SILAP Dara. Dia hanya membaca helaian pertama. Baru sekarang dia menyelak helaian kedua. Tertera di situ nama Hilman Haris yang akan mengetui misi. Di bawah nama Haris, ada nama lain yang akan menjadi rakan sepasukannya. Dara kenal nama yang tertera sebagai rakan setugas Haris. Akan tetapi, dia tidak kenal siapa yang berada di sisi suaminya. Yang berada di hadapan dia ketika ini.
“Awak kembar tak serupa Amy ke?” Terpacul soalan tersebut dari mulut Dara.
Amy yang Dara kenal tidak mesra alam. Bercakap pun, semuanya melibatkan hal-hal kerja saja. Bahkan Amy seorang yang sangat berdedikasi dalam menjalankan tugas. Belum pernah lagi Amy menyandang perempuan gatal. Ini sangat menghairankan.
“Macam saya katakan tadi…Saya dapat baru dapat info mengejut untuk gantikan Amy yang terpaksa menghadiri kursus.”
Dara bersangka baik. Mungkin Haris tak sempat untuk beritahu hal ini kepada dia. Boleh jadi juga ini merupakan satu kejutan suaminya buat Dara. Cumanya, sejak wanita ini jejak kaki ke sini, apa yang Haris sangat serius. Matanya juga tidak menyampaikan senyuman seperti selalu.
“Dan saya terus terima bila dapat tahu rakan sepasukan saya tu Hilman Haris.”
Perempuan yang belum diketahui namanya itu mencari sisi wajah Haris semula bersama senyuman dia yang masih belum luntur. Tanggapan pertama Dara, perempuan ini sangat peramah orangnya.
“Jadi, awak berdua yang akan jalankan misi ni?” Soal Dara.
Sehabis baik Dara cuba mengawal diri. Setakat pandang Haris, bukan luak pun. Dia sudah dapat lebih daripada itu. Yang paling penting, cinta Haris itu milik dia.
“No!”
“Yes!”
Jawapan bercanggah dua orang manusia di depan Dara buatkan dia rasa ada yang tak kena di antara mereka. Ada tembok besar yang tercipta.
“Awak lupa Haris, kita pernah bekerjasama sebelum ni? Masa tu saya masih di Kuantan. Dan kita terjumpa di kelab malam.”
Dara pandang Haris. Tak tahu berapa banyak kerutan dia bila dengar perempuan itu sedang mengimbau kenangan Haris ketika menyandang gelaran kasanova.
“And guest what, misi kita berjaya.” Heboh perempuan itu bercerita.
Misi Haris mana pernah gagal. Semuanya berjaya dengan cemerlang walaupun makan masa. Suaminya layak dipuji. Cumanya, pujian tersebut datangnya dari orang yang salah. Wajar hati dia merasa panas.
“Sekejap...” Dara mencelah. Cukuplah telinga dia dengan mendengar suara tetamu tak diundang ini.
“Dari tadi saya hanya dengar cerita tentang awak, Haris. Awak tak nak kenalkan dia?” Dara memandang tepat pada Haris, kemudian pada perempuan yang kini memakukan sepasang matanya pada Dara. Dia menitipkan juga senyuman biar nampak tidak cemburu buta. Biar nampak mesra alam.
Dara perasan bibir atas dan bawah Haris berpisah. Dia memang menunggu saat Haris buka mulut untuk bersuara. Dia tak suka suaminya diam begini. Bila Haris diam, seolah-olah suaminya mengeyakan apa jua rasa yang datang bertandang di dalam hatinya ketika ini.
“Saya Julia.”
Tapi sayang, perempuan ini sememangnya ingin menguasai perbualan. Dia terlebih dahulu mencelah. Dia yang sibuk perkenalkan diri walaupun soalan Dara sebenarnya ditujukan kepada Haris.
Dara hela nafas panjang. Sepenuh perhatian dia berikan kepada Julia bila Haris masih kunci mulut. Kalau Haris sudah membisu, percayalah, kebisuaan suaminya akan berkekalan sehingga tamat sesi perbincangan mereka.
“Berapa lama pengalaman awak dalam bidang ni?” Dara perlu tahu juga sedikit sebanyak pengalaman Julia supaya dia dapat melepaskan kerja ini walaupun dia percaya dengan kebolehan Haris.
Dara tidak mahu meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Julia. Apa yang dia faham dari lenggok badan Julia, perempuan itu lebih tertarik pada Haris. Mata dia juga kerap menangkap kesungguhan Julia melakukan apa saja untuk tarik perhatian Haris. Malah, dirinya cuba mengheret suaminya untuk berbual sama.
“Setahun.”
Jawapannya mengundang senyuman Dara. Kalau ikut pengiraan, Julia ini masih baru lagi. Jadi, di mana titik pertemuan mereka? Berdasarkan cerita dan pandangan Julia itu seolah-olah dirinya sudah lama berkecimpung dalam dunia risikan.
Dara rasa, tak perlu dia bersoal jawab lagi kerana keputusan sudah pun jelas selepas memikirkan keadaan dirinya sekarang. Enggan memeningkan kepala, dia biarkan kes ini diselesaikan oleh Haris dan rakan setugasnya. Tak perlu dipertikaikan lagi. Bahkan mereka nampak serasi berdasarkan kejayaan mereka sebelum-sebelum ini. Tiada apa yang perlu dirisaukan lagi selagi Haris pandai jaga diri.
“Awak lupa sesuatu Dara?”
Suara garau yang tadinya diam akhirnya muncul saat Dara baru saja menyerahkan kembali fail pada Heliza yang sejak dari tadi menjadi pemerhati. Malah, dia berura-ura untuk bangkit. Mahu dibiarkan saja Haris dengan Julia untuk merangka rencana mereka. Dara tidak mahu ikut campur sebaik kes ini diserahkan pada Haris.
Serasa Dara, tiada apa yang dia tertinggal. Lupakan Haris pun tidak. Cumanya, dia lupa cara untuk mengalu-alukan kedatangan Julia sebagai sebahagian daripada rakan sepasukan. Dia lupa cara bermesra dengan Julia bila perhatian perempuan itu berat pada suaminya sendiri.
Sepasang mata Dara mengekori gerakkan Haris. Suaminya sedang memandang Julia. Automatik bibir Julia merekah senyuman sampai ke telinga. Terasa usahanya meraih perhatian Haris berjaya dengan cukup cemerlang.
Dara semakin hairan bila Haris itu tiba-tiba bangkit dan bergerak lalu berdiri di sisi Dara. Heliza sudah mengundur beberapa langkah untuk memberi ruang pada suaminya merapat.
Apa yang mengejutkan, Haris capai tangannya lalu mengisi celah-celah ruangan jari dengan jari kasar milik suaminya. Dara panggung kepala, ketika itulah pandangan mereka bertaut. Agak lama sebelum Haris terlebih dahulu melarikan pandangan mencari seraut wajah Julia.
“Ini Dara, isteri saya.”
Bibir Dara tidak mengukir senyuman, tapi hatinya terlebih dahulu berbuat demikian. Sangkaan Dara, Haris itu tidak akan memperkenalkan dirinya sebagai isteri. Siapa tahu rupanya Haris tidak teragak berbuat demikian. Dan sekarang, Dara diperlihatkan senyuman kelat milik Julia.
“Awak tak jemput saya ke majlis pun?” Ada kesalan di wajahnya. Dia tak menyangka, di depannya adalah isteri kepada Haris. Dia memuji sikap isteri Haris yang langsung tidak melenting. Malah tenang berhadapan dengan dirinya yang terang-terangan cuba menggoda lelaki bernama Hilman Haris.
“Awak tak jemput Julia?” Dara menoleh pada Haris. Jawapan itu hanya Haris saja yang tahu. Dara mahu kecewa di wajah Julia itu terubat.
“Lost contact…Last kita orang jumpa pun masa zaman sekolah.”
Naik turun kepala Dara. Fahamlah dia. Mereka berdua kenalan zaman sekolah lagi. Boleh jadi Julia itu cinta monyet Haris. Ataupun, Julia ‘secret admirer’ suaminya. Siapa tahu.
“Kalau awak nak tukar partner, saya tak kisah.” Usul Julia.
Dara dapat rasakan, mungkin kejadian tadi membuatkan Julia pilih untuk tarik diri. Lihat sajalah senyuman Julia. Nampak palsu. Tapi keputusan bukan di tangan dia sendirian. Haris juga berhak. Dara mencari sisi wajah Haris, barulah dia nampak sepasang mata suaminya bercahaya mendengar usul Julia.
“Saya rasa tak perlu.”
Sejurus buat keputusan sebelah pihak, dia terasa genggaman Haris itu berbaur amaran biarpun suaminya masih pasungkan pandangan pada Julia.
“Awak dengan Haris akan saling bekerjasama.”
Barulah Dara nampak bibir merah jambu milik Julia melengkung cantik. Tetapi tidak bagi Haris. Perlahan-lahan Haris melepaskan tangan. Dara tahu, Haris tak suka. Tapi Dara juga perlu bersikap profesional. Hal peribadi dan kerja tidak boleh dicampur adukkan. Lagikan pula, mereka mengejar date line. Tak boleh tertangguh lagi. Mana sempat nak cari pengganti lain dalam masa yang singkat?
“Shall we start now?” Julia nampak sudah tidak sabar untuk menerus agenda seterusnya.
Dara siap-siap untuk bubar. Mejanya di kemas. Dia tidak akan terlibat dalam perbincangan mereka berdua. Urusan dia selesai. Kalau dia turut serta, Dara takut sekejap lagi dia akan terkena penyakit cemburu. Boleh jadi cemburu dia lebih teruk dari Haris sejak dia bakal menjadi ibu.
“Where do you think you are going?” Elok tangan Haris mendarat dilengan Dara.
Baru saja Dara ingin buka mulut, Haris terlebih dahulu mencantas.
“Awak pun terlibat sama dalam perbincangan ni.”
Haris mengheret Dara ikut masuk ke dalam bilik mesyuarat yang berada tidak jauh dari sini. Dan dia ditempatkan sebelah dengan Haris. Malah, suaminya menghulurkan sebuah buku dan pen padanya.
“Catat minit mesyuarat hari ni.” Arah Haris.
Dara mengetap bibir. Ini bukan mesyuarat formal pun. Lebih kepada rancangan untuk menyerang hendap penjenayah. Haris sengaja nak bagi dia kerja lebih. Biarpun memberontak, Dara turuti juga permintaan Haris. Dan sempat dia diperlihatkan wajah cemberut milik Julia. Mungkin tadinya Julia sudah berangan-angan untuk berdua-duaan dengan Haris. Siapa tahu, keputusan Haris itu meranapkan harapannya.
Tapi bagus juga. Tak perlu Dara pantau mereka daripada cctv. Dia dapat lihat depan-depan dan dengar apa perbualan mereka.
Hampir satu jam perbincangan berlangsung. Julia terlebih dahulu keluar dari bilik mesyuarat tersebut. Dara juga bakal melakukan hal yang sama, tapi pergerakkan dia dihalang oleh Haris. Sekali tarik saja, Dara sudah duduk semula. Hampir saja dia duduk di atas peha Haris kalau dia tidak segera mengelak.
“Tak malu ke?”
Gurauan Dara di sambut dengan senyuman senget Haris. Besar kemungkinan mereka semua telah pun keluar untuk makan tengahari. Jika tidak, jangan harap nak nampak bibir Haris melengkung. Lagipun, Haris bukan jenis yang suka bermesra di depan khalayak ramai. Itu pantang suaminya. Nak mesra-mesra, jangan lebih dari kawasan bilik.
“Saya nampak macam lelaki pemalu ke?”
Dara mencebik. Mana mungkin Haris itu pemalu. Harislah orang yang tak tahu malu. Kalau berdua, hilang terus rasa malu suaminya. Haris yang sering buat dia malu sendiri.
“Siapa dia?”
Kening Haris naik tinggi.
Dara membawa tangannya memeluk tubuh. Haris jangan nak pura-pura tak faham soalannya.
“Awak sepatutnya terima cadangan Julia.” Kata Haris.
Sikit lagi kening Dara hampir bertemu. Apa Haris ingin katakan, dia salah membuat keputusan dengan mengajak Julia bekerjasama?
“Kenapa?” Dara ingin juga tahu kenapa dia perlu tolak kerjasama Julia. Dan Haris perlu kemukakan alasan yang kukuh.
“Dia tu kisah lalu saya. Kami hampir bercinta. Cinta yang bertepuk sebelah tangan.”
Bibir Dara tersenyum tipis. Dia sudah dapat mengagak hal tersebut. Haris sudah ada cinta sejati, tiada apa yang perlu dirisaukan. Dialah cinta Haris. Dan semua orang ada kisah silam. Kisah silam Haris itu sedikit pun tidak menjejaskan perasaan Dara pada suaminya.
“Dan dia tu ular, Dara. Lebih-lebih lagi percakapan dia.”
Senyuman Dara hampir lari dari landasan, namun cepat dia mengaburi pandangan Haris dengan melebarkan lagi senyuman lalu Dara bangkit.
“Kalau dia ular, saya naga. Dan dia silap sebab bermain dengan api. Api ni yang akan bakar dia hidup-hidup.” Ujar Dara.
Perlahan-lahan Haris juga bangkit. Lama dia merenung Dara.
“Sebab tu saya pilih awak, Dara. Pilihan saya tak pernah salah.”
Sedikit demi sedikit Dara diperlihatkan kawah di pipi kiri dan kanan Haris. Kawah yang terbentuk sangat dalam sebagai tanda Haris itu senang dengan apa yang baru didengarinya.
“Saya percayakan awak, Haris. Saya percaya awak dengan Julia itu berurusan hanya sekadar kerja.” Dara meletakkan sepenuh kepercayaan pada Haris. Tapi tak tahu kenapa, dia menemukan senyuman gusar milik suaminya. Senyuman yang bersembunyi disebalik mata.
Naluri Dara kuat mengatakan bahawa Haris itu nampak risau. Risaukan apa, Dara sendiri tidak tahu.
“Makan jom, baby lapar.” Ajak Dara. Tubuh suaminya diheret.
Dara buang jauh-jauh kecanggungan yang baru muncul di antara mereka berdua. Bawa Haris melihat dunia luar merupakan pilihan yang sangat tepat demi mengelak tercetusnya perang mulut.
Share this novel