TAN Sri Hanafi tergamam. Berita mengenai kehamilan Amira benar-benar mengejutkannya. Namun yang lebih mengejutkan lelaki itu apabila melihat menantu kesayangannya itu sudah terkulai layu, tidak sedarkan diri. Padahal hanya beberapa minit yang lalu dia melihat Amira tersenyum ketika pulang bersama Rizal setelah membeli belah. Baru sahaja dia ingin gembira meraikan berita bahawa dirinya bakal menimang cucu, namun kegembiraannya segera terbantut apabila menyedari perbuatan kejam isterinya sendiri terhadap menantu mereka.
Rizal yang menahan geram terhadap ibunya pula segera menggendong Amira ke pangkuannya. Hatinya yang sedang marah terhadap ibunya sendiri kini bercampur rasa sayu dan kasihan terhadap isterinya. Entah apakah salah isterinya itu sehingga diperlakukan sedemikian oleh ibu mentuanya sendiri.
"Riz.. maafkan mama.. mama tak tahu pun Mira mengandung.." Puan Sri Rohayu mula merasa bersalah dan takut dengan kemarahan Rizal dan Tan Sri Hanafi. Anak kesayangannya yang selama ini ditatangnya bagai minyak yang penuh dan menjadi pujaan hatinya, kini telah berani marah dan mengherdiknya. Padahal selama ini, dia sama sekali tidak pernah melihat Rizal memberontak atau meninggikan suara kepadanya.
"Mira mengandung atau tidak, itu bukan alasan untuk mama pukul atau marahkan dia.." Rizal mendengus kencang.
"Tak.. mama.. tadi.. mama tak sengaja.." Puan Sri Rohayu masih ingin cuba untuk berdalih. Suaranya bergetaran dan tersekat-sekat. Risau jika anak lelaki kesayangannya itu akan membencinya.
"Sudahlah.. sebelum ni pun Riz dah dengar! Riz dah tahu! Riz ada sebalik dinding tu je baru ni, masa mama hina Amira, mama paksa dia untuk tinggalkan Riz.. Riz dah tahu semuanya! Mama tak suka dia sebab dia perempuan kampung, orang miskin.. Selama ni, Mira tak pernah cakap apa-apa pasal mama.. tak pernah sekali pun dia burukkan mama.. tapi mama tetap benci dia.. baik, kalau mama tak suka orang miskin macam kami tinggal kat sini, Riz akan bawa Mira pergi dari sini! Mama hiduplah dalam wang emas yang mama duk banggakan sangat tu! berenanglah dalam harta tu semua. Riz dan Mira tak perlukan semua tu.." Rizal membentak sekali lagi. Kali ini tembok kesabarannya sudah pun runtuh. Tidak ingin membuang masa, Rizal segera membuka langkah kakinya sambil menggendong Amira. Dia ingin isterinya itu dibawa ke hospital dengan secepat mungkin. Namun baru beberapa langkahnya maju, Rizal kembali berhenti seketika seraya menoleh ke arah ibunya.
"Oh, lupa nak bagitau.. Cek tiga juta yang Papa bagi kat Mira hari tu.. dia dah koyakkan dan buang.. dia tak perlu semua tu.. yang dia nak hanyalah sebuah keluarga.. keluarga yang boleh terima dan sayangkan dia." Rizal lantas menyambung kembali langkah kakinya dan keluar dari rumah tersebut. Apa pun yang terjadi, bagi Rizal sekarang, dia perlu menyelamatkan Amira terlebih dahulu. Apabila melihatkan keadaan isterinya yang tidak sedarkan diri dan darah yang meleleh pada bibirnya, membuatkan Rizal cemas dan sangat khawatir.
Puan Sri Rohayu pula terpempan hebat. Air matanya mula meleleh keluar, membasahi pipi. Dia seolah tidak percaya anak kesayangannya telah maki dan mengherdik dirinya. Kini penyesalan mula memukul-mukul hatinya yang paling dalam.
"Riz.. maafkan mama.. " Puan Sri Rohayu menangis memohon kemaafan walaupun Rizal dan Amira sudah pun tiada di sana. Hanya Tan Sri Hanafi yang masih merenung isterinya itu. Dada lelaki itu terasa hangat, menahan amarah terhadap isterinya. Jika diturutkan hati, ingin sahaja dia menampar-nampar isterinya itu untuk membalas perbuatan kepada menantunya.
"Huh, awak betul-betul dah melampau.." Tan Sri Hanafi mendengus kencang sambil dadanya turun naik menahan gelodak kemarahan. Matanya merenung tajam ke arah Puan Sri Rohayu dengan wajah yang masam mencuka.
"Maafkan mama Riz.." Puan Sri Rohayu seolah tidak mempedulikan kata-kata suaminya. Fikirannya sedang hanyut jauh memikirkan kemarahan Rizal terhadapnya. Tiba-tiba wanita itu rebah terjelepok. Kepalanya tertunduk dan menghadap lantai.
"Sikap awak dari dulu sampai sekarang masih tak berubah.. dah berapa kali saya cakap.. perangai Riz dulu pun jadi sombong, angkuh sebab terikutkan perangai awak tu la.. Nasib baik jugak dia dah berubah. Tapi awak yang dah tua ni pulak, masih taknak berubah.. kadang-kadang saya rasa menyesal dah kahwin dengan awak." luah Tan Sri Hanafi yang masih cuba mengawal emosinya.
Puan Sri Rohayu tersentak. Kata-kata suaminya itu seolah pisau yang menusuk ke dalam hati. Wajah Rizal yang sedang marah tadi kini terbayang kembali di ruang fikirannya. Ucapan anak lelakinya itu turut dirasakan terngiang-ngiang di telinga Puan Sri Rohayu.
"Amira.. dah mengandung? dia dah mengandungkan anak Riz.. cucu aku.. Ya Allah apa aku dah buat?.. Aku nak bunuh cucu aku sendiri.. Mira.. maafkan mama.." Puan Sri Rohayu lantas rebah dan tertiarap di lantai sambil menangis tersedu-sedan.
"Maafkan mama.. mama tak nak bunuh cucu mama sendiri.." raung Puan Sri Rohayu.
Manakala Tan Sri Hanafi pula hanya terdiam, berdiri kaku di tempatnya. Dia hanya melihat isterinya yang sedang merintih, membuang air mata penyesalan. Seketika kemudian, baru lelaki itu membuka mulutnya.
"Hmm.. baru nak menyesal? sekarang lebih baik awak berdoa, Amira dan anak dalam kandungan dia tu selamat.. kalau tak, saya pun tak tahu apa yang Riz akan buat nanti.. awak kena ingat, walaupun Riz tu anak kita, tapi sekarang dia langsung tak ingat apa-apa.. selama dia hilang ingatan, dia hanya kenal Amira sebagai isteri dia.. pasal kita, dia langsung tak tahu apa-apa walaupun kita ni mak ayah dia.. Sekarang dia hanya terima kita sebab kita yang mengaku diri kita sebagai mak ayah dia.. tapi bagi dia, kita tetap orang asing.. jadi, jangan salahkan dia kalau nanti dia sekali lagi akan tinggalkan kita.. Riz sekarang bukan macam Riz anak awak dulu."
Ucapan Tan Sri Hanafi itu membuatkan Puan Sri Rohayu termenung. Esakannya semakin perlahan namun air matanya masih mengalir deras. Kata-kata suaminya itu ada benarnya. Kini wanita itu semakin khawatir. Dia risau jika Rizal sekali lagi akan meninggalkan dirinya. Padahal sudah lebih dua tahun dia memendam rindu terhadap anak lelakinya itu. Baru sahaja bertemu kembali beberapa hari, kini Puan Sri Rohayu risau akan kehilangan anaknya itu lagi.
"Tak.. tak boleh.. Riz tak boleh tinggalkan saya.. Riz tak boleh pergi.." Puan Sri Rohayu bengah dari tiarapnya seraya menggelengkan kepala. Air matanya terus diseka dengan kasar. Seketika kemudian, wanita itu bangkit berdiri dan memandang ke arah suaminya.
"Bang, jom kita ikut Riz pergi hospital.. kita temankan dia kat sana.. kita tak boleh biarkan dia sendirian kat sana.." Puan Sri Rohayu mengajak suaminya.
Namun Tan Sri Hanafi hanya memandang isterinya itu dengan pandangan yang kosong. Seketika kemudian, lelaki itu mengerutkan dahinya seraya menghembuskan satu nafas yang berbaur keluhan lantas menggelengkan kepalanya perlahan. Pada pandangannya, isterinya itu hanya memikirkan keadaan Rizal dan langsung tidak mempedulikan mengenai Amira yang sudah pengsan setelah dipukulinya. Wanita itu hanya risau jika anak lelaki mereka akan pergi meninggalkan dirinya sahaja. Jelas sikap pentingkan dirinya masih tidak luntur.
DI hospital, Rizal dengan sabar menanti hasil keputusan doktor yang sedang merawat Amira. Doktor lelaki yang bertugas ketika itu memeriksa keadaan Amira dengan begitu teliti. Wanita yang terbaring tidak sedarkan diri itu dibuka matanya oleh doktor tersebut. Setelah selesai memeriksa, doktor lelaki itu mengeluh kecil sambil menggeleng kecil. Rizal yang melihat doktor yang sudah beralih dari katil isterinya itu segera mendekat.
"Doktor, macam mana dengan keadaan isteri saya?" tanya Rizal dengan penuh cemas. Di hatinya, tidak putus doa agar isterinya itu tidak mengalami sebarang masalah serius.
"Hmm... berdasarkan pemeriksaan saya, dia tak mengalami sebarang kecederaan serius. Hanya cedera kecil dibahagian muka, terutamanya di mulut." doktor itu segera menjawab.
"Macam mana dengan anak dalam kandungan dia?"
"Dari hasil scan, alhamdulillah, nampaknya keadaan janin masih dalam keadaan baik dan normal.."
"Alhamdulillah.." Rizal mengucapkan syukur kepada tuhan setelah mengetahui keadaan isteri dan anaknya yang dalam keadaan selamat.
"Tapi... berdasarkan hasil pemeriksaan, pesakit cedera kerana dipukul.. saya sarankan, lain kali encik tolong berhati-hati.. kes keganasan rumah tangga adalah satu jenayah.. kita sebagai orang lelaki, kalau marahkan isteri pun, jangan sampai pukul, lagi-lagi kat bahagian muka.."
"Eh, doktor jangan salah faham.. memang betul isteri saya dipukul.. tapi bukan saya yang pukul.." Rizal cuba membetulkan keadaan. Dari ucapan doktor tersebut, dia tahu pegawai perubatan tersebut telah tersalah sangka terhadapnya.
"Oh, maaf.. saya tersilap.." doktor tersebut tersengih sambil mengakui kekhilafannya. Dia segera mencapai tangan Rizal untuk menjabat salam dan sekali lagi mengulangi permohonan maafnya.
"Tapi, sampai pengsan isteri saya kena pukul.. betul ke takde kecederaan serius doktor?" Rizal bertanya lagi untuk kepastian.
"Ah, dia pengsan bukan sebab menerima pukulan.. isteri encik pengsan sebab mengalami tekanan.. dia macam terlalu takut atau trauma macam tu.. tambah lagi dia tengah mengandung, menyebabkan emosi dia jadi berlebihan.. maknanya, kalau dia takut kat sesuatu, dia akan jadi sangat-sangat takut.. kalau sedih, dia akan sangat sedih.. kalau marah, dia akan sangat marah.. lebih dari kebiasaan.." Doktor itu masih memberi penerangan. Rizal pula terangguk-angguk, seakan memahami butiran kata yang disampaikan kepadanya.
"Jadi, dia dah boleh balik rumah?" Rizal bertanya lagi.
"Hmm.. Encik nak bawa dia balik ke? tapi dia masih tak sedarkan diri lagi.. saya rasa lebih baik biarkan dia duduk kat wad dulu semalaman.. tunggu sampai dia sedar dulu.." doktor lelaki itu memberi saranan.
Rizal mengangguk tanda setuju. Buat sementara waktu, dia juga tidak ingin jika isterinya di bawa pulang semula ke rumah keluarganya. Dia tidak mahu memaksa Amira untuk terus melihat wajah ibunya sehingga keadaan kembali tenang. Malah dia bertekad, jika Amira tidak ingin menemui keluarganya lagi, Rizal akan menuruti permintaan isterinya itu. Bagi Rizal, menjaga keselamatan diri dan emosi isterinya adalah menjadi tanggung jawabnya sebagai seorang suami.
Tidak lama kemudian, Amira dipindahkan masuk ke dalam wad. Rizal pula menjadi buntu kerana dia tidak dibenarkan untuk masuk ke wad wanita. Hampir saja dia bergaduh dengan pengawal keselamatan yang menjaga di pintu masuk wad. Namun, menyedari pengawal keselamatan tersebut hanya menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepadanya, Rizal terpaksa menahan diri dari terus berbalah.
Sedang Rizal mundar-mandir di depan wad dengan penuh kegelisahan, tiba-tiba Shahira dan kedua ibubapanya datang menemui.
"Bang Riz, macam mana dengan kak Mira?" Shahira segera bertanya.
"Dia ada kat dalam wad.. dia tak apa-apa.. tapi abang tak boleh masuk.. pak guard tak bagi orang lelaki masuk kat wad perempuan, selain waktu melawat.." jawab Rizal dengan nada yang kecewa. Ekor matanya sempat mengerling tajam ke arah Puan Sri Rohayu, seakan dia tidak suka ibunya itu hadir di sana.
"Ah, wad biasa macam ni memang orang lelaki tak boleh masuk.. Ira, minta diorang tukarkan Amira ke wad VIP, kelas satu.." Tan Sri Hanafi memberi arahan kepada anak gadisnya untuk memindahkan Amira ke wad peribadi.
"Baiklah Pa.." Shahira mengangguk dengan patuh.
Seperti kebiasaanya, Shahira tidak pernah menolak atau beralasan untuk tidak melaksanakan perintah bapanya itu. Setiap arahan dari orang tuanya, pasti akan dia laksanakan dengan segera. Tanpa menunggu lama, Shahira segera pergi dari sana. Tan Sri Hanafi pula mendekati Rizal dengan pandangan mata yang penuh kasihan.
"Riz, macam mana dengan kandungan Amira?" tanya Tan Sri Hanafi. Dia yang teruja setelah mengetahui menantunya telah hamil zuriat keturunannya itu bagaimana pun menjadi khawatir. Dia tidak ingin menantunya mengalami keguguran.
"Kandungan dia okey.. takde masalah.." Rizal menjawab ringkas.
"Alhamdulillah.." satu senyuman terukir pada wajah Tan Sri Hanafi. Dia sangat bersyukur dengan perkhabaran tersebut. Pada masa yang sama, Puan Sri Rohayu pula mendekati Rizal dengan perlahan-lahan. Langkah kakinya seakan teragak-agak untuk menghampiri anak lelakinya itu.
"Riz.. maafkan mama.. mama tahu mama dah buat salah.. mama janji, lepas ni mama takkan buat macam tu lagi.. mama akan terima Amira sebagai menantu mama.." ujar Puan Sri Rohayu sambil matanya tidak lekang dari menatap Rizal. Rizal pula membalas tatapan yang tajam kepada ibunya itu.
"Mama tak perlu minta maaf kat Riz.. tapi minta maaf kat Amira.. Dia yang mama dah pukul, yang mama sakiti.. bukan Riz.." Rizal masih bernada dingin terhadap ibunya. Kini dia hanya ingin menunggu Amira tersedar dan mendengar kata putus daripada isterinya itu. Jika Amira ingin memaafkan, maka Rizal juga tidak akan mempermasalahkan hubungan dengan ibunya itu. Namun jika Amira ingin berpindah dan tidak ingin melihat ibunya itu lagi, Rizal juga akan turut menyokong dan bersama isterinya.
Puan Sri Rohayu pula tertunduk. Pandangannya di alihkan untuk menatap lantai. Hatinya terasa pedih. Seolah puluhan ribu jarum sedang mencucuk. Wanita itu benar-benar menyesal dengan perbuatannya. Bahkan dia sangat kesal kerana dirinya hampir membunuh cucunya sendiri yang bakal lahir tidak lama lagi.
Share this novel