Bab 3

Romance Series 27583

“ABANG jumpa dulu papa dan Mak Su Hani di dalam rumah, minta izin dengan mereka. Kita ni orang Melayu penuh dengan adat sopan. Dali ke dalam ambil beg dulu,” balas Dalilah penuh sopan. Lebih kepada untuk mengajar lelaki itu sebenarnya.

“Ohh!” balas Airel pendek. Termalu alah seketika.

“Ini kawan baik Dali, yang ini Akmal dan ini Yusri. Mereka akan bawa abang jumpa papa dan Mak Su. Silakan,” minta Dalilah penuh tertib. Matanya seperti memberi isyarat kepada dua sahabat baiknya itu.

Airel sekadar berjabat tangan dengan Akmal dan Yusri lalu mengikut mereka dari belakang. Dalilah geleng kepala. Ini rupanya si penggembala lembu yang menjadi tunangnya. Kelakar. Tak sangka penggembala lembu pakai kaca mata Rayban. Boleh tahan segak juga. Patutlah lembu pandai nak membiak, gelak Dalilah dalam hati.

“Hai, yang tersenyum sorang-sorang ni kenapa?” soal Hilda yang menghampiri Dalilah di kamarnya.

“Hahaha… si penggembala lembu pakai Rayban,” gelak Dalilah terburai juga.

“Maksud kau yang tadi tu tunang kau, si Ahmad tu?” soal Hilda.

“Yalah,” gelak Dalilah masih bersisa.

“Mak aiii… ingatkan tadi abang plumber yang nak betulkan bilik air adik di rumah Hasnah sana. Macam ni saya pun nak bertunang dengan si gembala lembu juga lah,” sakat Hilda.

“Silakan. Silakan,” tawa Dalilah.

Terus tubuh Dalilah dipeluk erat. Hilda yang tadinya ketawa sudah teresak-esak menangis. Rasa kehilangan menerjah hati mereka bila Dalilah dengan rasminya sudah bergelar tunang Ahmad si gembala lembu. Dalilah tenang membalas pelukan teman baiknya itu.

“Shhh… Dali tak ke mana pun. Lepas dua minggu Dali pulang semula ke mari. Inikan rumah Dali. Kau pun dengarkan pertunangan kami diikat selama setahun sebab yang empunya badan ingin mengumpul duit untuk kenduri,” jelas Dalilah.

“Kau tak ada nanti siapa yang nak tolong masakkan untuk kami, adik-adik mesti rindu dengan kau,” esak Hilda semakin sayu.

“Ishhh… mereka sudah biasalah. Kita pun baru saja balik dari Jepun. Empat tahun kita duduk sana. Adik-adik tak bising pun. Kau yang lebih… sudah tu, siapkan diri untuk interviu. Apa-apa nanti call Dali ya.”

Latifah masuk untuk mengajak Dalilah keluar. Si gembala lembu sudah mahu pulang setelah mendapat keizinan daripada Dato Mokhtar dan Mahani.

“Dali, are you serious?” Akmal bangun bersuara. Dalilah tak mungkin akan mengetepikan teman baiknya.

“Betul Akmal, dia tu tunang Dali.” Dalilah meyakinkan Akmal.

“Mamat poyo tu?” Akmal sukar mempercayainya.

“Mamat poyo ke, mamat gebang ke, mamat apa pun. Dia si gembala lembu yang bernama Ahmad. Itulah hakikatnya.”

“Dali, saya tak sedap hati,” bisik Akmal.

“Solat dan doakan yang baik baik saja untuk Dali.”

Dalam kereta Dalilah dan Airel diam saja. Dalilah hanya merenung masa depan yang dia sendiri tidak pasti. Menghadap tunang yang tidak dikenalinya. Kemudian berdepan dengan syarikat yang sudah dipindah milik semua kepadanya. Bagaimana dia ingin pastikan rezeki 55 orang kakitangan di syarikat itu terjamin? Itu semua dugaan berat buatnya.

“Akmal tadi tu siapa? Boyfriend awak ya?” soal Airel sebaik saja kereta berhenti di depan pintu pagar rumah agam di pinggir bandar raya Kuala Lumpur. Dalilah resah bila kereta Kelisa buruk Akmal berhenti di situ.

“Hah!” balas Dalilah tak menyangka itu soalan pertama tunangnya itu.

“Saya tanya Akmal tadi tu boyfriend awak ke?” soal Airel sambil membuka Rayban dari matanya.

“Tak,” jawab Dalilah sambil mengeleng kepalanya.

Sempurnanya wajah si gembala lembu. Kenapalah aku tidak jumpa gembala lembu ni di Jepun sana? Boleh aku tak balik Malaysia dan berdepan dengan semua ini, bisik hati Dalilah.

Pertama kali pandangan mata mereka bertaut. Airel dalam diam tak nak mengaku yang dirinya sendiri sebenarnya terpegun melihat Dalilah sewaktu gadis itu menyapanya di rumah anak yatim tadi. Dalam diam tingkah laku Dalilah diperhatinya. Sopan dan sangat tertib. Jika disarungkan Kimono atau memakai Hanbok pakaian tradisional Korea pasti menyerlah kecantikan Dalilah persis anak Jepun parasnya, fikiran nakalnya sudah muncul.

“Jom kita masuk,” ucap Airel lembut.

“Rumah siapa?” soal Dalilah sangsi.

“Rumah keluarga saya. Awak ada masalah ke?” soal Airel.

“Oh! Tidak,” jawab Dalilah dengan nada yang sedikit mengeletar.

Airel sengih. Naif sungguh Dalilah di mata Airel. Macam gadis kampung pun ada juga. Kalau tidak diberitahu yang Dalilah ini lulusan negara Sakura itu, sampai mati pun Airel tidak akan mempercayainya.

“Ehem, ehem, ehem.” June berdiri di sebelah pintu kereta Dalilah.

“Haaa, jom keluar. Dayang awak dah menunggu tu,” senyum Airel memperkenalkan June pada Dalilah.

Dalilah keluar dengan tertib. June terus memeluk Dalilah dengan erat hingga terbeliak mata Dalilah dibuatnya. Ramah sungguh keluarga tunangnya ini menyambut kedatangannya. Airel membantu membawa beg Dalilah masuk dalam rumah agam.

DI dalam rumah sudah menanti seluruh ahli keluarga besar Airel untuk melihat Dalilah dengan lebih dekat lagi. Semua tidak terfikir Airel akan membuat keputusan yang begitu drastik sekali, bertunang dengan gadis yang dia sendiri tidak pernah ketahui dan temui. Hajat hati nak memperisteri kakak rupanya adik yang menjadi habuannya.

Gaya sederhana Dalilah direnung. Gadis kurus tinggi ini tidaklah setinggi Durrah si model terkenal itu namun cukup sesuai dengan dirinya. Baju kurung dari sutera Cina warna merah begitu menyerlahkan lagi keayuan Dalilah. Rambutnya yang pendek paras bahu lagi membuatkan penampilannya sedap mata memandang. Tanpa sedar sudah lama Airel merenung Dalilah.

“Hai, orang lain pun bertunang juga tapi tak adalah renung tunang sampai macam itu sekali,” sakat Hajah Saodah lucu.

“Satu perkara yang Airel tak pernah kecewa dengan Mak Long. Pilihan Mak Long memang sedap mata memandang…tapi jangan cepat melatah Mak Long. Mungkin perangainya ini kepura-puraan untuk mengaburi mata kita. Apa pun Airel tetap nak dia tahu yang Airel ini pengembala lembu saja,” ucap Airel.

“Suka hati Airellah. Ingat, lusa Dali sudah mula kerja. Macam mana dia nak pergi kerja dari sini. Apa alasan Airel?”

“Airel suruhlah dia bawa kereta Kelisa tu pergi kerja,” jawab Airel mudah.

“Sebuah perhubungan baru perlu wujudkan sikap saling mempercayai. Tindakan Airel ni salah. Tidak baik menghukum Dali sebab Datin Nora tak setuju Airel dijodohkan dengan Durrah,” nasihat Hajah Saodah.

“Sampai sekarang dia tak ambil tahu pun siapa si gembala lembu ni kan, Mak Long?” kesal Airel dengan sikap bakal ibu mertuanya itu.

“Sudahlah tu. Sekarang ini peluang Airel kenal siapa tunang Airel sebenarnya. Riak hati Mak Long yakin sangat dia yang paling layak,” Hajah Saodah menyatakan lagi rasa hatinya.

Dalam diam Dalilah sudah dihurung oleh sepupu Airel yang lelaki mahupun perempuan. Nak pulak yang belajar di negara Sakura sana.

“Tak sangka jumpa Dalilah di sini,” teruja Kistina.

“Saya pun. Kecil rupanya Malaysia ini,” balas Dalilah dalam Bahasa Jepun yang lembut bunyinya.

“Sama cantik dan sama padan,” puji Kistina lagi.

“Jodoh rahsia Allah,” balas Dalilah lembut.

“Selamat datang ke dalam keluarga besar kami, Dali,” ucap Kistina sambil memeluk Dalilah.

“Terima kasih. Maaf boleh tunjukkan saya bilik solat, saya belum asar lagi ni,” bisik Dalilah teragak-agak.

“Tak apa, biar abang yang tunjukkan. Dali jom,” pintas Airel.

Dalilah mengangguk mengikut. Hajah Salmi senyum dalam hati. Dalam degil nak menduga Dalilah, tak sedar sebenarnya diri sendiri sudah lebih dulu ingkar kata tuannya. Hajah Salmi yakin tak sampai seminggu pasti Airel datang bertemu dengannya untuk mempercepatkan tarikh pernikahan yang dikatakan setahun dari tarikh pertunangan mereka.

“Awak, kita solat berjemaah di bilik saya ya,” ajak Airel lembut. Dalilah tersentak, alunan langkahnya terhenti.

“Abang, kita baru bertunang. Belum nikah. Dali rasa kita berjemaah di ruangan yang terbuka lebih sesuai dari dalam bilik abang,” cadang Dalilah yang sudah tak tentu arah hatinya. Airel dalam diam gembira mendengar jawapan Dalilah. Lulus ujian lisan pertama.

“Baiklah. Awak ambil wuduk dulu. Itu bilik awak, bila awak datang ke sini. Saya tunggu di sini. Kita solat sama.”

“Terima kasih. Tunggu Dali ambil wuduk dulu,” ucap Dalilah lembut.

Berlalu saja Dalilah dan pintu bilik tertutup. Airel menari kegembiraan. Dalilah tanpa sedar sudah lulus ujian pertamanya.

Dua hari berada di rumah Hajah Salmi, Dalilah sangat selesa. Kelibat encik tunang yang macam biskut di rumah tidak diendahkan sangat. Dalilah lebih selesa bersama Hajah Salmi di dapur dan di kebun orkidnya. Berbual dengan Hajah Salmi buatkan terubat rasa rindu pada Mahani.

“Ibu, Dali tanya sikit ibu jangan marah ya?” soal Dalilah yang inginkan kepastian.

“Tanyalah?”

“Kenapa ibu pilih Dali sebagai calon menantu ibu? Padahal ibu jumpa Dali pun tak pernah.”

Hajah Salmi senyum manis. Polos sungguh soalan Dalilah. Bagaimana hati tua ini tidak terpaut. Lebih dari itu pun dia mampu lakukan.

“Nama Dali sendiri pun sudah buatkan ibu teruja nak kenal bagaimana orangnya. Bila dah menatap wajah dan berjumpa dengan orangnya. Ibu cukup yakin Dalilah calon yang sesuai untuk Ahmad” jelas Hajah Salmi.

“Soalan Dali tadi ibu tak jawab sepenuhnya...Dali hairan bagaimana ibu boleh tahu yang Dali ini anak Dato Mokhtar?”

“Oooo itu rupanya. Sebenarnya mama Dali selalu datang rumah Mak Long untuk belajar fardu ain. Mak Long rapat dengan Mama Dali. Ahmad ternampak Durrah satu hari. Dia yang menyuruh Mak Long pergi merisik Durrah untuknya. Namun, mama Dila khabarkan pada Mak Long yang Durrah sudah berpunya dan sekiranya Mak Long sudi mama Dali cadangkan Dali sebagai ganti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience