Bab 2

Romance Series 24509

“TIADA pilihan mahupun tawaran. Sanggup Dali nak buat tawaran dan beri pilihan kepada papa?” kata Dato Mokhtar cuba untuk melepaskan diri kerana dia tahu akal panjang anaknya itu.

Dali hembus nafas perlahan. Ya, dia selalu kalah dengan lelaki di hadapannya ini. Lantas dia benamkan apa yang dia rasa ketika ini. “Dali rasa, cadangan mama itu tepat. Mama nak papa rehat saja di rumah. Papa perlu berehat saja sekarang ini,” cadang Dalilah. Dia tekad tidak mahu akan mewarisi syarikat itu.

“Dali. Papa tak mampu nak jual syarikat itu… itu... itu... itu kenangan papa dengan umi Dali. Harapan umi Dali untuk menjadi pemberi khidmat pembersihan pada syarikat Jepun di Malaysia. Modal pun umi yang keluarkan. Papa hanya proksi yang menjaga syarikat itu hingga Dali pulang,” jelas Dato Mokhtar. Ya. Ini adalah sebab utama kenapa dia mahukan Dali mengambil alih.

Dalilah diam. Dia sudah tersepit dengan impian menjadi jurutera dan impian umi. Walaupun umi sudah lama meninggal, namun kenangan yang samar-samar itu masih lekat di minda Dalilah. Ingatan pada umi dipupuk hanya melalui gambar yang ditinggalkan juga cerita yang diceritakan oleh Mahani dan Dato Mokhtar.

Seperti biasa menjadi anak yang baik adalah dengan… “Yalah...” Dalilah mengalah. Senyuman menjadi milik Dato Mokhtar. Anaknya ini adalah anak yang paling taat dan baik sekali sentiasa mengutamakan orang lain dan sangat menyenangi hatinya.

“Alhamdulillah. Jom papa dah lapar ni, Dali masak apa untuk adik-adik hari ini?” Dato Mokhtar menukar topik yang lebih santai.

“Hari ini menunya, ikan sadin goreng, sambal ikan bilis dan masak lemak labu,” balas Dalilah sambil tersenyum manis. Ya tugas memasak di situ kadang-kadang menjadi tanggungjawabnya. Lagipun dia suka memasak.

“Uuuhhh… menyelerakan. Kalau ada sambal belacan dengan ulam timun dengan ikan masin mesti lagi terangkat,” ucap Dato Mokhtar terkenangkan makanan yang padu itu. Anaknya ini sangat pandai menyenangkan hati orang tua.

“Hahaha… tahu. Papa masuklah jumpa Mak Su dulu. Biar Dali ke dapur sediakan sambal belacan untuk papa,” kata Dalilah sambil menuju ke dapur selepas mendapat anggukan daripada Dato Mokhtar.

Dalilah berfikir lagi, di mana kesudahan hidupnya yang sering kali perlu bersangkut paut dengan keluarga Dato Mokhtar yang satu lagi. Sudah cukup lama dia beralah untuk menerima sahaja pemintaan Dato Mokhtar walaupun dengan hati yang berat. Sejak duduk di rumah anak yatim lagi pelbagai pemintaan Datin Nora lakukan untuk menjarakkan hubungan Dalilah dengan Dato Mokhtar, hingga Dalilah sendiri rasakan dirinya anak yatim piatu. Mujurlah Mahani mencurahkan kasih sayang yang melimpah ruah kepada Dalilah.

Tapi, pengambil alihan syarikat pembersihan ini pasti akan memanjangkan lagi kebencian Datin Nora kepada Dalilah. Itu yang paling diusahakan sejak menjejakkan kaki di bumi Sakura dulu. Niat sudah dipahatkan untuk tidak akan menerima sebarang harta atau wang ringgit daripada Dato Mokhtar lagi. Dia ingin berdikari.

“ABANG?” Terkejut Mahani menerima kunjungan Dato Mokhtar tiba-tiba. Ini mesti pasal hal risikan peminangan tadi tu, telah Mahani.

“Emmm… kenapa nampak macam terkejut je?” soal Dato Mokhtar berbaring di sofa panjang menghadap Mahani.

“Macam janji-janji aje kedatangan abang ni. Mesti ada kena-mengena dengan kunjungan Hajah Saodah tadi tu?” duga Mahani.

“Oooo… dia dah datang sini ke?” soal Dato Mokhtar yang baru menerima berita itu daripada Datin Nora di pejabat tadi.

Datin Nora ke pejabat semata-mata ingin memaklumkan hal risikan Hajah Saodah itu. Siap cakap itu jodoh yang terbaik buat Dalilah. Demi masa depan Dalilah.

“Ya… dan apa keputusan abang?” soal Mahani.

“Biarlah rombongan itu datang dulu. Abang nak kenal dengan siapa gerangan calon menantu abang ni. Lepas tu baru abang fikirkan,” balas Dato Mokhtar yang tidak suka bising-bising.

“Abang jangan terima semata-mata kerana Kak Nora suruh abang terima. Cukup cukuplah seksa Dali. Dia tak salah. Biarlah dia hidup dengan aman pulak. Selama ini pun dia tak pernah menagih kasih sayang abang sekeluarga. Dengarlah cakap Hani ni untuk kali ini bang,” rayu Mahani.

“Abang akan pastikan jodoh Dali yang sesuai untuknya. Percayalah, abang pun dah penat nak ikut telunjuk Kak Nora kau tu. Dali sudah lama bebas…. Bebas daripada cengkaman mak tiri yang cemburu melulu,” luah Dato Mokhtar.

Mahani memandang sayu kepada abangnya itu. “Apa pun pasal hal jodoh ini tolonglah biarkan Dalilah yang buat keputusan. Memang abang cakap abang dah penat nak ikut telunjuk Kak Nora. Tapi, bila Kak Nora ugut sikit abang. Hmm, semuanya akan jadi paksaan jugak,” runggut Mahani yang sememangnya kenal dengan kakak iparnya itu.

Dato’ Mokhtar hanya pejamkan mata dan pekakkan telinga. Calon lelaki itu pun tidak datang lagi bertemu dengannya. Benda pun belum jadi lagi, kenapa mahu memeningkan kepala? Bisik hati Dato Mokthar.

“MAK LONG! Saya suruh Mak Long risik Durrah bukan adiknya yang entah sapa-sapa tu,” marah Airel. Terkejut bila dia dapat tahu yang Mak Longnya merisik orang lain selain Durrah. Benda risik-merisik ini bukan boleh dibuat main.

“Airel, percayalah Dalilah ini lebih baik daripada Durrah. Lembut dan berpelajaran juga,” kata Hajah Saodah dan tersenyum apabila teringat raut wajah Dalilah yang sememangnya lebih cantik dan bijak daripada Durrah.

“Durrah itu kan ke anak bongsu Dato Mokhtar?” soal Hajah Salmi.

Hajah Saodah mengangguk. “Benar Salmi. Durrah itu anak bongsu Datin Nora bukannya anak bongsu Dato Mokhtar. Dalilah anak Dato Mokhtar dengan isteri mudanya.”

“Ooo… dengan saintis Jepun tu ada anak juga rupanya. Ingatkan tak sempat beranak,” ucap Hajah Salmi yang baru mengingati kisah keluarga Dato Mokhtar yang kecoh satu masa dulu dengan berita pernikahan Dato Mokhtar secara senyap dengan saintis Jepun di negara Sakura itu dulu.

“Akak pun fikir macam tu. Lepas diberitahu oleh Datin Nora, akak singgah ke Rumah Anak Yatim Mahani. Dalilah ini baru pulang dari Jepun seminggu yang lalu. Memang cantik orangnya. Putih sebiji macam anak Jepun. Budi pekerti pun bagus. Lemah lembut. Akak yakin Dalilah ini lagi sesuai dengan Airel berbanding Durrah. Lagipun Datin Nora tak nak anak daranya hidup susah bila akak kata anak saudara akak ni pengembala lembu,” puji Hajah Saodah.

Bila ingat semula raut wajah Datin Nora yang seperti tidak suka akan pekerjaan anak saudarnya itu membuatkan dia merasakan ini semua pasti ada agenda lain.

“Mak Long!” marah Airel. Impian untuk memperisterikan model idaman Malaya itu berkecai bila Hajah Saodah boleh terus merisik Dalilah pula.

“Mak Long cakap perkara yang benar, Airel. Sebagai mak saudara kamu, pastinya Mak Long nak kamu kahwini dengan orang yang baik-baik dan dapat memberi anak yang baik-baik kepada kamu. Yang penting tidak memandang harta dan darjat,” tegas Hajah Saodah. Dia sendiri mempunyai naluri mengatakan Durrah bukan pasangan yang tepat untuk Airel. Cuma Airel saja yang mahukan gadis itu dan dalam masa yang sama Airel belum bertemu dengan Dalilah lagi.

“Walaupun ladang lembu Airel itu sekadar hobi Airel namun ladang itu banyak memberi rezeki pada orang kampung. Kita ni semuanya sama, tak ada bezanya. Harta dan pangkat itu tidak menghalang kita untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sesiapa pun. Bila sebuah perhubungan itu dikaitkan dengan pangkat, darjat dan harta ia tidak kekal. Malah dalam Islam, kita disuruh memilih pasangan berdasarkan agamanya, kemudian akhlaknya, lepas itu keturunannya dan akhir sekali barulah kecantikannya. CEO, Kencana Holdings perlukan pasangan yang terbaik,” jelas Hajah Saodah panjang lebar. Adiknya Hajah Salmi hanya mengangguk bersetuju dengan apa yang dikatakan kakaknya itu.

“Ibu tengoklah Mak Long tu, Airel suruh pinang Durrah. Airel tak peduli Airel nak Durrah juga. Kalau tidak Airel tak nak kahwin,” tegas Airel yang merupakan anak tunggal Hajah Salmi. Durrah itu cinta pandang pertamanya. Dia pasti Durrah pasti akan suka kepadanya.

“Laillahaillallah budak bertuah ni. Apa kata Airel jumpa dulu. Tengok dulu Dalilah ni macam mana. Kalau Mak Long dah kata Datin Nora sendiri kata yang Durrah tu sudah ada yang punya Mak Long nak buat apa lagi. Mak Long pun bukan apa Airel. Mak Long sendiri pun kurang berkenan dengan sikap Durrah yang mengedik tak tentu pasal tu. Tahulah model terkenal,” kata Hajah Saodah.

“Betul kata Mak Long tu, Airel. Ibu pun kurang senang sebenarnya, tapi sudah Airel yang beria-ia sangat Ibu ikutkanlah aje. Sekarang apa kata Airel jumpa dulu dengan Dalilah,” pujuk Hajah Salmi.

Airel diam berfikir. Durrah memang diketahui selalu berkepit dengan seorang ahli perniagaan ini. Tapi melalui risikan, mereka belum mengesahkan lagi perhubungan mereka. Jadi tidak mustahil untuk Airel potong jalan dengan mudah. Dia pun bukan sembarangan juga di dunia korporat ini. Masih bujang dan menjadi kegilaan ramai juga.

Tapi, bukankah dia mahu kekal berahsia tentang latar belakangnya. Perlahan dia mengeluh. Lantas dia berfikir, sekiranya Durrah itu pun sudah menggoda, pasti adiknya, Dalilah pun boleh tahan jugakan. Pasti lebih muda dan lebih bergetah. Gadis Jepun!

“Mmmm… Datin Nora tolak sebab Airel ni pengembala lembu ya, Mak Long. Baiklah, Mak Long pinangkan terus Dalilah untuk Airel, beri syarat dua minggu lepas bertunang dia duduk dengan Ibu di sini. Senang Airel nak berkenal rapat dengan dia. Jika berkenan, Airel nak nikah lepas enam bulan. Boleh Mak Long?” soal Airel. Gelojoh juga dalam membuat perancangan.

“Masya-Allah budak ni, cubalah bawa berfikir dan solat istikharah dulu. Jangan buat keputusan terburu-buru. Kesian kat budak yang tak tahu apa-apa tu,” keluh Hajah Salmi.

“Ibu, Airel serius. Tak jadi Durrah. Pinang Dalilah. Apa nak jadi, jadilah,” tegas Airel dan bangun meninggalkan Hajah Salmi dan Hajah Saodah. Memang niatnya mahu masuk ke dalam keluarga Dato Mokhtar. Tak kisahlah, apa yang berlaku dalam perkahwinan itu nanti. Jika tidak temui apa-apa, maka bercerai sajalah.

“Akak tengoklah anak buah akak tu. Pening kepala saya ni.” Hajah Salmi menggelengkan kepala. Risau dengan anak tunggalnya ini. Salahnya juga kerana dari dulu selalu menuruti apa saja yang anak lelakinya ini mahukan.

“Insya-Allah Salmi. Akak yakin dengan jodoh yang kita carikan ini. Akak pun dah risik dengan Mahani pemilik rumah anak yatim yang juga adik kepada Dato Mokhtar. Budak ni jauh lebih terdidik dengan didikan agamanya berbanding Durrah. Keturunan kita perlukan penyambung yang elokkan.” Hajah Saodah memuji Dalilah lagi.

Hajah Salmi memandang kakaknya. “Akak yakin?”

“Insya-Allah, kita sama-sama berdoa.”

SELESAI saja majlis pertunangan yang serba ringkas di Rumah Anak Yatim Mahani, Dalilah masuk ke dalam kamarnya untuk mengemas pakaian. Teman rapat Dalilah, masih tidak puas hati dengan keputusan Dalilah yang mengikut saja permintaan Dato Mokhtar yang sangat tidak berasas. Ada ke Dalilah dijodohkan dengan pengembala lembu dan dipaksa meninggalkan minat dan hidupnya hanya kerana permintaan Dato Mokhtar yang difikirkan mereka sebagai tidak bertimbang rasa.

“Jangan risau. Dali selamat. Papa sudah cerita semuanya. Percayakanlah Dali kali ini saja,” pinta Dalilah. Dia tidak mahu orang lain bersangka buruk kepada ayahnya.

“Pemintaannya tak masuk akal… hari ini kau dah kena duduk rumah keluarga si pengembala lembu itu sampai dua minggu. Di masa yang sama kau nak mulakan tugas di syarikat pembersihan kau tu. Jadi apa-apa nanti kami tak ada dengan kau,” luah Yusri. Risau dengan Dalilah yang selalu patuh dengan arahan keluarganya.

“Sudah sampai masanya, kita jalani kehidupan dengan lebih dewasa. Dali yakin keputusan ini bagus untuk semua orang,” pujuk Dalilah. Dia tahu ini adalah yang terbaik. Bukankah membahagiakan orang tua akan menjamin kehidupan yang lebih baik?

Sebuah kereta Kelisa buruk memasuki laman rumah anak yatim ini. Sebaik saja, kereta itu terparkir di bawah pokok, seorang lelaki berkaca mata hitam dengan denim yang koyak di lutut keluar dari kereta tersebut. Semua sudah berpandangan. Dalilah bangun dan menyambut kedatangan tetamu itu seperti biasa. Cuma kali ini Akmal dan Yusri menurut dari belakang. Rupa lelaki itu sungguh tidak menyenangkan hati mereka.

“Assalamualaikum, boleh saya bantu encik?” soal Dalilah lembut.

“Waalaikumsalam. Saya nak jumpa Cik Dalilah, boleh cik tolong panggilkan dia,” ucap lelaki itu mendatar.

“Oh! Cik Dalilah. Boleh saya tahu encik ni siapa?” soal Dalilah yang masih tidak mahu memperkenalkan diri.

“Saya tunang dia,” ucap Airel tidak berperasaan. Terasa malu bila terpaksa mengaku statusnya begitu. Entah macam manalah rupa Dalilah itu. Gadis di hadapannya ini terlalu cantik untuk ditatap berlamaan.

Dalilah terkejut. Dia terdiam sebentar memandang lelaki di hadapannya ini. Nafasnya cuba diatur sebaik mungkin.

“Sayalah Dalilah,” ucap Dalilah memperkenalkan diri.

Airel terkejut dan terus merapikan bajunya. “Oh! Awak?”

Dalilah mengangguk. “Ada apa ya?”

Akmal dan Yusri jadi tidak suka dengan reaksi Airel. Menyampah pun ada. Curiga pun ada.

“Saya kena jemput awak balik ke rumah keluarga saya. Awak kan tunang saya?” kata Airel sambil tersenyum.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience