Setelah beberapa hari berlalu, jadual mereka semakin padat. Kelas tambahan dari pagi hingga petang membuatkan mereka hampir tiada masa untuk lepak bersama. Sebaik pulang ke rumah, tugasan sekolah pula menanti untuk disiapkan. Malamnya, mereka terpaksa berjaga demi mengulang kaji pelajaran, memastikan semuanya bersedia menghadapi peperiksaan akhir tahun yang hanya tinggal beberapa bulan lagi.
Masa untuk mereka berempat untuk berkumpul seperti biasa kini sangat terhad. Perbualan mereka hanya berlaku sekilas lalu di waktu rehat, dan kadang kala, hanya melalui aplikasi whatsapp sahaja.
Luth dan Nuha juga tidak sempat meluangkan masa berdua seperti dulu. Mereka cuma berbual ketika di dalam kelas itu pon berbual mengenai perkara yang berkaitan dengan pelajaran.
Nuha sendiri mula merasa lega. Kesibukannya telah membuatkan dia lupa tentang perasaan cemburunya, dan juga tentang Qistina. Nama gadis itu kini tidak lagi menghantui fikirannya. Baginya, fokus pada pelajaran adalah keutamaannya sekarang, meskipun di sudut hati kecilnya, dia masih menyimpan perasaan yang rindu tidak terungkap terhadap Luth.
Dia juga sentiasa melarikan diri dan memberikan alasan jika Luth mahu bertemunya. Dan pada masa yang sama dia juga berasa hampa kerana lelaki itu langsung tidak cuba bertanya atau menghubunginya melalui aplikasi whatsapp.
Semasa pelajar lain sedang pergi berehat, Nuha, Zara, dan Noah sibuk menyiapkan kerja sekolah yang belum selesai. Bunyi pen di atas kertas memenuhi suasana, namun fikiran Nuha tiba-tiba terganggu. Pandangannya melayang keluar tingkap, dan saat itu, matanya tertancap pada sosok Luth yang sedang berbincang sesuatu dengan Qistina dari arah yang bertentangan di luar kelas.
Hatinya terasa seperti ditikam sekali lagi. Perasaan yang cuba dipendam sejak beberapa hari lalu kembali menyakitkan. Senyuman Qistina, yang nampak begitu mesra, serta dari cara Luth yang sedang memandang kepada gadis itu membuatkan hatinya retak seribu, namun dia cuba menahan diri dari menunjukkan secalit emosi.
Zara, yang berada di sebelah Nuha, perasan perubahan di wajah sahabatnya itu. "Kenapa ni, Nuha?" tanya Zara perlahan, nadanya penuh tanda tanya.
Nuha memalingkan wajah, mendekatkan bibir ke telinga Zara dan berbisik, "Luth... dia jumpa Kak Qistina."
Perlahan-lahan jari telunjuknya menunjukkan ke arah luar tingkap.
Mata Zara segera membulat. Tanpa menunggu, dia cepat-cepat mengangkat wajah dan memandang ke arah luar tingkap. Benar, Luth sedang berdiri di sisi Qistina.
Noah yang duduk di belakang sejak tadi hanya memerhati gerak geri Nuha dan Zara, turut menangkap bisikan kecil itu. Dia perlahan-lahan menoleh ke arah luar tingkap, memandang Luth dan Qistina. Wajahnya sukar dibaca, namun jemarinya yang sedang menggenggam pen terlihat semakin kuat mencengkam. Di antara mereka bertiga, hanya Noah yang mendiamkan diri, meskipun hatinya juga bengang bila melihat situasi itu. Dia tidak mahu Luth melukakan hati Nuha. His precious twins.
Noah meneruskan membuat kerja sekolahnya tanpa menunjukkan sebarang reaksi. Namun, dalam diam, dia tahu apa yang sedang berlaku. Sebagai kembar Nuha, dia dapat membaca isi hati adiknya dengan mudah. Nuha cemburu pada Qistina, itu sudah jelas.
Dari sudut ekor matanya, Noah masih memerhati ke arah Nuha yang masih tergamam melihat ke arah Luth dan Qistina melalui tingkap. Hatinya turut berasa sakit, tetapi dia memilih untuk berdiam diri dari berkata-kata.
Zara, yang sudah mulai tidak sabar dengan sikap Nuha, berbisik perlahan, "Sampai bila kau nak diamkan diri ni? Kau memang tak tanya lagi ke Luth?"
Nada Zara sedikit tegas, dan riak wajahnya jelas menunjukkan rasa tidak puas hati. Dia memandang Nuha, mengharapkan gadis itu bersuara.
Nuha menghela nafas perlahan, pandangannya masih tertumpu pada Luth. "Aku... aku tak sempat nak tanya," balas Nuha pendek. Namun, ada getaran di suaranya, menunjukkan betapa remuknya hati dan perasaannya.
Zara menjeling ke arah Luth dan Qistina yang masih berbual di luar kelas. Hatinya mula merasakan sesuatu. Dia dapat lihat dari cara Qistina memandang Luth, Zara yakin gadis itu yang sedang meraih perhatian dari Luth.
Zara menggigit bibir, matanya kembali pada Nuha. Dia tahu sahabatnya itu perlu melakukan sesuatu,dia tak boleh terus menyimpan rasa pedih itu seorang diri.
Mereka bertiga perasan kelibat Luth melangkah ke arah kelas. Hati Nuha berdebar, tetapi dia dan Zara segera menunduk, kembali berpura-pura sibuk dengan kerja sekolah mereka. Mereka risau jika Luth menyedari yang mereka berdua tadi memerhatikannya dari jauh.
Luth masuk ke dalam kelas dengan langkah yang sedikit berat. Wajahnya tegang tanpa secalit emosi. Tanpa menoleh ke arah Nuha, dia berjalan melepasinya begitu sahaja dan terus duduk di sebelah Noah.
Noah, yang sedang fokus menyelesaikan soalan matematik, menjongketkan kening. "Pergi mana, bro? Lama betul kau berak kat tandas?" usiknya dengan senyuman sinis.
Luth mengertap rahangnya kuat seraya mengeluarkan buku dari beg galas miliknya "Tak ada mood nak layan lawak bodoh kau," balasnya pendek.
Share this novel