PELBAGAI kenderaan berpusu-pusu di atas jalan raya. Kesibukan lalu lintas menyebabkan aliran trafik bergerak perlahan. Dalam mengharungi kesesakan tersebut, Shahira tetap tenang memandu walaupun kepenatan. Perjalanan jauh yang ditempuhnya untuk kembali ke kota raya langsung tidak melunturkan semangatnya yang sedang berkobar-kobar kerana kegembiraan. Bersama gadis itu di dalam kenderaan pacuan empat rodanya, Rizal dan Amira turut menemani kepulangannya.
Shahira sudah tidak sabar untuk mempertemukan kembali Rizal dan ibubapa mereka. Di fikirannya, dia sudah dapat membayangkan kebahagiaan dan senyuman orang tuanya apabila bertemu dengan abangnya nanti. Lebih mengujakan, ibubapa mereka juga akan menyambut kehadiran menantu perempuan mereka. Shahira yakin, dengan keperibadian yang dimiliki Amira, ibubapanya dengan senang hati akan menerima kakak iparnya itu. Apatahlagi Amira itu adalah orang yang bertanggung jawab menjaga dan merawat Rizal selama lelaki itu sakit dan kehilangan ingatan. Wanita itu pasti akan dianggap sebagai penyelamat keluarga mereka. Penyelamat legasi empayar konglomerat milik keluarga mereka.
Setelah berlegar di kawasan bandar raya yang penuh sesak, Shahira melencongkan kenderaannya memasuki satu lorong. Mata Amira membuntang luas apabila melihat kawasan sekitar yang lapang. Di tepi jalan, tersusun beberapa pohon besar yang menaungi. Selepas susunan pokok-pokok yang merendang, terdapat pula pokok-pokok bunga yang pelbagai jenis dan warna menghiasi pemandangan. Amira terpukau melihat keindahan persekitaran tersebut. Namun yang lebih mengejutkan wanita itu, di hujung lorong tersebut, terlihat sebuah rumah agam yang sangat indah bak istana.
"Kita..kita nak kemana ni?" Amira menjadi cemas dengan tiba-tiba. Perasaannya mulai berasa tidak enak.
"Balik rumah la.. dah sampai pun.." Shahira yang sedang memandu menjawab sambil tersenyum. Matanya sempat mengerling ke cermin pandang belakang untuk melihat reaksi kakak iparnya yang sedang duduk di kerusi penumpang bahagian belakang.
"Mama dengan Papa tinggal kat sini? diorang orang gaji kat rumah tu ke?" Amira yang polos masih tidak mengerti. Pada fikirannya, dia masih percaya keluarga Rizal itu adalah orang miskin.
"Orang gaji? hahaha.." Shahira yang tersentak dengan pertanyaan kakak iparnya segera menghamburkan tawa. Gadis itu baru sedar jika kakak iparnya masih tidak tahu identiti sebenar suaminya.
"Diorang bukan orang gaji ke? Dulu Rizal kerja sebagai cleaner sebab nak tampung kehidupan keluarga dia.." Amira masih tertanya-tanya.
Shahira mengulum senyum. Dia benar-benar geli hati dengan pemikiran naif Amira. Namun dia sama sekali tidak menyalahkan kakak iparnya itu di atas ketidak tahuannya. Dia meyakini sifat jujur dan polos kakak iparnya. Padahal mentuanya adalah antara orang terkaya di dalam negara, namun Amira masih tidak tahu. Shahira sengaja mendiamkan diri dan ingin kakak iparnya itu mengetahui dengan sendiri sebentar lagi.
Sampai di kawasan parkir, Shahira memberhentikan kenderaannya. Rizal masih mendiamkan diri sambil melihat-lihat keadaan sekitar. Dia berharap, terdapat sesuatu yang berada disana, akan mampu mengembalikan ingatannya. Amira pula semakin terpukau melihat kemegahan rumah agam di depan matanya sehingga mulutnya terlopong.
"Jom, kita masuk dalam rumah." Shahira mengajak abang dan kakak iparnya untuk masuk ke rumah agam tersebut.
"Ini.. rumah siapa sebenarnya?" Amira terpaksa meluahkan persoalan yang bermain dimindanya.
"Ini rumah kita la.. mama dan papa tinggal kat sini.." Shahira menjawab dengan lembut. Dia tahu kakak iparnya itu sedang keresahan. Namun dia tidak ingin segera mendedahkan identiti bapa mereka kerana tidak mahu kakak iparnya itu terlalu terkejut. Biarlah kakak iparnya itu tahu sendiri setelah berjumpa dengan orang tua mereka nanti.
"Siapa sebenarnya Papa dan Mama?"
"Jom masuk dulu.. dah jumpa diorang nanti, akak akan tahu la.." Shahira masih tidak ingin memberi penjelasan.
Amira tiada pilihan. Dia terpaksa menuruti kata-kata Shahira. Mereka bertiga kemudian segera berjalan menuju ke arah pintu masuk utama ke rumah agam tersebut.
Masuk ke ruang tamu, mata Amira terbuntang luas. Mulutnya terlopong melihat keindahan di dalam rumah. Susunan perabot yang terdiri daripada kayu yang berkualiti dan indah, sudah semestinya mahal harganya memikat pandangan. Cahaya daripada chandelier yang tergantung bersinar, menambah kekaguman Amira. Ruang tamunya sangat luas, bahkan lebih besar daripada saiz rumah neneknya di kampung. Permaidani yang terhampar terasa lembut dan nyaman saat dipijak pada tapak kakinya. Malah udara di dalam rumah itu juga terasa nyaman untuk disedut, ditambah hawanya yang dingin kerana penghawa dingin yang sentiasa terpasang. Tidak pernah terlintas difikiran Amira jika dia akan berada di tempat yang indah dan mewah sebegitu.
"Assalamualaikum.. Papa.. Mama.. Ira dah balik!.." Laung Shahira.
Beberapa saat kemudian, Tan Sri Hanafi muncul dan menuju ke ruang tamu.
"Haa.. dah sampai pun anak papa.." Tan Sri Hanafi tersenyum melihat ke arah anak gadisnya. Pandangannya tertumpu ke arah Amira dan masih tidak perasan dengan keberadaan Rizal dan Amira yang berdiri sedikit jauh beberapa kaki dari Shahira.
"Ni.. Ira bawa balik surprise untuk papa.." Shahira tersenyum girang. Dia tidak sabar untuk melihat ekspresi bapanya.
"Surprise apa? Ira bawa balik calon menantu papa ke?" seloroh Tan Sri Hanafi.
"Tengok la.. bukan calon menantu.. tapi menantu dan anak kesayangan papa.." Shahira semakin melebarkan senyumannya sambil berpaling ke arah Rizal dan Amira.
Tan Sri Hanafi turut berkalih pandangn ke arah pandangan anak gadisnya. Tiba-tiba lelaki tua itu tergamam. Satu susuk yang sangat dirindukannya kini terlihat jelas, berdiri di depan matanya. Air matanya mula bergenang. Namun lelaki itu masih cuba menahan agar bendungan pada kelopak matanya tidak pecah.
"Ya Allah.. Riz.. ke mana kau pergi selama ni?" Tan Sri Hanafi bergegas mendapatkan Rizal. Anak lelakinya itu dipeluk dengan erat. Akhirnya bendungan matanya sudah tidak mampu ditahan lagi. Lelaki itu terpaksa akur dan membiarkan air matanya tumpah membasahi pipi tuanya.
Melihat susuk Tan Sri Hanafi, Amira turut tergamam. Dia mengenali lelaki tersebut. Dia pernah melihat beberapa kali wajah lelaki itu di kaca televisyen dan akhbar selama ini. Melihat reaksi Amira, Shahira segera mendekati kakak iparnya itu. Dia tahu kakak iparnya sedang diserang kejutan setelah melihat bapa mereka.
"Dia..dia.. Tan Sri Hanafi.. ahli korporat dan jutawan.. termasuk dalam sepuluh orang terkaya dalam negara.." Amira memandang ke arah Shahira dengan pandangan yang tidak percaya.
"Dia la papa kita.. bapa mentua akak.." Shahira memberi penjelasan dengan seulas senyuman.
"Hasrizal Hanafi.. anak Tan Sri Hanafi.." Bibir Amira bergerak perlahan menyebut nama penuh suaminya. Dia masih tidak percaya jika bapa suaminya adalah antara orang terkaya di dalam negara. Dirinya adalah menantu seorang jutawan terkemuka. Amira perlahan-lahan berundur ke belakang. Dia seolah tidak dapat menerima hakikat yang sedang terbentang di depan matanya. Dirinya terasa kerdil dan tidak layak bersama keluarga tersebut. Lutut Amira mula terasa lemah. Tanpa di sangka, wanita yang sedang berundur itu kemudian rebah ke sofa yang berada di belakangnya. Wanita itu kaku ditempatnya. Matanya yang memandang ke arah Rizal dan Tan Sri Hanafi kini mula dijatuhkan, menatap ke arah lantai yang dilapisi permaidani merah.
"Ini.." Tan Sri Hanafi melepaskan pelukan terhadap Rizal setelah menyedari keberadaan Amira. Wajah gadis itu terlihat kebingungan dan kaku.
"Ini isteri saya.. Amira.." Rizal memperkenalkan Amira kepada bapanya. Namun pandangan lelaki itu sendiri masih kosong terhadap Tan Sri Hanafi. Dia masih tidak mengingati susuk yang dikatakan sebagai bapanya itu.
"Kak Amira ni la yang selamatkan abang Riz masa kemalangan dulu.. dia yang jaga dan rawat abang Riz selama dua tahun lebih ni.. sebab nak memudahkan dia jaga abang Riz, mereka kahwin untuk halalkan hubungan mereka." Shahira pula menambah informasi. Tan Sri Hanafi bergegas menuju ke arah Amira yang terduduk di sofa.
"Terima kasih.. terima kasih sebab dah jaga Rizal selama ni.." Ucap Tan Sri Hanafi dengan penuh ikhlas. Namun lelaki itu mula merasa aneh apabila melihat wajah Amira yang sugul.
"Kenapa nampak sedih? Tak suka ke jumpa dengan papa?" Tan Sri Hanafi meluahkan rasa setelah melihat wajah suram menantunya.
Mendengar kata-kata lelaki di hadapannya, Amira segera menggelengkan kepala. Dia memaksakan dirinya untuk tersenyum walaupun terlihat hambar. Dia tidak tegar untuk membiarkan tokoh di depannya itu terasa hati dengan tindakannya.
"Pa.. Kak Mira masih terkejut bila tengok papa.. dia mana tahu papa tu mentua dia.. kalau dia tahu, dah lama dia hantar abang Riz balik sini.." Ujar Shahira.
Tan Sri Hanafi segera menempatkan punggungnya di sofa, tepat di sebelah Amira. Lelaki itu kemudian lantas memegang tangan menantunya.
"Jangan risau.. papa tak makan orang.. terima kasih sebab dah jaga Riz selama ni.. papa tak tahu macam mana nak balas budi menantu papa ni.. bahagianya papa.. dapat menantu cantik macam ni.." Tan Sri Hanafi cuba mengambil hati menantunya. Dia tahu perempuan muda itu masih kekok dan terkejut setelah melihat dirinya. Sebagai seorang ahli korporat yang mempunyai empayar yang besar, dia yakin anak menantunya itu sudah mengenali latar belakang dirinya.
Mendengar ucapan bapa mentuanya, Amira sedikit senang. Kerisauannya semakin reda. Namun dia masih menyimpan keraguan untuk bersama keluarga suaminya. Dunia mereka tidak sama. Darjat dan harta mereka jauh berbeza, ibarat langit dan bumi.
"Tapi.. kalau pun dah kahwin, kenapa Riz tak balik ke sini? Dah dua tahun lebih papa cari.. takkan Riz marahkan papa sampai taknak balik jumpa papa dah?" Tan Sri Hanafi mula mempersoalkan mengenai kehilangan anaknya itu.
"Papa.. abang Riz.. selepas kemalangan dulu, dia dah hilang ingatan.. dia tak tahu siapa diri dia.. nasib baik ada Kak Mira je yang kenal dia masa tu.. tapi kak Mira pun tak tahu pasal latar belakang abang Riz.. Dia dah cari rumah kita berdasarkan alamat kat IC abang.. tapi IC abang tu masih pakai alamat rumah lama kita dulu.. sebab tu dia tak jumpa kita.." Shahira terpaksa berperanan sebagai jurucakap bagi abang dan kakak iparnya.
"Hah, hilang ingatan? Jadi Riz tak kenal la papa?" Tan Sri Hanafi terkejut. Rizal hanya menggelengkan kepala sebagai menjawab pertanyaan bapanya itu.
"Allahurobbi... semua ni salah papa.. kalau la papa tak paksa Riz pergi sana dulu, semua ni takkan jadi.." luahan kesal Tan Sri Hanafi.
"Papa.. dah la.. jangan la duk salahkan diri papa.. semua ni dah Allah dah takdirkan.. Kalau papa tak hantar abang Riz ke sana dulu, mesti papa takkan dapat menantu cantik dan baik macam Kak Mira ni.."
"Paksa Rizal?" Amira bingung seraya mengerutkan dahi. Pandangan matanya lurus menuju ke arah wajah bapa mentuanya di sebelah.
"Dulu Papa yang paksa Rizal untuk kerja kat syarikat Jentayu Emas.. Papa nak dia belajar dan ambil alih Jentayu Emas dulu sebelum dia ambil alih seluruh perusahaan dibawah THL Global Group.. tapi sebab Rizal ni dulunya sombong dengan harta kekayaan, Papa suruh dia jadi cleaner dulu.. Papa nak dia rasa macam mana orang dibawah tu rasa..papa ugut dia, kalau dia tak berjaya jadi cleaner selama enam bulan, dia tak layak mewarisi harta papa.. Papa buat semua tu untuk ubah dia menjadi lebih baik je.. bukan untuk buat zalim kat anak sendiri.." Tan Sri Hanafi menceritakan semula situasi yang telah berlaku lebih dua tahun yan lalu.
Amira terlopong. Kini barulah dia mengerti mengapa Rizal dahulunya bekerja sebagai seorang pekerja kebersihan, satu pekerjaan yang jarang dilakukan oleh generasi muda. Rupa-rupanya dia telah tersalah anggap mengenai keperibadian Rizal selama ini. Ternyata lelaki yang dianggapnya merendah diri itu sebenarnya adalah seorang anak jutawan yang angkuh dan sombong dengan hartanya.
"Ta..tapi.. Rizal tak macam tu pun.. dia lelaki yang baik.. dia suka berusaha dan suka bantu orang lain.. waktu saya susah dan ditindas kat pejabat dulu pun, dia je yang akan tolong saya.. siang hari dia jadi cleaner..dia bekerja dengan baik.. balik kerja, dia masih berusaha untuk jual burger.. sampai sekarang pun, dia masih suka tolong orang lain.. dia berkebun untuk mudahkan orang kampung beli sayur dengan murah.. dia tolong saya berniaga.. sampai kami dah ada restoran sendiri sekarang.." Amira menerangkan keperibadian Rizal dari sudut pandangan matanya.
Tan Sri Hanafi tersentak. Kata-kata menantunya membuatkan lelaki itu tergamam. Ciri-ciri keperibadian Rizal yang disebut oleh menantunya sama sekali bukan sifat asli anak lelakinya itu.
"Ja..jadi.. Rizal.. Rizal benar-benar dah berubah?.. Alhamdulillah.. Ya Allah.. kau makbulkan juga doa aku selama ni.." Tan Sri Hanafi mengucapkan syukur seraya mendongakkan kepalanya. Tangannya ditadah lalu diraup ke wajahnya. Suasana menjadi hening seketika. Rizal pula masih berdiri dalam keadaan kebingungan. Dia sendiri tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh bapanya itu.
"Hmm, dari tadi Ira nak tanya.. mama kat mana?" Shahira kembali bersuara.
"Huh, Mama kau macam biasa la.. sibuk dengan persatuan wanita dia tu.. kejap lagi balik la tu.." balas Tan Sri Hanafi. Terlihat riak tidak senang pada wajahnya. Sepertinya lelaki itu tidak suka dengan aktiviti yang sering disertai oleh isterinya sehingga sentiasa terlihat sibuk dan jarang berada dirumah.
Share this novel
alhamdulillah dah jumpa keluarga rizal...