JA : BAB 2

Romance Series 6467

BUNYI ketukan halus di muka pintu bilik memecah keheningan, menyedarkan Joshua daripada lamunan yang panjang. Dia mendengus perlahan, menggoyangkan kepala seolah-olah mahu mengusir bayangan silam yang sering menghantuinya.

Dua dekad telah berlalu, namun memori itu tetap segar, menikam fikirannya setiap kali dia cuba melupakan. Kini, dia bukan lagi kanak-kanak yang lemah dan mudah dilukai. Tapi dia sudah dewasa, seorang lelaki yang disegani dan digeruni, ketua penting dalam kumpulan mereka.

“Masuk,” ujarnya perlahan, namun nada itu jelas berwibawa.

Pintu dibuka, dan seorang pengawal berdiri tegak di hadapannya, menunjukkan wajah penuh hormat.

“Tuan, Tuan Besar Alessandro akan mengadakan mesyuarat penting di rumah agam petang ini,” lapornya dengan suara tegas.

Joshua mengangguk sedikit, namun pandangannya masih terpaku pada jendela, menikmati panorama kota yang sibuk.

“Ada dia pesan apa-apa lagi?” tanyanya tanpa berpaling.

“Tuan Besar pesan supaya tuan bersiap sedia dan mengemas pakaian dengan segera. Tuan akan ditugaskan ke cawangan baru bermula minggu depan.”

“Hmmm…”

Joshua menggumam, memikirkan arahan tersebut sejenak.

“Siapkan kereta.”

“Baik, tuan.”

Pengawal itu melangkah keluar meninggalkan Joshua sendirian. Dia menghela nafas panjang sebelum bergerak perlahan ke bilik mandi. Sebaik kepala paip diputar, air hangat mula mengalir, membasahi tubuh tegapnya. Hembusan wap panas memenuhi ruang bilik mandi, menenangkan fikirannya yang kusut. Untuk seketika, bayangan masa lalu yang sering menghantui mula pudar, larut bersama titisan air yang mengalir.

Keluar dari bilik mandi, Joshua mendekati cermin besar di bilik pakaiannya. Wajahnya yang maskulin dengan garis-garis matang mencerminkan seorang lelaki yang telah melalui banyak cabaran hidup. Matanya tertumpu pada parut lama di dadanya, kesan luka yang menjadi peringatan abadi tentang tragedi lampau. Parut itu kini dilitupi dengan tatu singa, yang melambangkan kekuatan dan dendam yang terpendam dalam dirinya.

Dia mencapai kemeja hitam berkancing penuh dan seluar slack rona sama dari dalam almari, menyarungkannya dengan gerakan tenang tetapi penuh ketelitian. Rambutnya yang masih basah dilap dengan tuala sebelum disisir rapi ke belakang, menyerlahkan wajah tampannya. Akhir sekali, semburan Amouage Interlude Man melengkapkan auranya yang berkuasa, berkarisma, dan mengancam.

“Hantar semua barang-barang aku terus ke villa di sana. Aku akan berangkat ke rumah agam petang ini juga,” katanya kepada pembantu peribadinya yang berdiri di luar bilik menanti arahan.

“Baik, tuan. Aku akan pastikan semuanya selamat tiba di sana,” balas Ray dengan penuh taat.

“Bagus,” ujar Joshua ringkas, tanda keyakinan pada kecekapan anak buahnya.

Joshua melangkah keluar, menuju ke lobi di tingkat bawah. Ketika kakinya menjejak lantai marmar yang dingin, mata ramai wanita yang berada di situ tertumpu padanya. Penampilannya yang sederhana tetapi penuh gaya menambah tarikan, dengan aura dingin dan perwatakan teguh yang tidak memerlukan kata-kata untuk memikat. Namun, dia langsung tidak mempedulikan pandangan mereka.

Joshua terus masuk ke dalam kereta hitam mewah yang sudah menantinya. Dengan deruman enjin, kereta itu meluncur pergi meninggalkan pekarangan kondominium, menuju ke destinasi baru yang menantinya, rumah agam yang akan menjadi pentas kepada misi seterusnya. Di sebalik ketenangan luaran, Joshua tahu dunia yang sedang menantinya tidak akan pernah membenarkan dia berehat.

“Kenapa tuan tak mahu gunakan helikopter? Kan lebih cepat sampai ke sana," soal Ray sebaik sahaja membuka pintu kereta.

Mereka berhenti tepat di hadapan sebuah restoran mewah. Joshua mendongak, memerhatikan papan tanda restoran itu dengan pandangan tenang.

"Kita tak perlu tergesa-gesa untuk sampai ke sana," balas Joshua tanpa memandang wajah Ray.

"Kau tunggu aku di luar. Aku perlu jumpa seseorang," arah Joshua sebelum melangkah masuk ke dalam restoran tersebut.

"Baik, tuan," jawab Ray, sambil sedikit menundukkan kepala sebagai tanda hormat.

Sebaik sahaja Joshua melangkah masuk ke restoran, semua mata tertumpu kepadanya. Namun, dia tetap tenang, tidak terkesan dengan perhatian orang sekeliling. Langkahnya perlahan tetapi penuh keyakinan menuju ke sebuah meja di sudut restoran, di mana seorang wanita berpakaian mencolok sudah menunggunya.

"Honey, sini!" panggil Thalia dengan nada yang sedikit kuat sambil melambai-lambai ke arahnya.

Joshua duduk di hadapan Thalia, kakinya disilangkan, namun wajahnya tetap dingin, tidak menunjukkan sebarang kegembiraan.

"Susah betul nak jumpa dengan you sekarang. You tahu tak, I rindukan you sangat-sangat. I rasa…"

"Kita putus!"

Joshua memotong tanpa menunggu Thalia menghabiskan ayatnya.

"What? Break up? But why?" soal Thalia, wajahnya berkerut dalam kebingungan.

Joshua menyapu bahunya dengan jemarinya, jelas menunjukkan rasa jengkel. Dia menjeling Thalia sekilas.

"Aku tak perlu beri kau apa-apa alasan. Jadi, jangan cari aku lagi."

"Tapi… honey, I cintakan you. Kenapa tiba-tiba kita nak putus? I ada buat salah ke?"

Joshua memandang Thalia dengan pandangan tajam. Dia mendekatkan wajahnya sedikit ke arah wanita itu.

"Aku tak perlukan kau lagi dalam hidup aku. Kau cuma beban," katanya dingin, tanpa secalit belas kasihan.

Thalia terus berdiri. Wajahnya sarat dengan ketidakpuasan, dan matanya tidak lepas daripada menatap Joshua, seolah-olah cuba mencari jawapan dalam ekspresi tenangnya.

"Hoi!"

Satu suara lantang tiba-tiba memecahkan suasana.

Jeritan itu menghentikan perbualan Joshua dan Thalia. Mereka menoleh ke arah seorang wanita yang sedang berjalan laju mendekati meja mereka.

"Berani kau tinggalkan kawan aku demi perempuan lain? Kau memang lelaki tak guna! Siap kau! Kau belum kenal siapa aku!" ujar wanita itu dengan suara lantang, kemarahannya jelas terpancar.

"Siapa kau?" soal Thalia, kebingungan apabila wanita itu tiba di hadapan mereka.

"Kau tak perlu tahu siapa aku," jawab wanita itu sambil bercekak pinggang. Matanya menyeluruhi Thalia dari kepala hingga ke kaki.

"Apa yang kau perlu tahu ialah lelaki tak guna ni dah permainkan kawan aku, dan kau…"

Dia memandang Thalia dengan pandangan sinis.

"Perempuan yang pakai baju separuh bogel macam kau ni dah hancurkan hubungan kawan aku yang dah bercinta selama bertahun-tahun,” sambungnya lagi.

“Kau ni siapa? Kenapa tiba-tiba saja…”

“Shhh…”

Wanita itu meletakkan jari telunjuknya di bibir Thalia, menghentikan kata-kata wanita tersebut.

“Kan aku dah kata kau tak perlu tahu siapa aku. Degil betul. Kau…”

Dia menoleh ke arah Joshua, yang masih duduk dengan tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Lelaki yang tak ada maruah diri dan suka permainkan perasaan wanita!”

Kata-kata itu membuatkan Joshua tersentak, meskipun dia cuba mengekalkan ketenangan. Ada kebenaran yang terselit dalam bait-bait ayat itu, dan keningnya sedikit berkerut.

“Kau ingat kau tu handsome sangat ke? Walaupun, ya, kau memang handsome. Tapi jangan ingat kau boleh gunakan wajah kau tu untuk sakitkan hati wanita! Kau salah!”

Wanita itu terus menatap Joshua dengan pandangan tajam, wajahnya penuh kebencian yang mendalam.

“Kau siapa?” soal Joshua akhirnya, dengan nada tenang.

“Hahaha…”

Wanita itu ketawa sinis.

“Kenapa kau orang nak sangat tahu siapa aku? Dah aku kata, siapa aku tu tak penting. Tapi satu benda yang kau perlu tahu… jangan jumpa kawan aku lagi!”

Dengan pantas, dia mencapai gelas air di atas meja dan mencurahkannya ke atas kepala Joshua.

“Argh, apa kau dah buat ni?” jerit Thalia, meluru ke arah Joshua yang kini basah kuyup.

Semua pelanggan di restoran itu memandang ke arah mereka. Kekecohan itu menarik perhatian seorang lelaki, yang segera melangkah mendekati mereka.

“Cik, tolong jangan buat kacau di sini. Sila tinggalkan restoran saya sekarang,” tegur lelaki itu dengan nada lembut, cuba mengawal situasi.

“Aku takkan tinggalkan restoran ini selagi lelaki tu tak minta maaf!” tegas wanita itu sambil merenung Joshua.

“Anna!”

Suara kuat dari arah pintu menarik perhatian semua orang.

Wanita itu mendapati kawannya berdiri kaku di sebelah seorang lelaki yang tidak dikenali. Dengan segera, dia berlari ke arah kawannya itu.

“Camila…” sebut Arianna Quinn perlahan.

“Anna, apa kau dah buat ni?” soal Camila sebaik sahaja mereka berhadapan.

“Aku nak tuntut bela untuk kau lah. Takkan kau nak biarkan lelaki ni terlepas begitu saja,” balas Arianna dengan yakin.

Camila menghela nafas panjang, lalu berbisik perlahan.

“Aku tahu… tapi masalahnya, lelaki ni bukan bekas kekasih aku. Ex aku ada di kedai sebelah.”

Mendengar itu, Arianna membulatkan matanya. Wajahnya berubah, penuh rasa bersalah. Dia menoleh ke arah Joshua yang sedang membersihkan wajahnya dengan sapu tangan.

“Alamak…” desis Arianna perlahan, hanya cukup untuk didengari oleh Camila.

Camila memberi isyarat mata supaya mereka segera meninggalkan restoran itu, tetapi Arianna menggeleng perlahan.

“Err… encik, maafkan saya. Saya salah orang… saya tak sengaja…” ujar Arianna gugup sambil mencapai sapu tangan di tangan Joshua, cuba membantu Joshua mengelap sisa air di wajahnya.

Joshua menepis tangannya tetapi tiba-tiba memegang pergelangan tangan Arianna, membuatkan dia terdiam. Joshua berdiri, menatap wajah Arianna dengan pandangan tajam.

Tatapan itu membuatkan jantung Arianna berdegup kencang. Fikirannya berkecamuk, membayangkan hukuman yang mungkin menantinya.

“Kau boleh pergi,” arah Joshua dengan nada mendatar sebelum melepaskan genggamannya.

“Err… sa… saya…”

Arianna tergagap.

“Terima kasih, encik,” sela Camila cepat. Dia menundukkan kepala sedikit sebelum menarik tangan Arianna dan bergegas pergi.

Arianna terpinga-pinga, masih cuba mencerna apa yang berlaku. Dia tidak menyangka lelaki itu melepaskannya begitu sahaja. Jika situasi ini dalam drama, pasti dia sudah ditampar atau dihukum.

“Honey, are you okay?” soal Thalia, masih terkejut dengan kejadian tadi.

Joshua tidak menjawab. Dia melangkah keluar dengan langkah cepat, meninggalkan Thalia yang terpinga-pinga.

“Joshua!”

Thalia menjerit, tetapi lelaki itu tidak mempedulikannya.

Di luar, Joshua menuju ke kereta yang sudah menunggunya di hadapan restoran. Matanya sempat memerhatikan Arianna dan Camila yang kini berjalan di tepi jalan, semakin menjauh dari restoran itu.

“Tuan, kenapa…”

“Ambilkan aku baju baru,” arah Joshua tanpa membiarkan Ray menghabiskan soalannya.

Ray segera membuka bonet kereta, mengeluarkan sehelai t-shirt berkolar, lalu menyerahkannya kepada Joshua. Selepas menukar pakaian, kereta itu perlahan-lahan meninggalkan kawasan restoran.

Sewaktu kereta mereka berselisih dengan Arianna dan Camila, senyuman nipis terlakar di bibir Joshua. Namun, di sebalik senyuman itu, matanya mencerminkan sesuatu yang sukar ditafsirkan, seolah-olah memikirkan sesuatu yang lebih besar daripada kejadian tadi.

Dia membiarkan pandangannya singgah sedikit lebih lama pada Arianna sebelum memalingkan wajah, kembali menyandarkan tubuh pada kerusi. Tangannya mengetuk-ngetuk perlahan di sisi, memberikan irama yang menggambarkan fikirannya sedang berfikir sesuatu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience