My Sweet Pepero SPECIAL I

Family Series 110448

Tiga bulan!

Selama itu Rhett cuba bersabar. Bukan dia tidak tahu di mana Deila, bukan juga tiada keinginan mahu datang jenguk Deila. Malah dia datang sembunyi-sembunyi di luar pengetahuan Deila. Memandang di kejauhan bersama juraian air mata kerinduan. Dia je yang rindu setengah mati.

Deila takde feel langsung. Semakin bahagia, semakin maju jaya bisnes kedai runcit di kampung. Dah tak ingat balik ke Deila oi? Dia hampir mati merindu.

Sebulan, masih boleh bertahan. Dua bulan, dia hampir macam orang angau. Masuk bulan ketiga, Rhett semakin parah merindu. Sakit-sakit, muntah-muntah. Semua dia tak boleh telan. Hari-hari Dafi hantar biskut Pepero keluaran kilang Deila. Hanya itu boleh masuk tekak. Macam warga emas, bau perfume Ralph Lauren Polo Black kini bertukar jadi bau minyak angin. Ke hulu ke hilir Rhett usung minyak angin. Satu ofis bau minyak angin.

“Bos, parah dah ni! Bos jenguklah isteri bos tu. Saya risau tengok bos. Sakit memanjang. Angin satu badan. Silap sikit, mengamuk! Sampai orang pakai perfume pun bos nak mengamuk. Kita ke kampung isteri bos, nak?”

“Deila tak nak saya datang, kau faham tak?!”

“Hati perempuan bos, keras kerak nasi je. Siram dengan keikhlasan bos nanti pasti lembik.”

Betulkah macam tu? Batin Rhett mencongak-congak. Dia sangat rindukan isteri. Hampir tak tertanggung. Hampir mahu jadi gila. Bertahan selama tiga bulan berjauhan kerana hormati kemahuan Deila. Tapi… Rhett sudah tidak sanggup. Jiwa merana!

“Dafi… bawa saya balik kampung jumpa isteri saya.’

“Baik, bos!”

Dafi sengih lebar. Bagi Dafi, itu yang terbaik. Dalam keadaan macam ni, Rhett harus mengalah. Dia sudah tidak tahan lihat. Stress di tahap merbahaya untuk Dafi hadap hari-hari. Bagi Dafi, tak salah merendahkan ego demi orang tersayang dari terus bertahan menderita.

Seharian perjalanan, akhirnya kereta yang dipandu oleh Dafi berhenti tidak jauh dari sebuah kedai runcit. Jalan awal subuh, mereka tiba lewat petang. Kedai runcit di depan mereka hampir menamatkan operasi untuk hari itu.

“Bos tak nak turun bertegur sapa dengan isteri bos?” Dafi berpaling ke belakang, memandang Rhett yang diam sedari tadi, merenung ke luar jendela.

Tiada penampakan Deila di luar kedai, hanya seorang dua kanak-kanak keluar masuk kedai. Pasti Deila masih sibuk di dalam. Rhett kerling jam tangan. Hampir lewat petang. Rhett mengeluh. Sungguh-sungguh kerja cari duit, macamlah laki dia miskin sangat, tak mampu nak tanggung hidupnya, urgh!

“Bos?” Dafi panggil lagi. Rhett gosok belakang tengkuk. Ragu-ragu!

“Kedai dah nak tutup.” Rhett beralasan.

“Bos turunlah, jemput isteri bos balik sama-sama. Kan ke elok macam tu?”

Rhett termangu. Gigih fikir bagaimana reaksi Deila kalau dia tiba-tiba muncul. Mengamuk? Buat tak layan? Atau pelukan kerinduan?

Deila Araferro?

Silap-silap mereka diusir pergi dengan sebatang kayu. Rhett geleng laju. Deila punya amukan jangan dibuat main!

“Takpe, saya jumpa Del di rumah je.” Putus Rhett dengan suara rendah.

Tergeleng Dafi dengar. Rupa paras menawan, badan tegap dan sasa juga punya segalanya yang diidamkan oleh semua orang. Malangnya… takut bini!

“Mana-mana bos jela.”

Mereka berdua duduk diam dalam kereta sehinggalah Deila keluar untuk mengunci pintu kedai. Bebola mata Rhett tunak di tubuh Deila yang sedang membelakang. Walaupun hanya pakai baju tee dan seluar baggy, Deila tetap cantik di mata Rhett. Cuma Deila nampak sedikit kurus. Argh! Kenapa perlu susah payah cari duit? Setiap bulan tak pernah lupa Rhett masukkan duit ke dalam akaun Deila. Bini dia ni kan! Nak cari duit bebanyak untuk apa? Boleh buat istana emas ke di alam barzakh tu nanti?

“Ekori isteri saya.” Arah Rhett apabila lihat Deila masuk ke dalam kereta Kancil warna merah jambu, terang menyala!

“Bos, bos… asal lokek sangat dengan isteri? Laki punyalah kaya, berderet kereta terparkir dalam garaj tak diguna, Kancil je untuk bini bos?”

Terketap rahang Rhett dengar bebelan Dafi. Kalaulah Deila semudah itu untuk diatur, taklah dia susah payah tempuh perjalanan sejauh itu, Dafi oi!

“Shut up, Dafi!”

Dafi kemam bibir, tidak berani lagi mahu buka mulut apabila lihat wajah berang Rhett.

Saat kereta memasuki laman rumah opah, Rhett terpaku. Tak berkelip mata memandang rumah usang yang masih kukuh dan terjaga rapi itu. Tiada perubahan, tetap sama seperti sebelum ini, ketika Rhett tinggalkan rumah pusaka itu dulu.

Opah!

Batin menyeru sebaris nama itu. Rasa rindu menerpa! Sesungguhnya terlalu banyak kenangan manis di situ, bersama opah dan Deila. Di situlah Rhett belajar sesuatu yang sangat bernilai. Kebahagiaan tidak semestinya dipenuhi dengan harta melimpah. Kasih sayang tiada nilainya. Tiada syaratnya. Dia datang ke situ sebagai orang luar, tetapi opah melayan dia seperti cucu sendiri, malah melebihkan dia berbanding Deila. Kehidupan di situ merubah prinsip hidup Rhett.

Opah!

Tak sedar, jatuh sebutir air mata ke pipi. Maafkan Rhett, opah. Kelalaian mengejar nikmat dunia buat dia terlupa melawat pusara opah. Rhett raup wajah sebaknya.

“Bos! A-Apa harus kita buat? Bini bos! Bini bos menuju ke sini!”

Tersentak dari lamunan, kepala Rhett terpusing laju ke arah jari telunjuk Dafi. Buntang mata melihat Deila berdiri sambil cekak pinggang di depan kereta. Merenung dengan mata terpicing, cuba mengecam makhluk yang berada di dalam kereta kerana cermin terlalu gelap.

“B-Bos… apa perlu kita buat?”

“Kau keluar dan cakap dengan Del!”

Dafi toleh ke belakang, memandang Rhett sambil tunjuk diri sendiri. Air muka jelas tidak puas hati.

“Kenapa saya bos? Itu bukan bini saya pun!”

Rhett mendengus. Nak marah, betul apa yang dikata. Dia yang sepatutnya kena hadap Deila. Argh! Dia harus berani. Dia lelaki, tak seharusnya dia ada rasa takut. Di depan mereka itu cuma seorang perempuan! Rhett cuba pujuk hati.

Pemegang kereta digenggam. Termangu seketika. Ada rasa ragu-ragu mahu tolak pintu kereta.

“Bos!”

“Yela, saya keluar!”

Perlahan, pintu kereta ditolak. Satu kaki melunjur keluar, diikuti sebelah kaki. Perlahan, badan ditarik keluar. Kening Deila berkedut.

“Rhett?”

Rhett tarik nafas sedalamnya. Bertapa dia rindukan suara itu. Pandangan mereka bertaut. Beberapa saat saling bertatapan tanpa suara.

“How are you, Del? Bila nak balik?”

Deila tepuk dahi.

“Ah, saya lupa yang saya masih isteri orang.”

Cis! Rhett tarik wajah cemberut.

“Are you okay now? Or you still need some time?” Lirih Rhett tanya. Tak sanggup lagi mahu berjauhan. Harap Deila dapat baca riak wajah dia ketika itu. Yang terpaling menderita. Sudah merendahkan ego datang ke situ. Harap Deila punya sedikit simpati buat dia.

“How about you, Rhett?” Deila pulangkan balik soalan. Rhett tenung sepasang mata Deila dengan rasa sebak.

“I’m dying miss you like crazy, Del. Come back to me, will you?”

Bersinar bak rembulan penuh wajah Deila saat dengar pengakuan Rhett.

“I miss you too, Rhett!”

Tanpa berlengah, Deila berlari ke arah Rhett, melompat memeluk Rhett. Lantaran kurang bersedia, Rhett hampir rebah menahan punggung Deila. Terundur beberapa langkah ke belakang sebelum punggung terhempas di bonet depan keretanya.

Belum sempat kedudukan dibetulkan, sekali lagi Rhett tergamam apabila bibir dipagut laju. Bulat mata Rhett! Serius? Deila yang memulakan dulu? Ini benar very the rare!

Dafi yang masih berada di dalam kereta kelam kabut menutup wajah dengan tapak tangan. Tidak mahu lihat pasangan itu berciuman. Agak-agaklah wei nak bermesra pun! Dia masih bujang! Tak seharusnya dia dipertontonkan dengan adegan mesra suami isteri itu. Cis! Buat dia teringin mahu kahwin je.

“Bos, saya balik dululah. Nanti kalau bos perlukan apa-apa, call je!” Dafi keluarkan kepala dan berkata. Segan pula mahu jadi racun nyamuk di situ.

“Eh, dah lewat petang ni. Jangan balik, bahaya! Tidur je sini. Banyak bilik kosong.“ Tegah Deila. Dafi terdiam.

Belum sempat Rhett dan Dafi melabuhkan punggung di sofa rotan, Deila muncul dari arah dapur dan berdiri di depan mereka berdua.

“Saya teringin nak makan ikan keli masak lemak cili api. Tapi ikan kelinya takde. Korang pergi cari dekat sawah.”

Rhett dan Dafi berbalas pandang. Rhett buang pandangan ke luar jendela.

“Del, hari dah nak gelap. Esok saja boleh tak?” Tolak Rhett dengan nada memujuk. Gelap satu hal. Paling penting, dia tak reti! Masuk sawah je tak pernah. Ni kan pula nak tangkap ikan keli.

“Tak boleh! Saya nak makan sekarang.”

Rhett buang nafas kasar. Sekali lagi memandang Dafi. Harapan kini hanya kepada pembantunya itu.

“Isteri bos tu… mengandung ke?” Dafi bisik di telinga Rhett. Tersentak Rhett dengar.

Mengandung?

Laju bebola mata meneliti Deila, dari atas ke bawah. Tiada perubahan pun, malah tambah cekeding. Betul ke mengandung?

“Dah agak dah! Sebab tu perangai bos pelik, kena badi orang mengandung hihihi…” Seloroh Dafi lalu tergelak halus.

“Dahlah bos, jom pergi tangkap ikan keli. Nanti kempunan si kecil.” Dafi buka langkah. Rhett yang masih kebingungan membuntuti.

Dafi yang sudah payah. Rhett hanya mampu berada di tepi sawah, termuntah-muntah. Nampak ikan keli, Rhett muntah lagi. Hampir lunyai tubuh tersadai di tepi sawah. Dafi hanya mampu menggeleng. Mereka kembali ke rumah opah bersama tiga ekor ikan keli sederhana besarnya. Deila melonjak keriangan.

“Saya dah sediakan bahan. Masakkan untuk saya, Rhett!”

Hampir pitam Rhett dengar. Sangkanya penderitaan dah berakhir. Ni Deila nak suruh dia memasak ikan keli pula?

“Cepat sikit tau. Saya nak mandi dulu.” Deila berlalu tanpa sempat Rhett bangkang. Terkedu Rhett ditinggalkan dalam dapur bersama ikan keli yang masih berenang di dalam baldi.

“DAFI!!!”

Muntah lagi. Nampak ikan keli, muntah. Pegang ikan keli, muntah. Siang ikan keli, muntah. Goreng ikan keli, muntah. Semua dibuat oleh Dafi. Rhett muntah memanjang. Mengalahkan ibu mengandung. Saat gulai sedang menggelegak, Rhett sepit hidung dengan penyepit kain.

Deila muncul bersama senyum ceria. Air liur ditelan berulang kali saat haruman masakan ikan keli menerpa rongga hidung.

“Sedapnya bau! Korang pergi mandi dan solat dulu. Saya akan siapkan yang selebihnya. Cepat sikit tau.”

Rhett lebih dulu buka langkah. Cukuplah dia terseksa dengan bau-bauan yang kurang menyenangkan di dapur. Tergeleng Dafi lihat. Deila sikit pun tak perasan kerana leka dengan haruman yang sangat membangkitkan selera itu.

Selepas Rhett dan Dafi beredar, Deila goreng kangkung dan buat telur dadar sebagai tambahan. Siap semuanya terhidang di meja makan, Rhett dan Dafi muncul.

“Wah, ada lauk tambahan.” Seru Dafi dengan nada teruja. Tak sabar nak makan. Berbeda dengan Rhett. Hanya pandang sepi. Wajah pucat tak bermaya.

Selepas baca doa makan, tak tunggu lama, Deila dan Dafi menyantap hidangan dengan penuh berselera. Rhett berlari ke tandas, muntah-muntah.

“Kenapa dengan Rhett? Masuk angin ke?” Deila tanya risau. Tapi tangan tak henti menyumbat makanan ke dalam mulut. Dafi angkat bahu.

“Puan tanyalah bos. Saya tak berani komen.” Dafi teruskan makan dengan penuh berselera. Jarang dapat makan makanan kampung yang enak macam ni. Sudah tentulah dia nak makan sepuasnya.

Deila cepat-cepat menghabiskan sisa nasi dan bergegas cuci tangan. Naik ke atas mencari minyak angin sebelum bilik air dituju. Melihat Rhett tersadai di tepi mangkuk tandas, Deila dihurung rasa simpati. Rhett dihampiri.

“Kau okay tak ni?” Sambil tanya, Deila sapu minyak angin di dahi dan dada Rhett.

“Tak okay, Del…” Rhett jawab lemah sambil geleng. Deila urut dahi Rhett perlahan. Rasa sedikit lega apabila bau minyak angin menerobos rongga hidung.

“Kenapa ni? Masuk angin ke?” Tanya Deila lagi. Rhett jongket bahu. Dia sendiri tak tahu. Teringat kata-kata Dafi.

“Del… are you pregnant?”

Deila tercengang. Dia tak tahu lagi sebenarnya. Tak pergi check meskipun dah tiga bulan dia tak datang haid. Tiada tanda seperti muntah-muntah ke apa, sebab tu dia buat tak kisah. Cuma perut sedikit mengeras. Memang ada keinginan mahu check, cuma dia belum berkesempatan.

“Saya tak tahu.”

“Let’s check tomorrow!”

Deila akur. Esok harinya, Rhett membawa Deila ke hospital sebelah kampung untuk buat pemeriksaan. Awalnya, Deila cuma bercadang mahu beli kit pengesan mengandung tu je, tapi Rhett tak nak. Katanya lebih baik buat pemeriksaan terus di klinik ibu mengandung.

“Positive. Tahniah mama, you’re three months pregnant!”

Rhett melonjak lalu memeluk Deila di depan doktor wanita itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience