Fayra terlupa seketika tentang kes penipuan cucu Ona lantaran dia dan Ona mulai sibuk dengan perasmian butik Donna, sebuah syarikat yang menjual tekstil dan pakaian pasang siap yang diimport dari luar negara. Dibina atas dorongan Ona juga duit hasil pelaburan Ona.
Awalnya, Fayra menolak. Dia bercadang mahu membuat pinjaman dengan bank sahaja tapi Ona menentang. Betul kata Ona, dengan kedudukan kewangan dia, permohonan dia tidak akan berjaya.
“Nak balas dendam kan? Untuk balas dendam, tak perlu menganiaya, Fay. Tak perlu balas balik dengan kejahatan. Jadi manusia yang berjaya dan disegani. Itu yang sebaiknya. It’s the best revenge.”
Juga harus dia akui, betul kata Ona tentang perihal balas dendam tu.
“Ona dah janji akan bantu. Selebihnya, semua bergantung pada usaha awak. Ona takkan campur tangan hal syarikat. Ona dah tua.”
Fayra kalah lagi dengan kepetahan lidah Ona. Akhirnya, dia berjaya masuk ke dunia perniagaan kerana Ona.
Butik dipenuhi pengunjung kerana tawaran potongan harga sempena hari pertama beroperasi. Fayra terpaksa turun pandang untuk membantu. Ketika sedang melayan salah seorang pelanggan, lensa mata menangkap satu figura yang baru menapak masuk. Dada bergetar. Figura itu sangat dia kenal walaupun sudah hampir setahun tidak bertemu.
Bezanya, figura itu tidak berseorangan. Menolak sebuah stroller bayi dan di sampingnya, seorang jejaka segak dan punya tubuh seperti seorang atlet renang. Wajah kurang jelas kerana cermin mata hitam yang dikenakan. Tapi, Fayra yakin lelaki itu berparas rupawan. Tengok tubuh sasa tu je pun dah bisa cairkan hati.
Fayra menyambar sebuah topi bersayap lebar yang mampu melindungi seraut wajahnya. Dia tidak mahu dilihat oleh figura itu.
“Cantik juga pakaian kat sini. Walaupun bukan jenama terkenal, tapi kualiti tip top, hampir menyamai jenama hebat…”
Fayra tersentak. Suara seorang wanita berada berhampiran. Dada gemuruh.
Erysha Elyana!
Wanita itu… bagaimana boleh berada sehampir itu? Dia sudah cuba mengelak dari bertembung dengan wanita kejam itu. Takdir memang selalu tak memihak.
“Tengok ni… cantik tak kalau I pakai gaun ni?”
“You pilihlah mana-mana pun. I takde masa. Cepat sikit.”
“Temankanlah I untuk hari ni, kerja tu boleh tangguh kan? I dan Rain sangat perlukan you.”
Gigih Fayra pasang telinga untuk curi dengar. Siapa lelaki di sisi Erysha? Mahu menoleh untuk melihat, risau pula terciduk. Yang pasti, lelaki itu ada kaitan dengan bayi yang berada di dalam stroller. Masih dia ingat perut bulat Erysha ketika kali terakhir mereka bertemu. Erysha juga sedang mengandung tapi tiada pun khabar dia dengar tentang perkahwinan Erysha. Pelik! Mama tiri dia dan Erysha sangat obses dengan perhatian. Mustahil perkahwinan Erysha tidak dibuat secara besar-besaran, kalau boleh satu dunia dijemput.
Fayra statik tidak bergerak ketika dia merasakan Erysha semakin mendekat. Topi lebarnya ditarik ke bawah. Wajah dijatuhkan. Erysha melintas di belakang Fayra tanpa rasa curiga. Begitu khusyuk memerhati pakaian yang dipamerkan. Fayra buang nafas lega apabila Erysha semakin menjauh.
Bebola mata tunak pada jejaka di sebelah Erysha. Hanya belakang tubuh mampu dipandang. Sosok sasa dan tinggi lampai itu… mengapa sepertinya pernah dia lihat sebelum ini? Siapa suami Erysha? Fayra diserang rasa tak sedap hati tetapi segera ditepis lalu cuba menyibukkan diri.
Butik terpaksa ditutup lewat sedikit dari waktu sebenar lantaran masih ramai pelanggan di situ. Hanya selepas butik ditutup, barulah Fayra berkesempatan melihat telefon bimbitnya. Mata terbelalak.
39 missed call? Seriously?
Seumur hidup, tidak pernah dia terima panggilan sebanyak itu. Ini rekod tertingginya! Dahi berkerut sebaik sahaja melihat senarai nombor yang memanggilnya. Hanya satu panggilan dari Ona, selebihnya semua dari Han. Kenapa?
“Kenapa Ona?” panggilan dari Han tidak dibalas, sebaliknya Fayra mencari Ona terlebih dahulu.
“Dah lewat ni, awak masih dekat butik ke?” nada suara Ona kedengaran risau.
“Dah nak balik dah, Ona. Tak payah tunggu tau, saya okay je. Cuma sibuk, maklumlah hari pertama. Ona tidur dan rehat ye, jap lagi saya balik.”
“Yela, hati-hati. Ke nak suruh Ona call suami awak jemput? Ona risau, dah malam ni. Bahaya awak memandu seorang.”
Tersentak Fayra dengar. Nak juga sebenarnya, tak pernah dia rasa bagaimana diambil berat oleh seorang lelaki, tapi dia yakin yang cucu Ona pasti menolak sekerasnya.
“Tak payahlah, Ona. Saya dah nak gerak dah pun.”
“Hmmm, yela… hati-hati.”
Fayra tersenyum selepas menamatkan panggilan. Ona memang baik. Beruntung dan bersyukur sangat dipertemukan dengan Ona. Telefon bimbit ditenung seketika. Berkira-kira sama ada mahu hubungi Han atau tidak. Akhirnya, Fayra bergegas pergi.
Telefon bimbit berdering ketika Fayra sedang bersiap-siap depan cermin solek keesokan harinya. Awalnya, Fayra hanya biarkan. Dia mahu rias wajah dengan teliti tanpa sebarang gangguan. Tak nak ada cacat celanya. Si pemanggil tak faham langsung. Fayra mendengus.
“Puan… Han ni!”
“Kenapa? Saya tengah sibuk sekarang.” Fayra hampir tidak mampu kawal rasa berang. Kacau betul! Macamlah langit nak runtuh, tak menyempat betul lelaki ni kan!
Cepat-cepat dia sudahkan lukisan di wajah. Sebelah tangan masih menahan telefon bimbit di telinga manakala sebelah tangan menyambar kunci kereta dan beg tangan lalu tergesa-gesa keluar bilik.
“Owh, puan sibuk ke? Tengah buat apa tu? Setahu saya puan cuma duduk goyang kaki habiskan harta Ona kat mansion mewah tu.”
Amboi! Kurang ajar betul lelaki ni kan? Dada berombak, sikit masa lagi mahu meletup. Laju kaki menapak ke pintu keluar untuk mendapatkan kereta di garaj.
“Awak cakap apa?! Awak jangan melampau ya!”
“Maaf, saya bukan memandai, tuan yang kata macam tu.”
Fayra ketap rahang. Baru dia tahu sekarang, itu tanggapan suami dia terhadap dia. Tukang habiskan harta Ona? Melampau betul! Dia tak pernah meminta-minta dari Ona.
“In fact, puan racun fikiran Ona supaya dapat menikah dengan tuan kan? Tuan tahu semuanya. Perkahwinan itu terjadi pun disebabkan rasa hormat tuan kepada Ona, tu je. Puan jangan letak harapan yang tinggi untuk kikis harta tuan.”
Daun pintu kereta dihempas kuat. Menggigil jemari menahan rasa marah. Kalau saja lelaki itu ada di depan, pasti dah senget kepala dia lempang bertubi-tubi.
“Hey! You dengar baik-baik ya, Encik Han! Kalau I diberi pilihan, I juga takkan setuju dengan perkahwinan ni. I juga nak pilih lelaki terbaik untuk jadi pasangan I seumur hidup. Daripada berkahwin tetapi suami macam dah lama masuk lubang kubur, lebih baik I jadi single balik! I pun tak sudi dengan arwah laki I!”
“A-Apa puan cakap?! A-Arwah?!!!”
“Ya, laki macam tu lebih baik mampus! Sila meninggal!!!”
Han terkedu. Pandang lelaki berwajah ketat di sebelahnya dengan mimik muka terbiut, mati-mati menahan tawa dari terhambur.
“Dia kata apa?” tanya lelaki di sebelah Han dengan wajah serius.
“Sila meninggal.” Han bisik, sambil tutup speaker telefon bimbit. Terhambur tawa yang ditahan melihat perubahan air muka lelaki di sebelahnya.
“Beritahu dia saya nak cepatkan penceraian!”
Han angguk bersama tawa yang masih bersisa. Kembali beri tumpuan pada Fayra yang masih berada di hujung talian.
“Sorry to say, puan. Tuan sangat pentingkan kesihatan, pasti panjang umurnya.” Makin giat pula Han mengusik, hingga kemerahan wajah lelaki di sebelah menahan berang. Tulang rusuk Han disenggol kasar.
“What do you want, Encik Han?!” kasar nadanya.
“Macam ni, puan… tuan nak cepatkan penceraian. Bila puan free? Tuan nak ajak ke pejabat agama.”
Fayra berfikir sejenak. Dia pasti sibuk untuk seminggu dua kerana butiknya baru saja beroperasi.
“Beri I sebulan untuk selesaikan kerja-kerja I.”
“Sebulan?!” suara Han sedikit meninggi kerana terkejut. Tapi yang paling terkocak ialah lelaki di sebelah Han. Marak menyala matanya memandang Han.
Dengan kasar, telefon bimbit Han dirampas lalu ditekap di telinga.
“Awak tak layak tawar menawar! When I said be there, be there! Are we clear?!”
TUT!
Fayra terkesima. Tak berkelip mata merenung telefon bimbit yang sudah bertukar jadi gelap itu. Barusan tadi, yang menempelak dia… itu suami dia bukan? Lelaki penipu dan pengecut yang langsung tak berani berhadapan dengan dia. Wajah terpeta dengan senyum licik.
Tiga hari kemudian, ketika Fayra sedang sibuk berbincang dengan beberapa staff mengenai niatnya mahu keluarkan pakaian jenama sendiri, telefon bimbit berdering. Fayra berhenti sebentar untuk melihat nama yang tertera.
“Ya, Encik Han?” panggilan disambut selepas Fayra beri isyarat kepada staffnya untuk tunggu sebentar.
“It’s me!”
Fayra tergamam. It’s me? Bukan suara Han… lelaki di hujung talian... suami dia!
“Pukul sepuluh tepat, datang ke pejabat agama. Saya tunggu!”
Belum sempat jawab, panggilan dimatikan. Tak guna! Main kasar nampak? Fayra menghempas tubuh di penyandar. Jemari bermain-main di telefon bimbit. Otak ligat berfikir.
DI depan pejabat agama, sudah terpacak seorang jejaka berparas rupawan. Dengan hanya sehelai baju polo bersama seluar slack gelap, kesempurnaan tubuh berotot itu tetap terserlah, memancing perhatian manusia di sekitar. Wajah tampan itu nampak gelisah, sekejap-sekejap mengerling jam tangan. Wajah semakin cemberut apabila dia dihampiri oleh seorang lelaki.
“Still can’t reach her?” tanya jejaka tampan itu. Lelaki yang baru tiba itu menggeleng.
“Tak dapat! Dia matikan telefon kot!”
“Tak guna!” jejak tampan itu merengus lalu menyepak dinding berhampiran. Wajah merah padam menahan marah.
“So sekarang macam mana? You still nak tunggu dia ke Rei?”
Rei, si kacak itu menarik nafas sedalamnya. Cuba tenangkan diri. Langkah dibuka, mahu beredar dari situ.
“Maaf! Encik ni suami I yang bernama Reizqi Budhriz kan?”
Langkah yang baru diorak mendadak mati. Laju badan sasa itu terpusing. Mata terbelalak. Han di sebelah turut ternganga.
“A-Awak… s-siapa?” Han tanya dengan suara tersekat-sekat. Rei tak terkata.
“Oh, maaf! Lupa nak perkenalkan diri. I ni Fay, isteri Rei!”
“Bakal bekas isteri!” cepat-cepat Han betulkan apabila Rei menjurus tatapan berapi kepadanya. “P-Puan… err… betul ke puan ni? Saya tak salah orang ke?” sambung Han.
Wanita di depannya ditenung lama. Atas bawah… atas bawah. Berulang-ulang. Masih sukar untuk Han percaya. Pemilik suara merdu itu…. Seorang wanita katik, berkulit gelap, rambut keriting Maggi warna perang dan berpakaian seksi? Biar betul! Dah rosak teruk ke mata Ona?
“Encik Han, boleh I pinjam suami I kejap?” sekonyong-konyong, lengan Rei dipeluk manja oleh wanita itu. Rei tergamam. Han terkedu. “Sebenarnya I datang bukan untuk bercerai. I nak bincang dengan suami I.” Tangan Rei ditarik usai kata.
“Hey!” Rei jerit lalu menepis tangan wanita itu. Wajah merah padam. “Saya tak nak dengar apa-apa. Hari ini juga saya nak awak mengaku setuju depan pegawai agama supaya proses pemohonan lebih cepat diuruskan."
“Rei, you dengarlah dulu,” tangan Rei cuba dipaut. Dengan pantas Rei mengelak lalu mundur. “I nak kita beri peluang pada diri masing-masing dulu. Siapa tahu kita saling jatuh cinta…”
“NEVER!!!” Rei hampir menjerit lantang. Seraya itu, telefon bimbit bergetar. Rei menarik keluar peranti itu dari dalam kocek dengan kasar.
“Apa?! Baik, tunggu I datang!” Rei berpaling, memandang Han. “Buat appointment baru! I kena pergi sekarang!”
“Tapi Rei… Rei!!!”
Han ditinggalkan terkebil-kebil bersama wanita itu. Di satu penjuru yang agak terselindung, seorang wanita sedang terkekek-kekek menyaksikan peristiwa itu. Padan muka! Baru puas hati dia. Berani lelaki itu kenakan dia? Ingat dia tak boleh kenakan lelaki itu balik?!
Fayra palingkan tubuh sambil menggosok-gosok telapak tangan. Wajah terpamer rasa puas teramat. Tubuh ditegakkan. Runaway strut, Fayra Mei Khayla! Kaki terayun penuh bergaya, punya ego tersendiri… punggung terayun ke kiri ke kanan, sangat seksi di mata umum, seni bagi golongan profesional.
“ONA!”
“Hah?! Baru reti nak cari Ona? Masalah apa lagi yang awak dah buat Rei?”
Rei mendengus. Sungguhpun hanya berbual melalui telefon, dapat dia bayangkan wajah singa betina Ona. Pasti tengah marahkan dia.
“Isteri saya…”
“Kenapa dengan isteri awak? Dah jumpa dengan Fay ke? Hah, awak mesti dah jatuh cinta dengan pilihan Ona kan?”
Rei terbatuk keras. Dia tak boleh terima kata-kata Ona. Tidak sama sekali! Dari sudut mana cantiknya wanita itu? Mata Ona sah dah rosak teruk!
“Ona… isteri saya… kenapa mesti wanita macam tu, Ona?”
“Apa maksud awak, Rei? Fay tu cantik dan baik. Memang sesuai untuk awak.”
Ah, Ona memang sengaja susahkan dia.
“Jaga diri Ona.”
Malas mahu berbalah, Rei tamatkan panggilan. Ah, tak kira! Cantik di mata Ona, tak semestinya cantik di mata dia. Beberapa saat memusing-musing telefon bimbit di tangan sebelum Rei mendail nombor seseorang.
“Yes, Rei?”
“Han, atur semula perjumpaan dengan pejabat agama. Saya nak cerai secepat mungkin!”
Han hanya tergelak sebagai balasan. Rei mendengus sebal.
“Serious, Rei? Can you handle her this time?”
Meremang bulu tengkuk Rei teringat pertemuan pertama dia dan wanita itu. Suka hati sentuh dia. Siapa tak takut?
“Buat secepatnya!” arah Rei kasar lalu menamatkan panggilan.
Share this novel