BAB 1

Romance Series 98754

BUK!

Penumbuk padu itu melayang mengenai batang tubuh lelaki kurus yang terlentang di lantai. Dia menjerit kesakitan. Mukanya sudah dipenuhi lebam-lebam kebiruan. Bahagian tubuh yang lain juga luka dan berdarah.

“Tolong… tolong lepaskan adik saya! Tolonglah!”

Elana merayu dengan bersungguh-sungguh sambil merentangkan kedua tangannya di hadapan tubuh si adik yang terbaring lemah tidak berdaya.

“Adik kau ni berhutang dengan kami. Dua puluh ribu Ringgit! Kalau kau nak kami lepaskan, kau bayar semua hutang tu!!” Salah seorang lelaki yang memukul itu bersuara.

“Tapi, saya tak ada duit sebanyak itu sekarang. Saya boleh bayar hutang tu ansur-ansur.” Elana cuba membuat tawaran.

Serentak itu lelaki dalam kumpulan gangster berkenaan ketawa. Terbahak-bahak.

“Ansur-ansur? Oii cik kak. Kau ingat ini hutang beli mesin basuh ke?? Lain kali suruh adik kau yang bodoh dan bengap tu fikir dulu sebelum nak berhutang!”

Elana memandang ke wajah adiknya. Dia sendiri sudah buntu memikirkan penyelesaian. Jika tidak dilunaskan hutang tersebut, maka mereka berdua akan terus berada di situ dan tidak akan dilepaskan.

Sebetulnya Elana tiba di lorong belakang bangunan lama yang sunyi dan gelap itu setelah adik tirinya Rafeq menelefon meminta tolong. Menurut Rafeq dia ditangkap oleh kumpulan kongsi gelap kerana tidak mampu membayar hutang.

Elana tidak pernah tahu yang selama ini Rafeq dengan berani meminjam wang daripada ‘Ah Long’ semata-mata untuk membeli motosikal idaman dan telefon pintar canggih. Gila! Tak pasal-pasal sekarang ni dia terlibat sekali.

“Kak, jom kita lari…”

Rafeq yang hujung bibirnya sudah pecah berdarah itu berbisik perlahan ke arah kakaknya. Tak sanggup lagi dia berada di situ lebih lama.

Ikutkan hati memang Elana nak lari sahaja dari tempat itu. Tapi, melihat muka bengis lelaki-lelaki kumpulan kongsi gelap itu, perasaan takut dan gementar menguasai diri. Bimbang jika lelaki-lelaki itu dapat mengejar dan kemudian membunuhnya pula. Ngeri!

“Encik, tolonglah lepaskan kami. Adik saya tak sengaja. Dia baru 17 tahun. Dia tak tahu apa-apa. Dia akan berikan motosikal dan telefon yang dia beli gunakan duit pinjaman tu kepada encik. Kita anggap hal ni selesai ya.”

Elana cuba berdiplomasi walaupun tidak yakin dengan tindakannya. Mana tahu kalau lelaki-lelaki ini boleh menerima alasannya.

Rafeq pula mempamer reaksi muka cemberut. Tidak bersetuju dengan cadangan kakaknya walaupun sedar bahawa nyawa mereka berdua sedang berada di hujung tanduk waktu ini.

Sekali lagi kata-kata Elana disambut gelak tawa mereka semua. Perempuan ini begitu melucukan. Terlalu naif. Dia ingat tengah buat tawaran dengan budak-budak ke??

Kebetulan waktu itu seorang lelaki bertubuh tegap yang sejak tadi berada di dalam kereta Honda Civic Type R tidak jauh dari situ menghampiri mereka. Lelaki itu sebetulnya adalah ketua kepada kumpulan gangster itu. Dia bengang dengan kerenah anak buahnya yang lembab nak uruskan seorang mangsa yang cuma budak sekolah hingusan.

“Apahal lambat sangat ni hah??!” Lelaki itu membentak.

Lantas anak buahnya seramai tiga orang itu berpaling.

“Ni bos. Budak ni janji nak bayar hari ni. Patutnya dia bayar kita RM20,000. Tapi, dia bawa RM200 saja hari ni.”

Lelaki itu bercekak pinggang sambil merenung ke arah Rafeq yang masih terbaring di lantai. Dan kemudian pandangannya dihala pula ke arah Elana. Sempat keningnya terjongket. Cantik dan manis perempuan ini.

“Encik bos, maafkan adik saya. Tolong lepaskan kami. Saya janji akan bayar semula semua hutang dia. Beri saya sikit masa untuk dapatkan wang tu. Tolong~” Elana merayu bersungguh-sungguh sambil berlutut di hadapan lelaki itu.

Lelaki si ketua gangter itu bercekak pinggang sambil mendengus nafas. Raut Elana masih menjadi santapan mata nakalnya. Lantas dituturkan satu arahan yang tiba-tiba sahaja melintas di dalam otak.

“Kau kakak dia? Okey, kau ikut kami. Kau akan jadi ‘cagaran’ sebab adik kau tak mampu bayar hutang.”

Elana melopong. Perkataan ‘cagaran’ membuatkan dia diserang ketakutan. Kepalanya digeleng laju ingin membantah.

“Encik tolong… jangan buat macam ni. Saya janji akan selesaikan hutang tu. Tolong…” Elana masih terus merayu.

Sebaliknya dua orang lelaki dalam kumpulan itu terus memaut tubuh Elana dan dipaksa menuju ke kereta Honda Civic yang terparkir di tepi lorong.

Elana cuba melawan dan meronta. Namun, pegangan lelaki-lelaki itu di tubuhnya cukup kuat sehingga dia tidak dapat melepaskan diri.

“Rafeq!!!”

Elana menjerit memanggil adiknya sambil menggawang tangan meminta tolong.

“Akak!!!”

Rafeq menjerit semula. Namun, kondisi tubuhnya yang kesakitan akibat dibelasah tadi menghalang untuk dia bangun membantu.

Tanpa mempedulikan Rafeq yang tercedera, para lelaki kumpulan gangster itu menolak tubuh Elana masuk ke dalam kereta dengan kasar. Elana meronta-ronta bersama tangisan mahu melepaskan diri. Tetapi, dua lelaki bertubuh sasa di kiri dan kanan memegang tubuhnya dengan kuat tanpa ada peluang untuk dia meloloskan diri.

Lelaki si ketua gangster tadi pula menghampiri Rafeq yang terbaring di lantai. Dia mencampak wang RM200 yang diberikan oleh Rafeq mula-mula tadi.

“Ambil balik duit kau. Pastikan kau tutup mulut kalau nak kakak kau selamat. Kalau tak kau tunggu mayat kakak kau di sini esok. Faham??!”

Lelaki itu mengugut sebelum menyepak terajang tubuh Rafeq sekali lagi.

Dalam ketakutan Rafeq mengangguk akur. Dia hanya mampu melihat tanpa dapat berbuat apa-apa saat kereta putih yang membawa kakaknya pergi menghilang dalam suasana pekat malam tidak lama kemudian.

DUA puluh minit kemudian, kereta yang membawa Elana tiba di bangunan yang menempatkan sebuah pusat hiburan eksklusif. Elana diheret dan dipaksa mengekori para lelaki gangster tadi ke dalam. Tubuhnya masih dipegang kuat oleh mereka. Tidak ingin perempuan itu mempunyai peluang untuk melarikan diri.

Jantung Elana sedang berdegup kencang bagai dipalu kuat. Matanya meliar memerhati tempat itu dalam ketakutan. Tidak dapat membayangkan apakah yang akan berlaku sebentar lagi.

Adakah dia akan dikurung? Dibunuh? Dikerat empat belas? Dibuang ke dalam laut? Atau dir*gol? Ah, tak sanggup Elana bayangkan semua itu. Tidak!!!

“Encik, tolong lepaskan saya… tolonglah…” Elana masih terus merayu dalam tangisan yang berhamburan.

“Hei! Kau diamlah! Kami nak bawa kau mengadap ‘big boss’ dulu.“ Lelaki itu membalas semula dalam nada kasar.

Wajah Elana sudah tidak keruan. Siapakah ‘big boss’ yang dimaksudkan itu??

Lif yang dinaiki mereka berhenti di aras kelima belas bangunan tersebut. Tubuh Elana didorong mengekori para lelaki gangster berkenaan ke sebuah bilik hiburan VIP. Sebaik pintu bilik itu dibuka, tubuh Elana ditolak dengan kasar ke dalam.

Sedang menanti di dalam bilik itu adalah lelaki-lelaki berpenampilan segak dan bergaya sedang duduk di sofa-sofa empuk sambil dihiburkan oleh para gadis seksi dalam pakaian singkat yang ‘mengghairahkan’. Suasana bilik itu sangat bising dengan bunyi muzik kuat yang bergema. Selain bau kurang enak dari asap rokok dan curut yang berkepul serta bau minuman keras yang meloyakan.

Para lelaki VIP yang berada di sofa itu kemudian saling memandang ke arah Elana dengan mimik muka yang terpegun. Renungan mata masing-masing sudah seperti ‘haiwan buas’ yang kelaparan.

Ketakutan Elana semakin bertambah. Teramat gementar. Dia menelan liur sambil berdoa di dalam hati agar seseorang akan muncul untuk menyelamatkan dirinya dan membawa dia keluar dengan segera dari tempat ini. Namun, adakah doanya akan dimakbulkan dalam situasi genting seperti ini?

“Boss!”

Lelaki yang membawa Elana memaklumkan kepada salah seorang lelaki lain berbangsa Cina dalam sut korporat yang berada di tengah sofa panjang sedang diapit dua orang gadis seksi. Lelaki di sofa itu adalah ‘big boss’ atau ketua sebenar mereka.

“Who’s this?”

Si ‘big boss’ bertanya sambil menjungkit kening. Tangannya masih memaut tubuh lentik dua gadis yang sedang meliuk-lentok di sisinya.

“Perempuan ni adik dia tak mampu bayar hutang kita, boss. 20 ribu. So, kami ambil kakak dia ni sebagai cagaran.”

Si big boss mengangguk-angguk sambil tersenyum sinis. Bijak anak buahnya. Dia lantas teringat akan salah seorang ‘peminjam’ wang yang dimaksudkan itu.

“Ahh itu budak sekolah yang pinjam mau beli handphone sama motor kan?”

“Betul, bos. Budak tu. So, bos nak kami buat apa pada perempuan ni?”

Lelaki ‘big boss’ itu lantas melepaskan pautannya ke pinggang gadis-gadis penghibur seksi di sisinya. Dia bangun menghampiri Elana lalu menelek ke muka gadis itu. Polos. Suci. Cantik. Menarik. Dan dia sendiri tertarik.

Bukan itu sahaja, berdasarkan reaksi Elana sekilas pandang pun dia sudah tahu yang gadis ini belum pernah ‘disentuh’. Kepalanya diangguk beberapa kali bersama sengihan yang menyeringai.

Elana yang berdiri setentang lelaki itu menggenggam kedua belah jemari. Cuba bertenang walaupun dadanya terasa ingin pecah dek kerana debaran yang sedari tadi tidak berhenti.

“Buka baju you!” Dengan selamba si ‘big boss’ memberi arahan kepada Elana.

Bebola mata Elana terus membesar. Seraya digeleng laju kepalanya sambil menyilang kedua belah tangan di depan tubuh. Tidak-tidak. Dia tidak akan melakukan perkara itu!

“Jangan! Tolong jangan apa-apakan saya. Saya janji akan langsaikan hutang adik saya tu secepat mungkin. Tolong…”

Si big boss berdesis. Tidak mahu mendengar suara rayuan gadis itu. Hidangan ‘enak’ sudah tersaji di depan mata. Takkan dia nak lepaskan begitu sahaja?

“Kalau you tak mau buka baju tak apa. It’s okay. Biar orang-orang I bukakan untuk you ya.”

Sambil menjungkit kening si big boss memberi arahan kepada orang-orang suruhannya untuk bertindak. Lalu tiga orang lelaki tadi menghampiri Elana bersedia untuk menurut arahan yang diberikan bos mereka. Manakala para pengunjung lain yang berada di ruang bilik itu sekadar tertawa menonton adegan tersebut.

Elana berusaha mengelak dan menepis tangan-tangan mereka yang ingin menyentuh tubuhnya. Dia bergelut dengan lelaki-lelaki itu. Suara esak tangisan dan rayuannya meminta tolong bersaing dengan suasana bising muzik yang bergema di bilik tersebut.

“Tolong, tuan… tolong jangan apa-apakan saya… saya janji akan bayar semula semua duit tu… tolong lepaskan saya…”

Elana malah berlutut di lantai merayu dengan bersungguh-sungguh agar permintaannya didengari lelaki ‘big boss’ itu.

Sebaliknya lelaki itu tidak peduli. Rayuan Elana dipandang sepi. Dia hanya tertawa seronok melihat seorang perempuan lemah sedang merayu bagaikan hamba di kakinya.

“Adik you hutang manyak sama I lor. Kalau bukan you bayar dengan you punya body, habis you mau bayar guna apa? Ini saja cara paling easy maa. Lepas you layan I ini malam I anggap semua settle aaa. Tapi, you kena janji kasi ‘servis’ terbaik sama kita semua di sini okey,” ujar si big boss dalam suara tawa berterusan.

Elana tetap menggelengkan kepala bersama tangisan. Dia tidak tahu bagaimana lagi caranya untuk keluar dan melarikan diri dari tempat itu. Malam yang cukup sengsara buatnya apabila tanpa sengaja terjerumus ke dalam semua ini hanya disebabkan kesalahan yang dilakukan oleh orang lain.

Di tengah suasana bising dan ribut itu, tiba-tiba seseorang yang sedari tadi sekadar duduk menjadi pemerhati di hujung sofa bangun dan merapati lelaki yang bergelar ‘big boss’. Tidak tega dia melihat gadis polos di hadapan mereka itu menangis teresak-esak.

“Leonard…”

Suara lelaki muda berpenampilan segak itu mengalihkan pandangan dan perhatian si big boss termasuk yang lain.

“I’ll pay for her. And she’s mine,” ucapnya penuh makna.

Si big boss sedikit tersentak dengan bicara lelaki yang merupakan salah seorang kliennya itu. Tidak menduga tiba-tiba dia akan ditawarkan sedemikian. Perbincangan bisnes mereka sebentar tadi pun masih belum habis.

“Tengku Eidrees. Are you sure? She’s not your type.”

Sebagai teman yang sudah agak lama saling mengenali, dia tahu perempuan jenis apa diminati dan dimahukan lelaki itu. Bukan jenis yang ‘baik-baik’ dan polos sebegini.

Sebaliknya Tengku Eidrees hanya tersenyum. Riak mukanya tenang dan bersahaja.

“Well, malam ni I nak cuba ‘type’ yang lain pula. Why not.”

Si big boss tersenyum lebar. Tanpa sebarang bantahan dia terus mengangguk bersetuju. Dia tidak ingin menghampakan permintaan klien besarnya itu. Rugi peluang bisnes yang akan dilabur bersama lelaki itu kelak.

“Then, okay. She’s yours. I anggap hutang dia settle.”

Tengku Eidrees dan si big boss yang disapa sebagai Leonard saling berjabat tangan. Mereka bagaikan baru selesai membuat satu urusniaga. Ya, urusniaga ‘menjual’ seorang perempuan yang tersepit dan menjadi mangsa keadaan.

Leonard kemudian berpaling semula ke arah Elana.

“Okey. Hutang adik you I kira settle. You boleh ikut ini Tengku Eidrees. You sekarang milik dia,” ujar Leonard kepada Elana.

Wajah lelaki muda bernama Tengku Eidrees itu direnung Elana. Dia tidak pasti sama ada harus berasa lega atau tidak dengan situasi tersebut. Namun, jauh di sudut hatinya Elana bersyukur serta berterima kasih kepada lelaki itu kerana telah menjadi ‘penyelamat’ yang akan membawanya keluar dari ‘neraka’ sementara tersebut.

Melalui isyarat tangan Tengku Eidrees mengarahkan Elana menurutinya.

“Ikut aku.”

Dalam pasrah Elana mengekori Tengku Eidrees meninggalkan ruang kamar hiburan VIP berkenaan. Berharap semoga semua sengsara yang berlaku malam ini akan berakhir dengan baik. Tapi, benarkah begitu?

Hai semua. Terima kasih berkunjung ke novel ini.

Share this novel

EmNatrah
2025-02-11 00:13:17 

hihihi ..best ...nasib x jd lauk ..Mr Leonard

Nina anggara
2025-02-07 19:34:54 

lanjut bab 2


NovelPlus Premium

The best ads free experience