Bab 3 - Keinginan lebih tinggi daripada suami

Mature Content Series 2587

SESUDAH solat matanya terpaku pada tempat perbaringanya malam tadi. Setahunya dia berbaring di atas sofa. “Wafi angkat aku ke?”

Katil kosong ketika ini, pastinya Wafi sudah bangun dan mungkin terus ke masjid mungkin?

Kakinya dibawa ke bahagian tingkat bawah. Bayang suaminya langsung tidak kelihatan. Dia teringat akan rutin yang selalu Aamna lakukan bila sesudah subuh. Iaitu duduk di luar rumah untuk mengambil angin pagi.

Ternyata benar, Wafi sedang termenung di luar rumah. “Sayang betul dia dengan Kak Na.”

Di bawah langit yang indah, kelihatan sosok tubuh tegap sedang berdiri membelakanginya dengan tangan dimasukkan ke dalam poket. Aamal menyedari bahawa suaminya kelihatan sangat segak dari belakang. Usianya sudah mencecah 30 tahun.

Sepanjang mengenali Wafi melalui Aamna, mereka jarang berbual dan hanya sekadar membalas senyuman saja.

“Awak...”

Wafi Zahin menoleh sekilas, kemudian kembali memandang ke arah taman mereka.

Aamal memberanikan diri mendekati dan berdiri di sebelahnya. Tinggi Aamal hanya separas bahunya.

“Nak sarapan apa hari ni?”

“Tak apa. Makan apa yang ada je. Awak masaklah apa-apa untuk dorang semua,” balas Wafi tanpa memandang Aamal.

Suasana kembali sunyi. Wafi Zahin terus fokus memerhatikan setiap tangkai bunga di taman itu. Aamal juga ikut memerhati taman tersebut, hingga tanpa sedar langit mula disinari cahaya jingga yang samar-samar.

“Dari semalam tau awak tak makan. Kalau Kak Na tahu macam ni, mesti saya kena marah. Kawan dia tak makan.” Sengaja Aamal memancing nama Aamna.

Berdecit terus mulut Wafi dan keluhan kecil dilepaskan.

“Kalau awak nak sorang-sorang kat luar ni, saya masuk dalam dulu.” Aamal jadi serba salah. Dia tidak mahu cemburu mahupun berkecil hati dengan apa yang jadi. Dia perlu sabar. Dia pasti semua kesedihan ini akan berakhir.

Masih tiada jawapan daripada Wafi Zahin.

Sebaik sajak Aamal melangkah masuk ke dalam rumah dia bertembung dengan Datin Zakiah yang memandangnya seperti ada sesuatu yang ingin ditanyakan.

“Mama?”

“Buat apa kat luar tu?” tanya Datin Zakiah.

Aamal senyum dan memandang semula kepada Wafi. “Tak, saje tengok Wafi.”

“Dah masak?”

Aamal menggeleng perlahan.

“Kalau macam tu, pergilah masakkan sarapan untuk Wafi dan semua orang yang ada ni. Pandai masak kan?”

“Pandai, ma. Tapi masih kena banyak belajar.”

Datin Zakiah mengangguk-angguk. “Sekarang Aamal dah jadi isteri anak mama. Mama tak suka campur tangan hal anak-anak mama. Tapi kalau Aamal tak pandai jaga Wafi, mahu tak mahu mama kena masuk campur.”

“Baik, ma.” Aamal menyimpan perasaannya. Patutlah dari dulu lagi Aamna sering menasihatinya untuk selalu melayan Wafi dengan baik. Untungnya Wafi disayangi ramai orang.

“Mama percaya. Aamna tu perempuan yang bagus, mama harap cadangan dia menjodohkan Aamal dengan Wafi tu adalah perkara yang betul.”

“Baik, ma.”

“Aamna memang baik, tapi sayangnya Aamna tu umur tak panjang. Ada penyakit yang tak tahu boleh sembuh atau tak. Tak eloklah untuk keturunan. Tapi mama harap Aamal dan Wafi cepat-cepat ada anak. Aamal dah pernah check dengan doktor kan sebelum ni? Rahim kamu okey ke tak?”

Hati Aamal jadi resah. Baru saja berkahwin, dah ditanya pasal anak. Malah, dia baru saja disentuh sekali oleh Wafi. Sebagai seorang perempuan, Aamal pun teringin nak mengandung dan ada anak. Tapi masalahnya… bagaimana dengan Wafi? Jelas sangat Wafi langsung tak mahukannya.

Mahukah lagi Wafi menyentuhnya lagi?

“Aamal belum periksa lagi, Ma.”

“Tak apa, nanti pergi. Kalau memang ada masalah, kita kena cari cara untuk Wafi ada anak. Beruntung Aamal kahwin dengan Wafi yang bertanggungjawab dan setia. Kat luar sana ramai perempuan yang nak jadi isteri dia. Kalau Aamal tak pandai jaga Wafi, jangan menangis nanti kalau tempat Aamal diganti orang lain.”

“Baik, ma.”

“Mama cuma nak yang terbaik untuk Wafi. Sebab sekarang Aamal isteri dia. Kalau ada benda Aamal tak suka tentang keluarga kitorang, terus cakap depan-depan, jangan pula nanti buat status kat WhatsApp atau FB burukkan kitorang. Sekarang ni ramai menantu tak sedar diri, dah dijaga elok-elok, tapi pijak kepala orang tua.”

“Mama tak perlu risau, saya bukan jenis suka buka aib keluarga sendiri.”

“Baguslah kalau macam tu. Eh, satu lagi. Aamal pernah bercinta tak? Masih dara lagi ke sebelum kahwin hari tu?”

Terkejut Aamal mendengar soalan mertuanya. Dia menggeleng. “Saya tak pernah bercinta sebelum ni. Keluarga mak long banyak menjaga saya dengan baik.”

Kata-kata ibu mertuanya memang tajam.

“Budak zaman sekarang ni nampak elok kat luar tapi dalam dah teruk. Hubungan seks ni dah macam benda biasa bila dah bercinta. Ada yang one night stand lah, friend with benefitlah. Aamal tolong jaga maruah okey. Sekarang ni berita isteri orang cari makan luar pun ramai–”

“Apa ni pagi-pagi dah membebel?”

Aamal berpaling ke arah suara itu. “Pa,” ucap Aamal.

“Mama tengah bagi nasihat kat menantu, macam mana nak jadi isteri yang baik.”

Dato’ Shukri pandang Aamal dan senyum dengan tenang.

“Papa yakin Aamal boleh jadi isteri yang baik untuk anak kita, ma. Bukan sebab dia adik sedara Aamna, tapi sebab Aamal tu sendiri, gadis yang baik.” Dato’ Shukri sememangnya nampak lebih lembut berbanding isterinya.

Aamal rasa terharu dengan kata-kata bapa mertuanya sampai hampir menangis. Malam sebelumnya pun, Fatin Amani seperti tidak sukakannya.

Tapi dengan ucapan bapa mertuanya tadi, semangat Aamal kembali.

“Papa pun baru kenal Aamal, macam mana papa boleh terus kata Aamal baik? Maaf ya Aamal, bukan mama tuduh Aamal bukan perempuan baik. Mama belum kenal Aamal lagi, jadi mama belum boleh nilai.”

“Tak apa, ma.”

“Ha, itu sebabnya papa kata Aamal perempuan baik. Dari tadi mama membebel, Aamal tetap sopan. Kalau papa jadi Aamal, dah lama papa melawan.” Tergeleng Dato’ Shukri dengan sikap isterinya itu.

“Apa-apa jelah. Kita kena lindungi keturunan kita.” Datin Zakiah terus berlalu pergi dengan marah.

“Jangan ambil hati dengan kata-kata mama tu. Sebenarnya dia baik, cuma kadang-kadang mulut dia tu susah nak dikawal.”

“Baik, papa.”

Dato’ Shukri tersenyum gembira mendengar kata-kata Aamal. Tangannya lalu mengusap rambut Aamal dengan penuh kasih sayang.

“Aamal okey tak? Papa tahu Aamal mesti rindu kat Aamna.”

Mendengar itu, perasaan Aamal yang tadi sudah mula tenang, kembali sebak. Bukan Aamal tidak mahu mengingati Aamna, tapi setiap kali terbayang senyuman Aamna, dia akan terus rasa mahu menangis dan berharap semua ini cuma mimpi. Kerana itulah Aamal cuba mengalihkan fikirannya dan menyibukkan diri, asalkan tidak terlalu mengenang arwah kakaknya.

“Mestilah ada. Aamal memang rindukan Kak Na. Tapi lama sangat dalam kesedihan pun tak elok jugak. Lagipun, Kak Na sekarang ni di tempat yang lebih baik dan dia perlukan doa kita semua,” ujar Aamal sambil tersenyum manis.

“Bagus. Papa harap Wafi pun boleh berfikir macam ni, tapi macam susah je. Tu, termenung je dia ha.” Dato’ Shukri memandang Wafi dari dalam rumah.

Kelihatan sosok tubuh Wafi Zahin yang masih tidak berganjak dari tempatnya sejak tadi. Aamal pasti suara perbualannya dengan mama dan papa tadi tentu kedengaran oleh Wafi Zahin, namun suaminya itu tetap berdiam diri.

Dato’ Shukri menoleh kembali kepada menantunya dan berkata, “Nampaknya Aamal kena bersabar lagi. Jangan risau, papa yakin Aamal yang baik dan cantik ni dapat memenuhi tuntutan seorang isteri untuk Wafi. Begitu jugak Wafi.”

“InsyaAllah. Aamal akan cuba sedaya upaya untuk menjadi isteri yang terbaik buat Wafi.”

MALAM menjelang dan Aamal tidak mahu masuk ke dalam bilik tidurnya kerana dia tidak mahu mengganggu emosi Wafi yang masih tenggelam dengan kesedihannya.

Dia membaca artikel yang perlu dia baca sebelum dihantar untuk diterbitkan ke dalam media sosial, majalah digital dan terbitan surat khabar lebih lagi tentang hal-hal wanita.

Satu petikan di dalam e-mel yang dihantar betul-betul menangkap perhatiannya.

Wanita sebenarnya mempunyai keinginan seksual yang lebih tinggi daripada lelaki. Dan, itu terjadi kepada saya. Namun, baru-baru ini dia terpaksa hanya menyerah saja tubuhnya kepada suami kerana rangsangan itu semakin berkurangan.

Aamal terdiam.

Dia membaca baris seterusnya…

Masalah orgasm, saya sukar untuk mencapai puncak nikmat dan hanya berpura-pura di hadapan suami. Sedangkan saya tidak pernah puas bersama suami saya.

Aamal menarik nafasnya. Benar, dia juga ada merasakan hal yang sama semasa bersama dengan Wafi. Tapi, apa itu puncak nikmat?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience