BILA Puan Mawar beritahu yang pihak lelaki mahu cepatkan tarikh perkahwinan, makin Ajana tak senang duduk.
Lagipun mereka merancang mahu mengadakan majlis dalam waktu terdekat kerana waktu itu adiknya, Ajmal akan pulang ke Malaysia. Bukan senang nak dapat cuti. Jadi lebih baik buat majlis waktu Ajmal ada.
Ajana tak sangka secepat ini dia akan menamatkan zaman bujangnya. Tak bercinta langsung tiba-tiba kahwin. Kalau dia minta masa nak kenal hati budi masing-masing dulu, mesti Puan Mawar akan cakap yang mereka dah terlebih kenal. Buat apa nak buang masa lagi?
Puan Mawar dan Puan Embun sudah mulakan persiapan majlis mereka. Jadi Ajana tak perlu pening kepala memikirkannya lagi. Semuanya diserahkan kepada dua wanita itu. Lagipun dia agak sibuk dengan keluaran terbaru koleksi tudungnya bulan ini.
Ajana ada terfikir untuk menghubungi Afnan. Berbincang soal majlis mereka tapi dia takut jika menganggu lelaki itu. Sebagai seorang pensyarah, tentu Afnan juga sibuk. Lagipun tak manis kalau dia yang menghubungi Afnan dulu. Lebih baik kalau Afnan yang menghubunginya terlebih dahulu.
Hari ini Puan Mawar kata Puan Embun akan datang menjemput Ajana keluar memilih cincin bersama-sama.
“Ibu tak nak ikut sekali ke?” tanya Ajana. Segan pula jika dia keluar berdua je dengan Cik Embun.
“Ibu ada kelas mengaji sekejap lagi. Lagipun ibu tak naklah ganggu bakal pengantin ni.” Puan Mawar tersenyum kecil.
“Bukan Cik Embun ke yang ajak Ajana keluar?” tanya Ajana meminta kepastian.
“Ibu terlupa nak beritahu Ajana. Cik Embun pun tak dapat nak ikut kau orang berdua pilih cincin hari ni. Jadi Ajana pergi dengan bakal suami Ajana je lah ya.”
Jantung Ajana berdegup kencang. Keluar berdua? Dia tak pernah membayangkan yang dia akan keluar berdua je dengan Afnan. Ah, malunya! Tapi dalam masa yang sama dia tak sabar mahu bertemu lelaki itu. Ada banyak soalan yang ingin dia tanyakan pada Afnan.
Jam di tangannya dikerling. Terasa lambat pula masa berlalu.
“Haa, ibu rasa dia dah sampai.” Puan Mawar bangun menjengah ke luar rumah.
Ajana ikut sama bangun. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dihembus perlahan. Harap-harap dia tak buat benda yang memalukan depan Afnan hari ini.
“Assalammualaikum Cik Mawar.”
Puan Mawar tersenyum melihat bakal menantunya itu. “Waalaikumsalam Afka.”
Ajana yang sedang menyarung kasut itu terus angkat wajah. Afka? Apa lelaki tu buat dekat sini? Bukan ke sepatutnya Afnan yang datang?
“Kau buat apa dekat sini?” soal Ajana.
Afka jungkit kening. Takkanlah Ajana tak tahu yang mereka nak keluar beli cincin hari ni?
“Ajana, kenapa tanya Afka macam tu. Kan kau orang berdua nak pilih cincin.”
Ajana terdiam. Wajahnya langsung berubah.
Kejap.
Nak pilih cincin dengan Afka? Tapi bukan ke...
“Afka bakal suami Ajana?” soalnya gugup. Tak sanggup nak dengar jawapan Puan Mawar.
“Iyalah. Siapa lagi? Ajana ni kenapa?” Puan Mawar pelik melihat perangai anaknya yang tiba-tiba berubah itu. Tadi dekat dalam rumah bukan main senyum sampai telinga tapi bila Afka datang, lelaki itu dimarahinya pula.
Sungguh Ajana rasa macam nak pengsan sekarang ni. Ini bermakna lamaran Puan Embun tempoh hari adalah lamaran untuk Afka, bukan Afnan?
Salahnya juga kerana langsung tidak bertanya. Ya ALLAH, apa kau dah buat ni Ajana?
“Dah, pergi masuk kereta cepat. Penat Afka tunggu,” gesa Puan Mawar.
Afka bukakan pintu tempat duduk penumpang untuk Ajana. Dia pun pelik melihat gadis itu. Kenapa Ajana nampak terkejut lepas nampak dia?
SUDAH lima minit berlalu, Ajana masih lagi diam. Afka juga diam. Tapi dia asyik menjeling ke arah Ajana di sebelah.
Sebenarnya Ajana masih lagi terkejut. Macam mana selama ini boleh dia salah faham? Tak sesiapa pun yang beritahu dia, lamaran itu daripada Afka. Bukan Afnan.
Dalam hal ini, Ajana tak tahu nak salahkan siapa. Mungkin diri sendiri yang patut disalahkan kerana dia langsung tidak bertanya tentang bakal suaminya. Dengar saja lamaran daripada Cik Embun, dia terus terima tanpa berfikir panjang.
Kalaulah dia tahu daripada awal Afka yang melamarnya, awal-awal lagi dia dah tolak. Tapi kenapa dia tahu semuanya setelah persiapan sudah mula dibuat?
Dan yang paling penting, kenapa Afka mahu berkahwin dengannya?
“Afka.”
Afka menoleh seketika sebelum kembali fokus pada pemanduan.
“Kenapa kau nak kahwin dengan aku?”
Afka dah agak soalan itu akan meluncur keluar daripada bibir Ajana. Daripada tadi dia tunggu.
“Kau terima lamaran aku. Itu bermakna kau pun nak kahwin dengan aku.”
Ajana mengetap kuat bibirnya menahan rasa.
“Aku terima sebab aku ingatkan lamaran tu daripada Abang Afnan,” beritahunya jujur.
“Kalau aku tahu lamaran ini daripada kau, aku tak akan terima,” tambah Ajana lagi.
Afka terdiam. Kata-kata Ajana bagaikan pisau yang tajam menusuk ke hatinya. Dia menarik nafas panjang. Cuba untuk tetap tenang biarpun dia kecewa.
Sekarang baru dia tahu mengapa begitu mudah Ajana menerima lamarannya. Rupanya Ajana menyangka lamaran itu daripada abangnya sendiri.
“Jadi semua ni hanya salah faham? Aku ingat kau betul-betul nak kahwin dengan aku,” ujar Afka dengan nada berseloroh.
“Afka.”
“Kita dah tak boleh nak patah balik. Semua persiapan dah buat.” Hati Afka pedih tapi dia cuba mengawal dirinya agar tidak kelihatan rapuh di hadapan Ajana.
Jadi betullah tekaannya selama ini. Ajana betul-betul sukakan abangnya sendiri.
“Aku minta maaf. Aku tak tahu yang kau akan salah faham. Untuk pengetahuan kau, Afnan dah ada yang miliki. Sempat lagi kalau kau nak patah balik, jatuh cinta pada aku pula.” Afka ketawa di hujung ayatnya.
Ajana menjeling tajam. Afka memang tak pernah serius! Tengoklah, orang tengah bercakap soal hati sempat lagi Afka main-main.
“Kalau kau nak batalkan, kau sanggup ke kecewakan keluarga kita? Mama cakap adik kau pun akan balik waktu majlis kita nanti.”
Ajana terdiam. Ada benarnya apa yang Afka katakan itu. Tapi macam mana dia nak hidup dengan Afka? Dengan lelaki yang langsung dia tak cinta? Dengan lelaki... Yang paling dia benci!
“Ajana, aku tahu kau bencikan aku. Aku bukan Afnan. Tapi keputusan kau kali ni bukan hanya melibatkan kita. Tapi melibatkan keluarga kita juga.”
Sungguh Ajana buntu. Kalau dia batalkan niatnya untuk berkahwin, tentu ibu dan abahnya akan kecewa. Tapi ini semua tentang masa depannya.
Dalam banyak-banyak lelaki, kenapa mesti Afka? Ajana mengutuk dirinya sendiri. Kenapalah dia boleh perasan yang Afnan menyukainya? Tadi Afka cakap lelaki itu sudah berpunya. Nampaknya impiannya untuk memilik Afnan hanya tinggal sebagai impian dan sampai bila-bila pun tidak akan pernah menjadi kenyataan.
AFKA membawa Ajana ke sebuah kedai emas. Dia perasan emosi Ajana tengah tak stabil. Gadis itu lebih banyak mendiamkan diri. Afka pun tak berani nak mengusik lebih-lebih. Lagipun dia hormati perasaan Ajana. Tentu saja gadis itu tengah kecewa.
“Boleh saya bantu?” tawar pekerja kedai emas itu.
“Kami nak cari cincin kahwin,” balas Afka.
Ajana terus pandang Afka. Macam mana Afka boleh kekal tenang lepas salah faham yang terjadi? Mamat ni memang tak ada perasaan ke?
“Afka, sini kejap,” panggil Ajana.
Afka menghampirinya. “Kenapa?”
“Kita tetap nak pilih cincin ke? Kau tak rasa apa-apa ke?”
“Dah tu kau nak aku buat apa? Menangis bila tahu kau reject aku? Kita dah sampai dah pun, beli je lah cincin. Kereta aku tu guna minyak tau, bukannya air Coway.”
Ajana mengetap kuat bibirnya. Eii, geramnya dengan Afka ni! Tengoklah tu, orang tanya sikit je. Jawapannya menyakitkan hati je!
“Dah, jom pilih cincin cepat.”
Lambat-lambat Ajana mengikut langkah Afka.
“Encik nak cari cincin yang macam mana ya?” soal pekerja tadi.
“Yang batunya besar ada tak? Kalau boleh daripada jauh orang dah boleh nampak.”
Ajana menampar perlahan lengan Afka. Afka dan loyar buruknya tak habis-habis. Buat malu je lah. Kalau tengok daripada gayanya mesti orang tak percaya yang dia seorang peguam.
Share this novel