Prolog

Family Series 4688

- Cukuplah Apa Yang Jadi Sebelum Ini -

“KENAPA pandang saya, mak? Ada apa-apa masalah ke?” jawab Liya sambil memandang berani mata emak mertuanya.

Puan Kamsiah tersenyum kerek, “Kau nak ke mana? Settlekan apa yang patut kat dapur ni. Bersepah,” arah Puan Kamsiah.

Liya menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia pandang singki yang penuh dengan pinggan mangkuk. Padahal baru saja dia membasuh pinggan mereka anak beranak di singki. Datang saja keluarga abang kepada suaminya terus saja penuh semula singki itu.

“Suruhlah dorang basuh. Kenapa pula saya yang kena basuh? Saya dah basuh bahagian saya. Suruh Kak Jes atau Abang Syahrul pula,” jawab Liya sambil mahu keluar dari dapur. Namun langkahnya ditahan oleh Puan Kamsiah.

“Kau ni kenapa? Dah tak boleh tolong basuh dah? Dah makin berlagak ya bila hidup sendiri,” balas Puan Kamsiah dengan kemarahan yang ditahan.

Liya tersengih sindir. “Sikit pun saya tak berlagak. Cuma saya tak nak basuh dah. Saya penat mak. Dari pagi tadi saya kat sini dah tolong apa yang patut. Sampailah sekarang saya dah buat. Tak boleh ke suruh orang lain yang buat?”

“Orang lain lagi penat. Balik kerja semalam pun tak habis lagi tu. Kau tu cuma suri rumah, duduk rumah mana penat.”

“Macam tu mak jelah yang basuh sebab mak pun suri rumah.” Tanpa perasaan Liya meluahkan kata. Ya. Dia sudah penat dibuli dalam rumah ni, diperkecilkan, dipandang rendah dan selalu dihina. Bukan niat dia mahu berkurang ajar, namun dia tahu tahap mana untuk hormat seseorang itu yang pernah membuat kehidupannya teruk suatu ketika dulu.

Terus saja Liya keluar dari dapur dan menuju ke ruang tamu untuk mencari suami dan anaknya.

Puan Kamsiah masih menahan marahnya. Dia benci dengan menantunya yang seorang ini. Tidak pernah sekali dia suka akan Liya. Tidak setaraf dengannya. Hanya kerana Syawal ingin mengahwini Liya saja dia turutkan saja.

“Celaka punya menantu!”

LIYA terus ke ruang tamu dan mencari suami dan anaknya. “Sayang jom balik.”

Terpinga-pinga dibuatnya Syawal bila mendapat arahan yang jelas daripada Liya. Namun, dia tidak membangkang dan terus mengangguk. “Saya pergi salam mak dulu. Jom, Noah. Kita salam nenek,” ajak Syawal kepada Noah.

Belum sempat Syawal dan Noah masuk ke dapur Puan Kamsiah sudah keluar dari dapur dan memandang Syawal dengan perasaan bengang. “Ha, kenapa?” jerkah Puan Kamsiah.

Syawal terus menghulurkan tangannya untuk bersalam. Puan Kamsiah mendengus benci. “Jadi suami tu kena bertegas. Bukan menurut cakap bini. Bini kau tu pun dah makin kurang ajar dengan mak…”

“Mak, Syawal balik dulu. Noah salam nenek,” balas Syawal malas mahu memanjangkan kisah hari ini. Walaupun dia tidak tahu apa yang berlaku, namun dia akan sentiasa bersama isterinya.

“Kau ajar sikit bini kau tu Syawal!” tegas suara Puan Kamsiah sambil bersalaman kasar dengan Syawal dan Noah.

“Terima kasih mak.”

Liya terus saja bersalaman dengan Syazana dan Jeslina. Ayah mertuanya pula dia tidak nampak, namun tidak pula dia mencari.

Puan Kamsiah masih tidak berpuas hati dan mengekori langkah Syawal dan Noah yang menuju ke luar rumah. “Macam tulah ya korang kalau berkahwin dengan orang tak bekerja. Duduk rumah je, lepas tu kongkong suami. Beza dengan perempuan yang bekerjaya, serba serbi bagus.”

Semua yang mendengar hanya diam saja, tapi tidak Liya. Dia berpusing ke belakang dan memandang Puan Kamsiah. Syawal terus menarik tangan Liya sambil matanya melirik kepada Noah. Liya hanya memandang lama Puan Kamsiah sebelum membalasnya.

“Suri rumah nilah yang banyak ubah anak emak ni. Yang lebih bahagiakan anak emak ni. Bertaubatlah kita sama-sama ya. Jangan busuk sangat hati tu,” balas Liya dengan nada yang tenang dan terus masuk ke dalam kereta. Syawal tanpa membantah terus saja masuk ke dalam kereta dan meninggalkan pekarangan rumah keluarganya.

Liya dengan mata yang bergenang memandang Syawal sayu. “Sorry sayang. Saya memang dah tak tahan sangat dah. Cukuplah apa yang jadi sebelum ni.”

Perlahan tangan Syawal genggam tangan Liya dan kemudian menyapu perlahan air mata isterinya itu. Benar apa yang dikatakan isterinya itu. Cukuplah apa yang jadi sebelum ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience