BAB 26

Romance Completed 344308

CINCIN permata yang berada di jari direnung Sara tanpa sebarang perasaan. Cincin itu yang dipulangkan kepada Ian beberapa minggu lalu kini kembali tersarung di jari manisnya.

Sara memejam mata. Rembesan sisa air mata mengalir perlahan. Entah sudah berapa kali dia menangis. Malah, meraung, menjerit dan merayu kepada Ian Khalif untuk tidak meneruskan rencana perkahwinan mereka. Namun, lelaki itu langsung tidak peduli.

“Kau akan menyesal kahwin dengan aku, Ian Khalif!” Sara memberi amaran sewaktu mereka sudah pun tiba di sempadan Thailand petang semalam.

Sebaliknya Ian tetap dengan keputusannya. Tidak menghiraukan apa pun yang keluar dari mulut Sara.

“Yup. Aku pasti menyesal kalau lepaskan kau sekali lagi. Kau yang sukarela muncul dalam hidup aku mula-mula dulu. Sekarang aku akan ‘ikat’ kau kuat-kuat supaya kau tak boleh lari lagi.” Ian membalas dalam sinis.

Akhirnya tanpa kerelaan hati serta terpaksa, Sara pasrah saat dirinya telah diijabkabul dan sah menjadi milik Ian Khalif. Dia menangis tersedu-sedu.

Sedangkan Ian yang berada di sebelah pula senyum meleret. Seolah-olah terlalu gembira dengan pernikahan ini. Sudah tentulah kerana kemenangan berpihak kepada lelaki itu.

Bagi Sara, perkahwinan ini tiada sebarang erti. Apatah lagi bernikah di luar negara secara sembunyi tanpa kehadiran ahli keluarga atau sanak saudara seperti itu.

Tiada baju pengantin yang dirias cantik, tiada pelamin indah, tiada sebarang acara istimewa. Hanya berupa satu upacara ringkas dirinya bersama Ian, jurunikah dan dua orang saksi. Itu sahaja. Dah macam kahwin sebab kena tangkap basah!

Selesai sahaja urusan pernikahan di pejabat agama Islam yang terletak berhampiran sempadan negara itu, Ian dan Sara berjalan keluar. Sebuah kenderaan mewah sudah menanti mereka di situ.

Ian mendahului langkah membukakan pintu belakang kenderaan untuk Sara.

“Silakan masuk Cik Puan Isteri,” ujar Ian dalam senyuman penuh sinikal.

Sebaliknya Sara tidak menghiraukan Ian dan menuju ke pintu yang satu lagi. Dia membuka dan masuk sendiri ke dalam kenderaan. Pintu turut ditutup dengan kuat. Sengaja nak tunjuk protes.

Ian memahami reaksi amarah Sara. Tapi, dia peduli apa? Yang penting kemahuannya sudah terlaksana. Dan dia akan pastikan Sara tidak akan berani membantah apa pun arahannya selepas ini.

Ian menyusul masuk ke dalam kenderaan sebelum menghenyak tubuh di kerusi empuk bersebelahan Sara. Dia kemudian mengarahkan pemandu meneruskan perjalanan.

“Kita nak bertolak terus ke KL ke, Tuan Ian?” Pemandu peribadi Ian bertanya mahukan kepastian.

“Erm kita singgah Penang. Kau pergi area Batu Ferringhi. Bermalam di sana malam ni. Kau check dengan Leon, dia dah booking tak hotel kat situ.”

“Baik, tuan. Saya confirmkan dengan Leon.” Pemandu itu lantas menghubungi seseorang melalui ‘handsfree’ sambil memandu kenderaan.

Ian kemudian mengerling ke arah Sara. Gadis yang kini telah sah bergelar isterinya. Biar pun sakit hati ditipu sebelum ini, Ian tetap nekad meneruskan rencananya untuk mengahwini gadis itu. Kerana Sara adalah satu-satunya gadis yang telah berjaya menawan hatinya.

Ian tidak inginkan perempuan lain. Dia hanya mahukan Sara Alyka. Disebabkan itu dia menghalalkan hubungan mereka walau dengan cara apa sekali pun.

“Malam ni kita akan tidur di Penang.” Ian memaklumkan kepada Sara. Mahu memecah kesunyian antara mereka.

Namun, Sara sekadar membatukan diri. Suara Ian ibarat angin yang lalu dan tidak singgah di pendengaran. Dia berpeluk tubuh sambil membuang pandangan ke luar kenderaan yang sedang bergerak.

“Aku dah tempah hotel. Well, kita berdua dah kahwin. So, bolehlah kita honeymoon,” ujar Ian sambil menjongket kening sengaja mahu mengapikan perasaan Sara.

Sara menjeling tajam melalui ekor mata. Spontan wajahnya mencemik. Tidak pernah terbayang langsung di fikirannya mahu berbulan madu bersama lelaki ini. Jijik!

Melihat Sara diam tanpa balasan, Ian menyambung berbicara.

“Kau dah sah bergelar isteri aku. Bermula hari ini perkahwinan kita akan berlangsung selama mana kau dan aku hidup. Itu bermaksud kau akan menjadi isteri aku sehingga akhir hayat kau. Aku harap kau bersedia dengan ‘tugasan’ terbaru kau ni.”

Sekali lagi Sara tidak menyahut kata-kata Ian. Pura-pura menulikan telinga. Malas nak dengar si Ian bercakap sebenarnya.

Sebaliknya Ian makin seronok mahu menyakat Sara dengan ayat yang akan menyakitkan hati perempuan itu.

“Sebagai isteri kau wajib patuh semua arahan dan permintaan aku. Tak ada bantahan atau alasan. Lagipun, berdosa seorang isteri tak taat pada perintah suami. Masuk neraka tau.”

Kali ini Sara terus menjulingkan anak mata ke atas. Urgh. Pandai pula si kasanova ini berhujah tentang tanggungjawab isteri, dosa pahala dan syurga neraka. Padahal diri sendiri pun tak betul! Sara mencebik.

“Sepanjang kau bergelar isteri aku juga, semua kebebasan kau tertakluk pada kebenaran aku. IC, pasport dan semua dokumen penting kau ada di tangan aku. Kau hanya boleh keluar ke mana-mana bersama aku. Selain dari itu, kau akan tinggal di rumah. Tugas kau hanya perlu melayan aku. Well, hidup kau dah mudah sekarang. Tak perlu kerja teruk-teruk atau menjadi orang upahan sesiapa untuk dapatkan wang. Seronok kan?” Sempat Ian menyindir di hujung ayatnya.

Sara mengetap bibir. Semakin menyampah dengan setiap butir ayat yang dituturkan Ian. Kalau ada jarum dia dah jahit mulut lelaki ini!

“Hurm itu aje? Why not kau buat je list tentang semua permintaan kau yang banyak ‘cekadak’ tu. Tak perlu nak bersyarah panjang. Macam kau bagus sangat. Annoying!” Sara membalas.

Ian berdesis seraya tersenyum. Baru tahu sikap Sara yang sebenar. Dahulu bukan main lagi lemah lembut dan ayu. Sampaikan dia angau dan tak tidur malam teringat-ingat. Tapi, sekarang hanya ayat bernada kasar yang kedengaran dari mulut perempuan ini.

Takpe-takpe. Itu bukan masalah besar pun. Yang penting Sara sudah berada dalam genggamannya dan tak akan terlepas lagi.

“Another one thing yang kau kena tahu. Aku sengaja bawa kau bernikah di Thailand. Aku tak bercadang nak daftarkan perkahwinan kita di Malaysia. Just in case kalau one day aku mati, kau takkan dapat tuntut apa-apa pun. Sebab tak ada tercatat secara rasmi nama kau sebagai isteri aku. So, status kau bolehlah disebut sebagai ‘isteri simpanan’. Aku takkan umumkan kepada sesiapa tentang perkahwinan kita.”

Bersahaja Ian menutur kata-kata. Sengaja mahu membuatkan perempuan di sebelahnya bertambah berang. ‘Alang-alang kau dah sakitkan hati aku. Aku akan balas dengan buatkan hati kau jauh lebih sakit!’

Serentak itu Sara mengalih pandangan ke arah Ian bersama renungan tajam. Memang benar dia sakit hati dengan bicara jelik lelaki ini.

Dia dikahwini hanya untuk diikat dalam sebuah perkahwinan rahsia? Tarafnya sebagai isteri juga diletakkan serendah dan sehina itu? Sekadar ‘isteri simpanan’ pemuas nafsu? Si Ian ni memang melampau!

“Kenapa kau tak bunuh je aku? Lebih mudah kan? Tak perlu kau nak seksa aku dalam perkahwinan mengarut kau ni!”

“Sebab aku nak kau rasa semula kesakitan yang aku rasa dari setiap pembohongan dan penipuan kau!” Ian membalas kembali.

Sara mendengus nafas. Silapnya sendiri kerana tersalah percaturan. Kesal. Namun, sudah terlambat. Nak tak nak dia terpaksa hadap segala bentuk balasan di atas perbuatannya menipu lelaki ini.

“Okey. Aku bersedia untuk menjadi ‘isteri simpanan’ kau. Tapi, aku ada satu syarat. Dan kau mesti ikut syarat tu.”

“Syarat? Syarat apa?” Ian bertanya.

“Aku tak nak hubungan kelamin sepanjang perkahwinan kita.” Selamba Sara berkata.

Buat seketika Ian terkesima dengan permintaan Sara. Tidak menyangka itu syarat yang diletakkan. Sebentar kemudian tawanya berhambur.

“Cik Puan Sara Alyka, biar aku jelaskan pada kau. Dalam perkahwinan kita, satu-satunya orang yang boleh buat apa-apa keputusan adalah aku. Kau tak ada sebarang hak. Jadi, sepanjang perkahwinan kita aku nak kau penuhi apa saja permintaan aku. Dari hujung rambut sampai hujung kaki. Luar dan dalam. Kalau tak buat apa aku kahwin dengan kau?!” Suara Ian mula meninggi.

Sara memejam kelopak mata. Menjadi isteri lelaki ini sahaja pun dia tidak sanggup, apatah lagi berhubungan suami isteri. Dia tidak bersedia untuk itu. Tak nak!

Seakan mengerti apa yang berada dalam fikiran Sara, Ian bersuara.

“Kau nak atau tak, kau harus bersedia. Aku suami kau. Dan kau ‘hak mutlak’ aku. Faham?!”

Sara tidak membalas lagi kata-kata Ian. Dia menyepikan diri. Namun, di dalam kepala sedang ligat mencari jalan bagaimana dia dapat melepaskan diri daripada kurungan lelaki ini. Tentu ada sesuatu yang mampu dia lakukan.

Walau apa pun terjadi, perkahwinan ini tidak akan berlangsung lama. Sara yakin dan pasti tentang hal itu. Aku akan lepaskan diri daripada kau, Ian Khalif!

Author nak ucapkan terima kasih buat semua yang singgah ke novel ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience