk mengisi minyak kereta. Habis kesemua wang seringgit-seringgit dia kumpul menjadi dua puluh ringgit. Sekarang, dia benar-benar sudah kekeringan.

Panjang helaan nafas Dara. Tiada kompromi untuk dirinya.

Nampak gayanya, dia terpaksa menebalkan muka. Bibirnya diketap kuat. Dengan berat hati Dara mengambil beg kecil. Bunyi yang dihasilkan menggamit bercupak mata terarah kepadanya. Dia tidak berani mengangkat muka. Dia malu!

"Syiling Encik terima?" Soal Dara tanpa mengangkat muka. Dia tidak tahu berapa teruk bahang di mukanya.

"Asalkan bukan daun kering."

Makin teruk malu Dara. Lambat-lambat dia meletakkan empat keping lima puluh sen di atas meja. Dia tidak berani bertentang mata dengan Hilman.

Selesai semua urusan,  kertas pemberian lelaki itu disambut tidak ikhlas. Dengan cara paling kasar.

Kurang ajar!

Ini kali ke sepuluh Dara memaki Hilman. Lelaki itu sempat hulurkan sekeping pelitup muka kepadanya, dan bohonglah Dara tidak merasa terharu. Sebaliknya, rasa terharu Dara bertempiaran apabila Hilman dengan muka kejungnya meminta tujuh puluh sen sebagai bayaran. Bukanya percuma.

Dara menghenyak punggung kasar ke dalam kereta. Rasa sakit hatinya tidak surut-surut sejak dia menjejakkan kaki di sini sehinggalah dia pulang. Kertas laporan polis dicampak ke kerusi sebelah, dan ketika itulah ada sampul putih  jatuh di atas karpet yang menggamit Dara. Serta merta dahi dia berkerut.

Setahu Dara, dia hanya mengambil kertas sahaja tadi. Atau mungkin kerana dia terburu-buru, dia tidak perasan akan kewujudan sampul tersebut?

Dara mencapai sampul, lalu isinya di lihat.
Tidak berkedip Dara apabila melihat kandungan di dalam sampul tersebut.

Ada empat keping not lima puluh bersama sekeping kertas kecil.

'You look teribble – H '

Berlaga-laga gigi Dara. Tanpa dia sedar, tubir matanya sudah terasa hangat. Bukan kerana terharu. Tetapi dia merasa terhina! Lantas dia keluar dari perut kereta. Dia perlu membuat perhitungan dengan 'H'.

Share this novel

Norazwani Wani
2024-11-25 20:11:14 

best


NovelPlus Premium

The best ads free experience