KEJAP je, auntie. Saya janji tak lama." Sarah menepuk lembut bahu ibu saudaranya berkali-kali sambil menayang muka sengih minta penampar Jepun tujuh keturunan.
Geram sungguh hati Izreen melihat tapi untuk menolak permintaan Sarah itu tadi, dia tak sanggup. Kasihan pula rasanya.
"Panggil nama je lah, tak perlu panggil auntie! Ish!" Izreen mendengus geram.
"Eh, tak boleh, auntie. Kena panggil hormat walaupun kita hampir seusia." Sarah mengekek nakal sambil membetulkan kedudukan bulu mata palsunya.
Geli Izreen melihat! "Awak jangan lambat sangat berdating tu, tahu tak? Ishh, tak pasal-pasal saya juga yang jadi nyamuk tunggu awak dalam kereta ni!"
"Tak lama, auntie. Paling lama pun... sejam," kata Sarah dengan riang sebelum melompat keluar dari dalam kereta. Riang hati dek tidak sabar mahu menemui teman lelaki rahsianya.
Ya, memang rahsia kerana kalaulah perhubungan cinta itu ketahuan oleh kedua-dua orang tua dengan datuk dan neneknya, matilah dia nanti. Orang-orang tua di rumah besar sana sudah memberi amaran keras bahawa tiada cinta selagi dirinya masih belajar. Barangkali mereka tidak sedar dengan keadaan Izreen. Izreen pun masih belajar tetapi gigih dirayu pula agar bersetuju menjadi isteri kepada Zakwan yang berpuluh tahun tuanya. Semua itu hanya kerana mahu menyangkal dakwaan orang yang selalu mengatakan Zakwan itu adalah seorang lelaki yang songsang! Songsang setelah bertahun lamanya hidup menduda.
Maka Izreen yang terlalu banyak terhutang budi terhadap Puan Ameena dan Encik Zaim pun terpaksa bersetuju biarpun dia tidak kenal langsung siapa Doktor Zakwan yang sebenarnya. Apa yang dia tahu, Zakwan aktif menyertai misi-misi kemanusiaan di negara yang sedang berperang. Lelaki yang bekerjaya sebagai seorang doktor itu sanggup mengorbankan waktu indahnya di tanah air sendiri semata-mata hendak membantu para insan yang kurang bernasib baik di luar sana.
Menurut Puan Ameena, sikap Zakwan mendadak berubah setelah dicurangi oleh bekas isterinya dulu. Peristiwa itu membuatkan dia seringkali menjauhkan diri daripada para wanita sehinggalah anak perempuannya sendiri pun turut menjadi mangsa. Bukan mangsa deraan, tetapi mangsa jauhan. Lelaki itu sanggup mengupah seorang penjaga khas untuk Nurin yang ketika itu baru sahaja berusia enam tahun.
Berdetik-detik lamanya berlalu, Layla menarik nafasnya dalam-dalam. Sedar tak sedar, sudah hampir sejam dia menunggu di dalam kereta itu. Sudahlah dia terlupa membawa telefon bimbitnya keluar tadi. Semua itu gara-gara Sarahlah! Gigih merayu bagai tiada hari esok membuat Izreen terpaksa keluar tanpa izin seorang suami di hari pertama pernikahan mereka. Ah, bagaimana mahu meminta izin jika hendak menegur dan mendekat pun dia tak berani. Malu!
* * *
"Dua-dua tak angkat telefon! Aish, budak-budak ni kan!" Puan Ameena membuang keluhan yang paling dalam. Biarpun geram dengan keputusan Zakwan, tapi hati ibu mana yang tak kasihankan anak? Menantu baharunya entah merayap ke mana, termasuk cucu sulungnya pun hilang sekali.
"Tadi Sarah kata nak keluar beli barang dengan auntie dia tu, ingatkan tak lama." Amylia mencelah serba salah. Selain Puan Ameena, Amylia juga turut berasa simpati dengan adik iparnya itu.
Zakwan lirik ke arah jam di tangan, hari semakin suntuk dan dia tiada masa lagi mahu menunggu. Ya, aslinya dia agak kecewa kerana tidak sempat langsung menyapa isterinya sejak pagi tadi.
"Saya dah betul-betul lambat dah ni. Saya kena pergi sekarang." Zakwan tersenyum nipis sebelum menyalami insan-insan yang ada di situ. Dia reda, mungkin memang bukan rezekinya untuk melihat wajah Izreen buat kali terakhir. Kali terakhir? Ya, kali terakhir. Banyak kemungkinan akan berlaku di sana kelak namun Zakwan sudah menyiapkan mental dan fizikalnya untuk menghadapi semua itu. Jika ditakdirkan nyawanya akan habis di sana, maka ya, Zakwan reda.
"Kamu jaga diri, jangan lupa doa. Marah macam mana pun, mummy tetap sayangkan kamu."
Zakwan angguk sambil mengukir senyum reda. Setelah berbalas pelukan dan mencium hormat tangan orang tuanya, Zakwan terus melangkah masuk ke dalam kereta.
Sempat menoleh ke arah belakang buat sekali lagi, namun Izreen yang dinanti tetap juga tidak kelihatan.
"Hmmm... Izreen, Izreen. Tak apa, saya akan pulang semula nanti. Tunggu saya, Izreen." Hanya keluhan dan gumaman di dalam hati sahaja yang mampu Zakwan luahkan.
* * *
"Alamak, pemaisuri singa!" Sarah yang sudah terlalu kalut hanya mampu menggaru kepala. Wajah Izreen dipandang, namun sama sepertinya Izreen juga hanya mampu tersengih takut. Mana tak takut kalau wajah Puan Ameena sudah segarang itu.
"Haaa, tu lah awak. Kan saya dah pesan jangan lama-lama! Janji tak sampai sejam, tak berjam-jam juga korang berdating tak sudah kat kedai tu! Eee, awak ni kan!" bebel Izreen geram. Memang sesuai benar dengan pangkatnya yang sudah menjadi ibu saudara buat Sarah.
Sarah mengekek perlahan. "Sorrylah, auntie. Saya bukannya sengaja nak mungkir janji pun. Lagipun... esok Syafiq dah nak fly dah. Bukan sebulan dua, bertahun-tahun tau kami akan terpisah? Habis study nanti baru dapat jumpa," balasnya seraya mencebik manja. Gigih memancing simpati daripada Izreen sebenarnya.
"Auntie tu lainlah. Uncle Zakwan tu bukannya ada pergi ke mana-mana pun. Akan ada je kat depan mata auntie nanti."
Izreen sekadar menjeling. Mahu membebel lebih pun sudah tidak berguna lagi. Lihat sahaja riak ibu mentuanya yang sedang berdiri di depan muka pintu utama ketika itu, memang nampak garang sungguh.
"Berdosa tahu tak... " Jeda, Izreen gigit bibir sambil membuang keluhan berat. Tiba-tiba, dia teringat pula pada kata-kata dan nasihat Ustazah Fyda; Berdosa keluar rumah tanpa izin suami, apa lagi untuk hal-hal yang tidak penting. Seorang isteri yang baik perlu taat kepada suami dalam perkara yang makruf kerana suami telah diamanahkan oleh Allah sebagai ketua keluarga.
"Ya Allah, belum apa-apa lagi aku sudah menjadi seorang isteri yang derhaka." Terlihat tenang namun hakikatnya Izreen sudah menangis keinsafan di dalam hati. Tidak kenal, tidak cinta mahupun tidak sayang bukanlah satu alasan yang kukuh untuk Izreen menidakkan hak Zakwan terhadap dirinya. Izreen sedar, saat Zakwan mengucap lafaz aku terima nikahnya Nur Izreen binti Tahar, daripada situ jugalah telah tertulisnya hakikat yang syurganya sudah berada di dalam pegangan lelaki itu.
Share this novel