Kediaman megah itu riuh seperti biasa. Suasana dapur diisi suara Zara dan Aminah yang sedang menyusun pinggan mangkuk.
Di ruang tamu, Laila sedang membersihkan perabot kayu jati yang tersusun kemas.
Suasana itu berubah sekelip mata apabila sebuah kereta mewah berhenti betul-betul di hadapan rumah.
“Alamak… itu kereta siapa pulak tu?” bisik Aminah sambil menjenguk ke luar tingkap dapur.
Zara sempat mengintai, sebelum matanya terbeliak.
“Astaghfirullah… Datin Sri Qalsum!”
Serentak dengan itu, pintu utama diketuk kuat. Suasana terus senyap. Pekerja yang tadinya rancak berbual mula gelisah.
Mereka tahu bila wanita itu datang, tak pernah ada yang indah akan berlaku.
Langkah penuh wibawa memasuki ruang tamu. Tumit kasut jenama mewah bergema di lantai marmar.
Seorang wanita anggun dalam persalinan jubah moden rona biru nila, lengkap bertudung rapi dengan beg tangan mahal tergantung di siku Datin Sri Qalsum berdiri megah di ambang pintu.
Matanya segera tertancap pada sosok yang baru sahaja muncul dari arah dapur Medina Atalia.
Mata mereka bertemu. Dan waktu seakan terhenti.
Datin Sri Qalsum tercegat.
Terbeliak matanya memandang wanita muda itu dari atas ke bawah.
Bibirnya sedikit terbuka, tidak percaya dengan apa yang sedang dipandangnya secara langsung.
Medina bukan sahaja cantik… malah lebih menawan, berkarisma, dan berani dari yang dibayangkannya.
Langsing.
Kulit bersih.
Pakaian sederhana tapi penuh aura.
Dengan apron separuh terikat, rambut yang disanggul rapi, dan mata tajam yang memandang penuh keyakinan.
Terkebil-kebil mata Datin Sri Qalsum meniti wajah menantunya itu. Dari anak mata ke bibir, dari leher jinjang ke bahu, dan terus ke hujung kaki.
“Masya-Allah…” Datin berbisik sendiri.
Antara kagum dan marah.
Medina Atalia hanya berdiri tenang.
Senyum tidak, sinis pun tidak.
Tapi wajahnya penuh makna.
Dia tidak tunduk.
Tidak gentar.
“Assalamualaikum, Datin Sri,” sapa Medina perlahan tetapi tegas.
Datin Sri Qalsum mendengus perlahan.
“Kau Medina, pembantu rumah ni?”
“Saya, Datin.”
Langkah Datin Sri Qalsum menghampiri perlahan. Matanya tidak lepas memerhati setiap inci wajah dan tubuh menantu barunya itu.
Terasa seperti duri mencucuk di dada apabila dibandingkan dengan Maria Elena yang jelas lebih tunduk, lebih 'sopan' pada pandangan matanya, tapi kalah dari segi keanggunan.
“Patutlah Mikael tergila-gilakan kau…” sindirnya sambil menjeling.
“Kau tahu tak rumah ni bukan untuk perempuan simpanan?”
Medina senyum kecil.
“Saya tahu rumah ini untuk isteri. Dan saya isteri sah Mikael Lutfi.”
Zara, Laila dan Aminah yang mendengar perbualan itu hampir menahan nafas.
Jarang, terlalu jarang mereka lihat ada wanita yang berani menjawab Datin Sri Qalsum sebegitu.
Tapi Medina bukan wanita biasa. Dia tak datang untuk tunduk.
Datin Sri Qalsum merapatkan beg tangannya ke badan. Dia berpaling seketika, memandang ruang sekeliling rumah.
“Sejak kau datang, rumah ni banyak berubah. Tapi jangan fikir kau dah menang. Aku datang hari ni bukan nak tengok kau… aku nak ingatkan jangan sesekali kau fikir kau akan kekal dalam rumah ni lama.”
Medina tidak berubah riak.
“Saya tak datang untuk kekal, Datin. Tapi saya akan tinggal selagi suami saya mahukan saya di sini. Bukan orang lain.”
Kata-kata itu membuat Datin Sri Qalsum menggertak bibir. Dia tahu, perempuan ini bukan mudah disingkir.
Bukan seperti perempuan-perempuan lain yang pernah cuba mendekati anaknya.
Dan dari tingkat atas, Maria Elena memerhati dengan mata yang bersinar penuh dendam.
“Bagus, mama datang sendiri. Sekarang kita tengok siapa yang akan jatuh dulu...“
Share this novel