Prolog

Romance Series 452923

SUASANA di dalam kereta sunyi sepi. Radio pun sengaja tidak dipasang. Masing-masing membisu. Azriel fokus pada pemanduannya. Sesekali dia mengerling sekilas isteri di sisi. Aya pula hanya membuang pandang ke luar tingkap.

“Aya nak balik rumah umi.” Tiba-tiba Aya bersuara. Memecahkan kesunyian di antara mereka berdua.

Azriel terus menoleh memandangnya. Dahinya berkerut sedikit. “Aya tak rindu rumah kita ke? Kan dah lama Aya duduk hospital. Apa kata kita balik rumah kita dulu. Nanti bila Aya dah sihat, abang bawa Aya ke rumah umi.”

“Aya nak balik rumah umi.” Aya ulang semula ayatnya tadi. Soalan yang diajukan Azriel sengaja dibiarkan tidak berjawab.

“Kalau macam tu kita balik rumah dulu lah. Abang nak ambil baju-baju kita dulu.” Azriel mengalah. Dah kalau itu yang isterinya mahukan. Lagipun dia tiada masalah untuk tinggal di rumah mertuanya untuk beberapa hari.

“Kita?” soal Aya perlahan.

“Ya, kita. Dekat rumah umi kan tak ada baju-baju abang,” jelas Azriel.

“Aya nak balik seorang. Abang hantar Aya jer.”

Azriel terkedu. Kata-kata yang keluar daripada mulut Aya buat dia jadi susah hati. Sudahlah di hospital Aya bersikap dingin dengannya. Sekarang ni Aya nak jauhkan diri daripada dia pula?

“Tak apalah. Abang boleh temankan Aya sekali. Abang tak kisah Aya nak duduk berapa lama pun de...”

“Aya cakap Aya nak balik seorang!” pintas Aya. Kali ini suaranya naik seoktaf.

Azriel terdiam. Tak pernah-pernah Aya tinggikan suara padanya selama ini.

“Tak apalah kalau itu keputusan Aya.” Azriel tiada pilihan. Mungkin Aya perlukan masa bersendirian. Dia terus memandu menuju ke rumah keluarga mertuanya.

SAMPAI di hadapan rumah keluarganya, Aya cepat-cepat keluar daripada kereta.

“Aya, perlahan-lahan.” Azriel cuba membantunya keluar daripada kereta namun tangan suaminya itu ditepis.

“Aya boleh jalan sendiri.” Dia ingin berlalu masuk ke dalam rumah tapi Azriel lebih pantas meraih tangannya.

“Abang ada buat salah dengan Aya ke? Kenapa Aya langsung tak nak cakap dengan abang?” soal Azriel ingin tahu. Diam Aya membuatkan dia tidak senang duduk. Sejak Aya sedar, Aya langsung tidak mahu bercakap dengannya. Isterinya itu buat dia seolah-olah tidak wujud.

“Sebab Aya tak ada benda nak cakap dengan abang,” balas Aya. Suaranya masih kedengaran dingin.

“Kalau abang ada buat salah dengan Aya, beritahu abang. Jangan seksa abang macam ni.” Kedua belah tangannya naik memegang bahu Aya. Matanya yang berkaca itu menatap dalam anak mata isterinya.

Aya tunduk. Melarikan anak matanya daripada terus ditenung Azriel. Hatinya rapuh melihat sepasang mata itu.

“Lepas apa yang abang dah buat, abang masih tanya Aya apa salah abang?” soalnya.

Azriel bingung. Besar sangat ke silapnya sampai Aya langsung tak nak bercakap dengannya?

“Abang minta maaf kalau abang memang bersalah. Tolong maafkan abang. Jangan seksa perasaan abang macam ni.” Azriel tetap ucap kata maaf biarpun dia sendiri masih tidak pasti apa yang membuatkan Aya marah sampai begini sekali padanya.

Aya pejam mata sesaat. Sejujurnya perasannya juga terseksa. Lagi-lagi melihat Azriel saat ini.

“Cuba abang cakap dengan Aya, macam mana Aya nak maafkan orang yang dah bunuh anak dia sendiri?”

Azriel terkejut. “A...aya...” Azriel hilang kata-kata. Kepalanya digeleng perlahan. Tidak percaya apa yang keluar daripada mulut isterinya itu.

“Aya tak tahu sama ada lepas ni kita boleh hidup macam dulu atau tak. Tiap kali Aya tengok abang, hati Aya sakit. Aya tak boleh terima dengan apa yang abang dah buat pada anak kita,” ujar Aya lagi. Suaranya kedengaran bergetar. Air mata sudah bertakung di kolam mata. Menanti masa untuk tumpah.

Dia pandang ke arah lain. Tak sanggup nak pandang muka Azriel ketika ini. “Mungkin kita perlu akhiri semua ni...”

“Aya? Aya cakap apa ni? Apa maksud Aya?” Gugup Azriel bertanya.

“Aya rasa lebih baik kita bercerai.”

Pap! Bagaikan ada batu besar yang menghimpap kepalanya ketika ini. “Ya Allah, kenapa Aya?” Bahu isterinya itu digoncang perlahan.

Tangisan Aya pecah. Hatinya remuk bila melihat ada titis jernih mengalir di pipi lelaki itu. Seperti Azriel, dia juga tidak mahu perpisahan ini berlaku. Tapi ini jalan yang terbaik buat mereka.

“Jawab Aya! Kenapa sampai macam ni sekali? Kita boleh berbincang Aya. Berpisah bukan jalan penyelesaiannya.” Digoncang lagi bahu Aya.

“Aya tahu yang abang cintakan Aya kan? Tolong jangan buat abang macam ni. Tolong maafkan abang...” rayu Azriel.

Tangannya naik menekup pipi Aya pula. “Pandang abang. Pandang mata abang. Aya masih cintakan abang kan? Aya tak akan buat abang macam ni kan?”

Aya menepis kasar tangan Azriel. “Aya dah tak nak tengok muka abang lagi.”

“Aya...” Azriel terkesima. Aya yang dia kenal bukan begini. Aya yang dia kenal terlalu mencintainya. Tak mungkin Aya mahu berpisah dengannya.

Azriel meramas kasar rambutnya. “Aya, look. Kita masih boleh berbincang. Abang minta maaf. Abang tak ada niat nak bunuh anak kita. Abang cuma nak selamatkan Aya.”

Aya mengesat kasar air matanya. “Abang sepatutnya biarkan Aya mati sebab sekarang hidup Aya dah tak ada apa-apa erti lagi. Lepaskan Aya. Abang boleh cari kak Zahra semula. Kahwin dengan dia. Macam yang abang impikan selama ni.”

“Aya... Macam mana dengan abang? Aya tak fikirkan perasaan abang? Abang tak ada pilihan Aya! Siapa-siapa pun yang berada di tempat abang akan buat perkara yang sama. Aya tahu tak, betapa susahnya untuk abang buat pilihan antara Aya atau anak kita. Abang akan hilang salah seorang. Abang tak mampu nak selamatkan kedua-duanya. Abang pun sakit Aya! Dan sekarang Aya nak kita akhiri semua ni? Sampai hati Aya...” Tangisan Azriel semakin menjadi-jadi.

“Aya tahu. Aya tahu ini bukan kehendak abang. Mungkin dah tertulis takdir kita sampai di sini saja. Sepatutnya daripada awal lagi Aya tak paksa abang untuk kahwin dengan Aya. Macam abang cakap dulu, sesuatu yang dipaksakan tidak akan berakhir dengan indah...”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience