BUNGKUSAN plastik di dalam bakul motor dicapai. Helmet diletakkan di rak kasut. Suara kasar Amzar bergema saat memberi salam ke penghuni rumah. Satu keluhan panjang dilepaskan apabila salam yang diberi tidak dijawab.
"Tengok tu, pintu tak kunci. Sayang ni kan, pencuri masuk nanti. Awak dah la sorang-sorang dalam rumah. Sambil lewa sungguh," bebel Amzar.
Helmet tadi dicapai dan diletakkan di lantai. Pintu rumah ditutup sambil memanggil nama isteri tersayang.
"Nora, abang balik. Nora kat mana?"
Sunyi.
Bungkusan tadi diletak di atas meja kecil. "Nora, Nora dekat mana? Abang dah balik. Sayang!"
"Abang, Nora ada belakang ni!"
Amzar tersengih dan ke ruang dapur mencari Nora. "Sini rupanya isteri abang. Kerja ke tidak hari ni?"
Nora menoleh dan tersenyum manis. Kerjanya ditinggalkan dan terus memeluk Amzar sekejap. "Mestilah kerja. Nampak ni dah siap."
Satu ciuman diberi ke ubun-ubun Nora. "Nora dah siap masak?"
"Dah. Atas meja ni semua untuk abang. Nanti abang panaskan ya bila nak makan. Lagi satu, sorry abang... saya tak sempat masak nasi tadi, nanti abang masak sendiri boleh?"
"Boleh sayang. Terima kasih masak untuk abang. Dah siap? Jom abang hantar?"
"Emm, dah siap. Sorry abang susahkan abang kena hantar Nora."
Kepala isterinya diusap lembut sebaik Nora melintasinya ke ruang tamu bersama bekal.
"Dah tanggungjawab abang mestilah kena hantar."
"Sampai hujung bulan abang kena hantar Nora selagi kereta tu tak repair," rengek Nora lembut.
"Sampai bila-bila pun abang sanggup sayang jadi driver sayang. Sayang cakap, abang hantar," balas Amzar tenang.
"Ya sangat abang. Nora suruh hantar ke bulan nanti... abang sanggup?"
"Sanggup asalkan sayang tak tinggalkan abang."
Nora ketawa mengekek dan mencabai beg kerjanya. Sempat juga Nora menjeling bungkusan plastik di atas meja dengan muka pelik.
Amzar sepantas kilat pusing mencapai bungkusan itu dan dihulur ke isteri tersayang. Kedua kening diangkat bertubi-tubi.
"Orang bagi tadi masa abang nak balik. Sayang ambillah makan dekat tempat kerja."
"Betul ni?"
"Betul Noraku sayang."
"Sedap bau dia. Terima kasih abang."
.
.
Pinggan di tangan dipegang kemas hingga ke ruang tamu yang kosong dan sunyi. Amzar menyambut pinggan di tangan Nora dan menyambung semula memandang skrin telefon. Sesekali Nora menjeling suaminya yang tengah leka.
"Abang, sudah la tu main games. Kita makan dulu. Saya tahu abang pun mesti belum makan," tegur Nora. Nora menepuk paha Amzar lembut.
"Sayang makan. Abang kenyang dah," dalih Amzar.
"Abang jangan nak mengada. Saya tahu abang belum makan malam lagi. Buka mulut, cepat... saya suap."
Amzar tersenyum nipis. Dia terpaksa menurut kehendak isterinya bijak merayu.
"Sayang, dah. Sayang makan je. Sayang baru balik kerja. Mesti lapar."
Nora memandang wajah suaminya untuk satu tempoh yang panjang.
"Abang suruh Nora makan bukan tengok muka abang."
"Abang sebenarnya risau bil air tak bayar lagi ya?"
Satu keluhan panjang dilepaskan. Telefon di tangan diletak di sebelahnya tanda mengalah.
"Nora, dalam bank abang cuma ada RM30. Itu pun untuk minyak motor."
"Sekarang kita nak buat apa? Nanti kena potong kita juga susah. Itu la, saya dah pesan banyak kali ke abang... saya suruh abang bayar minggu lepas tapi abang degil."
"Bukan abang tak nak bayar Puan Nora sayang. Kebetulan motor abang rosak. Abang guna dulu duit tu. Nanti tak ada motor macam mana nak pergi kerja? Cuba cerita?"
Jelas sekali riak wajah isterinya berubah. Amzar mengeluh. Dia mengesot dan tubuh Nora ditarik ke bahunya. Pipi Nora dicucuk lembut.
"Nora jangan risau. Abang bayar esok bila abang dapat duit daripada Idris.
"Abang pinjam berapa?"
"Tiga ratus. Seratus lebih bayar bil baki tu boleh beli lauk. Jangan risau ya."
Nora diam membisu. Bahunya disandarkan ke dada suaminya. Suasana rumah sunyi tanpa bicara untuk tempoh yang sangat panjang.
"Sayang."
"Ya abang."
"Andainya satu hari nanti kita ada rumah sendiri... abang nak bilik solat yang cantik. Biar kita boleh solat berjemaah ajar anak mengaji sama-sama.”
Nora senyum nipis. "Amin. Semoga impian abang tercapai."
"Macam tu sayang kena tolong abang capai impian abang. Kita kena dapatkan baby dulu."
Nora ketawa mengekek. Bukan kerana lawak tapi Nora tahu impian suaminya itu masih jauh. Perkahwinan mereka hampir genap setahun tapi mereka masih belum dikurniakan rezeki anak.
"Saya cuba dan abang pun kena usaha. Sekarang ni abang kena makan dengan saya."
Malam ini mereka makan nasi putih dengan telur dadar dan sambal tumis. Suasana rumah penuh dengan rasa manis bahagia walaupun kosong tanpa perabut.
"Terima kasih kerana buat saya rasa cukup walau tak punya apa-apa," bisik batin Nora.
.
.
Kotak besar yang berat ditolak ke tepi sudut. Tangannya masih ligat menyusun stok di rak bawah. Begitulah rutin yang Nora hadapi tiap hari demi mencari rezeki yang halal. Suara rakannya berteriak memanggilnya langsung tidak dijawab.
"Alahai, benda senang pun nak panggil. Buat la sendiri," bisik batin Nora.
"Nora! Aku la budak ni... panggil tak jawab. Suami kau datang."
"Suami aku!"
"Ya suami kau, tak kan suami aku nak panggil kau pula."
"Mana la tau."
Nora ketawa mengekek. Sempat tangannya menepuk rakannya sekejap menghilangkan lelah. "Thanks mak cik kecil."
Nora bangun dan mengelap punggung menggunakan tangan. Rambut dan baju dirapikan ketika berjalan keluar dari stor.
"Nora."
"Abang, abang buat apa datang sini?"
“Abang ada bawa takoyaki untuk sayang. Panas lagi."
Nora memandang suaminya masih memakai uniform pengawal keselamatan. Bajunya sedikit lusuh dan basah. Senyuman Amzar buatkan Nora terasa hatinya lembut seperti sumi.
"Terima kasih abang belikan untuk Nora."
Peluh di dahi Amzar dilap menggunakan lengan bajunya.
"Abang tahu kejap lagi Nora rehat. Nora tak bawa bekal sebab tu abang datang. Dalam ni ada nasi lemak bungkus yang Nora suka tu."
Nora ketawa kecil. Bahu suaminya ditumbuk manja.
"Belanja pakai duit siapa? Banyak abang beli... korek tabung ya."
"Ke situ pula sayang ni. Abang guna duit abang la. Abang dah dapat gaji."
Tangan ditadah dan diusap ke muka tanda syukur. "Alhamdulillah. Abang dah bayar semua yang patut?"
"Sudah sayang. Nora jangan risau. Nanti habis kerja abang nak bawa pergi makan kedai kegemaran sayang."
"Abang, jangan bazirkan duit abang tu. Kita makan dekat rumah sudah. Lagi jimat. Abang beli lauk, nanti saya masak."
"Tak salah pun untuk bahagiakan isteri.”
"Suka abang la. Terima kasih ni. Lama dah tak makan tako."
Nora memeluk suaminya dan satu ciuman hinggap di pipi Amzar. Nora rasa cukup bahagia walaupun lelaki di hadapannya ini tak kaya, tak bergaya tapi cukup membuat Nora rasa tenang dan aman bersamanya.
cerita Isteri Tanpa Nilai ni uc ya. terima kasih ❤️
Share this novel