29 Musibat

Family Series 57531

Deila memandang resah bangunan besar di hadapannya. Tiba-tiba punggung menjadi terlalu berat untuk dibawa keluar dari perut limousin milik Tok Teh. Keadaan persekitaran yang dipenuhi kereta mewah dan golongan kayangan itu terlalu asing baginya. Tiba-tiba dia rasa menyesal kerana terima tawaran Tok Teh.

Deila menoleh ke sisi. Baru berniat mahu mengajak Tok Teh berpatah balik, malangnya tok dah menjulur kedua-dua kaki keluar.

“Del, jom keluar.”

Kata-kata berbunyi arahan tok buat Deila mengeluh dalam hati. Melihat tok sudah berdiri di luar kereta, dia rasa segan pula membiarkan orang tua itu menunggu lama-lama. Deila kelam kabut keluar dan menghampiri Tok Teh. Lengan Deila dipaut dan mereka jalan beriringan menuju ke pintu masuk.

“Tok, saya rasa…”

“Tok tahu kau rasa insecure, jangan risau Del. Tok ada. Tok akan pastikan tiada sesiapa pun yang akan pandang rendah pada kau.” Sambil berkata, tok menggosok lembut belakang Deila. Dia tahu Deila gemuruh dan rasa tidak selesa. Dia nampak jelas jemari Deila menggeletar dan tubuh Deila berpeluh sejuk.

Deila terdiam. Kata-katanya yang tak sempat dia habiskan ditelan perit. Saat mereka melangkah masuk ke dalam dewan, Deila menjatuhkan wajah bila sedar kemunculan mereka menjadi perhatian. Dia berpendapat pasti kerana Tok Teh bila dia lihat wanita tua itu terus disapa oleh tetamu berdekatan.

Tok Teh mulai rancak bercerita dengan tetamu-tetamu yang hadir. Semuanya berkaitan dengan perniagaan. Deila mulai rasa bosan terpacak kaku di sebelah Tok Teh. Nak menyampuk, dia bukannya ada kaitan dengan perniagaan keluarga itu.

Deila pandang sekeliling. Kalaulah bukan kerana tempat itu begitu asing, dia sudah merayap mencari sesuatu untuk mengisi perut. Tapi dalam keadaan sekarang, rasanya lebih selamat berada di sisi tok.

“Del! Wah… tak sangka kau datang bersama tok!”

Deila pantas menoleh dan bertentang mata dengan seorang wanita pertengahan usia yang kelihatan begitu bergaya dengan pakaian bergemerlapan dan mekap terang. Wanita itu melangkah anggun menghampiri.

“Jom ikut aunty, sayang. Kau pasti tak betah dikelilingi oleh orang-orang lanjut usia macam tok tu kan?” Wanita itu berbisik di telinga Deila lalu ketawa kecil.

Itulah wanita yang Deila jumpa di rumah agam tok. Wanita yang merupakan ibu kepada Zara Adelia. Wanita yang berada di antara kedudukan teratas manusia yang tidak boleh dipercayai dalam senarainya.

“Takpelah aunty, saya kena temankan…”

“Tok, saya pinjam Del sekejap ya. Nak kenalkan dia dengan keluarga yang lain.”

Deila kemam bibir. Geram bila kata-katanya dipangkas laju oleh ibu Zara. Tok Teh menoleh. Belum sempat tok buka mulut, lengan Deila ditarik laju oleh ibu Zara untuk pergi dari situ.

“Kau nak bawa Del ke mana tu?” Bentak Tok Teh dengan agak kasar.

“Ala tok ni, macamlah saya nak buat tak baik pada Del. Tok tak percayakan saya ke? Tak lama lagi, saya bakal berbesan dengan Dato’ Razif, anak tok. Del ni saya anggap macam anak saya juga, jangan risaulah!”

Deila terkial-kial ditarik pergi oleh ibu Zara. Nak melawan, dia segan pula. Mereka berada di kalangan orang-orang kenamaan kot. Dia tak nak malukan keluarga tok. Akhirnya, Deila mengalah dan menurut dalam keterpaksaan.

Ibu Zara membawanya ke sebuah meja yang dipenuhi oleh golongan mak cik-mak cik korporat yang pastinya punya gelaran khas di depan nama mereka atau cuma berlagak salah seorang daripada golongan tersebut, siapa tahu kan!

“Duduklah, Del. Kenalkan, ini semua orang-orang penting buat keluarga kau. Walau pun tiada pertalian darah, tapi mereka dah macam keluarga kepada tok. Suami merekalah yang banyak berjasa berjuang bersama Dato’ Razif membangunkan perusahaan keluarga tok.” Panjang lebar ibu Zara terangkan sambil tayang wajah bangga dan angkuh. Deila paksa diri untuk leretkan senyuman tak mesranya di hadapan wanita-wanita berusia itu.

“Siapa dia ni?” Tanya salah seorang wanita itu.

“Oh, dia nilah yang saya ceritakan tadi. Cucu Tok Teh.”

Deila tersenyum sumbing. Tengok dari wajah pun sudah dia duga ibu Zara ni jenis mulut tempayan. Entah apalah yang diumpat oleh wanita itu tentang dia.

“Cucu yang mana satu pulak ni? Tok Teh tu kan cuma punya satu anak, si Razif tu. Anak Razif tu cuma Rhett seorang je kan?”

“Ya betul. Tok ada beritahu yang Del ni anak keluarga dia juga dari kampung.”

“Oh, maksudnya bukan cucu sebenarlah?”

“Maybe yes, maybe no. Siapa tahukan! Sama ada tok tu punya anak selain Razif atau si Razif tu punya isteri lain.”

Deila yang mendengar wanita-wanita itu berbisik-bisik mengetap rahang menahan rasa. Berbisik tetapi suara sengaja dikuatkan, siap jeling-jeling ke arah dia.

“Ni… korang masih ingat tak pemandu peribadi keluarga saya dahulu?” Ibu Zara bertanya.

“Yang mana satu ni? Kau tu kan asyik bertukar-tukar pemandu.”

“Yang namanya Ahmad tu. Tak ingat ke? Lama dia berkhidmat sebelum berhenti kerana mahu kahwin. Tapi, saya masih ingat dia pernah kata yang dia kahwin kerana mahu selamatkan maruah seorang wanita. Tu pun suami saya tanya kerana terkejut. Tiada angin tiada ribut tiba-tiba si Ahmad tu kata nak kahwin.”

Deila yang cuba berpura-pura untuk tidak ambil peduli spontan pasang telinga bila dengar nama yang terlalu familiar bagi dia. Ahmad tu nama ayah. Sebelum kahwin ayah juga pernah bekerja sebagai pemandu peribadi di bandar.

“Habis tu apa jadi?” Tanya salah seorang wanita itu lagi.

“Korang tahu tak dia kahwin dengan siapa? Dia kahwin dengan bekas pembantu rumah tok. Saya dengar perempuan itu mengandung dan tok usir dari rumah dia. Mereka lari balik kampung dan kahwin.”

“Habis tu apa pula kaitan dengan topik yang kita bualkan tadi?”

“Takde, saya cuma ceritakan je. Terpulang pada pendapat korang masing-masing mengenai siapa ayah kandung anak bekas pembantu rumah tok tu.” Pancing ibu Zara sambil mengerling sinis ke arah Deila yang duduk di sebelahnya.

Deila tunduk sambil menggenggam penumbuk. Adakah ibu Zara dah tahu siapa dia sebenarnya? Entahlah, dia tak kisah pun kerana dia tak pernah anggap lelaki yang hanya tahu menabur benih itu ayah dia.

“Oh ya, Del! Zara dan Rhett datang bersama tadi. Kau dah jumpa mereka? Tak lama lagi, Rhett akan berkahwin dan keluar dari rumah tok. Mesti tok kesunyian. Mujur kau ada temankan tok kan?”

Deila mengeratkan genggaman, sampai berpeluh-peluh jari jemarinya. Kata-kata ibu Zara seperti sebilah samurai tajam menusuk ke dadanya. Rhett langsung tak muncul depan dia, cuba memujuk dia, cuba terangkan mengenai perkahwinan tersebut. Dia benar-benar kecewa dengan sikap Rhett.

“Hah, panjang umur. Tu pun mereka!” Sambung ibu Zara lagi dengan suara teruja.

“Rhett dan Zara memang sepadan betul kan? Macam pasangan dari surga!” Omel salah seorang wanita di situ.

Puih! Deila menyembunyikan cebikan meluatnya. Pasangan dari surga katanya?!

“Zara! Come here!” Ibu Zara bingkas bangun dari tempat duduk lalu melambai. Deila hanya statik tidak bergerak. Tak sudi mahu memaling wajah untuk melihat pasangan dari surgalah sangat itu!

“Waiter! Hantar hot coffee ke sini! Sejuk pula dewan ni. Tekak ni teringin nak hirup air panas-panas.” Ibu Zara cepat-cepat memanggil apabila seorang pelayan lelaki melintas di depan meja mereka. Pelayan lelaki itu mengangguk lalu bergegas mendapatkan apa yang dipinta.

“Mummy!” Suara Zara menyapa tidak jauh dari mereka. Deila kegelisahan. Dia sebolehnya tidak mahu melihat Rhett bersama Zara.

“Saya pergi dulu. Risau tok tercari-cari.” Deila berkata perlahan lalu bingkas berdiri.

“Tunggu!”

Deila mahu pusing tubuh dan cepat-cepat beredar dari situ. Panggilan ibu Zara yang cuba menahan tak dia pedulikan. Belum sempat mengorak langkah, tubuhnya tiba-tiba dirempuh kuat dari arah sisinya. Deila hilang kawalan tubuh.

“Awas!”

Pelayan lelaki yang tiba-tiba muncul sambil membawa air panas ditabrak oleh Deila.

“Aduh!”

Pelayan lelaki itu terundur lalu melanggar Zara.

“Aduh! Panasnya!” Zara menjerit kesakitan bila air kopi tertumpah di lengannya.

Deila jatuh terduduk di atas lantai. Separuh lengannya turut disimbah air kopi ketika dia menabrak pelayan itu tadi. Tapi dia tidak menjerit. Walau pun dia juga sedang kesakitan, hanya wajah berkerut-kerut. Bibir dikemam erat. Semerbak haruman kopi yang pastinya diimport dari luar negara itu memenuhi rongga hidung.

‘Zara! Are you okay?!” Rhett bergegas menghampiri Zara apabila dia dengar jeritan kesakitan gadis itu.

Deila mendengar suara Rhett lalu cuba mencari kelibat lelaki itu. Melihat Rhett kelam kabut mendapatkan Zara, Deila memandang sayu. Rhett langsung tak pandang ke arahnya. Tidakkah lelaki yang sudah bergelar suaminya itu melihat dia juga sedang kesakitan?

Semua wanita-wanita yang sedang duduk berkumpul itu bingkas bangun dan bergegas menghampiri Zara. Beberapa tetamu yang kebetulan melihat turut bergegas datang berkerumun untuk melihat. Deila yang masih terduduk menahan kesakitan di lantai langsung tidak dipedulikan. Tubuhnya dilanggar, kaki dan tangan dipijak oleh manusia-manusia yang berebutan mahu melihat keadaan Zara.

“R… Rhett…” Deila memanggil dengan suara lemah. “Tolong saya…”

Del is back hihi.... sorry korang, ingat nak update double chapter sebab lama menghilang, tp x mampu nk siapkn huhu...jgn mare aah, klu siap mlm ni kita up klu x esok esoklah yer...muaaah!

Share this novel

Zainabzety
2024-05-08 21:05:39 

jantan x guna bangkit del jngn biar org2 tak guna tu pijak kau

Zyzbsn
2024-05-07 21:21:57 

Rhett tak boleh pakai. otak tarak guna hehehe. tq author update


NovelPlus Premium

The best ads free experience