Di tengah lautan, segalanya terasa asing dan menyesakkan. Dikelilingi air, menyelubungi tubuh, wajah, serta menutup setiap ruang untuk bernafas.
Kelemahan Ayana? Tak pandai berenang.
Kini, dia terjatuh ke dalam lautan luas, di mana air masin meresap ke dalam paru-parunya, membuatkan dadanya terasa sesak dan pergerakannya semakin lemah.
Dingin air laut menyentuh kulitnya, menggetarkan seluruh tubuhnya. Semakin lama, semakin dia tenggelam, sementara ketakutan mula menguasai fikiran.
Di atas kapal persiaran, suasana bertukar panik. Para tetamu yang hadir, kesemuanya dari golongan elit dan pewaris perniagaan, bergegas ke tepi kapal. Wajah mereka dipenuhi kebimbangan melihat seseorang yang terjatuh ke laut.
Walaupun tidak ramai, hanya sekitar dua puluh orang, setiap seorang daripada mereka mempunyai kekayaan yang mampu menyaingi nilai sebuah bandar. Dalam kalangan mereka, ada kelompok yang paling berpengaruh – Mega Konsortium.
Ombak kuat menghempas kapal. Langit bertukar gelap, hujan mula turun renyai sebelum bertukar menjadi lebat. Dalam sekelip mata, ribut mula melanda.
Di tengah lautan yang bergelora, kelihatan dua sosok bergelut dengan arus.
“Tolong…”
“Tolong…”
Namun, suara mereka lenyap dalam deruan hujan dan tiupan angin yang menggila.
Dari kelompok yang berkumpul di dek, seorang lelaki bertubuh tinggi dan tegap melangkah ke hadapan. Tatapannya tertumpu ke laut, dan sebaik sahaja dia melihat dua individu yang sedang bertarung dengan arus, wajahnya berubah. Kebimbangan jelas tergambar.
Tanpa berfikir panjang, dia terus terjun ke dalam laut, bahkan belum sempat lagi menanggalkan sutnya.
Dingin air laut menyambut tubuhnya sebaik sahaja dia menyelam. Pandangannya kabur akibat hujan yang semakin lebat, namun dia terus berenang, meredah ombak yang semakin kuat. Dengan segala tenaga yang ada, dia berjaya mencapai seseorang dan menariknya ke permukaan.
“Zana… Zana, bangun…”
Nafasnya tercungap-cungap, tubuhnya menggigil akibat kesejukan, namun dia tidak peduli. Fokusnya hanya pada wanita yang kini berada dalam pelukannya, tidak sedarkan diri.
Namun, dalam hiruk-pikuk itu, dia tidak menyedari sesuatu, masih ada seseorang yang belum diselamatkan.
Suara panik bergema dari dek.
“Ayana mana? Tadi Zana ada dengan dia kan? Mana dia?”
“Ya! Ayana pun jatuh dalam laut!”
Kata-kata itu membuatkan semua yang berada di atas kapal tersentak. Kegelisahan semakin memuncak.
Guruh berdentum kuat, diikuti dengan kilat yang menyambar langit, seolah-olah mahu merobek kegelapan malam dan lautan yang bergelora.
Di atas dek kapal, semua mata tertumpu ke permukaan air yang berombak deras, namun tidak ada tanda-tanda sesiapa pun ingin bertindak.
Seorang wanita mula menangis teresak-esak, suaranya penuh kegelisahan.
“Ayana tak pandai berenang!”
Kata-kata itu mengetuk kesedaran lelaki yang sedang memeluk Zana. Tubuhnya kaku seketika.
Ayana…
Dia teringat melihatnya tadi. Namun, dalam kekalutan yang berlaku, dia langsung tidak menyedari bahawa Ayana turut terjatuh ke dalam laut.
Suasana di dek menjadi sunyi, seolah-olah semua yang hadir menahan nafas.
Kemudian, satu percikan kuat memecahkan keheningan, seseorang telah terjun ke dalam laut sekali lagi.
Ketika Ayana akhirnya berjaya diselamatkan, Zana sudah pun memuntahkan air dan kembali sedar.
Tidak pasti sama ada air hujan atau air mata yang mengalir di wajahnya yang pucat, tetapi matanya yang berkaca menatap lelaki di hadapannya.
“Abang Zaq…”
Suara tangisannya perlahan, tetapi cukup jelas untuk menyentuh hati sesiapa yang mendengarnya.
Dengan tangan yang masih menggigil, dia menghulurkan lengannya ke arah lelaki itu, kemudian menyembamkan wajahnya ke dadanya. Dia langsung tidak peduli akan tubuhnya yang basah kuyup.
Lelaki itu mengerutkan kening sedikit, sukar diteka apa yang sedang bermain dalam fikirannya. Namun perlahan-lahan, tangannya merangkul pinggang Zana, menariknya lebih rapat.
“Jangan takut. Semuanya okay..”
Nada suaranya lembut, terselit kelegaan yang jelas kerana dia berjaya menyelamatkannya tanpa sebarang kecederaan.
Di sekeliling, para tetamu di dek kapal mula berbisik perlahan, masing-masing dengan pelbagai ekspresi di wajah mereka.
Tidak jauh dari situ, Zana mengalihkan pandangannya ke arah Ayana yang baru sahaja diselamatkan.
Selepas beberapa kali CPR dilakukan, hanya sedikit air yang berjaya dikeluarkan dari paru-parunya.
Bulu matanya yang panjang bergetar sedikit sebelum matanya terbuka perlahan.
Kepalanya masih berpinar, namun dalam pandangannya yang kabur, dia dapat melihat dengan jelas dua tubuh yang sedang berpelukan di hadapannya.
Bibirnya sedikit bergerak, seolah-olah ingin mengatakan sesuatu. Namun, sebelum sempat suara keluar dari mulutnya, titisan hujan terus menimpa wajahnya, membawa serta kesejukan yang mencengkam tubuh, dan sekali lagi, dia hilang kesedaran.
Ketika dia terjaga keesokan harinya, matahari sudah hampir tegak di langit. Suasana di dalam bilik itu sunyi. Tiada sesiapa selain dirinya.
Cahaya matahari menembusi tingkap, menari di udara bersama debu-debu halus yang berterbangan. Matanya yang jernih menatap kosong ke arah cahaya itu, namun fikirannya terasa hampa, seolah-olah dia sendiri tidak pasti apa yang sedang difikirkannya.
Dengan tenaga yang masih lemah, dia perlahan-lahan bangkit. Tubuhnya terasa berat, namun dia tetap melangkah ke bilik air untuk membersihkan diri.
Setelah selesai, dia memutuskan untuk keluar.
Langit di luar cerah, dan angin bertiup lembut.
Namun, meskipun sinaran matahari memberikan sedikit kehangatan, pakaian hospital yang nipis tetap membuatkan tubuhnya menggigil.
Dia berjalan ke taman hospital, mencari sudut yang tenang.
Di sana, pandangannya tertumpu pada pohon gardenia tidak jauh dari tempatnya berdiri. Putik-putik bunga masih belum berkembang, seolah-olah menunggu masa untuk mekar.
Tangannya memeluk tubuh sendiri, cuba mencari sedikit kehangatan. Walaupun tubuhnya tampak lemah, aura dingin yang mengelilinginya tetap jelas.
Ayana memiliki kecantikan yang tidak boleh disangkal, namun ekspresinya sentiasa kosong, seolah-olah tiada emosi.
Namun begitu, pesonanya tetap ada.
Kesunyian yang menyelimutinya, kulitnya yang cerah, rambut hitam yang lembut, serta aura misterinya yang begitu mendalam, semuanya membentuk pesona yang halus tetapi sukar diabaikan.
Ayana menarik nafas panjang, cuba menenangkan hati. Namun, sebaik sahaja dia mengangkat kepala, seseorang sudah berdiri di hadapannya.
Zana.
Di tangannya ada termos yang masih mengeluarkan wap panas, menandakan air di dalamnya baru sahaja dituangkan. Rambut panjangnya yang terurai menambahkan kejelitaannya. Di bahunya tersangkut sehelai blazer lelaki, jelas bukan miliknya.
Pandangan mereka bertaut.
Tatkala mata Zana jatuh pada wajah Ayana yang tetap cantik meskipun pucat dan dingin, rasa cemburu menyelinap ke dalam dirinya. Keangkuhan Ayana, ketenangannya yang tidak tergugat walaupun dalam keadaan selemah ini, membuatkan Zana berasa terancam.
Namun, melihat tubuh Ayana yang semakin kurus dan tidak bermaya, bibirnya melengkung dengan senyuman tipis, penuh kepuasan, seolah-olah kemenangan sudah dalam genggamannya.
Dia menarik blazer di bahunya dengan lebih erat, seakan-akan ingin menyampaikan sesuatu tanpa perlu berkata apa-apa.
Ayana hanya memandangnya dengan dingin sebelum bersuara,
“Kau memang bayang-bayang yang tak pernah hilang dari hidup aku.”
Zana mengangkat kening, melangkah perlahan menghampiri Ayana. Tatapannya sinis, tidak lari dari wajah pucat dan tubuh langsing wanita itu.
Senyuman Zana semakin melebar sebelum dia membongkok sedikit, mendekatkan wajah mereka sehingga hampir sejajar.
Dengan suara perlahan, dia berbisik,
“Kau masih tak nak mengaku kalah? Kak, sedangkan lelaki yang kau cintai pun, dah jatuh cinta dengan aku…”
Sejenak, kilatan kesedihan muncul di mata Ayana yang gelap.
Dia tidak tahu berenang dan telah bergelut lebih lama di lautan berbanding Zana. Tambahan pula, tubuhnya masih lemah setelah baru sahaja sedar dari pengsan. Kebenciannya terhadap wanita di hadapannya begitu mendalam, tetapi tenaganya sudah hampir habis.
Dengan suara perlahan tetapi penuh ketegasan, dia berkata,
“Zana, kau memang keji.”
Zana tertawa kecil, nada suaranya dingin.
"Kalau aku tak buat macam ni, kau takkan pernah bagi kami peluang. Kau yang tak nak lepaskan dia!"
Ayana mengetap bibirnya, matanya menatap tajam ke arah Zana.
“Zana! Jau dah melampau! Dia tunang aku, semua orang pun tau dia tunang aku! Kau ingat semua orang bodoh ke?”
Zana tergelak, bahunya bergoyang kecil, seolah-olah apa yang baru didengarnya adalah jenaka paling lucu.
"Lepas apa yang jadi hari ni… Kak, kau masih nak kata diorang tak bodoh?"
Ayana terdiam.
Mata gelapnya menikam wajah wanita di hadapannya, namun jauh di lubuk hatinya, dia sedar, Zana betul…
Memang mereka semua bodoh.
Walaupun Zana bermain dengan cara yang paling licik, mereka tetap mempercayainya, tetap berdiri di sisinya tanpa sebarang keraguan, berulang kali.
Andai saja dunia berpihak padanya. Andai saja dia yang terjatuh, tetapi tetap dicintai sebegitu rupa.
Bodoh.
Semua orang bodoh!
Termasuk dirinya sendiri.
Zana tiba-tiba mengubah ekspresinya. Wajahnya yang penuh keangkuhan sebentar tadi kini tampak sedih. Matanya yang redup seolah-olah berkaca, suaranya serak saat dia menghulurkan tangan untuk menggenggam lengan Ayana.
“Kakak, aku yang salah…”
“Jangan sentuh aku!”
Ayana tersentak dengan perubahan mendadak itu. Dia segera mengangkat tangannya, menepis sebarang sentuhan yang cuba diberikan.
Namun, tanpa disangka, Zana terdorong ke belakang. Termos di tangannya terlepas dan jatuh ke tanah dengan bunyi dentuman kuat.
Pop!
Air panas di dalamnya tersembur ke merata tempat.
Senyap seketika.
Kemudian, suara jeritan memenuhi udara.
“Aduh… sakit!”
"Ayana, apa yang kau buat?!"
Suara garau dan lantang itu bergema dari belakang.
Ayana menoleh. Sosok tubuh yang melangkah pantas ke arahnya segera dikenalinya.
Sebelum sempat dia bersuara, tatapan tajam Zaqwan menyambar dirinya, dan dalam sekelip mata, tubuhnya ditolak ke tepi dengan kasar.
Tubuhnya menghentam pagar besi dengan kuat. Impaknya begitu keras sehingga menghantar kesakitan yang mencengkam ke seluruh tubuhnya yang sudah sedia lemah.
Wajahnya semakin pucat. Tangannya menggenggam erat pagar, cuba menstabilkan diri. Dia mengangkat kepala, menatap situasi di hadapannya dengan pandangan kosong dan dingin.
Bodohnya dia.
Dia sudah lama tahu bahawa Zana sanggup melakukan apa sahaja, namun dia masih terperangkap dalam permainan wanita itu, sekali lagi.
Dia juga tahu bahawa Zaqwan bukan lelaki bodoh, tetapi kenapa…
"Abang Zaq… sakit…"
Suara lirih Zana menusuk ke telinga Zaqwan, lemah dan penuh kepiluan. Wajah lelaki itu berubah serta-merta. Rasa bersalah menyelinap ke dalam dirinya melihat Zana dalam keadaan sebegitu.
"Zana, aku bawa kau jumpa doktor…."
Tanpa berfikir panjang, dia membongkok dan mengangkat Zana ke dalam dakapannya. Saat dia mendongak, pandangannya bertembung dengan mata Ayana.
Tatapan wanita itu begitu dingin, menusuk tajam, seolah-olah menembusi segala kepura-puraan.
Namun, dalam suara beratnya, Zaqwan hanya berkata,
"Kau balik ke wad dulu. Nanti aku datang."
Ayana tertawa kecil, sinis. Matanya dipenuhi ejekan. Seolah-olah dia sudah lama tahu inilah yang akan terjadi.
Tidak jauh dari pohon gardenia, seorang wanita tua duduk diam, memperhatikan segala yang berlaku di hadapannya.
Matanya yang tajam menatap Ayana dari jauh, seolah-olah menilai sesuatu yang sukar ditafsirkan.
"Laila, kau nampak tu?"
Wanita yang duduk di sebelahnya, berusia sekitar lima puluhan, mengangguk hormat sebelum menjawab, "Ya, puan. Saya nampak."
Wanita tua itu mendengus kecil, ketawa sinis terbit dari bibirnya.
"Celaka punya perempuan… bodoh. Sanggup main kotor!”
Laila memandangnya sekilas sebelum bersuara, sedikit ragu, "Tapi Puan, yang sorang lagi tu pun bodoh jugak. Takkanlah dia tak nampak perangkap macam tu…”
Wanita tua itu menggeleng perlahan, "Tak, Laila. Kau salah."
Laila menundukkan kepala sedikit. "Maksud Puan."
Wanita tua itu menarik nafas perlahan sebelum berkata,
"Dia bukannya bodoh, cuma terlalu jujur. Sebab dia benci benda macam ni, dia tak pernah sangka ada orang sanggup buat benda kotor macam tu. Bagi dia, ada benda yang langsung tak boleh diterima sebab bertentangan dengan prinsip dan nilai moral dia."
Laila terdiam sejenak sebelum akhirnya mengangguk perlahan. “Saya faham, puan.”
Wanita tua itu terus memerhatikan Ayana dari kejauhan. Wajahnya penuh pertimbangan sebelum dia bersuara, suaranya mendatar tetapi tegas.
“Tapi, ini pun tak betul juga.”
Dia terdiam seketika, seolah-olah sedang memikirkan sesuatu, sebelum menyambung,
"Panggil dia sini, aku nak tengok sendiri."
Laila kelihatan sedikit ragu-ragu.
“Tapi, puan… Sekejap lagi Tuan Muda nak sampai. Kalau dia nampak ada orang asing dengan Puan…”
Wanita tua itu menjulingkan mata kecil sebelum mendengus ringan.
“Habis tu? Bukannya dia boleh telan aku pun!”
Nada suaranya kedengaran tegas, tetapi ada kelembutan tersembunyi di sebalik kata-katanya, suatu kasih sayang yang tidak perlu diucapkan.
Laila tersenyum kecil sebelum mengangguk. “Baik Puan. Saya panggilkan dia.”
Namun, sebelum sempat dia melangkah, bunyi pintu pagar terbuka kedengaran, memecah keheningan.
Serentak, kedua-duanya menoleh.
Di hadapan mereka, seorang lelaki bertubuh tinggi sedang melangkah ke arah mereka dengan langkah yang tegap dan yakin. Sutnya tersusun rapi, mencerminkan keanggunan dan kewibawaan yang sukar dipertikaikan.
Keningnya panjang, hidungnya tajam, dan bibirnya nipis—membawa sedikit ketegasan dalam ekspresinya. Namun, mata gelapnya memancarkan kehangatan, seolah-olah tersenyum, meskipun sikapnya tetap kelihatan berwibawa.
Suara dalam dan jernihnya bergema dengan tenang,
“Nenek, siapa yang buat nenek marah?”
Share this novel