Bab 3 - You dekat mana?

Mature Content Series 792

TENGKU EAN mendekatkan lagi wajah mereka. Entah kenapa Amira jadi tidak betah. Dia mengundur sedikit, dia takut jika semua ini hanyalah sebagai gurauan dan dia akan dipersendakan.

Kring! Kring! Kring!

Wajah mereka yang hanya seinci saja untuk bersatu terbantut apabila ada panggilan yang masuk.

Terus saja panggilan itu dijawabnya oleh Tengku Ean. Tersenyum melihat nama pemanggil. Dia bangun dan menuju ke luar bilik. Amira hanya mengeluh kecil dan menahan sabar.

Amira bangun dan ingin menuju ke dapur kerana dia merasakan tekaknya haus. Langkahnya terhenti, dia terdengar suaminya menyebut namanya.

“Belum lagi. Tengah nak melayan dialah ni, tapi entahlah tak ada rasalah macam dengan sayang. Tadi pun bayang sayang bila pandang muka dia. Rindu gila dengan sayang I ni,” kata Tengku Ean dengan nada manjanya.

Entah kali berapa hati Amira rasa dirobek-robek. Dia menaha tangis, nasib baik tadi dia tidak menyerah dan berlebih-lebih. Dasar lelaki tak guna!

Terkejut Tengku Ean memandang Amira yang sengaja melanggar badannya dari belakang. Risau juga Tengku Ean dengan riak wajah Amira. Namun, dia peduli apa.

“You dengar ke apa I cakap tadi?” tanya Tengku Ean.

Perlahan-lahan Amira menarik nafas sambil mengangguk. Entah mengapa dia sangat jujur kali ini. Melihat reaksi Amira, Tengku Ean hanya tersenyum sinis sambil melipat tangannya di dada.

“Baguslah kalau you dah tahu. Apa yang I lakukan hari ni sebab I rindukan Selena. Dia suruh I berlaku adil pada you jugak, walaupun sebenarnya I tak nak.”

Amira menarik nafas panjang sambil mengangkat kepala dan melihat Tengku Ean dengan penuh kebencian.

“I pun tak minta. Jadi I rasa you tak perlu susah-susah nak buat macam ni.”

Tengku Ean mendecit sambil menggelengkan kepala.

“I nak tidur, mengantuk. You tidur bilik you sendiri!” Amira terus meluru masuk ke biliknya dan menutup pintu dengan kuat.

Tengku Ean menghela nafas panjang, kemudian tidak lama terdengar bunyi tapak kaki beredar.

“Sepatutnya aku tak terima jodoh ni kalau macam nilah jadi dia. Hai, apa nasib aku ni jadi orang ketiga dalam hubungan dorang.”

Amira terus merebahkan tubuhnya ke katil dan menangis di situ. Dia tidak tahu berapa lama dia menangis, yang pasti dia terus tertidur selepas itu.

PAGI itu, Amira tidak melihat Tengku Ean. Kereta kepunyaan Tengku Ean juga sudah tiada di garaj. Amira berasa lebih lega begitu, jadi dia tidak perlu pening bagaimana untuk berhadapan dengannya. Amira pergi ke pejabat menaiki motosikal kereta miliknya. Dia ingin melupakan kejadian semalam.

Petang harinya ketika pulang ke rumah, Amira tidak melihat kereta Tengku Ean. Sehinggalah sehingga lewat malam, keretanya masih tidak ada. Kemudian tidak lama, satu mesej masuk dari Selena yang memberitahu mereka berdua pergi ke luar bandar atas urusan kerja. Amira tidak peduli dan tidak membalas mesej Selena. Bukankah perkara seperti itu sering mereka berdua lakukan tanpa pengetahuannya? Ia adalah perkara biasa. Mengapa pula Selena kini menghantar mesej kepadanya? Adakah dia ingin menunjuk-nunjuk yang dia berjaya menguasai suami mereka sepenuhnya?

“Ah... aku tak nak macam ni lagi. Aku kena blah,” gumam Amira.

Amira teringat, di pejabat tadi ada rakan sekerjanya yang bercerita tentang tempat sewa rumah berdekatan pejabat. Kawannya itu dipindahkan ke Seremban. Rakannya merancang untuk mencari orang yang mahu menggantikan sewa dan mengambil alih rumahnya.

“Manis, I ada orang nak sewa rumah you tu. Boleh ke kalau mula esok dah boleh duduk?” tanya Amira sebaik sahaja panggilan disambungkan.

Nampaknya dia sudah menemui jalan keluar untuk masalahnya. Amira tidak peduli dengan tanggapan ibu bapa dan mentuanya. Mungkin sudah tiba masanya Tengku Ean berterus terang tentang perkahwinan keduanya itu. Amira tidak sanggup lagi menyembunyikannya.

YA, nampak seperti kurang ajar ataupun tidak sedar status dirinya. Namun, Amira sudah tekad. Bukannya suaminya perasan pun jika dia hilang. Dia keluar dari rumah itu dan mengambil semua barang-barangnya.

Kunci ditinggalkan dalam peti boks. Dia tidak mahu ke sini lagi.

Amira sakit hati dan ketawakan dirinya kerana sudah tiga hari berlalu, namun suaminya langsung tidak mencarinya. Mestilah tak mencarinya kerana dia sudahpun menukar nombor telefon.

“Ada urusan kerja ke atau pergi bulan madu?” bebel Amira sendirian.

TENGKU EAN dan Selena tiba di rumah. Mereka tersenyum riang, turun dari kereta sambil membawa masuk barang-barang. Selain ada urusan kerja di luar bandar, Tengku Ean juga sengaja memanfaatkan masanya untuk berbulan madu dengan Selena. Setiap saat bersama isteri keduanya itu sentiasa membuatkan Tengku Ean gembira.

“Biy, Mira belum balik, ke? I nak bagi hadiah kat dia,” ujar Selena.

“Tak sure pulak. Tak apalah kejap lagi bagilah.”

Selena mengangguk sambil tersenyum. Mungkin Tengku Ean juga merindui isteri pertamanya itu. Siapa tahu dia juga ingin meluangkan masa dengan Amira.

“Okeylah, I rehat dulu ya, biy.” Selena sudah beredar ke bilik dan dijawab dengan anggukan Tengku Ean.

Kali ini Tengku Ean sengaja menunggu kedatangan Amira di ruang tengah sambil menonton TV. Jam masih menunjukkan pukul 6.30 petang, sepatutnya Amira sudah pulang. Boleh jadi dia sampai di rumah pukul 8.00. Biasanya Amira tidak pernah makan di rumah dan selalu menghabiskan waktu makan malam di luar.

Tengku Ean menunggu kedatangan Amira sambil berbaring di sofa. Telefon pintarnya berdering kuat. Tengku Ean melihat nama mamanya di skrin telefon.

“Ya, ma?” tanya Tengku Ean dengan suara serak.

“Ean, Amira okey tak? Dah dua hari ni telefon dia tak aktif. Dia tak sakit, kan?”

Tengku Ean terkejut mendengar soalan mamanya. Puan Sri Murni, mamanya memang sangat menyayangi Amira malah menganggap Amira lebih daripada seorang menantu.

“Ya, dia okey aje, ma. Memang dia sibuk beberapa hari ni. Nanti Ean suruh dia call mama,” bohong Tengku Ean. Sebenarnya dia juga tidak tahu apa yang sedang dialami Amira kali ini. Dia juga tidak bertemu dengannya selama beberapa hari ini.

“Tak payah. Tak payah disuruh telefon. Hujung minggu ni mama dengan papa nak ke sana. Ean cuti, kan?”

Tengku Ean serta-merta terkejut dan terus duduk di sofa. Dia kelihatan bingung, berulang kali meraup wajahnya dengan kasar.

“Ya, Ean cuti, ma. Amira pun.”

“Ya sudahlah. Jumpa sana saja.” Tengku Ean hanya mengangguk dan belum sempat menjawab apabila Puan Sri Murni sudah menamatkan panggilannya.

Tengku Ean menarik nafas panjang sambil melihat jam di dinding. Sudah pukul 8.30 malam.

Tengku Ean segera bangun, mencapai beg kertas berisi hadiah yang sudah disiapkan Selena, kemudian berjalan menuju ke tingkat atas ke bilik Amira. Tengku Ean menghentikan langkahnya di hadapan bilik Amira lalu perlahan-lahan dia mengetuk pintu.

Tok! Tok! Tok!

Sekali, dua kali, tiada jawapan dari dalam bilik. Tengku Ean menarik nafas panjang.

“Takkan dah tidur kut,” gumamnya.

Pada mulanya Tengku Ean mahu turun semula ke tingkat bawah dan berhasrat untuk memberi hadiah itu esok pagi sahaja. Namun, entah kenapa tangan Tengku Ean tiba-tiba menyentuh pemegang pintu dan membukanya. Tengku Ean mengerdipkan mata apabila melihat keadaan bilik yang gelap dan sunyi, seperti tidak berpenghuni.

“Amira! You dah tidur ke?” Tengku Ean melangkah masuk begitu sahaja. Bukankah ini juga bilik isterinya, jadi tiada masalah jika dia masuk.

Tengku Ean meraba suis lampu di belakang pintu dan tidak lama kemudian seluruh ruangan bilik kelihatan jelas. Tengku Ean terkejut apabila melihat Amira tiada di situ. Malah biliknya kelihatan kemas. Tengku Ean panik, lalu berjalan cepat menuju ke bilik air. Di situ tiada Amira.

Matanya sudah beralih melihat meja solek yang kosong tanpa ada barangan Amira tersusun di situ. Kemudian dia melangkah menuju ke almari dan kembali terkejut apabila melihat tidak ada satu pun baju isterinya di sana.

Tengku Ean turun ke tingkat bawah, berjalan cepat keluar rumah memeriksa garaj. Wajahnya terus resah apabila melihat kereta isterinya tiada di situ. Tangan Tengku Ean sudah meraba telefon pintar di dalam poket seluarnya dan terus menghubungi nombor Amira.

Namun, dia kembali kecewa apabila mengetahui nombor telefon Amira tidak dapat dihubungi. Tengku Ean menarik nafas panjang sambil mengusutkan rambutnya. Matanya masih beredar ke sana ke mari seakan mencari bayang Amira di luar sana. Kemudian satu soalan perlahan keluar dari bibirnya yang seksi.

“You dekat mana, Amira?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience