DI waktu dinihari yang tenang dan sepi, berbekalkan cahaya dari lampu dinding yang berbalam, Tan Sri Hanafi baru selesai melaksanakan tahajud. Sementara menunggu ketibaan waktu subuh, lelaki itu berzikir dan bermunajat kepada Tuhan. Walaupun dia dikurniakan kekayaan yang melimpah ruah, namun Tan Sri Hanafi sentiasa memperingati dirinya untuk menundukkan diri, bersujud kepada Tuhannya. Dia tidak lupa untuk menjadi hamba yang taat dan bersyukur. Namun jauh di sudut dalam hatinya, dia masih kesal kepada dirinya sendiri.
Walaupun dia berjaya dalam kerjayanya dan dihormati ramai orang, namun Tan Sri Hanafi sebenarnya kesal kerana dia gagal menjadi seorang ayah yang baik. Dia gagal mendidik anaknya untuk patuh dan taat kepada Tuhan. Selama ini, dia terlalu sibuk dengan urusan perniagaannya sehingga mengabaikan tanggungjawabnya dalam mendidik isteri dan anak-anak. Dia hanya tahu menaburkan wang emas kepada keluarganya agar anak dan isterinya tidak merasa susah. Namun disebabkan mendapat kenikmatan dunia yang berlebihan, anaknya sudah melupakan akhiratnya. Anaknya tidak dididik dengan pegangan agama yang sepatutnya.
Dalam kesunyian itu, Tan Sri Hanafi menadah tangan, memanjatkan doa kepada Tuhannya. Kesedihan dihatinya menyebabkan kolam matanya bergenang dan melimpahkan air jernih sehingga membasahi pipinya. Dengan penuh ikhlas, mulutnya berbicara.
"Ya Allah, Ya Tuhanku.. kau lindungilah anakku Hasrizal.. kau berikanlah kepadanya kekuatan dan sampaikanlah hidayahMu kepadanya.. serulah dia dan bimbinglah dia ke jalanMu Ya Allah.. Aku bukan ingin menzalimi dia Ya Allah.. Aku hanya nak dia berubah dan insaf.. agar dia kembali kepada kebenaran yang diredhaiMu Ya Allah.. Jadikanlah dia orang yang berguna kepada bangsa, negara dan agamanya Ya Allah.. Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Jabbar, Ya Malik.. Hanya Engkau yang Maha Berkuasa.. Yang Memiliki segala isi langit dan bumi, Kau campakkanlah hidayahMu kepada anakku Hasrizal dan seluruh ahli keluargaku.. bimbinglah kami ke jalan Mu yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan-jalan orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat."
Tan Sri Hanafi memohon doa dengan linangan air mata. Malah doanya lebih di khususkan kepada anak lelakinya, Rizal. Dalam hatinya, dia sangat menyayangi anak sulungnya itu, bahkan melebihi kasihnya kepada anak perempuannya. Namun pada pandangan orang lain, termasuklah Rizal sendiri, Tan Sri Hanafi terlihat sering memuji dan melebih-lebihkan anak perempuannya, Shahira.
Padahal Tan Sri Hanafi selama ini hanya membanding-bandingkan Rizal dan Shahira hanya bertujuan untuk Rizal menyedari kesilapannya. Dia ingin Rizal menjadi anak yang baik dan menyenangkan orang tua sebagaimana perilaku adik perempuannya. Namun perbandingan yang dilakukan oleh lelaki itu ternyata hanya membuatkan Rizal semakin memberontak dan sukar dikawal.
Tan Sri Hanafi sudah buntu untuk membetulkan sikap Rizal. Pilihan terakhirnya hanyalah mengasingkan dahulu Rizal buat seketika dan membiarkan anaknya itu merasai keperitan sebagai orang miskin dan susah. Baginya, Rizal sudah terlalu sombong dengan kekayaan dan sering merendahkan orang miskin. Jadi sudah seharusnya anaknya itu merasai sendiri kehidupan sebagai orang miskin. Rizal yang membesar dengan penuh kesenangan dan kemewahan itu pasti akan merasai keperitan yang berkali ganda daripada orang miskin pada kebanyakannya. Tan Sri Hanafi hanya mahu anaknya itu belajar untuk menunduk dan tidak terlalu mendongak dalam hidupnya.
Malah Tan Sri Hanafi sendiri dapat meramalkan, Rizal akan bakal membencinya kerana telah menyusahkan hidup anaknya itu. Namun lelaki itu sudah bersedia. Dia rela dibenci oleh anaknya itu jika itu sahaja cara untuk mengubah sikap buruk Rizal. Bagi Tan Sri Hanafi, itulah pengorbanan cinta daripada seorang bapa. Sebagai seorang lelaki, dia tidak ingin menunjukkan sifat kasih sayangnya terhadap anak-anak. Namun biarlah kasih sayangnya itu diterjemah melalui pelaksanaan tanggung jawab. Menjadikan anak-anaknya sebagai manusia yang berguna, itulah tanggung jawab sebenar seorang bapa. Itulah cinta yang hakiki. Kasih sayang tidak perlu diucapkan, tetapi harus dilaksanakan.
Seketika kemudian, laungan azan subuh mula berkumandang. Tan Sri Hanafi yang mengelamun mengenangkan anak lelakinya itu mengesat air mata yang tersisa di celahan kelopak mata dan pipi tuanya. Dia kemudian bangkit berdiri dan bersiap sedia untuk menunaikan solat subuh.
AMIRA tersenyum gembira. Dia tidak menyangka dirinya mampu menyiapkan laporan berserta akaun dan menyusun segala dokumen yang berkaitan dengan lengkap dan rapi. Berkat bantuan daripada Rizal, dia akhirnya mampu melaksanakan tugasan yang diberikan kepadanya. Dengan senang hati, Amira menyerahkan hasil kerjanya kepada ketua pembantu tadbir, selaku pegawai atasannya.
"Kenapa awak pulak yang buat laporan akaun pasal projek ni? Bukan ke awak masih dalam pelatihan?" Ridwan yang menjabat jawatan sebagai ketua pembantu tadbir bertanya.
"Aaa.. saya tak tahu.. semalam Liza bagi saya semua dokumen tu dan suruh saya siapkan dan serah pada pagi ni.." Amira menjawab jujur. Mendengar jawapan Amira, Ridwan langsung menepuk meja.
"Huh! Apa jadah duk bagi pekerja baru yang masih dalam pelatihan buat akaun.." Ridwan agak kesal dengan tindakan yang mengarahkan Amira melakukan kerja yang tidak sepatutnya. Dia sebenarnya tidak ingin berlaku kesilapan sekiranya urusan tersebut diserahkan kepada pekerja baru yang masih tidak memahami urusan kerja dengan baik.
Amira hanya mendiamkan diri. Dia tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan hal yang sudah terjadi. Ridwan pula mula menyemak laporan kerja yang disediakan oleh Amira. Tangannya membelek helaian kertas satu persatu. Perlahan-lahan mata Ridwan semakin terbuka dan membuntang luas. Dia melakukan semakan dengan lebih teliti.
"Wah, bagus betul laporan awak.. akaun pun lengkap, teratur.. dokumen semua tersusun rapi.. biar betul.. semua ni awak buat sendiri?" Ridwan teruja dan kagum dengan hasil kerja Amira.
"Ah, saya buat sendiri Encik Ridwan.." Amira tersenyum, menampakkan barisan giginya yang putih tersusun.
"Semuanya sempurna! Saya tak pernah jumpa lagi pekerja baru yang dapat buat semua ni dengan bagus macam ni!" Ridwan terus memuji.
"Eh, nanti.. tadi awak kata Liza bagi awak tugasan ni semalam?" Ridwan kembali dengan pertanyaan.
"Ya Encik Ridwan.. petang semalam dia bagi saya semua dokumen tu untuk disiapkan." Amira terus bersikap jujur.
"Jadi awak buat ni semua dalam satu hari?" Ridwan seakan tidak percaya. Namun Amira hanya mengangguk, mengiyakan pertanyaan daripada pegawai atasannya itu.
"Bloody good.. saya tak percaya awak ni pekerja baru.. ke awak pernah ada pengalaman kerja kat mana sebelum ni?" Ridwan masih ingin tahu.
Amira hanya menggelengkan kepalanya perlahan.
"Kalau macam ni cara kerja awak, saya rasa awak tak perlu dah jalani tempoh pelatihan tiga bulan.. saya akan usulkan nama awak untuk diserap sebagai pekerja tetap terus cukup bulan ni."
"Eh, betul ke Encik Ridwan?" Amira seakan tidak percaya. Berita yang didengarinya itu merupakan satu khabar gembira.
"Ya.. sayang la kalau awak masih jalani tempoh percubaan.. kalau dah ada kemahiran yang baik macam ni, baik terus kerja tetap.. gaji awak pun akan naik lepas ni." Ridwan memberi penjelasan. Baginya, terlalu membazir masa jika Amira terus diberikan kerja remeh temeh di pejabat, padahal gadis itu memiliki kemampuan kerja yang sangat baik. Adalah lebih baik jika gadis itu langsung bekerja menguruskan akaun. Hal tersebut nanti bukan sahaja baik untuk Amira, malah akan menguntungkan syarikat memandangkan syarikat akan memiliki tenaga kerja yang mahir dalam akaun lebih ramai dan akan melancarkan urusan syarikat dengan lebih baik untuk melaksanakan pelbagai projek di masa akan datang.
Amira hanya bersetuju jika dia disegerakan untuk mendapat jawatan tetap dan dinaikkan gaji. Tidak lama kemudian, gadis itu keluar dari bilik Ridwan dengan senang hati. Melihat Amira yang tersenyum gembira, Liza semakin sakit hati. Dia langsung tidak menjangka Amira akan berhasil menyiapkan tiugasan yang diberikan olehnya semalam.
Fikirnya, jika pun Amira dapat menyiapkan laporan dan menyediakan akaun yang diinginkan, namun sebagai pekerja baru yang masih tidak mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman, gadis itu pasti akan melakukan kesilapan.
Padahal, pegawai atasan mereka iaitu Ridwan sangat terkenal dengan sikap cerewet dan suka mencari kesalahan para pekerja bawahannya. Tidak mungkin jika Ridwan akan berpuas hati dengan hasil kerja pekerja baru tersebut. Liza benar-benar bingung dan geram. Wanita yang bersifat iri itu segera mendapatkan Amira dengan tergesa-gesa.
"Macam mana laporan dan akaun yang aku suruh buat tu?" Liza segera bertanya.
"Ah, Encik Ridwan berpuas hati.. katanya laporan tu dah cukup lengkap dan tersusun." Amira menjawab sambil mengukir senyum.
Namun senyuman manis gadis itu seakan belati yang menusuk ke hati Liza. Wanita itu semakin geram. Dia tidak menyangka rencananya akan gagal.
"Oh, terima kasih kat awak, sebab dah bagi peluang untuk saya belajar buat laporan dan akaun.. kata Encik Ridwan, nanti saya akan diserap segera untuk menjadi pekerja tetap kat sini.. gaji saya pun akan naik nanti." Amira ingin berkongsi rasa gembiranya. Namun kegembiraan Amira itu sebenarnya menjadi barah kepada Liza. Wanita itu bertambah sakit hati.
Lain yang dirancang, lain pula jadinya. Padahal dia ingin Amira segera disingkirkan dari syarikat tersebut. Namun tak disangka, gadis itu mampu menonjolkan diri dan mendapat tawaran dengan pekerjaan tetap.
Liza yang semakin dikuasai emosi tidak ingin terus menatap Amira. Wanita itu segera memalingkan mukanya dan berlalu pergi dengan langkah yang laju. Amira yang polos pula tidak mengerti. Dia hanya memerhati pemergian Liza, meninggalkan dirinya dengan pandangan yang terkebil-kebil. Dia tidak sedar jika Liza ingin menjatuhkan dan menyingkirkan dirinya dari syarikat.
"Hmm.. aku mesti berterima kasih kat Rizal.. sebab dia, aku dah dapat peluang untuk kerja tetap kat sini.. nanti aku belanja dia makan." Amira mula terfikirkan Rizal. Dia benar-benar bersyukur kerana berteman dengan lelaki tersebut. Jika bukan kerana Rizal yang mengajari dirinya malam tadi, Amira sendiri tidak tahu, entah bagaimana nasibnya hari ini.
Namun yang mengganggu fikiran Amira, dia pelik, entah kenapa Rizal tidak memohon jawatan sebagai pembantu tadbir berbanding menjadi seorang pekerja kebersihan. Padahal lelaki itu memiliki kemampuan. Setidaknya, gaji sebagai seorang pembantu tadbir itu sedikit lebih baik berbanding pekerjaannya kini.
'Hmm, mungkin dia dah cuba apply, tapi tak berjaya kot.. dah ditakdirkan, rezeki dia untuk menjadi cleaner.. tapi suatu hari nanti, dia pasti akan berjaya naik lebih tinggi.. Dia tu suka berusaha untuk majukan diri dia.' Amira bermonolog di dalam hati. Walaupun Rizal dilihat cuma bekerja sebagai seorang pekerja kebersihan, namun terdetik rasa kagum Amira terhadap lelaki tersebut.
Share this novel
padan muka Liza, dengki lagi..dengki jd rezeki buat Amira..Amira dh syok plak kat Riz. Hihihi...