KMDA BAB 4 : MENYESAL

Romance Series 3201

PANIK mulai menguasai diri lelaki itu. Dia memaksa tubuhnya bergerak walaupun setiap gerakan membuatkan kesakitan di rusuknya semakin perit. Dengan sisa tenaga yang ada, dia berjaya melepaskan tali pinggang keselamatan dan merangkak ke arah Elyara yang masih tidak memberikan sebarang reaksi.

“Elyara, buka mata you! Please!” Armeel menggoncang bahu gadis itu, namun tubuh Elyara tetap kaku seperti patung. Jari-jemarinya menggigil ketika dia menyentuh pipi gadis itu, memeriksa degupan nadinya.

Dia menarik nafas lega apabila mendapati Elyara masih bernyawa, walaupun nafasnya lemah. Tetapi darah yang mengalir semakin banyak, membuatkan panik di dalam diri Armeel semakin memuncak.

“Tunggu... i akan keluarkan you dari sini.”

Armeel menoleh ke luar tingkap, menyedari bahawa kereta itu masih mengeluarkan bunyi berdesis yang menakutkan. Bau gasolin semakin kuat, tanda bahawa kereta itu mungkin akan terbakar pada bila-bila masa.

Dengan tergesa-gesa, dia membuka pintu kereta sebelahnya yang sudah hampir terhimpit. Kesakitan yang mencucuk-cucuk di tulang rusuknya tidak diendahkan. Dia perlu menyelamatkan Elyara—itu satu-satunya perkara yang bermain di fikirannya.

Dengan penuh berhati-hati, dia mengangkat tubuh Elyara, mendekap gadis itu ke dadanya. Darah dari luka di dahinya menitis ke bajunya, tetapi dia tidak peduli. Setiap langkahnya ke luar kereta terasa seperti perjuangan, tetapi dia berjaya juga akhirnya melangkah keluar dari kereta yang sudah rosak teruk itu.

“Elyara, jangan tinggalkan i... jangan buat i gila.” Suaranya bergetar, hampir pecah oleh emosi yang bercampur aduk. Dia meletakkan Elyara perlahan-lahan di atas jalan raya yang sejuk, menampar lembut pipi gadis itu untuk menyedarkannya.

“Elyara, bangun! I takkan benarkan you pergi macam ni,” bisiknya lagi, air matanya mula menitis tanpa sedar. Lelaki yang selama ini dikenali dengan keangkuhan dan ketegasan kini kelihatan begitu rapuh, hanya kerana seorang gadis yang dia sendiri tidak sedar sudah menguasai hatinya.

Tiba-tiba, bunyi letupan kecil terdengar dari arah kereta mereka. Api mula menjilat bahagian hadapan kereta, dan Armeel tahu dia tidak punya banyak masa. Dia meraih telefon bimbit dari poketnya yang sedikit retak, segera mendail nombor kecemasan.

“Ambulans... segera. Kemalangan di Lebuhraya T...” suaranya tergesa-gesa sebelum dia memutuskan talian dan kembali memandang Elyara.

“Bertahan, Elyara. You dengar i, kan? Jangan tutup mata you terlalu lama,” rayunya, suaranya kini dipenuhi dengan ketakutan yang nyata.

Malam itu, untuk pertama kalinya dalam hidupnya, Armeel Raychal merasakan ketakutan yang sebenar. Bukan kerana nyawanya sendiri yang terancam, tetapi kerana dia sedar, jika Elyara pergi, dia mungkin akan kehilangan satu-satunya cahaya yang mampu menerangi kegelapan dalam jiwanya.

***

Hujan gerimis di luar jendela hospital seolah-olah menjadi saksi bisu terhadap pergolakan jiwa yang dialami oleh Armeel Raychal. Dia duduk di atas katil hospitalnya dengan tangan menggenggam kain selimut putih yang hampir kusut. Rasa sakit akibat luka-luka di badannya tidak mampu mengatasi kesakitan di dalam hatinya. Setiap kali matanya terpejam, bayangan wajah Elyara Maysarrah menghantui. Wajah itu berlumuran darah, penuh dengan kepiluan dan luka akibat kecelakaan yang ditimbulkannya sendiri.

“Dosa aku terlalu besar…” gumam Armeel, hampir tak bersuara. Suaranya tenggelam dalam ruang sepi bilik hospital yang berbau ubat dan antiseptik.

Ketukan lembut di pintu memecahkan lamunannya. Pembantu peribadinya, Zaqquan, melangkah masuk dengan wajah yang jelas kelihatan risau.

“Tuan Armeel, tuan okey?”

Armeel mengangkat wajahnya yang kelihatan kusam.

“Ada berita tentang Elyara?” suaranya tegas, namun ada getaran halus yang tidak dapat disembunyikan.

Zaqquan menarik nafas panjang sebelum menjawab.

“Saya dah bercakap dengan pihak hospital. Elyara… dia masih di ICU. Keadaannya stabil, tapi…”

“Tapi apa, Zaqquan?” suara Armeel hampir berbisik, tetapi nada mendesaknya jelas.

“Doktor kata dia kehilangan penglihatan buat sementara waktu. Dan… ingatannya juga. Kesan dari kecederaan di kepala.”

Armeel merasakan dunia di sekelilingnya seakan-akan berhenti. Kata-kata Zaqquan berulang kali terngiang di telinganya seperti mimpi buruk yang tak berkesudahan. Kehilangan penglihatan. Kehilangan ingatan. Semua itu akibat kecuaian dirinya sendiri.

“Elyara tak patut tanggung semua ni,” bisiknya dengan rahang yang mengetap. Matanya menatap kosong ke lantai. “Dia tak salah apa-apa.”

Zaqquan memandang tuannya dengan penuh simpati.

“Saya dah uruskan semua kos rawatan Elyara dan bapanya, seperti yang tuan minta. Jangan risau, semuanya dalam kawalan.”

Namun, kata-kata itu tidak mampu menenangkan hati Armeel. Dia menggenggam tangan kanannya yang masih berbalut kemas.

“Aku nak jumpa dia. Sekarang.”

“Tuan, tuan masih belum sembuh sepenuhnya. Tuan perlukan rehat—”

“Aku tak peduli!” Armeel memotong kata-kata Zaqquan dengan suara lantang. Matanya yang tajam menikam pembantu peribadinya itu.

“Aku perlu pastikan dia baik-baik saja dengan mata aku sendiri. Kalau aku tak jumpa dia, rasa bersalah ni akan bunuh aku, Zaqquan.”

Zaqquan terdiam seketika. Dia tahu tiada apa yang mampu menghalang kehendak Armeel. Akhirnya, dia mengangguk perlahan.

“Baiklah. Saya akan uruskan.”

Armeel menahan sakit di rusuknya ketika dia perlahan-lahan melangkah memasuki bilik Elyara. Bau ubat dan mesin pemantau denyut jantung yang stabil bunyinya memenuhi ruang itu. Di atas katil, Elyara terbaring dengan wajah yang kelihatan tenang, namun luka di dahinya menjadi peringatan nyata terhadap tragedi yang telah menimpa mereka.

Armeel menghampiri katil itu, mengambil kerusi dan duduk di sebelahnya. Mata Elyara tertutup, dan ada kain pembalut yang melilit kepala dan mata gadis itu. Melihatnya dalam keadaan sebegitu, hati Armeel seakan-akan dihancurkan menjadi serpihan kecil.

“Elyara…” bisik Armeel dengan suara yang hampir tidak kedengaran. Dia menggenggam tangan gadis itu perlahan, takut jika pegangannya akan menyakiti gadis kesayangannya itu.

“I… i minta maaf. Ini semua salah i.”

Namun, tiada balasan. Hanya suara mesin pemantau yang menjadi jawapan.

Beberapa minit berlalu dalam keheningan sebelum Elyara mengerang perlahan, seperti terbangun dari mimpi panjang. Armeel segera berdiri, wajahnya penuh kegelisahan.

“Elyara? You boleh dengar i?”

Elyara memusingkan kepala ke arah suara Armeel, tetapi tiada sebarang pengakuan daripada bibirnya.

“Siapa… siapa di sana?” Elyara bersuara, namun nada suaranya lemah dan goyah. “Kenapa saya tak boleh nampak? Apa yang terjadi pada saya?”

Armeel tidak tahu bagaimana untuk menjawab. Suara Elyara yang penuh kekeliruan dan ketakutan itu menghentak jiwanya seperti pisau tajam. Dia cuba mengawal nada suaranya, tetapi getaran emosi tidak dapat disembunyikan.

“Elyara, ini i, Armeel. You selamat sekarang. Jangan risau, semuanya akan baik-baik saja.”

Namun, Elyara menggelengkan kepala.

“Saya tak tahu siapa awak. Saya tak ingat apa-apa…” suaranya terputus, dan air mata mengalir dari sudut matanya yang berbungkus.

Armeel merasakan jantungnya seperti dihimpit batu besar. Dia tak ingat aku. Dia tak ingat apa-apa.

Armeel Raychal berjanji di dalam hati. Apapun yang terjadi, dia akan pastikan Elyara sembuh. Dia akan menebus dosanya, walaupun itu bermakna dia perlu menyerahkan seluruh hidupnya untuk membahagiakan gadis itu.

Namun, di sudut hatinya yang gelap, dia tahu ini bukan hanya tentang menebus dosa. Perasaan yang dia cuba elak selama ini mula mengintai di celah-celah rasa bersalah itu. Sesuatu tentang Elyara Maysarrah membuatkan dia tak mampu berpaling darinya.

Armeel Raychal memejamkan matanya rapat-rapat, menahan sebak yang mulai mendesak di dada. Dia berdiri kaku di sisi katil Elyara, tangannya terhenti di udara seolah-olah ingin menyentuh wajah gadis itu tetapi takut melukai keadaannya yang rapuh. Suara Elyara yang lemah, penuh ketakutan tadi terus terngiang-ngiang, menusuk seperti serpihan kaca ke dalam jiwanya.

“Siapa saya…? Kenapa saya di sini?” pertanyaan Elyara kembali bermain dalam fikirannya.

Armeel meraup wajahnya, merasakan kebencian yang mendalam terhadap dirinya sendiri. Perasaan bersalah itu semakin menyesakkan hingga membuatkan dia hampir tersungkur di situ. Namun, dia tahu untuk melindungi Elyara, dia harus tetap kuat.

Zaqquan muncul di ambang pintu dengan wajah yang tegang.

“Tuan Armeel, tuan dah tak boleh teruskan macam ni. Tuan belum pulih sepenuhnya. Kita balik ke bilik tuan sekarang.”

“Zaqquan, aku takkan pergi. Aku nak jaga Elyara sendiri.” Suaranya tegas, namun ada nada lembut yang tidak pernah didengar oleh pembantunya sebelum ini.

“Tapi tuan…”

“Aku kata aku nak jaga dia!” Armeel menahan diri daripada meninggikan suara, tetapi cukup untuk membuatkan Zaqquan terdiam. “Aku dah buat terlalu banyak salah pada dia. Jangan paksa aku tinggalkan dia lagi.”

Zaqquan menghela nafas panjang, menyerah pada tekad keras tuannya itu.

“Baiklah. Saya akan uruskan dengan pihak hospital untuk pastikan tuan boleh tinggal di sini. Tapi tuan kena janji, tuan akan ikut arahan doktor.”

Armeel mengangguk tanpa ragu. Malam itu, suasana di bilik hospital Elyara hening. Bunyi hujan di luar menjadi latar melankolik yang menambah beban di hati Armeel. Dia duduk di kerusi di sebelah katil gadis itu, matanya tidak pernah lepas daripada memerhati wajah Elyara yang kini kelihatan lebih tenang.

Namun, perasaan bersalah tidak pernah memberi ruang untuk dia merasa lega. Dia teringat malam kejadian itu. Saat dia memegang stereng dengan tangan yang sudah tidak stabil kerana mabuk. Elyara menjerit menyuruhnya berhenti, tetapi dia tidak mendengar. Dan detik itu, semuanya menjadi gelap.

Armeel menggeleng kepala, cuba menyingkirkan bayangan itu. Tetapi hakikatnya, rasa bersalah itu tidak akan pernah pergi.

Elyara menggerakkan tangannya perlahan, membuatkan Armeel tersentak. Dia mendekat, suaranya berbisik.

“Elyara? Are you okey?”

Gadis itu menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Saya tak tahu apa-apa… Saya tak kenal awak… saya takut,” gumamnya perlahan, seolah-olah bercakap kepada dirinya sendiri.

Armeel menarik nafas panjang, cuba menenangkan dirinya sebelum menjawab.

“You tak perlu takut, Elyara. I ada di sini. I akan pastikan you selamat.”

Elyara tidak memberikan reaksi. Dia hanya menarik nafas dalam-dalam sebelum kembali terbaring lemah.

“Elyara,” Armeel bersuara lagi, lebih kepada dirinya sendiri kali ini. “I takkan biarkan apa-apa berlaku pada you lagi. I janji.”

***

Keesokan paginya, Zaqquan masuk dengan membawa fail laporan perubatan Elyara dan sedikit berita.

“Tuan, doktor kata pemulihan Elyara akan mengambil masa yang panjang. Kehilangan ingatan dan penglihatannya mungkin sementara, tapi…” Dia terhenti, melihat raut wajah Armeel yang penuh dengan kekesalan.

“Tapi apa?” soal Armeel tegas.

“Mereka tak boleh janji. Ada kemungkinan Cik Elyara takkan sembuh sepenuhnya.”

Armeel memandang keluar jendela, matanya redup. Hatinya semakin berat dengan kenyataan itu, tetapi dia tahu dia tidak boleh mengalah.

“Zaqquan, aku tak kisah berapa lama pun. Selagi aku hidup, aku akan pastikan dia sembuh. Dia akan dapat balik kehidupan dia.”

“Tapi, tuan…”

“Aku tak nak dengar apa-apa lagi.” Armeel berpaling kepada pembantunya, pandangannya tajam. “Aku dah buat terlalu banyak salah. Ini masa untuk aku tebus semuanya.”

Zaqquan hanya mengangguk, meninggalkan tuannya dengan tekad yang tidak tergoyahkan.

Armeel memandang Elyara sekali lagi. Gadis itu adalah bukti hidup kepada dosanya, tetapi juga menjadi pengingat bahawa dia masih mempunyai peluang untuk berubah.

Namun, di sudut hatinya, dia tahu perjalanan ini tidak akan mudah. Gelapnya masa lalu masih membayangi, dan dia hanya berharap cahaya kecil dalam diri Elyara mampu menuntunnya keluar dari kegelapan itu.

Armeel menghabiskan malam itu dalam diam, hanya ditemani bunyi alat bantuan pernafasan Elyara dan detak jam yang seolah-olah memperlahan setiap detik masa. Dia cuba membaca fail perubatan Elyara yang dibawa oleh Zaqquan, tetapi setiap ayat yang dibacanya hanya membuatkan dia semakin terseksa.

Kata-kata doktor terngiang di telinganya. Kehilangan ingatan dan penglihatan mungkin sementara, tetapi trauma psikologinya akan memakan masa lebih lama untuk sembuh.

Armeel menutup fail itu dengan kasar, melontarkannya ke atas meja kecil di sebelahnya. Dia menarik nafas dalam-dalam, berusaha mengawal emosi yang berkecamuk. Sesaat kemudian, dia mendekati Elyara. Gadis itu masih diam, tidak sedarkan diri. Tetapi wajahnya yang pucat dan tubuhnya yang terlentang lemah cukup untuk menghancurkan hati Armeel yang sudah sedia retak.

“Elyara…” bisiknya perlahan, suaranya serak. “Kalau i boleh undur masa, i takkan benarkan semua ini berlaku. Tapi i tahu itu mustahil.”

Tangannya yang besar dan kasar mengusap lembut jari-jemari Elyara, namun dia cepat-cepat menarik kembali tangannya, takut disentuhannya hanya akan mengotori gadis itu lebih daripada apa yang sudah dia lakukan.

“I tahu you takkan maafkan i, dan i pun tak layak untuk dimaafkan. Tapi i akan buat apa sahaja untuk tebus semua ini. I akan buat you hidup seperti biasa semula. I janji, Elyara…”

Kata-katanya terhenti apabila Elyara menggeliat kecil. Armeel tersentak, mendekatkan wajahnya ke sisi gadis itu. Namun, Elyara hanya menggumam sesuatu dalam nada lemah yang hampir tidak dapat didengar. Armeel mendekatkan telinganya, dan perlahan-lahan, kata-kata itu mula jelas.

“Awak…ni siapa?”

Tiga perkataan itu menghancurkan seluruh jiwa Armeel. Gadis itu benar-benar tidak mengingatinya. Armeel tersandar di kerusi, menahan perasaan menyesalnya. Dia tahu ini akan menjadi perjalanan yang panjang dan menyakitkan. Namun, di dalam hati gelapnya, terbit satu keazaman baru. Jika Elyara tidak mampu mengingatinya, maka dia akan memastikan dirinya menjadi seseorang yang Elyara akan ingin kenali semula.

Tulah degil dh mabuk nk memandu jugak ..Ni Elyara dh buta ni siapa nk tanggung ni Armeel??? Menyesal konon, puihhh...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience