Bab 37

Romance Series 59840

PARA tetamu mulai memenuhi perkarangan rumah Tan Sri Hanafi. Sebahagian daripada mereka pula sudah pun masuk ke dalam rumah dan berbual-bual di ruang tamu rumah agam tersebut. Rata-rata daripada tetamu tersebut hanyalah terdiri daripada sanak saudara dan teman terdekat keluarga Tan Sri Hanafi sahaja. Di ruang tamu, Tan Sri Hanafi sudah pun sibuk melayan para tetamu. Gaya mereka tidak ubah seperti orang barat, dengan mengenakan kasut di dalam rumah. Masing-masing berpakaian kemas dan formal. Ada yang mengenakan kot, lengkap bertali leher dan ada juga yang memakai baju batik, yang menjadi identiti budaya negara.

"Macam mana dengan Riz sekarang?" Salah seorang lelaki bertanya kepada Tan Sri Hanafi dalam perbualan mereka.

"Oh, he is fine.." Jawab Tan Sri Hanafi. Dia masih tidak ingin membuka cerita mengenai masalah amnesia yang dihadapi oleh anak lelakinya itu. Baginya, biarlah hal tersebut menjadi rahsia keluarga mereka sahaja buat masa sekarang.

"Ke mana je dia menghilang? lebih dua tahun tak balik.." Tanya lelaki itu lagi.

"Ala.. budak-budak zaman sekarang.. merajuk sikit, lari tinggalkan rumah." Jawab salah seorang yang lain. Tan Sri Hanafi hanya tersenyum. Sedetik kemudian, barulah dia membuka mulutnya.

"But, he's doing a great job.. dalam masa dua tahun ni, katanya dia dah berjaya buka perniagaan dia sendiri.. dah ada restoran dan terlibat dalam pertanian dan penternakan.. he can do it without my support." Tan Sri Hanafi bercerita dengan bangga. Sengaja ingin mempamerkan kejayaan anaknya di depan mata para sahabatnya.

"Wah, bapa borek, anak rintik.. kemana tak tumpahnya kuah kalau tak ke nasi.. dalam masa dua tahun, he can do that such things.. memang berbakat dalam perniagaan, macam Papa dia.."

"So, mana Riz? dah lama tak jumpa dia.. kan ni majlis sambut kepulangan dia.. mana orangnya? tak nampak-nampak lagi.."

Ketika itu juga, Amira mula melangkah turun dari tangga dan menuju ke arah ruang tamu. Wanita itu sedikit terpinga-pinga dan kekok ibarat rusa masuk kampung. Dai tidak biasa berhadapan dengan ramai orang yang berpengaruh seperti itu. Semua orang terlihat kemas dan segak. Daripada penampilan mereka, jelas terlihat kekayaan yang dimiliki setiap orang. Tanpa Amira duga, kehadirannya di sana telah membuatkan ramai mata yang terpaku ke arahnya. Kecantikannya sangat terserlah dan mencuri tumpuan.

"Mira.. datang sini.." Panggil Tan Sri Hanafi kepada menantunya. Amira yang melihat dan mendengar panggilan bapa mentuanya itu segera bergerak untuk mampir, menurut arahan.

Tan Sri Hanafi menghulurkan lengannya kepada Amira. Wanita itu segera memaut lengan bapa mentuanya itu. Walaupun dia tidak biasa berkelakuan sebegitu, namun Amira mengerti maksud bapa mentuanya apabila mengingati babak dalam drama yang pernah ditontonnya di layar televisyen. Wanita itu menempel pada lelaki yang sudah menjadi bapanya.

"Siapa ni Tan Sri?" Tanya salah seorang lelaki yang bersama Tan Sri Hanafi.

"Ini menantu saya.. isteri Rizal.." Ucap Tan Sri Hanafi dengan penuh bangga. Dia tahu para hadirin di sana mula memerhatikan Amira kerana kecantikannya. Bahkan lelaki itu sendiri sebentar tadi kagum dengan kejelitaan menantu perempuannya itu. Sebelum ini, dia sama sekali tidak pernah melihat Amira bersolek dan mengenakan gaun sebegitu.

"Wah, sejak bila pula Riz dah kahwin?"

"Benda ni saya memang tak bagitau kat umum lagi.. hanya kami anak beranak je yang tahu.. but, don't worry.. nanti saya akan adakan majlis perkahwinan Riz dalam masa terdekat ni.. saya akan jemput semua orang.. biar satu dunia tahu." Jelas Tan Sri Hanafi.

"Cantik betul.. pandai si Rizal ni cari isteri.." puji para tetamu. Masing-masing mula berbisik, memuji kecantikan Amira sesama mereka.

Tan Sri Hanafi pula kemudian terperasan kalung yang tergantung pada leher Amira. Rantai leher yang agak labuh itu melepasi tudung yang dipakai oleh Amira dan mempamerkan loketnya yang kebiruan.

"Wah, Heart of the ocean... Ira bagi kat Mira ke? cantik! sesuai sangat dengan Mira.." Puji Tan Sri Hanafi.

"Tapi.. rantai ni.. Mira tak layak la nak pakai Papa.." bisik Amira kepada Tan Sri Hanafi. Dia harus meluahkan perasaannya dengan jujur.

"No.. rantai ni sangat sesuai dengan Mira.."

"Tapi Pa.."

"No tapi tapi.. rantai ni Papa beli untuk keluarga Papa.. sekarang Mira pun dah jadi keluarga Papa.. menantu Papa.. Mira sangat layak untuk pakai rantai ni.. tengok ni.. cantik.. sangat sesuai dengan Mira.." Tan Sri Hanafi masih memuji menantu perempuannya itu.

Amira terdiam dan menundukkan pandangan. Dari tutur kata Tan Sri Hanafi, Amira dapat merasakan keikhlasan lelaki tersebut. Terdetik rasa bahagia apabila diperlakukan dengan begitu baik sekali oleh bapa mentuanya. Tiba-tiba Amira merasa rindu terhadap arwah bapanya. Arwah bapanya seorang yang baik dan menyayangi keluarganya. Namun kini, kasih dan perhatian yang diterimanya daripada Tan Sri Hanafi seolah mengatasi kasih ayah kandungnya sendiri. Bibir lelaki tua itu tidak habis-habis memuji Amira. Tidak pernah sama sekali Amira terasa begitu dihargai. Lelaki jutawan itu benar-benar seorang budiman dan penyayang.

Jika tidak mengenali Tan Sri Hanafi secara peribadi dan hanya melihatnya dari luaran, lelaki itu terlihat seolah dingin dan garang. Itu disebabkan wajahnya yang tegas dan kewibawaannya sebagai seorang pemimpin sangat terserlah melalui penampilannya. Namun, siapa sangka, lelaki yang terlihat dingin itu sebenarnya seorang yang sangat lemah-lembut dan penyayang malah bijak menilai dan menghargai orang lain.

Tidak lama kemudian, Rizal pula muncul di ruang tamu. Kehadirannya mula mendapat perhatian daripada para tetamu yang datang. Menyedari keberadaan Amira dan Tan Sri Hanafi di sana, Rizal tanpa berlengah segera menghampiri mereka.

"Riz.. lama tak nampak..makin handsome sekarang.." Seorang lelaki yang berhampiran Tan Sri Hanafi menyapa Rizal sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. Rizal menyambut dan berjabat salam dengan lelaki tersebut sambil tersenyum.

"Riz ingat lagi tak? ni Tan Sri Jamali.. best friend Papa.. dulu pun, Riz kan selalu berkawan dengan anak dia, Delisha.." Tan Sri Hanafi memperkenalkan sahabatnya kepada Rizal. Dia sengaja melontarkan pertanyaan tersebut untuk mengaburi mata para tetamu jika Rizal sekarang sudah kehilangan ingatan. Rizal hanya menganggukkan kepala, terpaksa berlakon seolah mengenali sahabat bapanya itu walaupun dia sama sekali tidak mengenali lelaki tersebut.

"By the way, mana Delisha? dia tak datang ke?" Tanya Tan Sri Hanafi kepada sahabatnya.

"Ah, Isha katanya nak pergi ke restoran dia dulu.. dia baru bukak restoran sendiri baru ni.. nanti dia datang la.. lambat sikit.." Jawab Tan Sri Jamali.

"Oh, takpe la kalau macam tu.."

"Riz pun.. kata Papa Riz tadi, dah ada restoran sendiri.. betul ke? hebat anak muda sekarang.." Tan Sri Jamali pula bertanya kepada Rizal.

"Ah, restoran kecik je.." Jawab Rizal.

"Tak kisah la besar ke kecik.. yang penting ada usaha.. lagipun kata Papa Riz tadi, Riz usaha sendiri buka restoran tu.. tak harapkan bantuan dari Papa.. Uncle pun tumpang bangga. Tak macam Delisha.. nak bukak restoran pun, minta modal dari Daddy dia.." Tan Sri Jamali melepaskan tawa.

"Sebenarnya, restoran tu Riz buka bersama isteri Riz.. dia la pemilik sebenar restoran tu.. Riz cuma bantu sikit-sikit je.." Rizal cuba merendah diri sambil menundukkan pandangan dan menyentuh hidungnya dengan jari.

"Sebenarnya restoran tu memang abang Riz yang bina.. dia yang usahakan semuanya.. saya tak tahu apa-apa pasal business.. hanya lesen perniagaan je pakai nama saya.." Amira mula bersuara, memuji usaha suaminya selama ini. Dia sedar, dirinya harus mengangkat kehebatan Rizal di mata kenalan keluarga suaminya itu. Dia ingin semua orang mengakui kehebatan suaminya. Malah pada Amira, dia juga sudah berkata dengan jujur. Sememangnya perniagaan restoran mereka itu adalah hasil usaha suaminya sendiri. Dia bahkan langsung tidak tahu mengenai urusan perniagaan. Tugasnya selama ini yang menyumbang kepada perniagaan mereka hanyalah memasak semata-mata.

Amira tersenyum dan berkalih pandang ke arah bapa mentuanya. Lengan lelaki itu masih dipaut oleh Amira. Wanita itu juga berharap Tan Sri Hanafi akan berbangga dengan anak lelakinya. Walaupun selama ini, Rizal mengalami masalah kehilangan ingatan dan hidup dalam serba kekurangan bersamanya, namun lelaki itu tetap berjaya membangunkan perniagaan dengan modal yang terhad. Berbekalkan kebijaksaannya, Rizal tetap mampu menunjukkan hasil dan mewujudkan perniagaannya sendiri cuma dalam masa satu tahun.

"Oh, bertuah betul Riz.. dah la dapat isteri cantik.. selalu sokong usaha suami dia.. Menantu awak ni, dari keluarga mana? cantik betul dia.." Soal Tan Sri Jamali sambil memuji kecantikan Amira.

"Itu, saya tak nak bagitau lagi buat masa sekarang.. tunggu lepas saya adakan majlis pernikahan mereka, baru saya bagitau.. orang kata, tak manis duk cakap lebih-lebih.. lagipun perkahwinan diorang ni belum diisytiharkan secara rasmi.. dah rasmi nanti, saya akan bagitau seluruh dunia.." Tan Sri Hanafi menjawab dengan penuh bijaksana. Dia tidak ingin menyatakan kebenaran mengenai Amira kerana tidak ingin menantunya itu nanti akan diperlekehkan dan hanya dipandang sebelah mata oleh orang lain.

"Hahaha.. Tan Sri.. you ni tak habis-habis nak menyimpan rahsia.. itu sebabnya you selalu diam-diam melangkah lebih jauh dari orang lain.. even i sendiri pun tak terkejar langkah you.. dalam diam-diam, tiba-tiba dapat projek baru.. ambil alih syarikat baru.." Tan Sri Jamali yang sangat mengenali sahabatnya itu tidak ingin memaksa. Dia tahu, sahabatnya itu tidak gemar bercakap terlebih dahulu selagi tidak mengambil langkah. Fikirnya, sikap Tan Sri Hanafi itu menjadi salah satu sebab kejayaan lelaki tersebut. Pernah beberapa kali sebelum ini, Tan Sri Hanafi menggegarkan negara dengan tindakannya mengambil alih beberapa syarikat gergasi. Bahkan terdapat juga perusahaan dari luar negara yang telah diambil alih oleh lelaki tersebut. Semuanya berlaku secara mendadak dan mengejutkan semua pihak.

Pada pandangan Tan Sri Jamali, sahabatnya itu memiliki karisma yang tersendiri. Lelaki itu menguasai perniagaan dalam pelbagai bidang dan menguasai ratusan syarikat termasuk di dalam dan luar negara. Bahkan perusahaan utamanya, iaitu THL Global Group sahaja sudah mempunyai puluhan anak syarikat. Hal tersebut bukan sahaja membuatkan lelaki itu menjadi antara lima orang terkaya di dalam negara, bahkan termasuk di dalam senarai sepuluh teratas orang terkaya di asia tenggara malah tersenarai di dalam 100 orang terkaya di dunia.

Seiring masa berlalu, majlis kesyukuran yang diadakan di kediaman Tan Sri Hanafi juga berjalan dengan lancar. Para tetamu juga silih berganti. Ada yang sudah pulang, dan ada juga yang baru hadir. Tan Sri Hanafi masih berada di ruang tamu dan duduk di sofa bersama kenalannya. Mereka berbual-bual sambil menghisap cerut. Tan Sri Hanafi yang duduk sambil menyilangkan kaki kanannya ke atas kaki kiri, dengan penuh bergaya, menghembuskan asap daripada cerut Gurkha Black Dragon. Walaupun harga cerut itu mencapai sehingga lebih empat ribu ringgit sebatang, namun itu bukanlah koleksi cerut paling mahal yang dimiliki oleh jutawan tersebut.

Menyedut aroma daripada asap cerut itu, Rizal seolah digamit kerinduan. Fikir rizal, dia sepertinya pernah menghidu bau tersebut sebelum ini. Masakan tidak, Rizal dahulunya pernah turut menghisap cerut sedemikian. Namun kini, dia sama sekali tidak mengingati perbuataannya itu. Disebabkan sudah lama tidak terbiasa dengan asap tersebut, Rizal merasa sedikit pening. Dia sudah tidak mampu menahan diri untuk bersama bapanya yang masih asyik menghisap cerut. Rizal kemudian mengambil keputusan untuk beralih tempat dan mula meninggalkan ruang tamu.

Lelaki itu berjalan ke bahagian meja makan. Di sana, kelihatan Amira sedang bersama Shahira berbual mesra bersama beberapa orang perempuan lain. Rizal tidak ingin mengganggu isteri dan adiknya itu. Lelaki itu kemudian beralih menuju ke pintu depan. Dia ingin keluar ke halaman rumah bagi menghirup udara segar.

Di halaman rumah, Rizal mula mendepangkan dada dan menghela nafas panjang. Udara dari luar rumah itu disedut dalam semampu mungkin. Lelaki itu kemudian menggerakkan kepalanya ke kiri dan kanan beberapa kali sebelum mengurut lehernya sendiri. Dia cuba untuk menghilangkan lenguh dan keletihan setelah beberapa jam bersama para tetamu yang datang ke rumahnya.

Di kala itu, Rizal langsung tidak menyedari, terdapat sepasang mata yang sedang memerhatikannya dari jarak yang tidak berapa jauh. Individu tersebut perlahan-lahan berjalan mendekati Rizal yang sedang bersendirian dari arah belakang.

"Riz.. you apa khabar?" Juana menyapa setelah mendekati Rizal yang bersendirian.

Rizal lantas berpaling ke arah belakang setelah mendengar suara yang menyebut namanya. Lelaki itu tersentak.Walaupun dia tidak mengenali Juana, namun wajah wanita itu masih dia ingat dengan jelas. Wanita itu adalah orang yang sama berada di dalam foto dan bergambar bersamanya sebelum ini. Gambar yang sudah disorokkannya daripada pengetahuan Amira di bilik tidur mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience