ANDAI mampu diputar kembali masa, Haris ingin berbuat demikian. Namun dia sedar agak mustahil untuk kembali ke masa beberapa jam yang lalu. Dia perlu terima apa yang tersurat buat mereka. Semakin dia cuba menerima hakikat tersebut, semakin dia emosi. Semakin dia rasakan kehangatan di tubir matanya.
Derap langkahnya kian deras. Dia ingin segera sampai. Dia ingin lihat sendiri dengan sepasang matanya apa barusan dia diterima setengah jam yang lalu. Berita yang membuatkan seluruh tubuhnya mengigil teruk.
Naik tinggi dada Haris sebaik kaunter menyapa pandangan matanya. Kerdipan matanya kian laju bagi mengelak empangan matanya pecah. Perlahan-lahan dia menghela nafas, sebelum berhenti betul-betul di hadapan kaunter pertanyaan.
“Saya suami Dara Batrisya.” Haris perkenalkan dirinya pada jururawat bertugas.
Tak sampai sepuluh minit dia sudah dibawa masuk bertemu dengan isterinya. Tadi Haris sudah buang segala emosinya di luar pintu sebelum menjejak kaki ke dalam. Malah dia berjanji untuk tidak bersedih. Dan buat pertama kalinya dia memungkiri janji. Dia gagal menghalang kesedihan yang semakin rakus bertandang. Rasa sedihnya semakin sukar dibendung melihat Dara berbaring membelakangkan pintu dipenjuru bilik. Nampak sangat isterinya tidak mengalu-alukan kehadiran sesiapa.
Baru saja kaki dia melangkah untuk menghampiri katil isterinya yang terletak agak jauh dari pintu, ada suara yang menghalang dia berbuat demikian.
“Puan dah lama sedar…”
Lantas Haris menoleh pada wanita yang berpakaian putih di sisinya. Mulut Haris berat untuk bersuara. Seberat matanya memandang melihat keadaan Dara. Ikutkan hatinya, banyak yang ingin dia bertanyakan. Namun mulut dia bagaikan dikunci dengan keadaan isterinya.
Apa reaksi isterinya sebaik diberitahu hal tersebut? Apa penerimaan Dara? Apa isterinya baik-baik saja? Semua persoalan tersebut hanya bermain di dalam fikirannya.
“Tapi Alhamdulillah…Puan Dara langsung tak menangis bila tahu.”
Haris bersyukur bila dengar penerimaan Dara. Dia tahu, Dara bukan perempuan yang lemah. Tapi Haris sedar seperkara. Kuat mana pun, Dara itu tetap juga perempuan. Hatinya juga rapuh.
“Cuma…”
Satu perkataan itu berjaya membawa pergi semua kelegaannya. Dia diserang bimbang yang sangat luar biasa.
“Dari tadi puan tak makan lagi…”
Haris perlu persiapkan diri dari segala aspek. Ayat terakhir dari jururawat tersebut merupakan satu petanda awal bahawa isterinya tidak berada dalam keadaan baik. Melihat senyuman jururawat sudah jelas menggambarkan Dara memerlukan sokongan dia. Sekarang Haris menggalas tugas besar demi memastikan emosi isterinya kembali stabil selepas mereka semua bertungkus lumus menyelamatkan nyawa Dara.
“Terima kasih…” Hanya itu yang mampu Haris ucapkan. Bohonglah jika dia tidak merasa goyah. Dia juga sedang bergelut mencari kekuatan untuk berdepan dengan isterinya.
Kini, dia tinggal berdua dengan Dara. Sejak dari tadi, isternya masih begitu. Masih belum sedar akan kehadiran dia. Melihat seraut wajah Dara pun belum. Haris hanya diperlihatkan belakang badan isterinya. Bergerak sedikit pun tidak. Dara itu tidak ubah seperti patung tak bernyawa.
“Dara…” Sedikit parau suara Haris. Awal-awal Haris berikan senyuman yang menjadi igauan sebelum Dara berpaling.
Senyuman Haris kian melebar saat melihat pergerakkan isterinya. Jelaslah kemunculan dia sememangnya ditunggu-tunggu Dara.
“I’m here, Dara…” Suara Haris sedikit kuat. Malah dia mendekati isterinya yang masih berbaring.
Haris melihat tubuh Dara bangkit mendadak. Senyuman Haris sedikit goyah saat terpandang wajah isterinya. Malah,senyuman Haris hampir pudar bila nampak titisan jernih yang mula mengalir laju. Air mata mahal itu tumpah saat terpandang dia.
“Hei…Syhhh!” Haris mendekat. Tangannya terus mengusap lembut kepala Dara saat isterinya menyembamkan wajah ke dadanya.
“Anak kita…”
“Don’t talk.” Haris tidak akan benarkan Dara sebut hal itu.
“No!” Jeritan Dara bergema bersama gelengan kepala. Malah serta merta dada Haris ditolak. Tangan dia menyeka kasar wajahnya yang basah dek air mata.
“Semua salah saya…”
Haris menangkap lembut pergelangan tangan Dara bila isterinya bertindak di luar kawalan dengan menepuk dadanya sendiri berulang kali.
“Kita bincang lain kali.” Haris berlembut bila Dara berkeras. Ini yang terbaik.
“Anak kita mati sebab saya! Awak boleh masih boleh nak tangguh perbincangan?! Ini hospital, Haris! Tempat orang sakit nak mati. Bukannya mahkamah yang boleh tunda-tunda!” Dada Haris ditumbuk sekali. Dara mula menyinga.
Haris masih tenang biarpun renungan Dara itu hampir membunuhnya. Setiap pukulan Dara diterima tanpa merasa sakit.
“Dan sepatutnya saya yang mati, bukan anak kita!” Dara bersuara lagi. Hilang marahnya. Air mata tadinya hilang kini kembali.
Haris mengetap bibir. Kuat. Perlahan-lahan kepalanya digeleng. Buat pertama kalinya dia kehilangan susunan ayat. Buat pertama kalinya dia tidak pandai berdebat. Buat pertama kalinya dia kalah lawan mulut dengan Dara. Pokok pangkalnya dia kalah teruk.
“Saya mungkir janji…Sebab tu Allah ambil anak kita…Saya tak beritahu awak…Saya…Saya cuma turun sekejap, tapi saya tak beritahu pada awak…Saya salah…Memang salah saya!” Dara semakin di luar kawalan. Dia nampak tidak tentu arah. Susunan ayat dia juga tidak teratur.
“No…Tak ada yang salah. Allah itu sebaik-baik perancang, Dara. Kita kena terima jalan yang Allah dah tulis cantik-cantik buat kita berdua.” Haris bawa Dara ke dalam dakapan dia. Dia berusaha sehabis baik memujuk biarpun dia sama saja dengan isterinya. Sentiasa gagal dalam hal memujuk. Namun Dara terus-terusan menolak tubuhnya menjauh.
Tiba-tiba Dara ketawa. Sangat perlahan. Sehingga membuatkan Haris semakin sukar berhadapan dengan isterinya. Sukar juga dia menebak emosi Dara yang pasang surut.
“Jadi…Allah memang tak sayang saya? Memang nak saya tanggung rasa serba salah selamanya? Memang nak kita berdua selamanya tanpa mampu tunaikan hasrat awak nak meneruskan legasi Hilman Haris? Macam tu?”
Semakin kuat Haris mengigit bibir. Dia hampir melukainya. Tidak. Dia sudah tertelan lukanya sebentar tadi.
“D tak salah dan Allah sayang D, sebab tu Allah bagi nikmat D mengandungkan anak kita.” Tangan Dara diraih. Digenggam erat bila kali ini Dara tidak menolak. Perkara positif Haris nampak, Dara lebih bertenang.
“Saya tak sedarkan diri, Haris. Tahu-tahu saja, keadaan sekeliling sunyi sepi. Tiada kelibat jururawat yang merawat saya. Dan perkara pertama saya cari…Anak. Saya raba-raba perut, kosong. Puas saya cari sekeliling. Tak jumpa Haris.” Suara Dara tiba-tiba mengendur. Dia menceritakan detik cemas ketika dia sudah sedar.
Tadi elok Dara nampak jelas wajah Haris. Kini bayang suaminya menjadi lebih dari satu. Lebih teruk, pandangan dia kabur. Suara dia juga parau.
“Saya tak sedar bila saya lahirkan dia…” Suara Dara hampir tenggelam. Pipi dia mula basah.
Haris geleng kepala perlahan. Tadi dia fikir Dara sudah bertenang, namun dia salah. Malah emosi Dara semakin memburuk. Dia berharap sangat Dara berhenti sebut hal tersebut. Itu hanya menambahkan derita isterinya.
“Don’t…” Haris merapat. Dia perlu hentikan Dara. Tangan kasarnya melekap pada ke dua belah pipi isterinya, jarinya mengelus lembut. Dalam waktu yang sama, Haris sedang menghapuskan air mata Dara.
“Kenapa saya lemah sangat Haris? Kenapa saya tak sedar langsung masa nak lahirkan anak kita? Saya sepatutnya kerah tenaga untuk bantu dia keluar. Tapi apa saya buat? Saya hanya dapat lihat dia yang kaku. How do you feel?!” Suara Dara naik. Wajah dia merah-merah.
Pergerakkan jari Haris terhenti. Selalunya dia pakar memberi jawapan pada soalan isterinya. Kali ini, kepakaran dia tiba-tiba memilih jadi pengecut. Sengaja nak sembunyikan diri daripada bersuara.
Haris gali nafas dalam-dalam.
“Anak kita tak nak mommy dia rasa sakitnya melahirkan dia. Itu tandanya dia sayangkan mommy dia. Tapi Allah lebih menyayangi anak kita, Dara.” Sehabis lembut suara Haris.
“Sakit melahirkan dan sakit kehilangan nyawa…Mana lebih sakit, hurm?”
Dara sedang menjerut lehernya. Dara sedang membunuh jiwa dia dalam diam.
“Both of them.”
Jawapan Haris mengundang tawa Dara. Ketawa yang jelas menunjukkan dia gagal menenangkan Dara.
“Then go…Tinggal saya seorang."
“D belum makan.” Haris mengerling pada makanan yang belum terusik.
“Go, Haris…” Dara rebahkan diri. Dia baring membelakangkan suaminya. Sengaja dia pejam mata rapat-rapat biarpun takut bayang si kecil yang dipenuhi darah, kaku, mata terpejam rapat, bibirnya mengorak senyuman tipis datang menyapa.
Dara terdengar helaan nafas panjang Haris. Dia menahan diri dari menangis.
“Abang turun sekejap…Nak…”
Dara celik mata bila suara Haris seperti teragak.
“Beli makan untuk D. Tunggu abang.” Haris labuhkan bibirnya pada rambut Dara sebelum keluar.
Mengetap sepasang bibir Dara. Haris bohong! Suaminya ingin mengurus urusan jenazah bayi mereka. Haris sengaja tidak mahu beritahu dia hal sebenarnya. Haris sengaja nak jaga hati dia. Sedangkan dia sedang mengoyak hati suaminya sendiri.
Air mata yang ditahan-tahan tadi mengalir juga. Semakin dia seka, semakin lebat. Sama lebatnya hujan yang turun menggila. Sama-sama menangisi pemergiaan cahaya mata pertama mereka.
Akhirnya Dara hamburkan tangisannya. Teruk bahunya bergegar. Dia ingin menangis buat kali terakhirnya.
Di luar, Haris hanya mampu melihat. Dia ingin sekali masuk memeluk erat Dara, namun itu hanya memburukkan keadaan. Dia hanya akan masuk jika Dara sudah bertenang. Dan tanpa sedar, ada cecair hangat yang sedang mencacatkan wajah lelakinya. Yang menampakkan dia lelaki lemah.
Share this novel
lagi
tq update...best ceritanya
????