Bab 1

Romance Series 3474

“BALIK, Irwan. Bawa isteri kau sekali. Datuk kau dah nazak… surat wasiat akan dibaca bila-bila masa saja.”

Nada suara ayahnya di hujung talian begitu tenang, tapi masih ada dinginnya. Dan ayat itu, surat wasiat, menampar dada Irwansyah lebih kuat daripada suara mana-mana perempuan yang pernah merajuk padanya.

Dia terdiam. Tangannya yang sedang melingkar pinggang seorang wanita tadi, jatuh ke sisi. Macam beratnya kenyataan itu menjatuhkan semuanya serentak. Nafasnya tersekat-sekat sebentar.

“Papa berguraulah tu… Papa sengaja reka cerita, kan? Sebab nak paksa saya balik rumah?” Suaranya mencuba untuk berlawak, tapi hambar. Ada getar dalam nada itu, sesuatu yang dia sendiri tak mahu akui, rasa takut untuk pulang.

“Hm…” keluh ayahnya di seberang talian. Lelah. Tapi tetap tegas.

“Kalau kau tak percaya aku, telefon mama kau. Tanya dia sendiri. Tapi balik, Irwan. Bawa Safira. Itu kunci. Kunci untuk kau dapatkan bahagian kau dalam wasiat tu.”

Safira. Nama itu mencetuskan sesuatu di dalam dadanya. Bukan rindu. Bukan sayang. Tapi beban. Berat yang dia sendiri tak tahu bila akan surut.

“Baik, papa.”

Tak tunggu lama, dia tamatkan panggilan itu. Hela nafasnya panjang. Matanya merenung kosong siling bilik, dan telefon bimbit itu dicampak ke tepi seperti tak punya nilai.

Tiba-tiba, lengan lembut yang tadi dipeluknya kembali melingkari dadanya. Bau manis parfumnya masih melekat di udara. “Kenapa you tiba-tiba macam muram ni, biy?” tanyanya lembut, suaranya manja.

Irwan diam. Masih berperang dengan isi kepala sendiri.

Dia tahu ini saat yang dia tunggu. Lima tahun. Lima tahun dia bersabar untuk momen ini. Saat dia akan memiliki semuanya, harta, saham, kuasa, nama keluarga yang selama ini hanya sekadar warisan di hujung nama.

Tapi satu perkara yang dia tak pernah bersedia, pulang bersama isteri yang dia tinggalkan lima tahun lalu.

Bukan sebab dia masih cintakan perempuan tu. Tidak. Tapi sebab perempuan itu… adalah satu bab dalam hidupnya yang dia sangka dah lama tutup. Rupa-rupanya belum.

Wanita di sisinya mengusap dadanya lembut. “Papa you cakap pasal wasiat datuk you ke? You diam je. I tahu mesti pasal tu kan?”

Dia menoleh perlahan, merenung wajah kekasih gelapnya yang selama ini setia meneman. Mata wanita itu bersinar dengan harapan, harapan yang mungkin dia sendiri pernah janji, tapi belum pasti ditepati.

“Tak lama lagi, sayang…” dia bersuara akhirnya. Suaranya mendatar, tapi dalam penuh tekad. “I akan jadikan you milik I sepenuhnya.”

Mata wanita itu membesar. Senyumannya merekah. Tapi ada kegusaran kecil juga di bibirnya. “Lepas tu, you akan ceraikan isteri you tu, kan? Biy… I dah lama sangat tunggu. I penat.”

Irwansyah mengangguk perlahan. “Ya. I janji. Secepat mungkin I akan keluarkan dia dari hidup I. I akan serahkan tempat yang sepatutnya untuk you… jadi isteri I yang sebenar.”

PAGI itu, Irwansyah tak pernah sangka, satu hari nanti, dia akan berdiri tegak di hadapan pintu penthouse mewah di tengah-tengah Knightsbridge, salah satu kawasan paling elit di London. Jari-jarinya hampir menyentuh loceng pintu, tapi entah mengapa, tiba-tiba terasa begitu berat. Berpuluh-puluh kali dia tarik nafas dalam-dalam sebelum akhirnya memberanikan diri menekan loceng.

Dia sendiri tak pasti kenapa hati dia berdebar-debar macam remaja lelaki yang nak pergi temujanji pertama. Bukannya dia tak kenal pemilik rumah ini. Bahkan dia pernah kenal wanita itu seintim mungkin, walaupun cuma sekali. Tetapi perasaan ketika ini memang pelik. Dia datang dengan misi jelas, untuk bawa Safira Diana pulang. Demi harta, demi kuasa, demi masa depan yang dia sendiri dah atur.

Tapi jauh di sudut hati, ada satu kesilapan yang masih menghantuinya hingga ke hari ini, malam pertama mereka bersama, malam dia sentuh Safira atas nama hak seorang suami.

Ketika itu, Irwansyah terlalu angkuh untuk akui yang dia sebenarnya terlalu tertarik dengan tubuh Safira. Dia nafikan segala rasa, segala kenikmatan yang membakar dirinya malam itu. Dia berikan alasan mudah: cuma satu malam. Tak mungkin akan ada apa-apa, kan?

Namun, ternyata ia tak semudah itu.

PINTU terbuka perlahan. Irwansyah tegak berdiri, nafasnya hampir terhenti tatkala wajah itu muncul di hadapannya.

Safira Diana.

Untuk beberapa saat, Irwan lupa cara bernafas. Matanya terpaku, terpana. Segala fikiran logik hilang dari kepala, berganti dengan satu suara kecil yang tanpa sedar berbisik lembut dalam benaknya.

'Safira Diana, kecantikannya masih tak berubah sejak malam aku tinggalkan dia lima tahun dulu...'

Mata mereka bertemu. Safira kelihatan sedikit terkejut, bibir merah mudanya sedikit terbuka, seakan mahu mengucap sesuatu tetapi terhenti separuh jalan. Rambut panjangnya yang berombak halus diselitkan ke belakang telinga, menyerlahkan wajahnya yang sempurna.

Blouse sutera putih yang dipadankan dengan skirt midi hitam jelas menampilkan keanggunan wanita moden yang berjaya dalam dunia fesyen London.

Irwansyah cuba kekal tenang, dinginkan wajahnya sedingin mungkin tetapi jantungnya bagai gendang yang dipukul kuat.

“Assalamualaikum, Safira,” suaranya sedikit bergetar, cuba dikawal.

Safira memandang wajahnya lama. Mata coklat lembut itu kini sudah tidak selembut dulu. Ada kekerasan di situ, ada luka yang dia sendiri tak sedar pernah ditinggalkan. Namun perlahan-lahan, wanita itu menyembunyikan segala emosinya, memulangkan wajah tenang.

“Waalaikumussalam,” balas Safira perlahan. “Kau buat apa kat sini, Irwan?”

Irwansyah menarik nafas, mengatur kata dengan berhati-hati.

“Kita kena balik ke Malaysia,” ucapnya pendek, tenang.

Safira tersenyum sinis, menyilangkan tangan di dada, bersandar sedikit pada pintu yang separuh terbuka.

“Kita?” dia ulang perkataan itu dengan nada mengejek. “Sejak bila ada istilah ‘kita’ antara kau dengan aku?”

Hati Irwan sedikit tersentak dengan kata-kata itu, namun dia cuba sembunyikan. Benar, sejak malam pertama mereka, tak pernah ada istilah ‘kita’ lagi. Hanya perjanjian ringkas untuk hidup berasingan, seperti dua orang asing yang kebetulan berkongsi nama di atas kertas perkahwinan.

“Wasiat datuk akan dibaca tak lama lagi. Kau kena balik dengan aku, Safira. Itu syaratnya,” jelas Irwan lagi, suaranya mula tegas, walaupun jauh di dalam hati dia sedar, mungkin ini bukan semudah yang disangkanya.

Safira diam seketika, memandang lelaki yang pernah menjadi suaminya. Akhirnya, dia menghela nafas, membuka pintu penthouse itu lebih luas.

“Masuklah dulu,” katanya tenang, tapi penuh maksud. “Kita ada banyak benda yang perlu dibincangkan nampaknya.”

Irwansyah mengangguk perlahan, langkahnya memasuki penthouse mewah itu terasa berat dan canggung.

IRWANSYAH duduk perlahan di atas sofa kulit mahal yang mendominasi ruang tamu penthouse Safira. Suasana kediaman itu amat berbeza dengan kehidupan Irwan selama ini, tenang, minimalis, tapi entah kenapa terlalu sunyi, terlalu sepi. Dia menghela nafas panjang, fikirannya ligat menyusun ayat. Namun, belum sempat dia membuka mulut, Safira muncul kembali dari dapur membawa dua cawan kopi yang diletakkan berhati-hati di meja kaca kecil di hadapannya.

“Jadi, kau kata wasiat tu syaratnya kita kena balik bersama, kan?” Safira duduk di sofa bertentangan, tangannya melipat ke dada, bersikap defensif.

Irwansyah mengangguk, sedikit lega kerana wanita itu membuka bicara dulu. "Ya. Datuk aku jelas, kita berdua mesti balik sekali. Lepas tu, baru kita masing-masing dapat hak bahagian kita."

Safira tersenyum sinis, pandangannya tajam menusuk mata Irwan. “Kau tahu kan, lepas wasiat tu dibaca, kita tak ada apa-apa lagi untuk dibincangkan. Terus cerai, Irwan. Jangan nak beri alasan atau cari sebab untuk tangguhkan lagi. Lima tahun dah lebih daripada cukup. Aku tak sanggup lagi berpura-pura."

Irwansyah cuba menyusun kata lagi, kali ini dengan nada lebih diplomatik, “Aku tahu, Safira. Aku pun dah fikirkan benda tu. Aku takkan susahkan kau lagi. Aku cuma fikir, mungkin aku boleh beri kau sebahagian daripada wasiat tu, sebagai pampasan…”

“Stop! Stop right there…” Safira segera memotong, tegas dan jelas.

“Tak payah nak baik hati sangat. Aku tak nak satu sen pun daripada kau, Irwan. Lagipun, selama ni aku memang tak pernah wujud dalam hidup kau, kan? Jadi, untuk apa kau bayar aku macam ni?”

Irwansyah tergamam seketika, bibirnya bergerak tapi tak ada suara yang keluar. Dia menelan air liur perlahan, hatinya akui sedikit terusik dengan kata-kata Safira yang penuh sindiran, tapi entah kenapa dia rasa ada yang lebih dari itu dalam suara wanita itu.

Safira menarik nafas dalam, jelas ingin menutup perbualan ini secepat mungkin. “Sehari lepas pembacaan wasiat, aku nak kita berdua terus selesaikan semua ni. Aku dah bosan hidup tergantung. Kau balik ke Malaysia dulu, ambil flight lain. Kita jumpa terus dekat sana saja, faham?”

Irwansyah mengangguk perlahan. “Baiklah, kalau itu yang kau nak, aku takkan halang.”

Safira diam, matanya tak lagi memandang Irwansyah, seolah-olah lelaki itu tidak pernah ada di hadapannya. Irwansyah tahu pertemuan ini dah tamat, tak ada lagi yang perlu dipanjangkan. Dia bangun perlahan-lahan, melangkah ke arah pintu dengan perasaan yang sepatutnya lega kerana Safira memberikan kerjasama penuh tanpa drama berlebihan.

Namun, jauh di lubuk hatinya, timbul rasa tidak sedap yang dia sendiri tak faham. Kenapa Safira terlalu mendesak untuk cepatkan proses perceraian?

Irwansyah membuka pintu, melangkah keluar. Tetapi langkahnya tiba-tiba terhenti, matanya tertarik pada sesuatu yang terpampang jelas di tepi pintu itu.

Sepasang kasut kecil warna merah terang, tersusun rapi di tepi rak kasut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience